48 - Bagai Sarang Burung di Ranting
Bismillah.
Hari ini saya cuba menghabiskan bacaan untuk karya sasterawan agung, Arenawati berjudul 'Bagai Sarang Burung di Ranting'. Ia sebuah buku kumpulan cerpen dengan pelbagai persoalan sosio-politik di sekitar tahun 1950-an.
Buku ini dibeli pada 24 November 2018 lagi, tetapi saya gagal untuk menamatkan bacaan walaupun ia hanyalah sebuah buku kecil yang nipis, yang hanya mempunyai seratus muka surat. Itupun, seratus muka surat itu, termasuk nota kaki yang ada pada setiap cerita.
Nipis, bukan? Ya, sangat nipis.
Tetapi mengapa sehingga pada tarikh hari ini, 4 Disember 2019, saya masih gagal menghabiskan bacaan?
Tidak baguskah hasil karya seorang sasterawan, sehingga berkali-kali saya letakkan buku ini, dan berhenti daripada membacanya?
Andai soalan ini ditanya, jawapan saya lebih kepada soalan balas, "Bagus itu apa? Bagus itu bagaimana?"
Jika ditanya tentang jalan cerita, saya bukan jenis pembaca yang memberatkan jalan cerita, konflik dan peleraian. Masih ambil kisah, tetapi bukan yang utama. Pada saya, keutamaan dalam membaca adalah pada bahasa dan cara penyampaian. Di situ terlalu banyak pelajaran dan bimbingan penulisan yang boleh diceduk dan dimanfaatkan.
Bahasa seorang sasterawan negara seperti Arenawati memang tidak membosankan, hanya cerita yang dihidangkan itu terlalu tinggi, tidak terjangkau dek akal saya sebagai pembaca hijau, lebih-lebih lagi karya ini memerlukan saya kembali ke zaman 50-an.
Ya, benar. Sebagai seorang pembaca juga, setiap bahan bacaan itu adalah alat menguji akal dan kefahaman. Malah, adakalanya turut menguji iman.
Persoalan yang dibentangkan oleh Arenawati terlalu tinggi. Ia bukan sahaja memerlukan kefahaman sejarah Malaysia, Indonesia dan Singapura, tetapi juga latar masa dan sosio-budaya masyarakat pada zaman itu.
Ya, saya akui yang saya gagal untuk faham. Gagal untuk berada di dalam cerita. Gagal untuk membawa diri ke zaman tersebut. Gagal untuk membayangkan keadaan watak dan latar kehidupan watak.
Malah, di setiap dialog yang dituturkan oleh watak, saya nampak 'ada sesuatu' yang bukan sewenang-wenang boleh dibaca laju. Ada isi yang perlu dikoreksi pada dialog tersebut. Lebih-lebih lagi bila diletakkan nota kaki. Aduh! Penasaran jadinya saya, bila setiap kali membaca, setiap kali perlu berhenti.
Perlu menelek nota kaki untuk memahami apakah yang sedang berlaku tika ini pada watak dengan tutur dialog yang sedemikian.
Di dalam cerpen 'Daun Tua Sarang Benah', dialog watak berbunyi begini.
"Hidang lagi bahan panas terbaru Haji Sulong!" desak Rafai, teman sejawatku.
(Ada nota kaki nombor tiga diletakkan pada nama Haji Sulong, yang mana ia menjelaskan bahawa Haji Sulong ini merupakan seorang pejuang kemerdekaan Patani. Dia dan keluarganya dibunuh di Siam.)
Kemudian, watak utama dengan POV1, membalas:
Aku berkias, "Gulai dari Patani itu, terlalu sedap. Kita tidak boleh kunyah, tetapi kita tidak boleh telan kerana Tengku larang!"
Pada waktu ini, saya termangu. Siapa 'Tengku'? Tiada nota kaki. Ya Allah, sungguh mencabar bila membaca dan cuba faham karya ini. Satu cerpen, tetapi sarat dengan bermacam cerita yang berkait. Yang memerlukan pembaca tahu sejarah dan sosio-budaya watak-watak di dalamnya, kerana ia watak sebenar.
'Hidang bahan panas' yang disebut pada dialog awal, merujuk kepada bahan berita untuk akhbar. Kedua-dua watak yang sedang berbual adalah wartawan syarikat akhbar tersebut.
Hebat, bukan? Dialog mereka, kena pada zaman. Halus ketika dinukilkan walaupun sesekali jauh daripada kefahaman pembaca.
Apa yang cuba saya sampaikan, atau lebih tepat, luahkan pada entri kali ini, adalah: Penulis seperti Arenawati ini seolah-olah tidak memikirkan sama ada pembacanya akan faham atau tidak, atau akan berseronokkah bila membaca hasil tulisannya.
Beliau menulis apa yang ingin disampaikan; yang ingin dikritis; yang ingin didedahkan kepincangan-kepincangan dalam sosio-budaya masyarakat tempatan; yang di dalam kehidupan sebenar sangat memberi kesan.
Beliau tidak menulis untuk kepuasan orang lain, tetapi diri sendiri! Apa yang ingin disampaikan itulah yang ditulis!
Saya percaya, tulisan-tulisan ini memang dinantikan oleh pembaca pada zamannya, yang pada waktu itu tidak wujud apa yang dikenali sebagai media sosial. Hanya bergantung kepada hasil tulis orang-orang seperti beliau. Wartawan, guru-guru dan cendiakawan yang berjuang ke arah kemerdekaan. Yang memerdekakan minda masyarakat dengan ilmu, dengan kesedaran terhadap peri pentingnya ilmu dalam memperjuang dan meningkatkan martabat bangsa.
Saya bertanya pada diri sendiri:
'Bagaimana dengan aku? Apa matlamat penulisanku? Apakah cerita-cerita aku itu, kutulis untuk memuaskan orang yang membaca dan menekan butang 'vote', 'like' dan seumpamanya? Adakah aku kisah jika cerita aku tidak ada konflik yang turun naik sehebat roller-coaster? Yang membikin hati pembaca teruja dan inginkan lagi, dan lagi?
Jika aku tidak menulis begitu, adakah aku akan kehilangan 'follower'? Yang menanti kisah-kisah yang menggugah rasa?
Apa sebenarnya yang ingin aku sampaikan? Atau, adakah tiada apa-apa yang ingin aku sampaikan? Adakah aku hanya melakar cerita kosong, tanpa ilmu? Hanya punya mainan jiwa dan rasa?
Itukah rencah tulisanku? Dan, adakah aku puas dengan apa yang terhidang? Apa yang aku ingin tulis sebenarnya?'
Didesak dengan pelbagai soalan, saya memberikan jawapan:
"Aku menulis, untuk menyampaikan, bukan hanya cerita, tetapi juga pandangan. Bukan hanya jiwa yang meronta untuk dilepaskan, tetapi juga ilmu buat pedoman."
Membaca karya insan lain, membuatkan saya nampak jalan. Nampak matlamat penulisan.
Kita manusia ini tidak punya apa. Kita belajar daripada manusia lain melalui mata, telinga dan hidung. Dan, tidak lupa juga, ... dengan kerendahan hati!
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro