Bab 9
Dia berdiri di anjung jendela. Reza sedang fokus memerhati pemandangan luar sambil memikirkan sesuatu. Entahlah apa yang perlu aku buat selepas ini, getus hatinya. Sara sedang duduk diam di atas kerusi. Aroma kopi dan kroisan yang sempat mereka beli, menyinggah masuk kesegarannya di dalam rongga hidung.
Langsir berwarna pastel menghiasi singgahan mata Sara. Sesekali dia merenung wajah Reza yang sedang rusuh. Muk kopi di sebelah Reza masih belum berusik.
Penat!
Yalah. Pagi ini saja, sudah beberapa jam mereka luangkan masa mencari beg Reza di seluruh Queen Victoria Market. Berpeluh-peluh! Selepas penat berasak-asak di sana, mereka berlari pula ke dalam hotel Reza inap untuk mengemas dan mencari lagi.
Memang hilang.
Reza masih termenung. Begnya sudah berkemas. Terkebil-kebil dia menanti si gadis agar memulakan perbualan. Dia pusingkan sedikit kepala, bola mata rancak menjamah susuk tubuh yang nampak letih. Kesian kau, Sara. Tapi kalau tak ada kau, aku boleh jadi tak tahu nak buat apa, bisik hatinya.
"Mana Syamil?"
Sara gelengkan kepala, "entah. Pergi dating lagi katanya."
"Aku ingat dia pakwe kau," tambah Reza.
"Isy. Syamil jadi pakwe aku? Sorry ya, Reza. Bukan taste aku. Dahlah makwe keliling pinggang. Sekejap bertukar, lepas gaduh, baik balik. Lepas tu tiba-tiba putus then dalam sehari ada makwe yang baru."
Reza senyum. Apabila kenal dengan Sara ini, barulah dia tahu dan kenal siapa sebenarnya Sara. Dalam garangnya, manisnya tetap ada. Dalam marahnya, lembutnya tetap ada. Dalam bengisnya, senyumnya itu sentiasa ada. Kalau mahu dikenang kembali kisah cermin kereta Sara yang pecah itu dan marah Sara terhadapnya, Saralah juga sekarang yang sedang berusaha membantu dirinya di sini. Ajaib betul susunan pertemuan yang Allah s.w.t sedang aturkan antara dia dan empunya nama Sara Nur Naila.
"Cantik macam kau, takkanlah tak ada orang nak? Ke kau jual mahal?" Reza sengaja cari fasal. Dia menjeling Sara, sempat pula memerhati wajah di hadapannya. Wajahnya bersih tanpa ada cela. Hidungnya itu sangat comel buat dia jadi geram, mahu ditarik-tarik!
Sara terbatuk-batuk. Dia angkat jemari dan genggam erat. Tunjuk penumbuk. "Nampak ni?"
Reza sambung tawanya. Dia memulakan sesi perkenalan. Dia mahu serba serbi menjadi santai antara dia dan Sara. Dia mahu, tidak menegangkan lagi keadaan. Dalam keadaan tekanan yang begini, Reza tahu dia perlu untuk bertindak dan membuat keputusan dengan tepat. Dia mahu menjadi lelaki yang matang. Dia mahu berhenti dari bergaduh dan berperang mulut dengan gadis ini. Reza hembus nafas.
Tapi Reza, akal fikirannya asyik sahaja mahu mengusik sang gadis di depannya ini.
Suka betul, dia menyakat Sara ini sampai marah jadinya. Suka sangat dia melihat riak mata dan bibir si gadis apabila sedang memarahinya.
"Kau datang sini sebenarnya cari siapa?" Sara mula mengorek rahsia. Meski berjarak beberapa meter, kerutan di dahi Reza masih kelihatan.
"Anak aku. Izzat."
Panjang bibir Sara menuturkan huruf O. Dia terangguk-angguk. Nak tanya banyak, dia segan. Sara herotkan bibir ke kiri. Reza masih diam merenungi pemandangan di luar. Beberapa minit berlalu dengan kesepian.
Sara telan air liur. Kepala masih memikirkan mengenai 'status' lelaki yang sedang berada dengannya. Fikirannya terus membuat andaian. Encik Reza Fahmy, mengaku sahajalah dengan aku, yang kau tu suami orang. Jawab ikhlas saja sebegini, 'aku cari anak aku dan isteri aku kat sini.' Agak-agaknya, bini dia merajuk kut bawa lari anak sampai ke sini.
Sara menggerit bibir. Kepalanya masih mencipta berbagai-bagai analogi. Atau bini dia ada skandal dengan lelaki lain.
Pap! Uiks, kalau baca majalah Wanita, banyak cerita macam ni, okey! Memang sah ada. Itu kat Malaysia. Kat Australia ni pun macam-macam cerita boleh dinovelkan.
Reza merenung si gadis dan memerhatikan dahi Sara yang berkerut-kerut. Mesti kau tengah fikir, aku cari anak dan bini aku yang ada skandal dengan lelaki lain, kan? Eh-eh... Kau, Sara! Sekali aku cium, baru kau tahu, bebelnya dalam hati.
"Wife kau? Lari? Merajuk?" Sara cepat memecahkan kebuntuan. Dia menampakkan baris gigi, wajah macam orang tak bersalah. "Straight to the point ajelah, ceritalah cepat dengan aku, Encik Esmael, oi!"
Secangkir kopi akhirnya menjelajah ke anak tekak. Dihirup-hirup dengan perlahan dan dinikmati keenakannya. Selepas meletakkan muk di atas meja, Reza tiba-tiba membuat aksi senaman di depan jendela. Tangannya dikuakkan dan mengeliat ke kiri dan ke kanan.
Sara terkebil-kebil sambil menyaksikan gelagat Si Reza. Argh... Dia ni, janganlah buat aksi akrobatik kat sini. Kut ya pun, janganlah nak tunjuk sangat kekacakan kau macam tu, kan? Sara terlongo sekejap sambil menerawang jauh entah ke mana. Hesy, kalau mak su tahu aku mengendap anak bujang orang, eh-eh suami orang, aniaya aje, kan?
Retina mata si jejaka terus menangkap keindahan kaki langit. Dia senyum lagi. Mendengar soalan dan permintaan daripada Sara, buat dia yakin dengan kesungguhan Sara membantu dia.
"Jodoh aku tak kekal dengan dia, Sara. Then, dia bawa Izzat ke sini masa anak aku tu umur setahun."
Sepi.
Sara tiba-tiba rasa berdosa. Dia telan air liur. Hatinya terus memarahi diri sendiri. Bukan suami oranglah... Tapi duda. Duda, wahai Sara Nur Naila.
Reza memaku lagi bola matanya ke kaki langit. Jemari kanan mengambil semula muk kopi. Dihirup air berwarna hitam, sambil menenangkan diri.
"Kami dah bercerai dan dia pun dah berkahwin lain. Hidup suami dan isteri kena ada kefahaman dan sabar yang tinggi. Ya, sebab tak ada kefahaman dan sabar itulah yang buat hubungan kami berakhir macam ni. Lebih tepat, tak ada jodoh. Manalah tahu, jodoh aku sebenarnya kat sini ke?" Reza menyengih.
Sara mendengar dengan penuh minat. Selepas beberapa saat, dia akhirnya bangun dari duduknya nan selesa. Jemarinya juga memegang muk yang berisi kopi. Aromanya makin menyelerakan anak tekak. Kaki berayun melangkah menuju ke sebelah Reza dan masing-masing berdiri memandang pemandangan bangunan sekitar Melbourne. Kaki langit membiru semakin cantik. Langit terang memerangkap mata untuk menyaksikan keindahan diberi Tuhan.
"Dan kau datang ke sini, ke Australia semata-mata untuk cari anak kau?" Sara pusingkan tubuh memerhati wajah Reza.
Angguk. Suasana makin bungkam. Reza melayan perasaan. "Aku ayah, Sara. Selama mana harus aku berbohong dengan diri aku sendiri. Izzat anak aku. Aku kena cari anak aku. Dapat tengok dia dengan biji mata aku dan depan mata aku, sihat, membesar macam budak-budak lain, cukup besar pengertiannya untuk aku. Dapat peluk dia sekejap pun, aku syukur sangat-sangat." Air mata sudah bergenang di kolam mata. Dia tahan perasaan hibanya.
"Kau tak kahwin lain?" soalnya dengan berani.
"Errr. Tak!"
"Yalah kan, sebab ex-wife kau dah kahwin, so aku cuma agak. 'Agak' sajalah yang kau pun maybe dah kahwin lain." Sara menekan perkataan 'agak' dalam ayatnya agar tidak nampak janggal di situ.
Reza menganggukkan kepala, mengiakan agakan sang gadis.
"Belum ada jodoh. Mak aku pun suruh aku cari calon lain. Kalau boleh, dia suruh aku cari kat sini." Reza sengetkan bibir. Wajah nakalnya terus memerhatikan Sara. Kopi yang sudah sebati di dalam anak tekak, dihirup sekali lagi. Ah, terasa hilang sekejap bebannya selepas menikmati keenakan kopi yang dibeli oleh Sara. Sambil itu, mata tak lekang daripada terus merenung wajah si gadis.
Cantik. Dia sangat cantik, tebak hatinya lagi.
"Two month, Reza?" Sara kerutkan dahi. "Kau ada dua bulan lebih aje kat sini nak cari anak kau. Untuk pengetahuan kau, wahai Encik Reza oi, pulau yang bernama negara Australia ni besar. Kau ingat Aussie ni kecik macam Melaka?"
Reza menjeling si gadis. Hatinya menjerit membebel-bebel. Ikutkan hati, mahu saja aku tutup mulut kau tu, Sara. Eh dia ni, kalau bercakap, memang tak sayang mulut betul!
"Dan sekarang kau ada banyak masalah. Duit hilang, kena kerja untuk gantikan duit aku. Kena kerja lagi beli tiket balik ke Malaysia dan kena kerja untuk sesuap nasi di negara orang? Bila masanya kau nak cari anak kau tu?" Sara tarik nafasnya dan terus meluahkan apa yang terbuku dalam hati.
"Kau banyak masalah, takkan kau nak cari anak kau macam tu aje dan dengan bantuan Zahir seorang yang sibuk kerja kat ladang sana tu? Ingat boleh petik jari cenggitu aje ke nak cari anak kau? Hei, kau ni, kan. Buat benda semua tak fikir empat puluh empat kalilah!"
Reza termati kata. Dia menelan semua soalan dan amarah Sara di dalam cepu minda. Air kopi dihirup lagi. Dia hembus nafas. Jawapan apa yang perlu dia serahkan kepada si gadis ini? Dia baru saja berkenalan dengan gadis ini. Dan sekarang, dia sedang sedebuk, bagi masalah dan ketika ini juga dia dan Si Sara sedang berdiskusi dengan masalah peribadinya. Hei hai, masalah, masalah!
"Dua bulan tu tak lama tau." Sara menambah lagi sesak kepala si lelaki.
Reza pusingkan tubuh. Dia berjalan perlahan ke meja kecil. Muk dengan air kopi, diletak di atas meja. Reza tangkas menyambar beg galas. Kunci hotel dia masukkan ke dalam poket seluar jean dan beg perjalanannya, digalas ke bahu.
"Eh, kita nak pergi mana ni?" tanya Sara. Dia terlongo melihat Reza yang sudah melangkah ke luar.
"Jom kita check out. Aku nak cari bilik yang lebih murah, lebih kecil dan lebih selesa."
"Tidur kat kedai aku, nak?"
Reza gelengkan kepala. "Tak nak aku."
"Then kau setujulah untuk kerja kat kedai aku?" Sara mengikut jejak Reza. "Dan kau setuju dengan gaji dan perjanjian yang aku tawarkan?"
"Setuju, Sara. Banyak benda aku nak settlekan hari ni." Reza malas mahu bertanya lagi itu dan ini. Sebetulnya dia berserah sahaja dengan apa yang Sara akan tugaskan untuknya di tempat kerja baru.
Pintu bilik penginapan ditutup. Hotel sederhana ini akan dia tinggalkan. Sara di belakangnya masih setia menanti. Reza cepat-cepat pusingkan tubuh dan kini tegak berdiri berhadapan dengan Sara. Mata menjelajah wajah bersih si gadis dan hidungnya sedang menikmati haruman minyak wangi yang digunakan oleh Sara.
"Cari bilik yang lebih murah. Esok, aku akan mulakan kerja. Kalau Zahir kata ada kerja kosong kat ladang sana, Sabtu dan Ahad pun aku akan kerja."
Dia terkebil-kebil. "Kau tak boleh kerja kat ladang Zahir kalau tak ada dokumen yang sah. Jangan buat fasal, Reza." Mendadak betul keputusan Si Reza ini. Ayunan kakinya terus mati apabila Reza sudah tegak menghalang langkahnya.
"Suka hati aku. Aku yang kerja, bukan kau."
"Encik Esmael. Kepala kau ni memang keras, ya? Batu tu pun tak keras macam kepala kau tau tak? Jangan degil sangat boleh tak?" ucapnya keras.
Reza bulatkan anak matanya. Eh-eh, Si Sara ni kan.
"Aku mesti cari duit lebih untuk gantikan duit kau tu, Sara." Reza merapatkan lagi wajahnya ke wajah Sara yang sedang membeku. Dia jongketkan kening kanannya persis penyanyi pujaan kakaknya, Ziana Zain.
"Cik Sara oi, aku kena kerja siang dan malam, nanti nak beli tiket balik Malaysia dan nak makan kat sini!" Hidungnya makin rapat dengan Sara.
Nafas Si Sara terasa menujah ke rongga hidung. Dia sengaja lagi mengusik si gadis.
"Dan kumpul duit banyak-banyak sebab nak pinang anak dara orang."
"Pinang siapa?"
"Kaulah! Hesy, dia ni!" Reza jelirkan lidah dan kenyitkan matanya.
Chaittt!
Sara telan air liur. Reza sudah beberapa meter di hadapan sana. Sekilap sahaja, 'kawan baru'nya itu, mengayunkan kaki dan meninggalkan dia. Hei, Encik Esmael ni. Dia garu kening dan dahi sudah bercantum-cantum memikirkan mengenai sang lelaki yang selalu sangat mengambil keputusan secara melulu.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro