Bab 58 - Proposal: Novel kepada Drama TV
Assalammualaikum w.b.t dan salam sejahtera.
Bagaimana dengan tajuk di atas? Mengujakan, atau klise? Sejujurnya saya tidak pernah terfikir untuk membawa karya-karya saya ke pentas layar. Saya menulis, bercerita kerana suka bermain dengan bahasa. Bila masuk ke pentas layar, setiap kata-kata di dalam karya akan diubah dan disesuaikan mengikut percakapan. Bukan lagi susunan ayat-ayat yang boleh ditulis panjang dengan bahasa sastera yang memiliki dua makna – tersirat dan tersurat.
Jika ada pun pentas layar yang memperjuangkan bahasa di dalam cerita, ia bergantung pula kepada penerbitnya. Iaitu orang yang akan mengeluarkan wang bagi mengadaptasi cerita ini. Jika mereka memandang kepada kehendak penonton semata-mata, yang inginkan karya membelai jiwa, memang cerita dan hala tuju cerita akan berubah.
Tetapi, jika penerbit 'sekepala' dengan kita (penulis) dalam menetapkan hala tuju cerita, itu lebih baik. Malah, dengan kreativiti dan pemilihan pelakon yang tepat, karya adaptasi novel kepada layar pentas akan menjadi lebih gah. Jika tidak, ia akan berlaku sebaliknya.
Bercerita tentang karya novel yang diadaptasi kepada drama, saya telah dihubungi oleh pihak penerbit untuk saya menyediakan proposal drama bagi novel pertama saya, 'Cantik'. Memang terkejut. Lebih-lebih lagi bila deadline yang diberikan sangat singkat. Kurang daripada seminggu.
Saya pula, memang tidak tahu langsung tentang format proposal bagi mengadaptasi novel kepada drama, walaupun saya dulu adalah pelajar daripada Fakulti Komunikasi Massa yang ada di antara subjek yang ditawarkan adalah 'Penulisan Skrip'. Sebab saya tidak memilih subjek 'hot' ini (yang semua orang berebut nak pilih), maka ilmu itu tiada pada saya.
Penulisan skrip dengan penyediaan proposal adaptasi adalah dua perkara yang berbeza. Tetapi, masih berkait lagi. Di entri kali ini saya fokus kepada proposal sahaja. Baik, kita mulakan.
Apa yang perlu ada di dalam sebuah proposal untuk mengadaptasi novel kepada drama? Ini senarainya:
1) NAMA STESEN TV
2) KATEGORI – Telemovie, Drama bersiri, Drama rantaian, Sitcom, Dokudrama, Dokumentari dan sebagainya.
3) SLOT – Samarinda, Akasia, Lagenda, Cerekarama, Citra, Nurani dan lain-lain.
4) TAJUK – Perlu dijelaskan judul cerita dan maksud di sebalik judul tersebut. Tajuk yang dicadangkan perlulah menarik.
5) DURASI – Sama ada ia satu episode X 90 minit, 24 episod X 1 jam, 25 episod X 30 minit dan sebagainya.
6) GENRE – Semi Komedi, Drama berat, Drama ringan, Komedi romantic, Sejarah dll.
7) SASARAN – Sama ada umum, Remaja, Kanak-kanak dll
8) PENULIS SKRIP – Jika perlu, nyatakan juga anugerah yang pernah dimenanginya.
9) PENGARAH – Cadangkan nama pengarah. Lazimnya perkara ini perlu dibincangkan dengan pihak penerbit (yang akan mengeluarkan wang untuk penerbitan)
10) SINOPSIS – Sinopsis lazimnya satu hingga dua para sahaja tetapi perlu tepat dan padat.
11) PERWATAKAN – Nyatakan watak utama dan watak pembantu. Kelazimannya lima orang untuk telemovie dan tujuh hingga lapan orang untuk drama rantaian /bersiri.
12) SINOPSIS KESELURUHAN – Nyatakan keseluruhan cerita dari awal hingga akhir. Lazimnya di antara enam muka surat sehingga ke-10 muka surat.
13) SINOPSIS EPISOD – Tulis sinopsis setiap episode jika drama tersebut adalah drama rantaian / bersiri.
14) KESIMPULAN – Nyatakan mengapa karya ini perlu atau wajar diterbitkan dan apa yang menarik tentang cerita ini.
Wah, banyak bukan perkara yang perlu diberi perhatian! Saya mengambil masa satu hari setengah untuk menyiapkan proposal ini. Alhamdulillah ia diminta pada bulan puasa, jadi saya tidak terikat untuk aktiviti memasak makanan buat keluarga.
Masa yang ada di siang hari, saya gunakan untuk fokus menyediakan proposal ini bagi karya pertama saya. Apa yang tersenarai di atas adalah standard yang diberikan kepada penulis dan penerbit buku untuk dijadikan panduan.
Saya sediakan bahagian saya, iaitu yang melibatkan cerita. Bahagian pemilihan pengarah, penerbit, stesen tv dan slot, saya serahkan kepada pihak penerbit. Semua perkara di atas agak mudah saya lakukan kerana telah tersedia awal semasa saya menghantar manuskip kepada pihak penerbit untuk karya diterbitkan sebagai buku.
Cuma ...
Yang menjadi kesusahan kepada saya, adalah di bahagian sinopsis episod. Dan saya bayangkan, episod ini seperti bab. Karya pertama saya bukan hanya ada 20 bab, tetapi lebih 50. Banyak! Pada waktu itu saya sudah pening. Takkanlah nak selak satu demi satu bab kembali, dan menukilkannya semula dalam bentuk ringkasan cerita?
Dan, saya tidak percaya yang pihak penerima proposal ini akan membaca jika sinopsis tersebut ditulis panjang. Maka, saya hubungi rakan sekuliah saya dahulu, yang memang terlibat dalam dunia penyiaran. Saya tanyakan padanya contoh sinopsis episode. Saya ingin melihat yang sebenar.
Alhamdulillah, rakan saya bagi contoh. Tapi, hanya sikit sahaja. Sebab, menjadi satu kesalahan baginya untuk screenshot gambar proposal drama sebenar dan berkongsi dengan saya. Jadi, saya tidak dapat membaca contoh tersebut dan memahami. Saya cuma dapat sedikit bayangan dengan istilah-istilah yang saya cuba faham sendiri.
Mungkin apabila si penerima proposal baca, dia akan menambahbaik proposal itu semula. Mungkin.
Saya sertakan contoh sedikit yang saya punya. Yang kawan saya kongsikan, tak dapatlah saya sertakan di sini.
Kalian boleh komen dan bertanya. Tapi, belum tentu saya mampu menjawab sebab ini pun pengalaman pertama saya dalam menulis proposal adaptasi. In-shaa-Allah, jika cerita saya diterima untuk penerbitan drama tv, dan saya terlibat (berangan sekejap), saya kongsikan pula pengalaman tersebut.
Apa pun, selamat berkarya. Tulis dan letakkan harapan untuk mendaki lebih tinggi.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro