Bab 6
"Mak su!" Sara mengetuk-ngetuk pintu bilik.
Haslinda di dalam bilik yang baru saja menarik selimut, membuka matanya. "Mak su nak tidurlah."
"Ala mak su, bukalah kejap pintu ni. Ada cerita best ni. Awal lagilah kalau mak su nak tidur. Temanlah Sara kejap. Kita borak-borak." Sara merengek-rengek macam budak kecil.
"Kalau fasal ramai orang datang kat kedai, tak payah cerita. Hari-hari benda yang sama aje." Dia pusingkan tubuh badannya yang enak bersalut selimut ke kiri. Lampu di luar, membantu dia dapat melihat bayang-bayang si anak saudara di luar biliknya. "Esoklah cerita!" jeritnya lagi.
"Bukan fasal kedailah. Ni fasal Esmael... Eh, silap. Fasal Reza!" Sara tepuk dahi. "Tengok, Sara pun tersasul panggil dia Esmael. Isy!"
"Haaa... Esmael?!" Nama klasik itu sahaja yang melekat di hujung minda kala ini. Haslinda tanpa berlengah terus menolak selimut, bangun dan laju ayunkan kaki ke suis lampu utama. Bilik sudah terang-benderang. "Ini cerita paling best abad ni. Asal kau tak cakap awal-awal dari tadi?" Haslinda dengan cepat membuka pintu.
"Fasal Esmael, kan?" Mak cik saudara lebih teruja.
"Rezalah, mak su. Reza. Nama dia Reza." Sara membetulkan lagi nama panggilan lelaki berkenaan.
Jemari Haslinda terus laju menarik Si Sara. Dua-dua sedang duduk bersila di atas katil.
"Haaa... Okey-okey. Reza ke, Esmael ke... Yang penting mak su nak dengar cerita daripada Sara fasal dia."
"Amboi, kalau fasal lelaki, cepat aje kan kita." Sara membetulkan duduknya.
Haslinda mengekek-ngekek ketawa. "Sebabnya, Sara ada kawan baru. Tu yang mak su so excited nak tahu dan nak dengar."
"Dia teman Sara kat kedai tau. Tolong layan customer dan jualkan barang-barang kedai Sara. Banyak juga yang laku malam ni."
"Macam mana tiba-tiba Esmael tu boleh dia ada kat sana?" soal si mak cik saudara.
"Skodeng Sara. Dia jadi CSI tau."
"Amboi dia. Sara tak tanya ke duduk sini berapa lama?"
Berkerut-kerut dahi Si Sara. "Ala, tak sempatlah, mak su. Dia datang pun secara kebetulan, nampak dia terhendap-hendap kat kedai sebelah. Lepas tu, sambil terhendap-hendap tu, dia boleh pula tersembam jatuh. Dia ingat, Sara tak perasan agaknya. Padan muka dia." Tawanya meledak entah sudah berapa kali.
Haslinda dengan bahunya, menolak bahu Si Sara. "Eceh, nampak gaya macam berjodoh. Kan? Kan?"
"Jodoh sangatlah sampai habis pecah cermin kereta Sara. Encik samseng tu entah-entah saja nak pujuk Sara. Kena bayar berapalah cermin kereta tu esok. Ada udang di sebalik mi, entah-entah Sara kena bayar sendiri." Sara rancak bercerita sambil menyelitkan pantun dua keratnya.
"Memang mak su suka makan mi. Maybe dia intip Sara sebab nak say sorry!" Pantun berbalas-balas sesama mereka.
Sara mencebik. "Sangatlah!" Dia terus bangun dan cepat-cepat mahu keluar.
"Hei, hei... Belum habis cerita lagi. Tak sampai lima minit kita sembang. Ala, ceritalah lagi." Haslinda bercekak pinggang.
"Kita tengok esok, apa yang terjadi." Sara jongketkan kening kiri.
"Nanti Sara tanya dia, datang Aussie ni berapa lama dan dia buat apa? Tanya tau," tambah Haslinda.
Sara di depan pintu mak sunya, memusingkan tubuh. Gigit bibir dan sepasang matanya terus menjamah wajah kesayangan. "Then?"
"Just friends!" Haslinda positifkan diri. Bukanlah dia terdesak sangat sampai mana-mana lelaki yang mula dekat dengan Sara, mahu dikenenkan. Bagi dia, terlanjur mengenali apa salahnya berkawan. Kerja Tuhan, mana mungkin untuk dia tahu.
Sara ukirkan senyum. Dia kenyitkan mata. "Yerp, just friends. Good night, mak su!" Sara perlahan-lahan menarik tombol pintu. Dia berdiri lama di depan pintu bilik mak sunya. Minda ligat memutar pertemuannya tadi dengan Reza.
"Sara!"
Sara menggosok-gosok matanya.
"Siapa ni?"
"Akulah. Ni, aku... Reza!"
Rambutnya yang kusut-masai, menggerbang macam hantu dibetul-betulkan. Air liur basi dilap-lap dengan jemari.
"Haaa... Apa?"
"Duit aku dengan kad kredit aku hilang. Beg aku pun hilang. Semua hilang!" Reza gelisah di dalam bilik. Zahir, sahabatnya tak angkat-angkat telefon. Jadinya, dia hanya ada nombor telefon Sara sahaja untuk membantunya. Mujurlah peti telefonnya masih menyimpan nombor cik gadis tiga puluh minit.
"Pasport kau?"
Suara di sana layu. "Pasport nasib baik, selamat. Sebab aku selitkan kat beg yang lain. Haaa... Lagi satu, kad pengenalan dengan lesen memandu aje yang ada. Itupun sebab aku simpan kat seluar poket aku."
Dia hembus nafas lega.
"Kad pengenalan tak berguna sangat pun kat sini, Reza. Tapi kau dikira selamat dan beruntung sebab pasport kau dan lesen memandu masih ada. Itu benda paling penting kat sini." Sara hembus nafas lega.
"Hei, selamat kau kata? Aku beruntung? Habis tu, duit aku semua macam mana? Kad-kad bank aku pun semua hilang, dan hanya tertinggal satu aje. Aku rasa, duit aku hilang masa aku jatuh kat Queen Victoria Market sanalah."
"So? Kenapa kau call aku? Kenapa nak marah-marah aku? Dah nak hilang, habis kau nak suruh aku buat apa? Kau call aku tengah malam ni just nak cakap fasal duit kau hilang aje?" Sara mula bengang. "Macam-macam betullah kau ni. Bermasalah tak habis-habis!"
Reza gelengkan kepala. Biliknya bersepah seperti dilanda ribut taufan. Habis tunggang-langgang macam kapal pecah! Setinggi mana marah Sara, dia harus bersabar banyak-banyak.
"Aku tak ada sesiapa kawan kat sini kecuali Zahir dan kau. Zahir dan kau aje. Kau dan Zahir. Zahir dan kau," ulangnya berkali-kali.
Sara diam. Zahir? Oh, mesti kawan Reza kat Shepparton tu. Dia sengetkan bibir. "Call Zahir! Aku tak ada masa nak layan kau."
Pantas! Klik! Reza terlebih dahulu meletak telefon. Dan telefon dipandang sepi tanpa ada rasa. Sampai hati kau, Sara.
Sara terkebil-kebil. Arghhh! Sara menolak semua bantalnya ke bawah. Rambutnya ditarik-tarik kembali. Menggerbang semula macam hantu Kak Limah.
"Kenapa? Kenapa perlu aku jumpa dengan lelaki bermasalah macam ni? Arghhh!" jeritnya dengan kuat. Sara terus bangun masuk ke dalam bilik air. Almari klasik comel yang telah dia pasangkan di dinding bilik air dibuka. Bedak sejuk yang dibuat oleh mak su, diambil. Beberapa titik air dicurah di atas telapak tangan. Bedak sejuk yang kian sebati dengan air direnung. Perlahan-lahan dia menepek si bedak sejuk di muka sendiri. Sara panggung kepala dan pandang cermin.
"Arghhh!" jeritnya tiba-tiba.
"Ah, Sara. Hantu kat cermin ni, kau. Kau, Sara!" sergahnya sendiri sambil terus keluar dari bilik air. Bantal-bantal yang berterabur di lantai, dikutipnya. Disusun kembali di atas katil dan dia terus kembali mencampakkan diri di atas tilam empuk.
Matanya terkebil-kebil. Dia kembungkan pipi. Ah, kereta aku! Sambil pejamkan mata, dia geleng-gelengkan kepala.
"Ah... Kenapa pula duit kau boleh hilang waktu-waktu macam ni?"
"Aishhh..." Sara gigit bibir.
Stres! Stres!
"Eh, kenapa ni? Masam aje?" Haslinda memerhati Sara.
"Kita naik teksi ajelah pagi ni. Reza tak dapat ambil sebab kereta sewa tu, dia dah pulangkan. Petang nanti, Sara akan ambil kereta. Okey ya, mak su?"
"Okey aje. Mak su tak kesah pun. Kalau macam tu, apa kat lepas ni, kita beli lagi sebuah kereta. Kalau emergency macam ni, senanglah sikit. Okey tak, Sara?" soal Haslinda tiba-tiba.
"Sara boleh aje naik bas macam biasa, mak su. Tak payahlah fasal ni sampai mak su siap nak beli kereta. Kita akan banyak berjimat, kan?" Sara membidas saranan Haslinda.
"Isy, mak su ni fikir sampai ke depan tau, Sara." Haslinda terus memasang impian. "Kalau Sara kahwin, Sara mestilah nak kena ada satu lagi kereta."
"Mak su ni. Sampai ke situ pula dia."
Melihatkan Sara yang kurang bersemangat, dia mendiamkan sahaja idea untuk mereka membeli kereta baru.
Sara menyapu mentega di atas roti. Gula perang ditabur perlahan-lahan. Sambil mengunyah dia mulakan sesi luahan. "Sara sebenarnya lebih suka kita ada satu kereta. Lebih selesa Sara naik bas kalau jadual kita tak sama. Okey kan, mak su? Lepas tu kan, mak su... Duit Reza hilanglah, mak su. Dia call Sara tengah malam tadi."
"Haaa? Hilang? Habis... Pasport dia macam mana? Eh Sara, pasport itulah, menatang paling bernyawa kalau kita pergi travel ke negara orang. Kalau hilang, macam boleh putus nyawa tau."
Sara meletakkan baki roti di atas pinggan. "Pasport Reza tak hilang. Nasib baik benda yang penting tak hilang. Dia mengadu duit dia aje yang hilang. Malas layan dia, sebelum letak telefon, Sara marah Si Reza tu. Kenapa dia nak call Sara? Call la Zahir ke. Isy, serabutlah. Sara ni berserabut sebab Sara tengah fikir fasal kereta tau. Tiba-tiba pula dia call dengan masalah baru. Tak habis-habis asyik mendatangkan masalah betul Si Reza tu."
Haslinda meneliti wajah Sara. "Kalau betul duit dia hilang macam mana? Dan kalau betul dia sekarang hanya ada Sara dan kawan dia Si Zahir tu, macam mana? Mungkin dia dah call Zahir. Tapi dah malam kan, orang lelaki ni kalau dah tidur, campak bom pun takkan bangun."
Sara pandang mak sunya lama-lama. "Sara tak akan percaya. Alasan dia tu lapuk tau. Klise!"
"Mesti dia tengah kusut. Kita pun belum tahu sebab dan atas alasan apa dia datang ke sini. Kesian dia, Sara. Kalau Sara nak guna duit, guna dulu duit mak su." Haslinda cepat-cepat mengambil tas tangannya.
"Kita tengah hadap rezeki ni, jangan stres-stres. Nah." Beberapa keping wang kertas dihulurkan untuk si anak saudara.
Sara masih diam. Gelengkan kepala.
"Tak apalah mak su, Sara ada duit dan mak su tak payah risau. Okey?" Secangkir kopi di dalam cawan, dihirup perlahan. Dia letakkan kembali si cawan.
Sara bangun, mengambil dua bekas Tupperware berwarna biru dan mula memasukkan nasi goreng sebagai bekalan. Jemarinya pantas memasukkan bekas berkenaan di dalam dua buah beg kecil. Dia bergegas pula mencari buah-buahan di dalam peti sejuk.
"Mak su nak buah apa? Epal merah or epal hijau. Ermmm, anggur pun ada ni."
"Errr, give me an apple, please. With the green colour." Dia memerhati si anak saudara.
Sara segera mencapai pula si epal di dalam peti dan seperti biasa, memasukkan ke dalam beg untuk dia dan mak su. Sekelip mata kemudian, dia dengan pantas mengemas meja.
Haslinda hanya memerhati. Dia tahu, Sara dilanda kekusutan. Dia juga tahu, Sara semakin segan mahu menerima duit daripada dia. Sara, Sara! Dan masalah seorang lelaki bernama Reza a.k.a Esmael itu kini sedang melilit di kepala si anak saudara.
Dia bangun dari meja dan mendapatkan Sara. Sambil mata meneliti susuk tubuh Sara di depan singki, dia perlahan-lahan menasihati. "Kalau betul Reza tu dalam keadaan yang susah, Sara kena tolong dia tau. Bila lagi nak kaut pahala. Bila lagi Sara nak tolong orang yang sesak macam tu. Kalau dia tipu, dia berdosa. Mak su nampak, dia pun baik budaknya. Kalau jahat, dia tak datang ikut Sara sampai ke kedai. Kalau dia jahat, dari dalam kereta masa pergi Shepparton, dia dah apa-apakan Sara. Kalau dia jahat, dia tak bawa kereta Sara sampai ke bengkel... Dan..."
"Kalau dia jahat, dia takkan hantar Sara sampai ke rumah. Kan?" Sara pusingkan tubuh. Mencari tuala yang digantung di dinding dan jemari basahnya dilap agar menjadi kering.
Jarum masa dan saat kini bersatu di hujung mata. Sara menjamah wajah mak su kesayangannya. "Sara tetap takkan tolong dia, kecuali..."
"Kecuali apa?"
"Kecuali dia ada kat depan rumah kita pagi ni. Baru Sara akan percaya!"
"Sara!" Haslinda menjerit dengan kuat.
Gelak ketawa Sara memecah kesunyian.
"Ngek!" Haslinda mencebik dan kakinya berayun laju-laju ke ruang tamu. Kot yang tersedia rapi di atas sofa, diambil. Sara yang masih dengan sisa ketawanya, menuruti langkah Haslinda.
"So, hari ni Sara ada kelas ke?"
Sara mengambil begnya yang tersedia di kerusi. Dia anggukkan kepala. "Ada. Lepas kelas aje, Sara nak pergi ambil stok barang kat Michael. Sara rasa macam akan balik lambat sikit hari ni." Sara bercerita secara ringkas mengenai jadual hariannya. Kaki sama-sama berayun dan bergerak ke pintu utama.
Haslinda mendahului, membuka pintu dan matanya terbelalak besar. Jeritannya memeranjatkan Sara.
"Sara!"
Haslinda terus memakukan matanya melihat susuk tubuh seseorang di anak tangga rumah mereka.
"Haaa... Kenapa, mak su?" Sara lekas mendapatkan mak su dan melihat ke luar.
Dia ternganga. "Esmael!"
Reza pusingkan tubuh. Matanya terus menerkam wajah si gadis, lebih tepat empunya nama Sara Nur Naila.
Pandangan mereka bersatu. Sara terkebil-kebil macam tak percaya.
Haslinda mengalih bola matanya dan menjeling si anak saudara. Dia naikkan kening dan mengulangi semula apa yang telah Sara janjikan.
"... Kecuali Reza ada kat depan rumah kita pagi ni. Baru Sara akan percaya. So, Sara dah percaya, kan?"
"Hai, Sara. Good morning, dear!" Reza yang sedang memeluk tubuhnya, lengkap dengan jaket berwarna hitam, mengangkat lima jemari. "Esmael. Saya Esmael, ingat tak?" Kah!
Senyum, Reza. Senyum! Reza segera menayangkan barisan gigi putihnya.
Rahang Sara sudah jatuh ke bawah!
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro