Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 5

"Abang buat apa dekat sini?"

"Tunggu Ulfa."

"Kenapa nak tunggu Ulfa? Abang ada telefon ke tadi?" Ulfa segera menyeluk beg ingin memeriksa telefonnya kalau-kalau ada panggilan yang tidak berjawab.

"Abang nak minta tolong."

Tangannya terhenti menggagau beg. Nada suara Abang Azim menghantar isyarat amaran pada fikirannya. Seakan-akan deja vu. Beberapa tahun dahulu, Abang Azim pernah datang ke tempat kerjanya dengan nada suara yang sama. Dan kenangan itu sesuatu yang dia tidak ingin ulang semula.

"Tolong apa?" Suaranya kendur tapi dia masih berusaha menyembunyikan kebimbangannya dengan berpura-pura mencari sesuatu di dalam beg.

"Abang tengah terdesak ni. Boleh tak abang pinjam duit Ulfa?"

Tali beg yang sudah melorot di bahunya dibetulkan. Ulfa angkat wajah. Wajah Abang Azim ketara resah.

Ah! Dia patut dapat mengagak apabila Abang Azim datang menunggunya di tempat kerja.

"Pinjam lagi? Bukan abang tak tahu yang Ulfa pun bukan ada duit sangat."

Dia kecewa. Benar-benar kecewa. Bukan Abang Azim tidak tahu gajinya tidak seberapa. Setelah menyisihkan 1/3 gaji untuk simpanan, selebihnya digunakan untuk bayaran rumah dan bil utiliti.

"Tapi kalau abang tak bayar hutang minggu ni juga, habislah kedai abang."

"Minggu ni? Abang pinjam dengan along lagi ke?!"

"Tak, tak, tak... Abang dah tak pinjam dekat along lagi." Kalut Abang Azim menjelaskan.

"Habis tu?"

"Abang nak jelaskan hutang-hutang kedai..."

Abang Azim tunduk. Ada riak kesal bermukim di wajahnya. Ulfa pejam mata, cuba menenangkan gelora hatinya.

Argh! Gagal.

Sebaik saja dia buka mata semula dan melihat Abang Azim di hadapannya, meter amarahnya mencanak naik. Dia ingin berteriak memarahi Abang Azim apabila pandangannya menangkap kelibat Idlan keluar dari bangunan pejabat. Tanpa berfikir panjang, dia bergegas mendapatkan Idlan, meninggalkan Abang Azim terkulat-kulat sendirian.

"Idlan!" panggil Ulfa.

Idlan menghentikan langkah dan melingas kepala. Sebaik melihat Ulfa, dia tersenyum.

"Awak tak balik lagi? Bukan ke awak keluar dulu sebab nak kejar tren?"

Ulfa hanya menyungging sengih dan jongket bahu.

"Awak dah terlepas tren, ya?" Idlan menduga.

Ulfa mengangguk mengeyakan. Memang benar dia sudah terlepas jadual tren yang ingin dia naiki sekarang disebabkan Abang Azim. Tapi dia tidak kesah. Dia dah tiada hati hendak balik awal ke rumah.

Ulfa melingas kepala mencari figura Abang Azim. Abangnya itu masih tercatuk di tempat tadi sambil memerhatikannya dari jauh.

Ah! Dia benci melihat pandangan sayu Abang Azim itu.

"Kenapa Ulfa?" soal Idlan. Matanya turut menyorot pandangan Ulfa.

"Tak ada apa-apa. Saya ingat nak singgah makan dekat mana-mana. Yalah, alang-alang dah lambat ni." Ulfa memberi alasan. Yang penting sekarang, dia enggan bersemuka dengan Abang Azim. Tapi sesekali dia melingas kepala, memeriksa kalau-kalau Abang Azim tiba-tiba mengekorinya.

"Nak makan sama? Saya memang nak singgah Subway. Jom."

Pelawaan Idlan buat Ulfa terkaku.

Oh? Dia ajak aku makan sama? Ini macam pucuk dicita ulam mendatang.

Tapi kemudian baru Ulfa perasan yang mereka sedang berdiri di hadapan kedai Subway tidak jauh dari stesen LRT. Dia rasa darah menyerbu ke pipinya. Tiba-tiba dia rasa hendak ketuk kepala saja. Dia hanya beri alasan untuk singgah makan tadi semata-mata hendak lari dari Abang Azim. Bukannya secara tidak langsung atau cuba pancing Idlan untuk makan bersama.

Eh! Aku bukan hendak mengurat Idlan dengan cara ini. Sumpah!

"Errr..."

Kalau terima, macam kau mengaku yang kau sedang 'mengayat' dia hendak makan bersama. Tapi kalau tak terima macam kau jual mahal. Paling teruk kalau dia ingat kau tak sudi dengan pelawaan dia.

Cepat fikir, Ulfa! Apa respons yang perlu kau bagi untuk menunjukkan yang kau chill and cool dengan pelawaan Idlan ini dan dalam masa yang sama hendak tunjuk bukan kau yang seolah-olah mulakan semua ini?

Sedang Ulfa berperang dengan hatinya, telefon Idlan berbunyi. Wajah Idlan sedikit berubah apabila melihat skrin telefon sebelum menjawabnya. Ulfa memasang telinga. Yang dia dengar cuma 'ya', 'okey', 'saya balik sekarang'.

Idlan memandang Ulfa semula.

"Sorry, Ulfa. Saya tak dapat makan dengan awak. Saya kena pergi sekarang."

"Eh, tak apa. It's okay."

"Sorry, ya. Saya yang ajak awak tadi. Lain kali saya belanja awak makan. Saya janji."

Sekali lagi darah menyerbu ke pipi.

Lain kali?

"Jumpa esok, Ulfa. Bye!"

Dengan ucapan itu, Idlan bergegas pergi.

"Bye..."

Ulfa tersenyum sendirian. Dalam hati mula menyulam harapan.

ULFA sedang melangkah ke stesen LRT apabila dia melihat kelibat Abang Azim di kawasan stesen. Bahunya jatuh dan wajahnya muram. Langkah Ulfa terhenti. Dia tidak menyangka Abang Azim masih ada di situ. Pandangan mereka bertemu. Abang Azim segera mendapatkannya.

"Ulfa!"

Dia tiba-tiba jadi keliru sama ada mahu bergegas terus ke stesen LRT atau kembali semula ke pejabatnya.

"Ulfa..."

Abang Azim sudah pun berada di sisinya. Sudahnya dia terpacak di situ tanpa keputusan ke mana-mana.

"Abang ingat Ulfa dah balik."

Ulfa tidak membalas. Dia memeluk beg ke dada. Spontan.

"Ulfa tak boleh tolong abang ke?" soal Abang Azim. "Abang terdesak, Ulfa."

Abang Azim terdiam. Bibirnya bergerak seperti ingin mengatakan sesuatu tetapi kata-katanya tenggelam semula. Dia akhirnya hanya melepas keluhan.

"Abang selesaikan sendiri masalah abang tu," ujar Ulfa apabila Abang Azim diam.

Ulfa melajukan langkah ke stesen LRT. Dia tidak tahu kalau Abang Azim mengekorinya dan dia enggan memandang belakang lagi. Setelah mengimbas kad perjalanan, dia terus ke platform. Jadual perjalanan yang terpapar di skrin platform menunjukkan ketibaan tren dalam masa 3 minit lagi tetapi dia sudah tidak senang duduk.

Apabila tren tiba, dia cepat-cepat masuk ke dalam perut tren. Seketika kemudian, barulah dia menarik nafas panjang. Setelah bertenang, matanya mula terasa panas. Dia tarik nafas panjang-panjang tetapi takungan air matanya penuh juga. Dia menyeka sekali dua dan menarik nafas panjang lagi.

Ulfa ingat untuk tahun-tahun kebelakangan ini dia boleh menarik nafas lega. Tapi harapan itu tidak berpanjangan nampaknya. Sebenarnya dia takut kalau-kalau mereka sekeluarga akan jatuh terduduk seperti yang terjadi suatu masa dahulu. Kalau pisang berbuah dua kali, dia tidak tahu bagaimana dia hendak menghadapinya kelak.

Dia akan lari. Barangkali.

Ulfa sudah tiada hati hendak balik ke rumah lalu membuat keputusan untuk berjalan-jalan di sekitar pusat beli-belah. Dia berjalan tanpa arah tujuan. Melihat orang dan juga barangan yang dijual tanpa sebarang minat. Dia duduk melepas lelah di sebuah bangku rehat. Matanya kemudian terlihat sebuah kedai kasut. Ada sepasang kasut yang dipamerkan mencuri perhatiannya. Dia bangkit dan memasuki kedai tersebut.

Dia menilik sepasang kasut tumit tinggi berwarna putih gading. Kasut itu tiada sebarang hiasan tetapi nampak sangat elegan dan cantik di matanya. Harganya juga mampu milik.

Kalau aku perlu lari, sekurang-kurangnya aku kena lari dengan kasut yang cantik dan elegan macam ni, getusnya dalam hati. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro