54 - Pengukuhan Jiwa Penulis
Assalammualaikum w.b.t.
Semoga kalian kekal tenang walaupun badai wabak masih melanda.
Andai takut dilanda gelombang, jangan berumah di tepi pantai.
Pernah dengar peribahasa di atas? Apakah maksudnya?
Ya, jika kita takut hendak berhadapan dengan risiko, maka jangan teruskan niat kita dalam melakukan sesuatu perkara atau pekerjaan itu. Rumah yang dibina di tepi pantai, berisiko dipukul ombak, dan akan musnah. Tetapi, jika mahu juga membina rumah di tepi pantai, perlulah bersedia dengan segala macam pertahanan. Sama ada memilih material pembinaan yang kukuh atau, pembinaan itu sendiri perlulah dipastikan kukuh.
Begitulah juga dengan dunia penulisan. Risikonya bukan calang-calang. Malah, kerosakan yang bakal berlaku juga bukan sahaja boleh memusnahkan, tetapi melenyapkan terus kewujudannya. Berada di dunia penulisan, kita perlu sentiasa menyediakan mental dan jiwa yang kukuh. Sama seperti rumah di tepi pantai.
Jika tidak, kita tidak akan mampu bertahan.
Pena masih bersisa dakwat, tetapi penulisnya rebah dibadai ombak.
Dunia penulisan memang satu dunia yang nampak aman, tenang. Kerana, menulis itu sendiri memerlukan ketenangan bila bait-bait kata diangkat menjadi sebuah cerita. Malah, selepas dititis di dada tinta, satu rasa tenang yang lain menyusup pula. Lega bila sebuah karya sudah berjaya diselesaikan. Tenang bila semua rasa, dan jiwa sudah terluah di dalamnya.
Tetapi, itu tenang yang terzahir di mata. Sedangkan di dalam dunia penulisan itu sendiri, yang digambarkan sebagai lautan tidak bertepi, tidak begitu. Hanya yang berada di dalamnya sahaja yang mengerti. Tahu apa rasanya dihentam ombak badai. Disimbah masin air yang jika terkena luka yang terbuka, kepedihan tidak terbicara.
Jika tidak punya hati yang kental, minda yang terang, pasti akan lemas dan menuju kepada kematian.
Penulis berlawan bukan hanya dengan 'writers block', isu plagiat, karya klise, tetapi jauh lebih hebat dengan kritikan di langit terbuka. Yang bila dikritik secara terbuka, yang mana ramai yang membaca, malah percaya, akan menjadikan ia satu musibah besar.
Boleh mati jiwa bila menerima kritikan tanpa tapisan. Telus yang melukakan jika ulasannya menjurus kepada ketidaksukaan.
Baru-baru ini, saya telah dihubungi oleh seorang penulis yang memang sudah ada nama di persada penulisan. Sudah otai, dan karyanya pernah terbit di bawah penerbit besar. Bukan hanya ada satu karya, ada dalam lima enam buah juga. Penulis ini juga pernah beberapa kali diwawancara dan cerita tentang dirinya sebagai penulis tersiar di dalam suratkhabar arus perdana.
Memang mengejutkan bila beliau ingin membeli novel, karya saya. Teruja dan bersyukur. Tetapi, saya mula tertanya, kenapakah perkara ini berlaku tiba-tiba? Pasti ada perkara lain yang telah membuatkan si penulis terkenal ini tiba-tiba mencari karya saya.
Maka, saya bertanya padanya. Jawapannya, amat mengejutkan saya. Dia mendedahkan bahawa karya saya telah diulas oleh seseorang di grup tertutup (private group) yang dia itu salah seorang ahlinya. Grup ini terdiri daripada penulis dan pengkritik karya novel. Mereka akan membaca dan mengulas. Juga akan beri bintang atau tidak beri langsung.
Saya stalk grup ini di FB. Baca kata-kata pengenalan grup juga sudah membuatkan hati saya mengecil, takut. Tidak tertelan liur bila tahu yang grup ini wujud. Grup yang akan berkongsi ulasan buku yang dibaca oleh ahli-ahlinya. Yang akan dibedah, dikritik sehabis-habisnya. Yang mencipta ketakutan kepada setiap pemilik karya.
Dan, saya tidak tahu kritikan apa yang ditulis untuk karya saya. Cuma katanya, karya saya itu dapat lima bintang penuh. Itu yang menyebabkan dia ingin membeli dan membaca karya tersebut.
Golongan ini nyata mempunyai pengaruh yang sangat besar dalam menjulang atau melempar-kejam karya dan penulisnya. Tidak jauh rasanya 'kuasa' mereka dengan kuasa 'bawang rangers'.
Bila mereka mula menulis kritikan terhadap sesebuah karya, maka bersedialah. Sama ada kita sebagai penulis, ingin menadah baldi untuk menakung air mata gembira, atau air mata duka. Lebih teruk jika dengan kritikan itu, akan membuatkan kita menadah air mata darah dek kecaman yang berbisa.
Ini baru satu grup yang saya tahu kewujudannya (selain daripada Goodreads). Grup yang memiliki kuasa untuk mempengaruhi penjualan karya kita. Saya pasti, banyak lagi kumpulan lain di media sosial yang seumpamanya.
Jangan mudah patah dengan penulisan ini. Kita hanya memerlukan strategi dan belajar daripada mereka yang bertahan. Tetapi sebelum itu, untuk diri sendiri ... tulislah. Jangan berhenti. Tulis sehingga sudah. Selepas itu, jika serius untuk mendedahkannya di langit terbuka, silakan. Tetapi, pastikan jiwa kita kental. Terima segala kritikan dengan berlapang dada. Selalu ada rasa ingin memperbaiki tulisan, bukan menghentikannya.
Sebelum mendedahkan karya di langit terbuka, dan dibedah oleh mereka di luar sana, kita sendiri buatlah pembedahan pada karya kita. Cari cacat celanya. Jangan hanya melihat yang baik sahaja.
Terima kritikan daripada pembaca sedia ada. Senaraikan setiap kritikan mereka. Timbang-tara kata-kata mereka. Lihat di mana relevannya. Jika ada, perbaiki tulisan kita.
Cari ilmu penulisan. Tulis dengan baik. Kuatkan bukan sahaja kemahiran menulis, tatabahasa dan bahasa, tetapi juga kekuatan isu yang dibawa di dalam karya kita. Setiap penulisan yang hanya ada cerita, tanpa mendukung satu isu utama, akan jadi karya yang longgar. Dan, kelonggaran inilah yang membuka ruang untuk karya kita ditikam.
Bedah karya sendiri dulu, sebelum orang lain membedahnya.
Selamat menulis dan bertabahlah.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro