Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Saka turun-temurun

SUASANA gelap dengan sedikit berkabus menyelubungi kawasan sekitar laluan menuju ke rumah tukang rawat perubatan Islam yang bernama Pak Habib. Rumahnya yang terletak di kawasan paling hujung perkampungan berdekatan hulu sungai  menyerlahkan lagi perasaan 'tidak enak' ketika memandu memasuki kampung itu. Bulu roma tiba-tiba tegak berdiri apabila memasuki simpang kawasan perkampungan yang suram itu. Tidak ada insan mahupun kutu rayau kampung yang kelihatan melepak-lepak sambil bermain gitar dibahu-bahu jalan seperti kebiasaan kampung yang lain. Hanya patahan ranting-ranting yang jatuh ke atas jalan dapat diperlihatkan. Sesekali, burung wak-wak berwarna kelabu melintasi jalan ketika roda tayar menghampiri kawasan belukar dan semak-samun.

Suasana sekitar seakan-akan seperti ada satu semangat gelap yang bagai menyambut kehadiran pengunjung ke kawasan kampung berkenaan. Tiada lampu jalan yang menyala, manakala pokok-pokok buluh dan paku-pakis resam pula tumbuh mekar berumpun sambil menjalar sehingga ke dalam semak samun yang gelap. Batang-batang buluh yang hampir reput itu pula hampir-hampir sahaja menutupi ruangan di tepi jalan. Sesekali, batang buluh yang terjuntai itu mengenai side mirror kereta yang lalu.

Rumah Pak Habib pula terletak jauh ke arah pedalaman. Daripada kawasan baruh, bahagian perkampungan itu didiami oleh komuniti warga tua berketurunan jawa yang masih menggunapakai rekabentuk rumah kayu usang yang sudah dimamah usia. Jarak lokasi antara sebuah rumah dengan rumah yang lain pula terletak jarang-jarang dan agak jauh sedikit daripada lokasi jiran tetangga yang terdekat sambil di sekelilingnya dipenuhi pokok-pokok getah dan semak belukar. Sesekali terlihat juga pokok sawit yang ditanam secara berselang.

     Rumah Pak Habib pula berupa sebuah rumah kayu usang dengan menggunakan jenis kayu cengal dan juga meranti. Rumahnya itu menggunapakai rekaan rumah limas lama yang kebiasaannya berlantaikan papan kayu yang dipotong secara mendatar dan berlapis-lapis, lalu dilicinkan permukaannya dengan kertas pasir. Rumah limas itu beratapkan bumbung zink dan juga tangga kayu dengan ukiran yang unik. Ada sebuah tempayan dengan corak naga di luar rumah berkenaan diletak bersama beduk kayu dan alas konkrit berlumut.

Di sekeliling rumahnya itu pula, ditanam pelbagai spesies tumbuhan dan juga pokok bunga. Ada bunga melur, bunga mawar, bunga seroja. Difahamkan, bunga-bunga berkenaan ditanam oleh arwah isterinya. Selain bunga-bungaan, Pak Habib juga ada menanam pokok pisang, pokok belimbing buluh, pokok koko dan juga pokok kopi di belakang rumahnya berdekatan kawasan belukar. Bersebelahan tanaman-tanaman itu, dia ada membina sebuah reban ayam dan itik dan diusahakan secara kecil-kecilan sahaja. Manakala, dibahagian belakang reban ayam dan reban itik tersebut, terdapat sebuah kolam berpaya yang cukup menyeramkan. Di ruangan anjung pula, terlihat sebuah akuarium dengan beberapa ekor ikan puyu bebas berenang ke sana dan sini. Akuarium itu kelihatan sedikit berlumut yang berwarna kehijau-hijauan gelap.

Daripada kejauhan, dapat dilihat sebuah kereta berjenama terkini dipandu masuk ke arah laman rumah Pak Habib. Keluar sahaja daripada kereta, terlihat sepasang suami isteri berusia hampir separuh abad muncul bersama seorang wanita muda, diperkirakan berusia 20-an. Wajah ketiga-tiga insan itu kelihatan sugul dan suram. Pak Habib yang sudah menunggu di muka pintu menjemput mereka bertiga masuk ke dalam rumahnya.

"Ada hajat apa datang ke mari?" Pak Habib membuka bicara sambil tersenyum.

"Kami datang nak berubat anak dara kami ini." ujar si ayah sambil memandang ke arah anak daranya itu

"Ada apa halnya tu?"

Ayahnya memberikan isyarat mata kepada anaknya untuk menceritakan tentang perkara yang dialaminya. Ibunya pula mencuit anak daranya itu yang sedang termenung jauh.

"Macam ni Pak Habib. Anak saya ni kerap bermimpi yang bukan-bukan pada waktu malam. Kadang dia mimpi arwah neneknya seperti memberikan sesuatu. Ada satu malam, dia berjalan masa tengah tidur. Kami syak, dia terkena perbuatan sihir." ibunya menyampuk.

Pak Habib hanya menganggukkan kepalanya. Kemudian, dia memanggil wanita muda terbabit untuk duduk bersila dihadapan Pak Habib. Wanita itu bergerak sedikit ke hadapan sambil mukanya memandang ke arah kedua orang tuanya. Ada sedikit kegelisahan yang terpancar daripada riak wajahnya itu. Pak Habib pula mula membacakan ayat-ayat suci Al-Quran sambil tangannya dihalakan ke bahagian ubun-ubun wanita muda berkenaan.

Daripada bahagian luar rumah, sudah kedengaran bunyi jeritan dan dengusan pesakit yang dirawat oleh Pak Habib bersilih ganti. Di bahagian serambi rumah limas itu, kelihatan Pak Habib sedang merawat seorang pesakit wanita yang sedang terbaring. Ibu dan ayahnya hanya duduk di bahagian tepi pesakit berkenaan dengan wajah penuh kerisauan. Dibahagian kiri ibu pesakit berkenaan, kelihatan sebuah beg plastik yang mengandungi sebelas biji buah limau purut, air mineral, sebiji kelapa pandan dan juga campuran garam kasar dengan lada hitam.

"Ini saka turun-temurun ni." ujar Pak Habib dengan slanga jawanya sambil tangannya sedang sibuk seakan-akan menarik sesuatu daripada bahagian kaki.

Sesekali, mulutnya terkumat-kamit membacakan sesuatu lalu dihembuskan pada bahagian ubun-ubun pesakit yang sedang terkulai layu itu. Pesakit wanita yang berusia dalam lingkungan 20-an itu terbaring sambil tudungnya sudah hilang entah ke mana. Ada anak rambutnya sudah menutupi sebahagian mukanya.

"Saka turun-temurun? Setahu saya, keluarga saya tidak ada saka, Pak Habib." Emak pesakit itu memandangkan ke arah sang suaminya dengan wajah yang pucat lesi.

Ayah pesakit hanya mampu menggeleng-gelengkan kepalanya sahaja tanda bersetuju dengan pernyataan isterinya. Pak Habib hanya mampu tersenyum sinis. Riak wajahnya seakan malas mahu bertelagah dengan ibu pesakit berkenaan. Tugasnya hanya mengeluarkan 'benda' yang mendiami tubuh wanita yang sedang dirawatinya itu.

Kemudian, Pak Habib meminta bahan-bahan yang dibawa terutamanya buah kelapa pandan untuk dibacakan ayat-ayat suci Al-Quran. Selesai sahaja dia membacakan ayat-ayat suci Al-Quran, kelapa pandan berkenaan dibelah dan diberikan kepada pesakit wanita berkenaan yang sedang lemah itu.

"Kelapa ini sebagai pendinding dan penambah tenaga kepada kamu. Sebelum minum, baca selawat tujuh kali." ujar Pak Habib lagi.

Kemudian, dia mengambil garam kasar dan juga lada hitam. Kemudian, dia mencampurkan kedua-dua bahan masakan itu ke dalam plastik sambil mulutnya terkumat-kamit membacakan sesuatu.

"Ini sebagai pendinding rumah. Tabur garam yang dah dicampur dengan lada hitam ini di sekeliling rumah sambil baca surah Yasin. Untuk pagar rumah." ujar Pak Habib sambil menyerahkan kembali bahan-bahan masakan itu kepada ibu pesakit.

Keadaan gadis sunti itu semakin baik dan sudah boleh bangun daripada panking itu. Dia kemudiannya mengambil tudung yang sudah tercabut untuk dipakaikan semula.

Pak Habib pula mengambil buat lemon dan air mineral berkenaan. Dia membuka penutup botol mineral berkenaan lalu membaca ayat-ayat Al-Quran. Tangannya menyentuh buat lemon terbabit sambil matanya terkatup rapat. Mulutnya masih terkumat-kamit seperti dengan membacakan sesuatu. Dia kemudiannya menuangkan sedikit air mineral berkenaan ke dalam gelas dan diserahkan kepada gadis itu.

"Kamu minum air ini. Jangan lupa baca selawat tujuh kali." dia menyerahkan gelas terbabit kepada gadis itu.

"Balik nanti, mandi dengan hirisan lemon dan air mineral ini. Baca selawat tiga kali masa mandi." Pak Habib menyerahkan seplastik buah lemon dan juga air mineral yang telah dibacakan ayat-ayat suci Al-Quran kepada ibu bapa gadis berkenaan. Mereka berdua menangguk faham.

"Dua minggu lagi, datang balik ke sini untuk proses bersihkan lagi tinggalan saka yang dah berakar dalam badan kamu. Kita bilas sampai bersih." ujar Pak Habib sambil diikuti anggukan lemah gadis sunti itu.

     Ayah gadis sunti itu kemudiannya menghulurkan 'pengeras' berupa wang tunai dalam jumlah yang tertentu yang telah dimasukkan ke dalam sebuah sampul duit raya. Sampul berlipat itu diserahkan kepada Pak Habib sebelum pulang. Ayahnya meminta diri untuk pulang memandangkan hari telah larut malam.

     Pak Habib hanya menganggukkan kepalanya sahaja. Ketiga-tiga pelawat itu turun daripada beranda rumah Pak Habib dan masuk ke dalam kereta. Selepas enjin kereta dihidupkan, mereka pun beransur pergi dari laman rumah Pak Habib.

     Pak Habib kemudiannya mengambil sisa sabut kelapa pandan yang digunakan tadi, lalu pergi ke arah kolam di belakang reban ayamnya. Dia kemudiannya membalingkan sabut kelapa pandan itu ke arah kolam itu dan berlalu pergi.

     Kelihatan satu sosok tangan yang gelap, berkilat dan penuh menggerutu muncul secara tiba-tiba daripada dasar kolam berpaya berkenaan. Kemunculan tangan misteri berkenaan telah menghasilkan riak gelombang pada permukaan kolam berpaya itu. Sosok jasad tangan yang penuh dengan lumpur hitam, berlumut dan juga simbahan air kotor itu kelihatan menyambar sisa sabut kelapa pandan yang dibaling oleh Pak Habib tadi. Suasana sekeliling yang tadinya tenang dan tenteram, suasananya terus sahaja bertukar menjadi hujan renyai-renyai dengan angin bertiup kencang disusuli guruh dan petir yang entah datang dari mana.

***

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro