Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 8

"Reza sihat?" Hamidah merelung rindunya untuk si anak lelaki.

"Sihat sangat, mak. Alhamdulillah." Baju yang telah siap dikemaskan dan disumbat masuk ke dalam beg, direnung tajam. Bola mata kemudian terarah memerhatikan Sara di dalam biliknya. "Mak dah makan tak ni?"

"Mak awal-awal dah makan. Kak Rini kau belikan lauk kat kedai Wak Seman tu. Sedap sungguh sampai bertambah-tambah. Demam semalam baru aje kebah."

"Eh mak, suruh Kak Rini tu bawakan mak jumpa doktor. Mana tahu ada denggi atau jangkitan kuman. Demam sekarang ni mak, kena cepat jumpa doktor," gesa si anak.

Inilah Reza Fahmy, anaknya. Hamidah menyeka air mata yang mengalir lesu. Dia akan sentiasa peka dengan makan dan kesihatannya. Rini pun dah banyak kali berpesan dengan benda yang sama. Apabila Reza sudah jauh dari mata, rindunya dengan anak ini usahlah ditanya banyak mana. Kadang-kadang sampai dia termimpi-mimpi. Si emak menyimpan rindunya. Dikesat lagi air mata. Tak mahu anaknya tahu yang dia sudah rindu sangat-sangat.

"Dah. Kak Rini kau tu dah bawa mak jumpa doktor. Ubat pun mak dah makan. Reza jangan risau, ya. Duit yang Reza pesan tu, nanti esok baru Kak Rini boleh bank in."

Reza hembus nafas lega. Hei, mak kalau nak suruh makan ubat, memang kena paksa lapan kali. Dia gigit bibir. Malunya hai, sampai terpaksa meminjam duit daripada emak dan Kak Rini.

"Dah jumpa Izzat tak?" soal si emak.

Reza gumam bibir. "Dah mak, tapi tak sempat jumpa sebab ada masalah lain pula ni. Entahkan jumpa atau tak," ulasnya sedih.

Hamidah menyusun semangat untuk si anak.

"Tak mengapalah, Reza. Dapat tengok Izzat dari jauh tu hadiah daripada Allah juga, kan? Allah tu Maha Kaya sebab sikit masa saja lagi mungkin Dia akan izinkan Reza bertemu dengan Izzat. Ada orang lain tu, anak sendiri tak dapat nak kenal, betul tak?"

"Reza ni kalau tak betul-betul, Reza rasa nak culik aje Si Izzat tu, mak."

Suara emak kesayangan terus melekat. "Isy, toksah buat kerja gila culik anak sendiri. Mak tak ajar Reza macam tu, kan? Reza kena ingat, kita ada undang-undang. Allah tu yang tahu kenapa dia pilih Reza lalui semua ni. Sabar ya, nak."

Angguk. Sabarnya sudah terlalu tinggi. Kerana sabar juga, dia telah tewas dengan perempuan bernama Nur Hannah.

"Ya, mak. Reza tahu. Reza takkan buat macam tu. Dapat tengok Izzat nanti, terubatlah sikit rasa rindu. Kan, mak?" Dia sembunyikan rasa hiba.

"Eh, mak!" Reza bulatkan anak mata. Bercahaya! Cepat sahaja dia mahu berkongsi cerita.

"Kau nak cerita apa dengan mak?"

"Selain Zahir yang kasi pinjamkan duit, Reza pinjam dengan Sara." Kali ini suaranya diperlahankan. Buatnya Sara terdengar, habislah dia. "Dia garang sebiji macam Kak Rini. Singa," bisiknya perlahan.

"Sara?" Hamidah mendengar dengan penuh setia.

"Bila Reza ada duit nanti, Reza gantikan duit kawan Reza tu. Eh... Sara?" Hamidah, kepalanya baru keluar mentol. Menyala-nyala sebab baru dicas. "Perempuan?"

"Ya, mak. Perempuan. Barulah Reza bersemangat sikit nak kerja."

"Reza kerja dengan dia?" Hati si emak tercalit rasa kerisauan.

"Ya, mak. Reza kena kerja untuk beli tiket balik dan duit belanja yang lain. Rezalah yang degil sebab tak beli tiket flight return. Kak Rini pun dah pesan banyak kali. Silap Reza juga pergi beli tiket one way aje." Reza menyatakan kekesalan dirinya.

"Duit emak dan Kak Rini tu, untuk tambah apa yang kurang. Alang-alang Reza cuti tanpa gaji, Reza teruskan saja cari Izzat dan Hannah kat sini. Kalau dah cukup haul, Reza baliklah, mak," tambah Reza lagi.

"Kau... Jangan buat macam-macam hal kat sana, Reza. Baru saja hilang beg dan duit. Ni tiba-tiba nak bekerja pula. Jangan kena tipu, sudahlah." Hamidah memegang erat telefonnya.

"Sampaikan salam assalamualaikum mak kat Sara tu. Orang dah tolong, Reza kena ucap terima kasih banyak-banyak."

Perbualan anak dan emak terus berlangsung beberapa minit. Gelak ketawa berlarutan sehinggalah Sara keluar dari dalam bilik. Cekak pinggang dan bulatkan anak mata!

"Amboi kau, kemain suka ya kau telefon awek kau? Prepaid tu aku yang bayar, okey? Jangan nak sesuka hati bergayut. Cepat sikit, cari beg kau tu," arah Sara.

Sara masuk kembali ke dalam bilik Reza untuk meneruskan misi. Beg Si Reza memang tiada di Queen Victoria Market. Sekarang, fokus utama ialah cari pula beg Reza di dalam hotelnya ini. "Aku penat kemas bilik kau ni. Kau pula boleh berseronok berborak dengan entah siapa kat luar tu. Eee!"

"Garangnya. Betullah kawan Reza tu, memang macam singa." Hamidah turut sama mengekek ketawa. Hei, dari semalam Si Reza asyik bercerita fasal kehilangan beg duitnya. Menggeleng kepala dia risaukan tentang si anak. Si Rini Rizky, kakak kembar Si Reza dah membebel tak henti-henti!

"Dia garang, tapi baik hati, mak."

"Kadang-kadang garang orang perempuan ni sebab dia nak jual mahal, Reza. Lembut sangat nanti, cepat lelaki lain jatuh hati. Biarlah garang sikit, tapi baik hati." Hamidah menjerat jiwa si anak. Hannah, bekas menantunya itu memang lemah lembut orangnya. Disebabkan perangai sebenar Hannah yang tersirat tidak dia tahu, perkahwinan Reza dan Hannah berakhir juga dengan perceraian. Sebagai mentua, dia memang tidak pernah menyalahkan Hannah juga. Reza tetap bersalah kerana gagal menjadi imam yang baik. Puas dia memujuk Reza dan Hannah untuk meneruskan ikatan suci berkenaan. Tetapi pilihan anak lelakinya harus dia terima dengan hati yang terbuka.

Reza diam. Dia faham maksud si emak. "Yalah mak, biarlah garang macam singa, Reza tak kesah pun, asalkan dia boleh bantu Reza dan bolehlah cepat Reza balik Malaysia. Tapi dalam garang-garang dia tu emak, cantik orangnya!"

"Mak dah doa banyak-banyak, Reza. Terlanjur cari Izzat tu, mak doakan Reza dapat cari calon isteri sekali," seloroh Hamidah.

"Reza lupa ke?"

Haha. Reza makin galak ketawa.

"Reza..."

"Ya, mak..."

Hamidah mengesat air mata. Libang-libu hatinya.

"Mak doakan yang terbaik untuk Reza. Apa-apa yang Reza buat, mak akan sentiasa doakan. Jaga sikit diri kat sana tu, ya?"

"Yalah, mak. Reza jaga diri. Mak jangan risau." Reza hembus nafas. Dia tahu, emak risaukan keadaannya di sini. Emak juga, sedang memberikan 'hint' kepadanya.

"Sara tu perempuan!"

"Ya mak, Reza tahu Sara tu perempuan," jawabnya dengan tawa kecil.

"Reza ingat sikit!"

"Ya mak, Reza tahu jaga diri Reza dan akan jaga bos baru Reza baik-baik. Mak jangan risau, okey?" Dia sengetkan bibir sambil tersengih sumbing.

Hamidah mengatur nafas. Syukurlah anaknya ini, setiap apa yang dia buat, setiap apa yang berlaku akan sentiasa dilaporkan kepada dia. "Reza ingat, solat dan doa banyak-banyak ya, nak. Mak doakan semua urusan Reza kat sana tu, dipermudahkan Allah."

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro