Bab 11
PUAN Maria menyelongkar kotak-kotak yang sudah tersimpan lama di dalam almari paling bawah. Kotak bersaiz sederhana itu ditarik keluar. Berhabuk. Dah lama kotak itu tersimpan di situ. Puan Maria angkat lalu dibawa ke arah katil. Sesekali dia menggosok hidung apabila habuknya berterbangan.
Penutup kotak dibuka. Puan Maria terkedu. Perlahan-lahan tangannya menarik keluar replika patung yang diperbuat daripada kotak. Berhabuk dan sudah bertukar warnanya menjadi kekuningan, tanda sudah lama tidak bersentuh dan terbiar di dalam kotak selama bertahun-tahun lamanya.
"Ni sahrab mae, (Ini untuk mak.)"
Puan Maria letak patung itu ke tepi. Tangannya dimasukkan kembali ke dalam kotak lalu menarik keluar sekeping kad. Kad yang sudah lusuh, berhabuk dan sudah pudar warnanya. Dengan mata yang mula berkaca-kaca, lipatan kad buatan itu dibuka.
"Sukh san wan ked mae. Pom rak khun. (Selamat hari jadi, mak. Saya sayang mak.)"
Ploy...
Hati Puan Maria merintih pilu. Satu demi satu bayangan silam dua puluh lima tahun lalu kembali menerpa hadir. Album bersaiz sederhana dari dalam kotak dicapai. Terketar-ketar tangannya menyelak kulit album. Lihat sahaja gambar-gambar di dalamnya, empangan air mata Puan Maria pecah. Tubuhnya dah bergetar kecil. Bahunya terhinjut-hinjut.
"Ploy... Mae rindu." Mahu tak mahu saja suara Puan Maria keluar sambil jemarinya mengusap wajah seorang kanak kecil di dalam album. Wajah kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun yang masih polos dan tidak tahu apa-apa. Yang petah, lincah dan aktif. Puan Maria selak lagi album helaian demi helaian sehingga terhenti pada sekeping gambar. Gambar seorang lelaki dewasa bersama dua orang kanak-kanak lelaki.
Lelaki itu mendiang suaminya yang sudah dua puluh tahun meninggal dunia. Dan dua orang itu lagi adalah puteranya. Benjamin dan Ploy.
"Khun, saya rindu kalian berdua... sangat-sangat." luah Puan Maria sendiri sambil air mata galak merembes keluar. Betapa dia rindukan dua manusia itu. Manusia yang pernah menjadi sebahagian dari hidupnya. Walaupun bekas suaminya dulu kini tidak lagi seagama dengannya, tapi rasa sayang dan rindu tetap bermukim dalam hatinya. Dan Ploy, bagaimana agaknya keadaan anak bongsunya sekarang ini? Sihat kah? Pasti sekarang ni sudah menjadi lelaki dewasa yang kacak. Persis abangnya, Benjamin.
"Ploy, mae minta maaf sebab pergi tinggalkan kamu. Mae takde niat. Mae minta maaf, Ploy." Album itu dibawa ke dada lalu dipeluk erat.
*****
PLOY terjaga daripada tidurnya. Terkebil-kebil dia pandang siling atas. Nafas ditarik lalu dihela panjang. Dia mencapai jam loceng yang terletak di atas meja lampu. Jarum jam menunjukkan ke angka tiga petang. Letih punya pasal disebabkan kerja, lepas makan tengahari dia terus terlelap. Ploy bangun lalu bersandar pada kayu katil.
Mae...
Sudah lama rasanya dia tak bermimpikan wanita itu, darah dagingnya sendiri. Tapi di dalam mimpinya tadi, wanita itu datang memeluknya erat sambil menangis. Ploy peluk bantal sambil pandangan mata tersasar ke arah dinding bercat putih. Dia masih terlalu kecil dan tak tahu apa-apa waktu itu ketika emaknya pergi meninggalkan dia di sini bersama Puan Junta. Abangnya juga turut dibawa pergi entah ke mana. Dan sampai sekarang dia masih gagal menjejaki emak dan abang kandungnya itu.
Apa yang sebenarnya berlaku waktu itu selepas kematian mendiang bapanya? Sungguh dia langsung tidak dapat mengingat apa yang telah berlaku dua puluh lima tahun lalu. Pernah dia tanyakan kepada Puan Junta. Tetapi neneknya itu tidak memberikan jawapan. Kata Puan Junta, satu hari nanti pasti dia akan tahu. Tapi bila masanya? Tidak betah berteka-teki sendiri, laju sahaja Ploy berlari keluar dari bilik menuju ke bilik Puan Junta. Ploy pulas tombol pintu lalu kepala dijengulkan ke dalam. Kelihatan Puan Junta sedang duduk termenung di birai katil.
"Yay..."
Tegur Ploy. Puan Junta mendongak memandang Ploy yang kemudiannya duduk di sisinya.
"Tham mai kha, Ploy? (Kenapa, Ploy.)" Puan Junta menyoal, pelik. Ploy diam sambil menunduk memandang hujung kaki. Soalan neneknya itu dibiarkan tidak berjawab untuk beberapa saat. Ploy tarik nafas.
"Tadi Ploy mimpikan mae, yay." ujar Ploy. Bebola mata Puan Junta bergerak-gerak memandang wajah bersih cucu lelakinya itu. Bila Ploy angkat wajah, dapat Puan Junta lihat mata lelaki itu berkaca.
"Pom khidthung ther, yay. (Saya rindu dia, nenek.)" bergetar suara Ploy.
"Ploy, arai na kha? (Ploy, kenapa ni?)"
"Yay, Ploy nak tahu apa yang dah terjadi dua puluh lima tahun lepas."
Puan Junta terdiam dulu mendengar permintaan cucunya itu. Dia tak sangka secepat ini Ploy mahu menagih cerita yang sebenar daripadanya. Menyedari kebisuan Puan Junta, Ploy capai tangan tua neneknya itu. Wajah penuh pengharapan dengan mata yang sudah berkaca ditayang.
"Prod khab, yay. (Tolong lah, nenek.)"
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro