Bab 7
Bas sedang bergerak laju. Pemandangan di luar, sama sekali tidak mengizinkan dia untuk menikmatinya. Cantik macam mana pun musim semi sejuk ini, belum mampu menyejukkan jiwanya yang sedang menggelegak panas. Padang yang luas, sekawan lembu gemuk-gemuk makin asyik berkejar-kejaran. Kaki langit seperti selalu, sentiasa warnanya meneduhkan jiwa.
Sara Nur Naila sedang mencuba menerima kehadiran si lelaki di sebelahnya ini. "Kau tahu tak, aku ni ingatkan aku bolehlah terjumpa jodoh. Jodoh dengan anak raja ke, anak VVIP dari Malaysia ke, anak CEO ada banglo berharga 22 juta ke, anak hartawan rumah dan hartanah ada dua tiga biji banglo, tanah terhampar kat mana-mana."
Sara merengus lagi. Dia meluahkan lagi rasa sakit hatinya. "Ini jumpa kau. Reza Fahmy atau nama samarannya Esmael – bapak berasal dari Ethiopia. Emak pula berasal dari Abu Dhabi. Pecahkan cermin kereta aku dan sekarang mengadu tak ada duit? Macam tak masuk akal, kan?"
"Ini semua jodoh, Sara. Jodoh!" Reza tak mahu mengalah. Cakaplah apa sahaja mengenai dia. Dia akan terima apa pun yang keluar dari bibir Sara. "Aku ni harta adalah sikit, sesiapa kahwin dengan aku gerenti akan kenyang, aku bagi makan nasi banyak-banyak."
"Banyak cakap kau, kan? Jodoh segera macam ni, kau ingat aku suka?" Sara jegilkan biji matanya. "Kau ingat aku suka nak terbabit dengan kau? Kau ingat aku ada masa nak layan semua fasal kau?"
Huarghhh!
Wajah Si Reza kusut Ya Rabbi! Sara di sebelah, yang wajahnya sudah bertukar menjadi singa sedang gigit bibir sambil meneruskan sesi bebelannya.
"Kau memang bawa masalah. Tak habis-habis, kan? Eee..."
Reza terkulat-kulat. Apabila terpandang saja Sara, dia akan nampak singa. Singa betina yang sedang kelaparan mahu melahap dagingnya. Ya, Sara itu berhak untuk memarahinya. Kerana dia ini punca segala masalah kepada Sara. Marahlah apa sahaja, dia akan sedia menerima. Tetapi dia tetap tidak akan berputus asa untuk gadis ini membantunya.
"Ya. Aku janji, lepas aku balik Malaysia dan dapat duit daripada mak aku esok atau lusa, aku bayar balik duit kau."
"Masalahnya aku tak kenal dengan kau? Macam mana aku nak percaya kau? Dahlah kereta aku pun sekarang, masih ada kat bengkel. Siapa nak bayar semua tu? Aku?" Sara mula bengang.
Reza tunduk memandang lantai bas. Ah... Pedihnya hati ini, tiada siapa yang tahu.
"Mana Zahir?"
"Dia dah datang jumpa aku pagi tadi. Bagi pinjam sikit. Tapi tak cukup nak bayar duit hotel. Dia pun tengah sengkek. Tolonglah aku, Sara."
"Hei, kau ni... Kau ingat aku ni bank ke? Hah?!" sergah Si Sara.
Reza tunduk lagi. Bibirnya terus mengalunkan nada berbaur simpati. "Tak kesahlah kau nak kata kau ni bank ke, singa lapar ke, along ke... Aku sekarang hanya ada kau aje untuk tolong aku. Please, Sara." Reza meraih simpati. Berkali-kali walau maruahnya jatuh sekalipun, dia tak malu untuk meminta bantuan.
"Kalau kau nak aku bayar dengan interest dua puluh lima persen sekalipun... Aku akan bayar."
Sara diam. Eee... Stresnya! Batinnya terus menjerit-jerit.
"Kalau kau suruh aku kahwin dengan kau pun, aku sanggup!" Reza memanaskan hati sang gadis.
"Jangan nak buat lawak, okey? Kau ingat aku ni free dan sangap sangat ke nak kahwin dengan kau? Eee..." Sara tayangkan giginya. Dia menjeling Si Reza.
Reza tersengih-sengih. "Aku tall. Putih melepak dan handsome. Kalau KJ tu - tall, dark and handsome. Aku ni... Errr... Tall, fair and handsome. Kau juga yang untung."
"Eee... Menyampahlah cakap dengan kau ni. Menyakitkan hati!" Sara merengus.
Reza keluarkan beg kecil yang mengandungi kad pengenalan dan pasportnya.
"Kalau macam tu, kau pegang pasport aku." Dia renung Sara dan meletakkan pasportnya di atas riba Sara.
"Cukup? Ke kau nak simpan juga kad pengenalan aku?" Reza menghulurkan juga kad pengenalannya. "Nah."
"Atau aku sanggup aje kerja kat kedai kau. Kalau gaji yang kau bagi tak cukup untuk bayar semua hutang aku kat kau, balik aje Malaysia aku akan jual Hyundai Elantra aku dan bayar balik hutang kat kau." Reza makin terdesak. Alahai. Kesiannya hidup kau, Reza. Nak gelak pun ya, nak menangis pun ya.
Sara meluahkan rasa sakit hatinya. "Amboi, Hyundai Elantra sangatlah, kan? Kekonon bajet kereta kau kat Malaysia tu, mahallah? Setakat nak bayar hutang kat aku, jangan nak gadai kereta sangatlah! Kecik besar, kecik besar aje aku tengok kau ni, Encik Esmael oi." Dia renung kad pengenalan dan pasport yang telah Reza letakkan di atas ribanya.
"Aku ada lagi dua bulan, dua minggu saja lagi kat sini, Sara. Lepas aku jumpa dengan anak aku, aku akan balik. Lagi awal aku jumpa anak aku, lagi awal aku akan balik. Sumpah Sara, aku tak bohong dengan kau." Hibanya berlarutan. Nak menangis, dia ini lelaki. Tapi demi Izzat, dia tak kesah untuk buat apa sahaja.
Sara diam lagi. Dia tahu, Reza di sebelah ini sedang kusut yang amat. Tengoklah dahinya yang berkedut seribu, muka pun masam mencuka. Baju pun alahai pakai sauk aje. Mata pun bengkak macam tak cukup tidur. Mesti malam tadi, Reza berjalan kaki ke Queen Victoria Market mencari beg yang mungkin tercicir. Entah ceruk manalah beg duitnya.
Anak? Reza di sebelahnya ini, sedang mencari anaknyakah? Dia mula memikirkan soalan-soalan daripada mak su mengenai tujuan lelaki ini datang ke Melbourne.
"Aku ada kau aje untuk tolong aku. Nak harapkan Zahir, dia pun dapat bagi banyak ni aje." Reza seperti hilang daya. Habis sudah segala janji ditaburkan untuk Sara. Tiada sesiapa lagi yang boleh membantunya mencari Izzat dan Hannah. Kalau dengan kewangan yang berbaki AUD200 ini, berapa sangatlah untuk dia melepaskan diri untuk hidup di negara orang? Wang kertas pemberian Zahir diunjuk. Dia bukan menipu atau sengaja mencipta alasan.
Sara hembus nafas. Kepala rasa berat sungguh. Dia memandang kad pengenalan dan pasport Reza. Jemarinya ligat membelek dua benda paling penting dalam hidup Reza. Dia pusingkan sedikit bahunya dan mata helangnya terus memerhatikan Reza yang terkulat-kulat menunggu jawapannya. Apa pun status lelaki di sebelahnya ini, dia akan korek satu per satu.
Habis membelek, dia masukkan kad pengenalan dan pasport Reza di dalam begnya. Reza memerhati dan makin asyik melihat Sara yang lengkap dengan baju kurungnya. Sara ini suka sangat dengan baju kurung kain kapas. Tubuh tinggi lampai sepertinya memang sesuai sangat dengan baju kurung. Matanya jadi suka! Matanya entah jadi melekap-lekap tak mahu ketinggalan menyaksikan kecantikan anugerah daripada Tuhan ini.
Eh, eh.
"Aku simpan pasport dan kad pengenalan kau ni." Sara menjeling Si Reza. "Macam ni, kau kerja kat kedai aku. Setiap Rabu dan Jumaat jam lapan setengah pagi, kita akan berniaga dan kau kena pergi ke Caribbean Garden and Market. Lapan setengah pagi wajib ada kat sana. Ingat, lapan setengah pagi! Lepas aku habis kelas, baru aku akan datang. Berniaga kat open market tu, barang akan cepat habis. Kalau tak habis pun, jam satu petang kita dah boleh balik ke kedai semula. Faham?"
Reza terkulat-kulat. Telinga sedang cuba menerima arahan-arahan baru daripada Sara. Sara yang tadi membebel, memarahinya, garang macam singa akhirnya bertukar watak. Lembut juga hatinya untuk menerima dan mengambil dia sebagai pekerja di kedainya.
"Kau ingat tak?" soal Sara.
"Errr... Ada pen?" Dia garu dahi. "Kertas atau buku. Ada?"
"Isy, kau ni." Sara membuka zip poket begnya. Digeledah poket beg. "Nah!" Pen dan sebuah buku kecil diserahkan kepada Reza.
"Kat mana tadi?" soal Reza tanpa bersalah.
Sara tinggikan suaranya. Oktaf enam. "Caribbean Garden and Market. Jam lapan setengah pagi. Hari Rabu dan Jumaat."
"Nak pergi sana macam mana?" Dia terkebil-kebil sambil cuba menulis.
Sara gumam bibir. Dia kembali memandang Reza. Dia besarkan biji mata. "Naik kereta api Pakenham Line. Turun kat Oakleigh. Ambil bas Invicta 693 ke Belgrave dan turun kat Borg Cres. Jalan kaki lebih kurang dua ratus enam puluh meter." Pantas sungguh dia menjelaskan. Sara menahan tawanya. Benda kacang macam ni, Google pun bolehlah, Encik Esmael.
"Ya Allah, susahnya nama tempat. Tak ada nama senang macam Kedah, Melaka ke, Pahang ke?" Reza mula loyar buruk.
"Nak kerja atau tak nak? Kalau pilih tak nak kerja, sila turun sekarang!" gertak Sara.
"Okey-okey." Terkial-kial Reza menulis. Tapi sebenarnya, apa yang dia tulis pun, dia tak faham.
"Prepaid Internet ada?" Sara mula merangka.
"Dah nak habis," jawabnya jujur. Sedih sungguh bunyinya Reza.
Sara menjeling lagi lelaki di sebelahnya. "Okey. Kita pergi buat repot polis untuk semua benda dan barang kau yang hilang. Then, kita pergi beli kad prepaid Lebara. Nanti kau nak telefon aku, WhatsApp aku dan nak telefon mak kau pun senang."
Reza tarik nafas. Ingin dia peluk Si Sara, tapi dia tahu batas agama yang melarangnya. Sara sedang membantunya. Sara sedang merangka entah apa pelan seterusnya untuk dia. Suasana jadi dingin dengan tiba-tiba. Sara memerhati pemandangan di luar. Reza menanti lagi, bebelan si gadis. Telinganya hanya bersedia untuk menengadah sahaja apa yang keluar dari bibir Sara. Budak tiga puluh minit di sebelahnya sekarang, sedang menjadi kawan. Cermin kereta si gadis yang telah dia pecahkan inilah yang akhirnya membantu dia.
Ah, kalaulah mak dan Kak Rini tahu kisah sedihnya di sini, mesti mak tak benarkan dia datang ke Australia lagi. Mesti mak juga tak izinkan dia memohon untuk bercuti tiga bulan tanpa gaji. Kak Rini pula mesti akan memarahinya empat belas hari empat belas malam berturut-turut.
Sudahlah pecahkan cermin kereta orang, lepas tu pinjam duit dan datangkan masalah dengan empunya kereta.
"Aku minta maaf, ya." Reza akhirnya menghulurkan kemaafan. "Memang salah aku. Kalau aku tak pecahkan cermin kereta kau, tak jadi benda-benda macam ni. Sebab aku tak minta maaf, Allah balas balik salah aku."
"Kau tak salah, Reza. Sikit pun kau tak salah. Salah aku juga parkir kereta macam tu. Yalah, aku pun ingat kereta kau tu, kereta Batman boleh keluar mengiring ikut tepi." Sara toleh memandang Si Reza.
Serta-merta Reza ketawa. Rancak ketawanya disambung oleh Sara.
Dan dalam kerancakan ketawa itu, si lelaki sempat menilik wajah si gadis. Lekuk lesung pipit terserlah di kedua-dua belah pipi gadis berkenaan. Matanya bulat menawan. Bibir dia merah tanpa sebarang calitan. Sara yang sedang ketawa, giginya putih bersih dengan gigi seri kedua berlapis sedikit dengan gigi seri pertamanya. Hidungnya sederhana mendebarkan jiwa. Lehernya bersih, jinjang! Rambutnya juga cantik beralun, digunting kemas dengan gaya tapered bob.
Dan sekali lagi, matanya cepat dilarikan.
Reza Fahmy tiba-tiba sedang melengkapkan kata-kata si emak kesayangan.
"Haaa... Terlanjur cari anak kat sana, Reza carilah calon menantu baru untuk emak. Takkan tak ada orang Malaysia kat sana. Untung-untung baik orangnya. Biar yang sedap mata memandang. Mak doa hari-hari, Reza oi!"
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro