60 - Menulis ulasan
Assalammualaikum w.b.t dan salam sejahtera sahabat Wattpad.
SUDAH terlalu lama rasanya tidak bersiaran di 'Santai'. Kesibukan mendahului waktu, yang adakalanya tidak tentu lariannya. Sebentar ia di hadapan, sebentar ia begitu lembab untuk dinanti ketibaannya.
Bila kita sudah berada di dunia penulisan, kita tidak akan senang bila tidak menumpahkan dakwat ke dada tinta. Atau, di zaman ini, jika tidak dapat mengetik aksara dari papan kekunci. Sama ada dari komputer atau dari telefon pintar.
Penulisan tidak terhad hanya kepada menulis cerita. Artikel, berita, malah mengulas sesebuah cerita juga adalah sebahagian daripada dunia penulisan yang seharusnya dicuba-tulis oleh seorang penulis.
Baru-baru ini, saya kehilangan sentuhan dalam menggarap cerita. Cerita yang saya maksudkan di sini, adalah cerita yang bertema. Yang punya matlamat. Yang punya keberatan isi dengan isu masyarakat. Yang bila terbit, dibaca, hati rasa seumpama telah mengangkat martabat bangsa dan membantu masyarakat meningkatkan jiwa.
Tiada cetusan ilham yang menjengah untuk saya memilih kata-kata membentuk cerita yang sedemikian. Yang saya inginkan. Maka, saya cari jalan keluar. Saya kata pada diri saya - "Tidak menulis cerita (yang saya suka), tidak bermakna saya harus menghentikan penulisan. Sesuatu yang hebat perlu saya lakukan. Tidak perlu tergesa, tetapi dengan perlahan dan terancang."
Saya ambil satu langkah. Iaitu dengan membaca sehingga tamat, sebuah karya milik Sasterawan Negara, Dr. Siti Zainon Ismail, berjudul, 'Delima Ranting Senja.' Bukan mudah. Ya, kepada yang tidak pernah sentuh, malah buka buku ini, tentu pelik bila saya mengatakan, membacanya tidak mudah.
Di mana kesukarannya? 'Delima Ranting Senja' (atau selepas ini saya ringkaskan kepada DRS), ditulis dengan bahasa sastera tinggi. Ditulis dengan plot daripada lima sudut pandang pertama.
Malah, sudut pandang pertama setiap satu daripada lima watak itu, dinukilkan dengan banyak metafora. Bukan sahaja metafora berunsurkan alam, malah metafora berunsurkan susur galur bangsa, budaya dan sejarahnya.
Lebih mencabar bila metafora sejarah peradaban bangsa itu tidak terhad kepada sejarah bangsa negara kita, tetapi melangkaui negara Asia Tenggara yang lain. Di saat ini, saya sebagai pembaca berasa amat tercabar. Terasa betapa ceteknya ilmu saya bila disebut satu-satu perkara yang merupakan sejarah peradaban bangsa, saya tidak tahu. Ada sebahagian yang seakan pernah dengar, tapi tidak dapat mengulang ingat apakah ia.
Di dalam DRS juga banyak dipetik puisi pujangga dunia. Tidak dikira lagi unsur personifikasinya yang bukan calang-calang bahasa.
DRS benar-benar mencabar pembacaan saya. Dan, saya jenis manusia yang punya curiosity tinggi selain daripada berkobar untuk mencabar diri menghabiskan bacaan. Enam bulan tempoh pembacaan saya. Tempoh yang memakan sabar, menelan masa daripada melakukan perkara lain.
Sehabis tamat ke helaian terakhir, terus saya taip ulasan bagi DRS. Saya post di laman sosial saya - Instagram dan Facebook. Di laman Facebook, saya post di beberapa kumpulan yang memang saling berkongsi ulasan buku-buku bacaan. Di antaranya adalah Kumpulan Facebook Goodreads, Kumpulan Facebook Buku Tiga Lima, Kumpulan Facebook KCB (Kongsi Cerita Buku), dan Kumpulan Facebook The Bibliophile.
Saya 'tampal' ulasan yang sama di setiap laman. Memang panjang ulasan saya, sebagaimana yang ditulis di sini. Sebelum itu, saya jarang memuatnaik ulasan buku yang saya baca di laman-laman sosial, hanya di Goodreads. Tetapi, kali ini saya seronok bila lihat ramai bibliophile yang berkongsikan apa yang mereka baca. Maka, saya berbuat perkara yang sama.
Tanpa saya duga, ulasan buku saya telah mendapat reaksi banyak pihak. Ada nama-nama ternama yang turut memberi komen. Dan, lebih mengejutkan saya bila Puan Nisah Haron, aktivis penulisan dan perbukuan turut meletakkan komen. Bukan komen apa, tetapi Puan Nisah Haron menyeru penulis buku DRS, SN Dr. Siti Zainon agar melihat dan membaca ulasan saya terhadap buku beliau.
Komen lain, saya terima daripada Puan Editor, ITBN - Institut Terjemahan Negara, Puan Zalila Isa, yang mana beliau menyatakan kekaguman terhadap ulasan saya pada buku DRS. Menurut beliau, beliau juga membaca buku DRS, tetapi sudah enam tahun tempoh pembacaan, masih belum mampu menamatkannya.
Saya juga telah menerima satu messenger daripada seseorang yang menyatakan beliau adalah perutusan wakil Sasterawan Negara, Dr. Siti Zainon yang mengucapkan terima kasih di atas ulasan saya. Menurut beliau, tidak ada yang mampu mengulas panjang seperti yang saya buat. Malah, rata-rata pembaca tidak memahami cerita tersebut. Ada yang tidak mampu meneruskan pembacaan kerana tidak faham dengan plot dan cara ia dinukilkan.
Perutusan itu juga meminta izin untuk mengambil ulasan saya untuk dimuatnaik di dalam laman peribadi SN Dr. Siti Zainon, juga laman rasmi sasterawan negara.
Satu perkara yang ingin saya kongsikan di sini, bila kita menulis, tulislah sesuatu yang berbeza. Memang untuk menulis yang berbeza itu tidak mudah. Tetapi, yang payah itulah yang mampu memberi kepuasan bila ia selamat dihasilkan.
Berani untuk jadi berbeza.
Sabar dalam menyusun langkah untuk mencapai yang payah.
Biar karya kita tidak banyak kuantitinya, tidak banyak yang membacanya, tetapi bila kita sudah berusaha memastikan ia baik, in-shaa-Allah, dengan izin Allah kita akan mendapat hasil yang terbaik.
Tulislah kerana DIA.
Tulislah kerana kau inginkan sesuatu yang berbeza.
Yang memuaskan hasratmu, juga yag menolak keluar gejolak yang kau ingin kongsikan pada dunia.
Salam pena.
Norsamila Samsudin
21 Julai 2020
Petaling Jaya
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro