Bab 1
Prolog
Burung-burung berterbangan. Kaki langit kelihatan sangat cantik. Pohon hijau meneduhkan bumi dan bunyi-bunyian di persekitaran amat menyamankan telinganya.
Bangunan tersergam indah bersama warna langit yang membahaskan bahawa cuaca sangat cantik hari ini untuk kau dan semua manusia menikmatinya. Dia meneliti video yang sempurna dihasilkan. Editing kemas. Tip top. Reza memeluk tubuh seraya jongketkan keningnya.
"Kau shoot kat mana ni? Kau pergi jumpa mat salih mana? Kenapa aku tak tahu?" Dia menyoal Imran. Matanya makin cekap memandang kawasan persekitaran. Beberapa orang wanita, lelaki dan kanak-kanak semuanya berkulit putih menarik perhatian.
"Laaa... Penat betul aku cakap kat kau, kan." Imran gelengkan kepala berkali-kali. Dia menjeling Reza. Sahlah mamat ni pelupa. Yalah, banyak sangat masalah dengan Hannah, cetus hatinya.
"Aku baru aje balik from Melbourne. Siot, cantik teruk pemandangan kat sana. Kau kena pergi sana nanti, Reza."
"Buat apa aku nak pergi sana? Buang masa apply visa. Kau pun tahu, visa kau berapa kali kene reject." Reza memerhati lagi video yang dirakam oleh Imran. Padu betul setiap sudut yang Imran ambil.
"Budak-budak yang petik buah, kerja haram kat sana punya fasal, kau kena apply visa sampai lima kali. Kah!"
"Kau kena pergi sana, bro. Mana tahu jodoh sebenar kau memang ada kat sana ke, kan?"
"Kau nak bagi aku ada masalah lagi dengan Hannah? Gila ke apa?"
Imran ketawa. "Hannah jodoh kau kat sini. Kat sana jodoh masa depan. Siapa tahu, kan?"
Reza gumam bibir. Malas mahu melayan Si Imran yang kepala otak boleh tahan tiga suku, dia mula memberi komen mengenai sisi video hasil editing Imran, "cantik video kau."
"Aku belajar semua ni daripada kaulah, Reza. Kau kan sifu aku," ulas Imran.
Reza menyengih. Selebihnya, dia lebih tertarik dengan video Imran yang memaparkan seorang gadis yang sedang duduk dan memerhatikan tasik nan luas di hadapannya. Paduan warna biru dan hijau menjadikan tasik berkenaan cukup menenangkan perasaan.
"Kenapa kau ambil gambar dia dari belakang? Kalau ada satu muka dia daaa tiba-tiba muncul dan pandang kamera kau mesti lagi cun."
"Lima hari aku kat situ, tiap-tiap hari aku nampak. Tapi tak pernah nampak muka dia sebab dia sentiasa pandang depan dan menghala ke tasik. So, aku gabungkan video dia hanya dari belakang dengan baju dan gaya yang berlainan. Kau tengok." Imran semakin khusyuk memerhatikan semula video yang menarik minat sahabatnya ini. Reza kembali menekan punat Play.
Reza jongketkan keningnya. Tersengih. Dia semakin berpuas hati dengan hasil kerja sahabatnya ini.
"Good job. Nanti lepas kau touch up, masukkan voice, bagi aku satu salinan. Aku nak simpan sebagai kenangan."
Bab 1
Sara Nur Naila mengunyah roti. Haslinda yang duduk di sebelahnya sibuk membaca sebuah buku. Duduk di dalam tram ini, sangatlah selesa. Meskipun selalu sahaja padat dengan penumpang dan walaupun sudah berpuluh-puluh tahun usia tuanya, ia tetap menjadi kebanggaan warga kota asal penduduk di sini. Sesekali Sara membawa sepasang matanya menyaksikan keindahan dan kedinginan kota Melbourne.
Ah, musim sejuk kembali lagi. Angin yang dingin, menyejukkan dan sesekali bila tidur bersama gebar tebal, nyamannya terasa betul. Subhanallah! Beg yang dibawanya direnung. Habis tiga buku roti bersalut coklat ditelannya. Beg kesayangannya ini, memang setiap hari akan penuh dengan makanan. Stok roti, coklat, badam dan kismis memang penuh di dalam beg. Bak kata mak su, Sara ni memang kuat makan. Badan kurus, tapi ada saka!
Dia makin ralit memerhati alam sekeliling. Musim sejuk di Australia, warna langitnya membiru, udaranya sejuk menyamankan. Kesegarannya selalu membuatkan dia suka dengan semua keindahan yang muncul di depan mata. Kalau nak lihat salji, kenalah pula dia dan mak su pergi Snowy Mountain. Kalau kempunan sangat, dia selalu paksa mak su kesayangannya bersama jelajah Mount Buller di Victoria sana. Itulah yang dia selalu sangat ralat sebab jadual mak su sangat padat. Kadang-kadang setahun sekali, barulah dia dapat merasa menjelajah ke tempat-tempat yang boleh mereka ukirkan orang salji. Itulah musim yang Sara suka. Kan mak su, kan? Sara mula bersoal jawab dalam hatinya.
Dia toleh melihat si mak cik saudara. Lengannya menolak lengan Si Haslinda.
"Hei, mak su ni. Asyik baca novel aje. Cuba mata tu tengok sikit keindahan alam. Tengok pakwe handsome ke. Yang mata coklat ada, mata biru ada, mata hijau pun ada. Rugi-rugi!" Sara geleng kepala.
Sambil mengunyah, dia membebel-bebel.
"Mak su oi, dengar tak ni? Mak su kata nak cari calon. Tapi sampai sekarang, mak su tak kenalkan dengan Sara. Yang Sara kenalkan dengan mak su, semuanya mak su tak berkenan kan? Eee, stresnya!"
"Sara, mak su tengah syok baca novel ni tau. Jangan kacau boleh tak?" Haslinda khusyuk lagi membaca.
Sara mengekek-ngekek ketawa. "Ada yang badan ala-ala tough gitu. Jambang ada, misai ada, janggut ada, yang botak ada, yang boroi ada. Mak su pilihlah yang dalam tram ni. Sara boleh matchmakerkan."
Haslinda menyelak helaian seterusnya. Si Sara ni, kalau tak membebel, tak sah!
"Mak su tak minat semua jenis lelaki macam tu. Tak nak dan tak hingin. Baik baca novel ni."
Sara tepuk dahi sendiri. Mata terkebil-kebil. Dia gigit bibir. Dah lima orang lelaki dia kenalkan dengan mak su kesayangannya ini. Semuanya tak kena di mata dan tak melekat dalam jiwa.
"Hurmmm, kalau macam tu, Sara kenalkan mak su, Pak Mat Tempe belakang rumah tu. Pakai kain pelekat, ada tongkat dan misai terlentik. Macam tu agaknya yang mak su berkenan. Asyik dengan buku aje, kan? Eee, menyampahnya!"
Haslinda tutup novelnya. Dia besarkan biji mata.
"Pak Mat Tempe?"
"Haah, yang muka kemik, hidung ada lubang dua, mata sepet sebelah dan ngeh ngeh ngeh bunyi ketawa dia tu." Sambil membayangkan wajah Pak Mat Tempe, Sara hamburkan ketawanya.
"Eee... Kau ni kan, Sara. Kalau tak sakat aku tak boleh, kan?"
Sara sambung sisa ketawanya. "Bencilah. Kata nak jalan-jalan, asyik dengan novel dia aje. Simpanlah dulu buku tu, mak su oi. Kata nak pergi makan kat Norsiah's Kitchen."
Novel kegemaran dimasukkan ke dalam beg galas. Haslinda akhirnya membalas senyuman si anak saudara.
"Baiklah, Cik Sara. Tapi dengan syarat, hari ni Sara belanja mak su makan."
"Small matter la, mak su. Untuk mak su, Sara akan belanja sampai perut kita berdua kenyang." Sara menayangkan giginya yang tersusun cantik.
"Mak su nak makan apa? Oder aje, Sara akan bayarkan."
Haslinda membawa matanya menyeluruhi bandar raya Melbourne. Keindahan bandar yang sudah menjadi daerah dalam hati, ditatapi lagi. Sara yang masih selesa di sebelahnya makin galak mengunyah makanan yang dibawa. Anak buah kesayangannya inilah yang sekarang menemani masa-masanya di Melbourne.
Sara.
Sayangnya melimpah untuk Sara. Kasih dan cintanya juga satu sahaja kini untuk Sara. Sara dan dia, sudah bertahun-tahun duduk di sini. Sudah lama dia membela Sara. Si gadis itu membesar bersama kenangan yang melimpah di hujung mata.
Haslinda perbetulkan duduknya. "Okey, kalau begitu kan... Pak Mat Tempe tu sekarang ada kat mana? Jom, bawa mak su jumpa dia."
Sara berhenti mengunyah. Dia memerhati si mak cik kesayangan. Terkebil-kebil biji mata sambil bibirnya rancak menyambung kunyahan. Kali ini, coklat yang mak su belikan untuknya pula menjadi santapan anak tekaknya.
"Isy, mak su ni. Ambil serius pula. Pak Mat Tempe tu, ada kat Malaysia. Kita kena balik sana dan cari dia!"
"Tengok!"
Haslinda suka sangat menyakat Si Sara.
"Haaa, bila mak su serius, Sara pula yang tak serius. Mak su ingatkan Pak Mat Tempe tu betul-betullah ada kat Melbourne ni."
"Kalau ada betul-betul, macam mana?" Sara bulatkan biji mata. Dia peluk tubuh.
"Bawalah dia jumpa mak su."
Sara betulkan anak rambut yang jatuh di dahi.
"Mak su ni, kan. Tak pernah nak serius, kan? Mak su... Umur mak su tu, lagi dua tahun nak masuk empat puluh lima. Sebelum Sara kahwin, mak su kena kahwin dulu."
"Ingat senang ke nak cari lelaki yang sudi jadi suami mak su ni?" Haslinda mencebik.
Sara tangkas memeluk bahu mak cik saudaranya. Dia selalu bertanya sendiri, bilalah mak su mahu menjalinkan kembali ikatan suci dengan seorang lelaki bergelar suami. Tahun pertama dia menemani mak su, pak su meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya di sini.
"Senanglah, mak su oi. Yang penting kan, dia terima mak su seadanya. Biarlah yang usia pun sama macam lebih kurang mak su juga. Baik hati, hormat mak su sebagai isteri dan yang penting kena handsome. Kan?"
"Errr... Sara nak carikan? Dia pun belum ada calon, ada hati sangat nak carikan calon untuk mak su. Sara ni macam presiden Kelab Cari Jodoh aje. Kan?"
Sara semakin galak ketawa. "Bukanlah bermakna Sara kena carikan. Apa kata, kita cari aje calon sama-sama. Sara cari untuk mak su. Mak su carikan untuk Sara." Sara mula memasang angan-angan.
"Bukan mak su tak fikir pun fasal kahwin. Kalau kawan-kawan mak su tanya, mak su akan jawab, biarlah masa menentukan. Banyak benda tau nak fikir bila dah kahwin lagi sekali ni. Nanti, kita tak lagi boleh habiskan masa berdua macam sekarang. Mak su ni, doakan untuk Sara aje. Biar Sara dulu yang bertemu jodoh."
Sara gumamkan bibir. Mak su, seperti yang dia tahu memang akan memberikan jawapan yang sama dari dulu. Kalau Sara kata A, mak su akan jawab B. Kalau Sara pula kata B, mak su akan jawab pula A.
"Ala, mak su. Kalau Sara kahwin pun, Sara akan tetap habiskan masa dengan mak su. Pilih suami ni kacang ajelah." Sara menjeling mak sunya.
"Ingat pilih lelaki ni, macam pilih ikan?" Haslinda sengih. Mengiakan saja saranan si anak buah.
Sara garu pula dahinya yang tidak gatal. Dia telan air liur. "Lelaki ni mak su, memanglah kita kena pilih macam pilih ikan. Sesekali kita kena cari dan beli yang auwww ikan jenis mahal-mahal tu. Macam ikan salmon tu, ikan tenggiri dan ikan merah tu. Stok ikan-ikan murah macam ikan kembung tu, jangan beli."
"Amboi-amboi, demand nampak. Ikan kembung tu kalau pilih yang segar, manis okey!" Haslinda tersengih.
"Ni contohlah, mak su. Tapi Sara memang nak cari stok-stok lelaki macam gitu. Yang dalam seribu orang, hanya dia satu yang mampu mencairkan hati Sara. Kalau dia senyum, Sara rasa dup dap dup dap..."
Sara menekan-nekan dadanya. "Rasa terbabas, bergolek-golek jantung ni, noks!"
Haslinda hamburkan ketawanya.
Sara membetulkan rambutnya. Angin yang sepoi-sepoi bahasa sesekali menerbangkan rambutnya. Tram bagaikan hak milik mereka berdua. Gelak ketawa berhambur sakan! Hore! Hore!
"Satu lagi kan mak su, biar dia suka kat kita. Biar dia separuh nyawa nakkan kita. Jangan kita terhegeh-hegeh nak kat dia. Please, nak mengurat jangan bagi bunga atau coklat. Taktik tu sangat lapuk, okey! Sara tak mahu. Style lama, jangan harap I nak pandang. No! No!" Jari telunjuk dan bahu Sara bergoyang-goyang.
"Habis tu, Sara nak suruh dia bagi apa?"
Sara mengunyah lagi coklatnya. Mulut penuh dengan isi coklat yang lazat dan menyambung lagi angan-angan. "Sebuah pulau indah. Helikopter. Jet peribadi boleh pergi Hong Kong, boleh pergi Mongolia. Boleh pergi London, Paris dan semua tempat shopping. Kan. Barulah ada class!"
"Kau sangat berangan, Sara!" Haslinda lupa dia di dalam tram. Gelak si mak cik yang sudah lama menjanda ni, memang la kalau orang-orang tua kat Malaysia nampak, akan dicantas awal-awal dari jadi calon menantu. Hei Sara ni! Kalau datang perangai gilanya mengusik dia itu dan ini, memanglah perutnya tak akan dapat ditahan dari ketawa.
Dan... Di belakang mereka, Reza Fahmy menggeleng-gelengkan kepala. Tram terasa meriah dengan gelagat si gadis cantik. Tambah menggelikan hati melihat si 'kakaknya' yang turut sama melayan. Sesekali matanya mencuri memandang susuk tubuh sang gadis. Hati lelaki bagaikan tertarik untuk ke depan. Mahu sekali dia melihat wajah si gadis yang asyik mengunyah dan membebel tak tengok siapa yang ada di kiri dan kanannya. Ah, semakin ramai pula penumpang di dalam tram ini.
Gelak ketawa si gadis dan mungkin si kakaknya akhirnya diam beberapa minit apabila ditegur oleh seorang lelaki separuh usia. Sampai di sebuah stesen, akhirnya kedua-dua mereka turun. Gelak ketawa kembali bersisa. Meski ditegur, tetap bersambung gelagat mereka! Tak makan saman betul! Ekor matanya hanya sempat memerhati jenis beg si gadis dan rambutnya sahaja. Dan bila kedua-dua mereka menuruni tram, matanya dengan cekap memerhati cik gadis yang berlari-lari anak mengejar wanita di hadapannya.
Reza ukirkan senyuman mahalnya.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro