
Bab 3
Hilmi sedang melangkah ke bilik mesyuarat apabila tiba-tiba bahunya dipaut seseorang. Dia menoleh.
Tuan Marzuki sedang tersengih sambil menyaingi langkahnya.
Tuntas langkah Hilmi terhenti. Dia kerut dahi menentang pandangan lelaki yang tua 10 tahun daripadanya itu. Dalam hati dia sudah dapat mengagak apa yang akan diperkatakan oleh bosnya ini.
"Kau pandai pujuk orang, kan?" soal Tuan Marzuki. Bibir masih menyungging sengih.
Hilmi tidak membalas. Dahi masih berkerut.
"Mi, cubalah kau pujuk Arjuna Tuah supaya terbitkan buku dia dengan kita."
"Kita dekat tempat kerja ni. Panggil saya Encik Hilmi," kata Hilmi tegas.
Tuan Marzuki mencebir bibir. Tangan yang disangkut di bahu Hilmi tadi dijatuhkan.
"Skema sangatlah kau ni. Nak mesra pun tak boleh."
Hilmi enggan melayan kerenah Tuan Marzuki lagi. Langkahnya dibawa ke bilik mesyuarat. Tuan Marzuki mengekor dari belakang.
"Mi, kita tak boleh lepaskan bakat macam Arjuna Tuah tu. Penulis sekarang jarang sangat buat fiksyen sejarah macam dia. Pemilihan diksi dan gaya bahasa yang dia gunakan memang sangat menarik. Tak sama macam penulis lain. Itu belum lagi masuk bab plot yang boleh hook pembaca. Kalau dia terbit buku dengan kita, buku dia selari dengan misi dan visi syarikat kita."
"Tuan nak dia terbit dengan kita sebab dia terkenal dan ramai follower dekat media sosial, kan? Dengan kata lain, dia ada nilai komersil," kata Hilmi datar. Separa memerli.
Tuan Marzuki tertawa janggal dan menepuk bahu Hilmi kuat.
"Ah!" Hilmi mengaduh perlahan. Cepat dia pandang Tuan Marzuki dengan kerutan di dahi.
"Tak. Niat aku semata-mata nak memartabatkan bahasa dan budaya Melayu. Kalau ada orang yang macam Arjuna Tuah tu terbit buku dengan kita, itu adalah nilai tambah dalam prestasi syarikat," kata Tuan Marzuki dengan senyum paksa.
Dengan kata-kata itu, Tuan Marzuki mendahului Hilmi dan masuk ke dalam bilik mesyuarat. Hilmi geleng kepala sebelum turut masuk ke dalam bilik mesyuarat.
Meja oblong bilik mesyuarat itu boleh memuatkan lebih daripada 10 tempat duduk. Untuk mesyuarat eksekutif, termasuk Hilmi dan Tuan Marzuki, ada beberapa orang lagi ahli yang sudah mengambil tempat di bilik tersebut. Baki; pemasaran dan jualan, Adha; grafik, Suzi; content dan seni kreatif, Rahimah; akaun dan kewangan.
Mereka semua mengambil tempat berhampiran kepala meja. Tuan Marzuki mengambil tempat di kepala meja sementara Hilmi mengambil tempat di sebelahnya. Mesyuarat dimulakan dengan pembentangan Baki tentang jumlah jualan buku mengikut genre. Daripada pembentangan itu, Baki merumuskan yang jualan buku untuk enam bulan lepas kurang memberangsangkan.
"Ah! Kita tak patut buat 3000 cetakan untuk buku DIY Bahan Kitar Semula tu." Tuan Marzuki meraup wajah sebaik saja dia melihat judul buku yang paling kurang mendapat sambutan.
"Kenapa kita cetak banyak, ya?" soalnya lagi sambil memandang wajah semua orang satu per satu.
"Tuan Marzuki yang buat keputusan untuk print sebanyak tu untuk cetakan pertama," jawab Hilmi apabila semua orang diam.
Tuan Marzuki pandang Hilmi. Kening menjuring.
"Kenapa kau tak cakap apa-apa? 3000 tu banyak untuk buku yang guna kertas mahal macam tu."
"Kan kita semua dah setuju nak cetak sebanyak itu. Kalau ikutkan, asalnya tuan nak cetak sebanyak 5000," jawab Hilmi selamba.
Tuan Marzuki hanya mampu membuntangkan mata.
"Errr... Kenapa aku macam hilang ingatan?" soalnya sambil menggaru bawah dagu. Reaksi tipikal Tuan Marzuki apabila rasa bersalah.
"Kita dah keluarkan kos untuk keluarkan buku tu. Sepatutnya pemasaran kena lebih proaktif untuk memasarkan buku tu." Rahimah bersuara. Pandangannya terarah kepada Baki.
"Kita dah buat offline and online marketing sejak buku tu bakal dilancarkan lagi. Tak ada isu pasal pemasaran tak proaktif," jawab Baki.
"Kalau jualan tidak menepati sasaran, pasti ada sebabnya. Mungkin strategi pemasaran tak cukup sampai pada pembaca atau sasaran pembaca," bidas Rahimah lagi.
Riak wajah Baki mula kelihatan tegang dengan kata-kata Rahimah itu.
"Awak ingat marketing team cuma goyang kaki aje? Awak tak tahu kami berpeluh ketiak buat marketing untuk target lebih ramai orang. Kami perah otak untuk rancang strategi siang malam. Awak senanglah. Awak tak perlu fikir semua tu."
"Saya tak perlu fikir? Relevan ke soalan awak tu? Kalau awak tak dapat jual produk, macam mana kami nak bayar gaji awak?" Suara Rahimah sudah naik satu oktaf.
"Rakyat Malaysia ni langsung tak ada inisiatif untuk menggunakan bahan kitar semula. Semua benda nak buang. Semua nak jadi sampah sampai tempat pembuangan sampah pun dah overload. Sampah masyarakat pun banyak juga..." Tuan Marzuki membebel sendirian dan menyimpang dari pokok perbicaraan mereka tetapi perhatian semua orang adalah pada Baki dan Rahimah yang sedang bertikam lidah.
Hilmi hela nafas panjang.
Satu lagi minggu yang panjang.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro