
Bab 2
Air batu campur spesial gerai ini memang sedap. Manis, lemak berkrim dan dingin. Campuran kacang merah, jagung, selasih juga banyak. Ditambah dengan dua skup aiskrim vanila di atasnya. Ulfa menyudu ais kisar yang berperisa itu ke dalam mulut. Deria rasanya meletup-letup dengan pelbagai keenakan dan kegembiraan.
"Ermmm, heaven!"
Fairuz di hadapannya hanya menghela nafas. "Kau bengang?"
Memang ritual mereka berdua untuk membuang tekanan atau mengadu pelbagai perkara di gerai ABC di hadapan pejabat mereka ini.
Ulfa terhenti menyudu ABC ke dalam mulut. Sudunya digenggam kuat dan diketuk ke atas meja sekali.
"Si Beruang Psiko tu..." Ulfa menahan geram.
"Okey. Aku dah pasang telinga ni." Fairuz menggiat.
Ulfa menyudu lagi ais kisar manis ke dalam mulut. "Malaslah nak cakap. Benda sama juga."
"Apa yang sama? Dia buli kau suruh belikan dia jus oren lagi?" soal Fairuz separa memerli.
Ulfa menjeling tapi Fairuz senyum-senyum saja.
"Kalau dia suruh aku belikan jus oren aje aku tak kesah. Beli dan bagi dia, habis cerita. Tapi kalau melibatkan bebelan dia yang macam mak nenek tu, sakit telinga aku. Kau tau kan susah nak jaga emosi dan hati antara penulis dengan bos aku. Orang ni nak macam ni, yang orang tu nak macam tu. Habis aku ni jadi sandwic dekat tengah-tengah."
"Oh. Ni kes gajah sama gajah berjuang, pelanduk mati di tengah-tengah, ya?" Semakin lebar senyuman Fairuz.
"Aku tengah stres ni, kau boleh senyum-senyum pula." Ulfa tepuk bahu Fairuz.
"Ah! Sakitlah. Kau ni sentap aje."
"Kau cubalah mengadap Si Beruang Psiko tu. Mesti hari-hari kau sentap."
"Sebab itulah aku tak mengadap dia hari-hari sebab aku bahagian lain," kata Fairuz bagai mencurah minyak ke dalam api.
Ulfa cebik.
"Ala, kau ni. Si pelanduk yang comel ni. Tak payahlah buat muka macam tu. Sebab itulah kita datang sini minum ABC supaya kau boleh sejukkan hati kau tu."
"Aku rasa kadang-kadang aku nak kerjalah dekat bahagian kau," kata Ulfa seketika kemudian.
"Kau? Tak boleh punya. Kau mesti tak tahan duduk buat entri kamus peribahasa Melayu tu berbulan-bulan."
Ulfa hanya mampu tertawa paksa.
Hairan juga Ulfa dengan Fairuz, rakan yang telah diakrabi sejak dia bekerja di syarikat ini. Fairuz graduan dalam pengajian bahasa Inggeris. Tapi ironinya, sepanjang karier rakannya itu menguliti sastera tradisional Melayu.
Bahagian Buku Malar Hijau adalah projek besar Tuan Marzuki dan merupakan sebahagian daripada visi syarikat untuk memartabatkan bahasa dan budaya Melayu. Bahagian itu mengendalikan buku-buku sastera tradisional termasuk terjemahan karya sastera luar negara. Buat masa ini, projek buku yang sedang berjalan di bahagian itu ialah kamus peribahasa Melayu yang telah setahun masih belum siap. Beza dia dengan Fairuz ialah; walaupun Encik Hilmi menyelia projek buku Malar Hijau itu, Fairuz dan dua orang lagi staf, Rini dan Fauzan yang terlibat dalam projek itu turut melapor kerja-kerja mereka kepada Tuan Marzuki yang lebih bersifat ayah yang mithali. Justeru, tempias mood Encik Hilmi bukan sesuatu yang relevan bagi mereka.
"Dah lama aku nak tanya. Kenapa kau panggil Encik Hilmi tu beruang? Beruang tu bukan ke comel?" soal Fairuz tiba-tiba.
"Siapa kata beruang comel?!" soal Ulfa separa menjerkah.
"Ermmm... Mungkin 3/4 populasi dunia?" Fairuz jongket bahu 'entah-mana-aku-tahu'.
Ulfa menggenggam sudu sambil mencerlung Fairuz. Jengkel.
"Huh? Seramai tu? Kau biar betul?"
"I mean generally speaking considering public sentiment about 'cute' concept. Like teddy bear? People find a bear is a cute animal."
"3/4 daripada populasi dunia? Kajian mana yang kau rujuk ni?"
"I said generally speaking. Public opinion? Duhhh." Fairuz pula tunjuk riak jengkel.
"Kalau macam tu aku termasuk dalam 1/4 tu yang kata beruang tu tak comel." Ulfa mengalah.
"Pada pendapat aku, dalam kes ni, 'beruang' telah mengalami perubahan makna. Kita panggil ni sebagai pejorasi. Pejorasi dalam bahasa atau peluasan makna sesuatu perkataan berubah daripada konotasi baik kepada buruk. Contohnya, dulu perkataan berkhalwat maksudnya menyendiri untuk beribadah tapi zaman sekarang maksudnya dah bertukar jadi berdua-duaan antara lelaki dan perempuan."
"Kalau dalam konteks masyarakat dan budaya moden hari ni, haiwan beruang tu konotasinya positif. Misalnya, macam patung beruang atau karakter dalam kartun. Tapi pada kau dah jadi lain pula. Perkataan beruang itu dah jadi satu karakter yang jahat."
Kalau Fairuz sudah ulas dalam bidang linguistik, Ulfa kena hadaplah dengan reda. Maklumlah kerjanya seharian menjadikan dia macam kamus bergerak. Tapi Ulfa enggan mengaku kalah.
"Masalahnya, macam yang kau cakap tadi, cuma aku secara peribadi berpendapat yang beruang tu tak comel tapi '3/4 populasi dunia'...." Ulfa buat isyarat tanda petik dengan kedua-dua jari telunjuknya, sengaja menyindir Fairuz.
"... menganggap yang beruang tu comel. Jadi pejorasi yang kau cakap tu tak berlaku ke atas perkataan 'beruang' tu. Dari segi teknikal kau salah, Fairuz. Aku rasa bukan pejorasi tapi antropomorfisme iaitu pemberian sifat manusia kepada haiwan, benda yang tidak bernyawa dan kuasa yang abstrak macam dewa dewi. Itulah yang jadi Beruang Psiko." Ulfa menyambung.
"Okey. Let's settle by that. Tapi isu sekarang ni aku tengah cakap dari sudut linguistik semata-mata. Literally for the sake of our argument only. Bukannya aku berusaha nak tukar maksud entri dalam kamus." Fairuz sudah sedikit emosi.
Fairuz belum menunjukkan tanda mahu berhenti lagi.
"Antropomorfisme tu selalu kita jumpa dalam sastera sebab selalunya penulis nak bagi audien empati dengan karya dia orang sebab itulah selalunya dia orang buat karakter macam haiwan, benda dan kuasa-kuasa ajaib tu macam manusia. Ada hati dan emosi. Marah, sedih, geram dan macam-macam. Dulu-dulu masa kita sekolah ingat tak kita selalu buat karangan macam 'aku sebatang pensel'? Pensel tu diberi perasaan macam manusia. Bila dah lama digunakan dan jadi kontot, pensel itu pun dibuang. Pensel itu menangis kerana dibuang oleh tuannya. Itu barulah antropomorfisme," sambungnya.
Giliran Ulfa membidas.
"Bukanlah. Karangan macam 'aku sebatang pensel' tu satira. Eh, kejap bukan satira. Itu personifikasi. Pemberian atau penyerapan sifat-sifat manusia kepada benda tak bernyawa atau sesuatu yang abstrak. Eh, kejap... Apa beza pula dengan antropomorfisme?" Ulfa sudah keliru dengan hujahnya sendiri.
"Sebab itulah aku kata aku cakap for the sake of our argument only."
"Eh, kenapa kita gaduh pasal istilah ni? Dekat sini pun kau nak buka kamus juga ke?" Ulfa teguk ais yang telah mencair.
"Kaulah yang mula. Kau yang bagi sifat manusia dekat beruang," tukas Fairuz.
Ulfa kemudian terbatuk-batuk sebab terlalu cepat meneguk ais manis yang sudah cair itu.
"Bagilah aku makan dengan tenang. Kau asyik cakap pasal kerja aje. Asal kau buka 'kamus bergerak' kau tu, aku terus teringat seolah-olah aku aku tengah kerja. Aku tengah stres fasal kerja sekarang ni, tau tak?!"
"Okey. Sorry. Dah jadi tabiat nak buat macam mana. Blame my occupational hazard."
Ulfa tidak membalas apa-apa. Berbahas dengan Fairuz memang memenatkan.
"So, do you mind giving me the enlightment for the 'etimology' of the 'Beruang Psiko'?" soal Fairuz seketika kemudian sambil menunjuk sengih. Kedua-dua jari telunjuk membuat tanda petik, mengajuk semula perbuatan Ulfa tadi.
Memulangkan paku buah keras.
Ulfa jadi sebal. Tak habis lagi sikap ingin tahu Fairuz ini. Selagi Ulfa tidak jawab, selagi itu Fairuz akan menuntut jawapan.
"That damn etimology! Kau ni memang tak keluar dari dunia linguistik kau, ya?" soal Ulfa sinis.
Fairuz langsung tidak terkesan dengan reaksi Ulfa. Masih menyungging sengih, menagih.
"Fine. Kau nak tahu asal usul macam mana datangnya istilah Beruang Psiko tu?"
Fairuz angguk.
"Tak berbaloi pun kalau nak cerita tapi aku cerita jugalah. Aku pernah pergi dekat Zoo Negara sebelum ni. Waktu dekat sana, aku nampak beruang coklat. Yang banyak bulu tu. Orang putih panggil grizzly bear. Aku nampak beruang tu berdiri tengah cekak pinggang dekat tempat tinggi dengan lagak angkuh dan perkasa. Terus aku teringat Encik Hilmi. Dia tu kalau ada benda yang dia tak puas hati, macam itulah perangai dia. Suka cekak pinggang dengan lagak angkuh dan pandang rendah dekat orang bawahan dia. Macam semut yang boleh dipijak-pijak sesuka hati."
Fairuz terkekeh-kekeh ketawa. "Jadi setiap kali dia marah, kau bayangkan dia macam grizzly bear?"
Angguk. "Serupa macam dalam zoo tu."
"Wah! Aku jealous dengan kau."
"Kenapa?"
"Yalah. Kalau bos kau marah, kau boleh bayangkan dia macam beruang yang dekat zoo tu. It's like a countermeasure magic inside your head. Macam dalam cerita Harry Potter waktu Profesor Lupin ajar dalam kelas Defence Against the Dark Arts tentang macam mana nak atasi makhluk Boggart yang boleh menyerupai apa saja benda yang menakutkan. Jampi Riddikulus dan makhluk tu pun bertukar jadi benda yang melucukan. Tukar sesuatu yang negatif kepada positif. Nampak tak ia praktikal untuk kesihatan mental kau?"
Tipikal Fairuz dengan hujahnya.
"Errr, kita ni tak habis cakap lagi ke pasal pejorasi?" Ulfa mendongkol geram.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro