Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 1

Peribahasa: Kucing lalu, tikus tiada berdecit lagi.

[Apabila orang yang ditakuti datang, maka diamlah orang yang berbuat bising.]

"Hari keluarga tahun ni kita nak buat dekat mana? Tahun ni giliran kita in charge pula. Tolong bagi idea kau orang!" Akma bersuara serupa gema mikrofon.

"Port Dickson." Hanya Salwa yang membalas dengan suara lemah dan mata kuyu tidak cukup tidur.

"Port Dickson? Tak ada tempat lain ke? Dua tahun lepas dah pergi," omel Akma.

"Big news! Penulis Arjuna Tuah kata dia mungkin akan tamatkan siri Rahsia Taman Sari sampai siri ketiga aje."

Suara Syak memangkas perhatian semua orang. Dia tergesa-gesa menunjuk monitor komputernya dengan wajah teruja seperti seorang peminat tegar perempuan bertemu dengan artis K-pop kesayangannya. Bezanya, Syak itu lelaki dengan nama sebenar Syakirin – Peminat tegar Arjuna Tuah. Penulis misteri yang mempunyai ramai pengikut di media sosial dan kini sedang hangat diperkatakan orang.

"Dia cadang nak terbitkan dalam bentuk buku bercetak pula untuk siri ketiga ni. Dia tengah cari penerbit yang boleh terbitkan buku dia. Buku bercetak, beb!" Syak menggosok kedua-dua tapak tangan seperti menunggu nombor loterinya mengena.

"Tahu dah. Aku dah tengok pengumuman tu dekat Instagram dengan Blog dia pagi tadi. Dia kata akan keluarkan teaser untuk siri ketiga Rahsia Taman Sari kalau dia dah ada penerbit nanti." Fauzan dari Bahagian Buku Malar Hijau tiba-tiba saja muncul menyendeng pada bucu meja Syak.

"Mesti dia pilih penerbit yang besar. Dia kan terkenal. Banyak penerbit tengah kejar dia," kata Farha pula.

"Aku rasa untuk siri ketiga ni, mesti dia nak reveal misteri tentang Guru Adi Agung..." Ayat Fauzan mati.

"Aku tak nak dengar! Jangan racun fikiran aku dengan spekulasi kau tu." Farha tutup kedua-dua telinga. Dramatik.

"Kau orang dengar cerita tak pasal ura-ura syarikat nak tambah department baru?"

Munirah muncul dengan beg masih bersilang di bahu. Nampaknya dia datang lewat lagi. Tumpuan semua orang beralih kepada Munirah pula.

"Hah?!" Salwa sudah bulat mata. Hilang terus kantuknya.

Hal seperti penambahan jabatan baru itu merupakan situasi yang lebih mencemaskan berbanding penulis misteri Arjuna Tuah.

"Betul ke? Tambah department apa lagi? Kau biar betul, kau tau dari mana?" Akma mendekati Munirah sambil bercekak pinggang.

"Entahlah. Ira dengar daripada kawan Ira yang kerja dekat admin," jawab Munirah.

"Mana nak letak department baru? Bukan besar mana pun kompeni ni," rungut Akma.

"Bukan department barulah. Tapi pekerja baru. Check your fact, Ira!" Adha menyampuk dari kubikelnya.

"Oh, yang ada interviu dua bulan lepas tu ke? Jauh beza department baru dengan pekerja baru tu, Ira. Kau ni bikin orang saspens aje pagi-pagi macam ni." Farha sudah geleng kepala. Munirah hanya tersengih dan garu kepala.

Waktu pagi selalunya sibuk dengan celoteh dan cerita. Kebiasaannya pastilah berkisar tentang gosip-gosip terkini. Rencam. Riuh. Betul-betul macam lebah pekerja sedang terbang menghurung sarang. Semua orang ada cerita sendiri.

"Hei, kau orang cepat sikit. Hari ni kan kita ada weekly meeting." Kak Maya yang datang entah dari mana bersuara tegas.

"Eh, mana Molly, Lin? Tak datang lagi? Dah pukul berapa ni?" soal Kak Maya sambil menghitung kehadiran. Sebagai penolong ketua editor, dia perlu tahu perkembangan kerja semua orang.

Kak Lin yang sedikit rendah itu bersungguh-sungguh memanjangkan leher dari tempatnya. "Oh, dia bagi tahu lewat sikit sebab anak dia tak sihat."

Kak Maya nampak sedikit sesal mendengar jawapan Kak Lin itu. Dia berlalu ke mejanya dengan helaan nafas berat.

Ulfa di tempatnya sedang sibuk dengan buku nota dan sedang menyusun bahan edaran. Dia tidak mengendahkan keluhan atau bebelan rakan-rakan sekerjanya yang lain walaupun dia menelinga perbualan mereka. Yang penting kerja di depan matanya ini siap segera. Kalau tak nanti kalutnya sampai tidak cukup tanah hendak berjalan. Dia tahu prestasi diri sendiri. Dia perlu selesaikan kerja satu demi satu. Jika terlalu banyak tugas yang perlu dilakukan dalam sesuatu masa, dia cepat hilang fokus dan mulalah dia panik.

Ya, pagi ini suasana pejabat riuhnya semacam. Maklumlah awal bulan. Semua orang datang kerja awal.

"Ala, proposal dengan belanjawan pun tak buat lagi."

"Kita copy aje dari tahun lepas. Macam budak-budak marketing buat. Lebih kurang sama aje. Yang penting kita nak cari tempat baru."

"Tempat lain mestilah pakej lain. Bising orang akaun nanti."

"Kau ni pandai-pandailah sikit nak ubah suai belanjawan tahun lepas. Jangan jadi pembaris sangat boleh tak?"

Belum habis lagi Akma dan Salwa 'bergaduh' tentang isu hari keluarga.

Saat itu telefon masing-masing berbunyi. Pastinya dari grup WhatsApp jabatan mereka. Dalam waktu begini mereka semua sudah tahu gerangan penghantar pesanan teks tersebut. Ulfa memeriksa telefonnya.

Beruang Psiko.

Meeting dalam masa 10 minit! [8.07 am]

"Weh, kau orang. Encik Hilmi mesti dah on the way ni!" Syak angkat wajah dari skrin telefonnya.

Masing-masing kalut dengan bahan pembentangan. Ada yang sudah masuk ke bilik mesyuarat dan ada juga yang masih kalut mencetak bahan masing-masing. Pejabat jadi semakin riuh. Ulfa menarik nafas panjang. Cuba mendamaikan ribut yang sekejap lagi bakal melanda hatinya.

"Aku nak cakap pasal manuskrip novel Kesumat Dewi. Kenapa kesinambungan manuskrip ni masih lagi bermasalah?"

Encik Hilmi bercekak pinggang. Dari tadi dia tidak duduk walau sebentar. Wajahnya tegang. Semua orang saling memandang Ulfa kerana dia yang bertanggungjawab ke atas perolehan manuskrip tersebut berserta kerja suntingan dan perancangan yang lain.

"Maksud encik?" soal Ulfa.

1, 2, 3... Mindanya sempat menghitung.

"Sengal! Kan aku dah kata, sahkan fakta!" Encik Hilmi menghempas manuskrip ke atas meja. Sebelah tangan masih lagi bercekak pinggang.

Tepat tiga saat. Ulfa mula masuk mod 'memakai tali pinggang keledar dan topi keselamatan.'

Awas! 'Beruang Psiko' di hadapan.

"Berapa kali aku nak pesan? Kau tak faham-faham lagi ke? Jangan sampai salah fakta. Kau dah lama kerja dekat sini takkan aku nak ingatkan hari-hari. Boleh tak kau jangan jadi batu yang menghalang jalan orang lain?"

Jadi 'batu' lagi hari ini. Ulfa tarik nafas dalam-dalam.

"Encik Hilmi, fakta dengan imaginasi berbeza. Bergantung pada penulis macam mana nak gambarkan imaginasi mereka ke dalam penulisan. Setiap penulis ada gaya penulisan masing-masing." Ulfa cuba menjelaskan. Atau memberi alasan?

Encik Hilmi menggawangkan lagi manuskrip di tangannya sebelum menghempasnya ke atas meja semula.

Hesy! Salah lagi ke?

Seperti hendak luruh jantung Ulfa. Rakan sekerja yang lain turut nampak kecut perut. Dia nampak Munirah sudah urut-urut bahagian atas abdomennya. Gastrik lagi mungkin.

"Ada hadnya realiti dengan imaginasi dalam fiksyen. Selagi cerita tu masih di bumi dan bukan di alam lain atau planet lain, kau masih kena semak ikut logik di bumi. Antara bab 40 dengan bab 41 tu ada mesin masa ke? Kenapa macam tak ada kesinambungan? Ke watak dia macam Nightcrawler, boleh teleport macam dalam cerita X-Men tu?"

Pedas dia kena sindir. Ulfa diam. Sebenarnya dia sudah tanyakan hal ini kepada penulisnya, Gina Lestari. Tetapi penulis tersebut berkeras hendak membiarkannya. Alasannya; itu adalah elemen saspens.

Encik Hilmi hela nafas panjang.

"Buat semula. Verify dengan penulis. Sama ada buang bab-bab tu atau tambah bab untuk jelaskannya." Kali ini suara Encik Hilmi sudah mula kendur.

"Buat semula? Tapi..." Ulfa angkat wajah.

"Hah, menjawab..."

Ulfa mencebik.

"Next! Cover design? Layout?"

Akhirnya Encik Hilmi mengalih perhatiannya kepada orang lain pula. Ulfa hela nafas pendek.

Sabar, Ulfa. Sabar itu sebahagian daripada iman.

Ulfa tunduk menyelak buku notanya. Dia terhenti di halaman yang berisi contengan berupa lukisan beruang hodoh separa siap. Dia memandang Encik Hilmi silih berganti dengan lukisannya itu.

Kalau dia 'batu', contengan beruang hodoh di dalam buku notanya itu adalah gambaran Ulfa terhadap bosnya itu. Ketua editor mereka yang namanya Ulfa simpan di dalam telefon sebagai 'Beruang Psiko'. Kalau Ulfa perlu menulis sebuah biodata untuk bos jabatan mereka itu, ia akan jadi begini:-

Nama: Hilmi Zulfiqri a.k.a Beruang Psiko

Nama panggilan: Hilmi Psiko (Semua orang mengumpat belakang dia guna nama ini.)

Jawatan: Ketua editor

Status: Tidak diketahui

Personaliti: Tidak disukai ramai

Makanan kegemaran: Tanpa sayur

Minuman kegemaran: Jus oren

Hobi: Cari salah orang

Kata-kata 'semangat': Batu!

Buat sekali lagi!

Again!

Next!

Ini sampah!

Sengal!

Kehadiran Encik Hilmi akan buat semua orang peka dan bersedia sebab bila-bila masa saja dia akan panggil nama dan menyenaraikan sederet kesilapan atau aduan. Kalau kena panggil, kadang-kadang boleh murung sehari. Selalunya Ulfa yang kena panggil. Dia sudah mendengar semua 'kata-kata semangat' itu lebih banyak berbanding orang lain. Sebabnya waktu mula-mula bekerja dahulu, tugasnya adalah membantu kerja-kerja rencam Jabatan Editorial.

Entah apa nasibnya masuk-masuk kerja terus kerja dengan Encik Hilmi dan mengadap lelaki itu hari-hari. Dua tahun juga dia hadap kerjanya itu. Waktu itu, syarikat penerbitan itu baru saja bertapak dalam industri selama dua tahun dengan kakitangan terhad. Sebagai pekerja paling junior waktu itu, dialah yang sering dipanggil ke sana ke mari. Tapi dalam tempoh itu, banyak perkara yang dia pelajari kerana berurusan dengan ramai orang.

Kini, apabila syarikat semakin maju dan berkembang, pembahagian tugas dan divisi semakin jelas. Bilangan pekerja semakin bertambah di setiap divisi. Kerencaman tugasnya juga semakin berkurangan. Tapi kadang-kadang kerja-kerja rencam seperti hendak fotokopi atau urusan dengan jabatan lain, sesekali Encik Hilmi masih panggil Ulfa juga. Sudah seperti tabiat yang tidak boleh ditanggalkan.

Ulfa menambah contengan itu dengan kapsyen yang sudah sedia tersenarai di sekeliling lukisan beruang hodoh itu;

Tahap evil saudara dengan Lord Voldemort!

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro