Kawasan Persemakmuran Persekutuan Bhumi Sakhti
"BERSEMPENA dengan kemenangan bersejarah puak Penentang Orange Topaz Union ini, saya, Laksmana Armada Rinkarika Chikirishi akan menamakan kembali kawasan kekuasaan baru ini sebagai Kawasan Persemakmuran Persekutuan Bhumi Sakhti dan mengumumkan pusat pentadbiran baru adalah terletak di Permatang Tengah Lautan." Laksmana Armada Rinkarika Chikirishi menangkat tangannya sambil melafazkan sumpah setia.
Bait-bait kata dan setiap butir ayat yang terkandung didalam ucapan sumpah setia Laksamana Armada Rinkarika Chikirishi sewaktu mengangkat sumpah sebagai pemimpin utama Persekutuan Bhumi Sakhti ini disambut baik oleh keseluruhan masyarakat Bhumi Sakhti. Harapan baru kian menyirna. Persekutuan Segi tiga Bhumi Sakhti kini ditadbir oleh pemerintah yang baharu pula. Wajah-wajah baharu yang tidak ternama mulai muncul satu persatu dan diperkenalkan oleh Laksmana Armada Rinkarika Chikirishi.
Pemimpin puak Topaz jingga ini juga berjaya dikurniakan pingat dan darjah kebesaran daripada pentadbiran Persekutuan Segi tiga Bhumi Sakhti membawa gelaran 'Laksamana Armada'. Ini selepas episod kejayaannya menakluki persekutuan Bhumi Sakhti, buat pertama kalinya dalam sejarah. Mereka mempunyai cabaran dalam menyatupadukan keseluruhan masyarakat Bhumi Sakhti yang telah berpecah-belah dibawah lembayung Segi Tiga Adiratna.
"Permatang Tengah Lautan dipilih sebagai pusat pentadbiran baru Persekutuan Bhumi Sakhti menggantikan kawasan tanah tinggi Caucasus oleh kerana lokasinya yang strategik, terletak di laluan sutera perdagangan lautan moden yang menghubungkan antara kawasan tanah besar di timur dan kawasan pergunungan di utara selain kawasan Tanjung Harapan di barat. " ujar Laksamana Armada Rinkarika Chikirishi.
"Dan semua puak, tidak kiralah puak Topaz jingga, Kristal biru mahupun Emerald hijau, boleh berdagang, berniaga, beraktiviti, beriadah, melancong dan berinteraksi sesama mereka di kawasan Permatang Tengah Lautan ini. Tiada lagi sempadan yang dapat memisahkan setiap satunya. Ini juga bertepatan dengan Aspirasi Segi Tiga Adiratna, oleh itu, katakan tidak kepada sifat perkauman! "
"Saya juga ingin mengumumkan tiada lagi kutipan ufti akan diambil daripada sekalian rakyat yang bernaung di bawah panji Persekutuan Bhumi Sakhti. Ufti hanya diambil terhadap ejen-ejen yang mengorek hasil bumi untuk memperolehi hasil kristal dan lanthanite yang menjadi sumber tenaga kapal angkasa dan juga mineral vibranium yang di lombong sebagai hasil pendapatan Persekutuan Bhumi Sakhti. "
Pengumuman bersejarah itu telah disambut dengan gegak gempita dan penuh kegembiraan khususnya kepada penyokong puak Topaz jingga.
"Inilah yang kita mahukan! Kerajaan yang peduli akan rakyat! Inilah yang akhirnya kita dapat! Tiada lagi ufti! " kedengaran berseloroh masyarakat yang mempunyai Topaz jingga di dada masing-masing sambil menepuk-nepuk dada tanda kebanggaan.
PERJALANAN menuju ke kawasan pantai di kawasan Permatang Tengah Lautan terbabit dirasakan terlalu jauh. Sudahlah perlu berjalan menapak ke kawasan terbabit, selepas itu pula harus memikirkan cara untuk merentasinya. Kelihatan pohon Pauh Janggi dan juga pepohon Beringin Songsang yang melata di sini dan sana berdekatan kawasan pantai itu.
Pasiran pantai dirasakan terlalu sejuk dengan butir-butir pasir yang berwarna kecoklatan itu. Di kiri dan kanan di sepanjang pantai jauh tersergam pemandangan bangkai kapal angkasa pelbagai puak, entah apalah nasib mereka itu. Entahkan hidup, Entahkan mati.
Asap-asap nipis masih berkepul-kepul perlahan, berpintal-pintal keluar dari serpihan enjin burung semberani berjentera yang telah terbarai hancur. Darah merah pekat dapat dilihat di sekitar bangkai-bangkai burung semberani berjentera terbabit. Sepertinya ramai juga yang terkorban selepas peperangan Caturdasa ini jika diikutkan daripada bau busuk yang cukup menusuk, mencengkam penderitaan baunya.
Athran berasa cukup bertuah kerana dirinya terselamat. Dia tidak menyangka masih hidup dengan keadaannya yang hampir nyawa-nyawa ikan itu. Nasib baiklah dia diselamatkan oleh Miky, jika tidak, kemungkinan dia sudah dihantar ke alam barzakh sana.
Sambil duduk-duduk dan memerhatikan kapal-kapal dagang yang lalu lalang di kawasan Permatang Tengah Lautan terbabit, dia disapa oleh seseorang.
"Hello saudara."
Athran mencari-cari bisikan suara keramat yang seakan-akan memanggilnya. Dia seperti sedar dan tidak sedar akan kemunculan suara yang samar-samar terbabit.
Tiba-tiba, muncul seorang jejaka yang mempunyai memakai kalung Emerald hijau di lehernya. Sepertinya seorang laskar juga, sama seperti Athran dengan baju yang compang-camping, bahagian lututnya sedikit terkoyak dan ada kesan kecederaan dibahagian kepalanya.
"Kau... Kau siapa?" Athran menyoal individu yang tiba-tiba muncul di sebelahnya.
"Aku Raxy. Aku adalah tentera udara bagi puak Penyelaras Green Emerald. Seperti engkau, aku juga terkandas di pulau ini." Raxy membuka bicara.
"Aku Athran, laskar udara bagi rejimen ke-24, puak Blue Aquamarine. Salam perkenalan" Athran menghulurkan tangan tanda salam perkenalan.
"Apa yang kau buat disini, Athran?" Raxy bertanya kepada Athran.
"Menunggu." Athran menjawab, ringkas.
"Menunggu apa? Menunggu Bhujangga Sakhti datang untuk mengokakmu?" Raxy bertanya sekali lagi.
"Menunggu ilham turun dari langit, ilham bagaimana untuk aku mahu merentasi lautan dalam ini." Athran berpaling dan memandang lautan luas dihadapan nya.
Raxy tergelak. Dia ingatkan Athran menunggu seseorang.
"Tahukah kau bahawa didalam lautan lepas sana terdapat beberapa ekor 'Bhujangga Sakhti' yang sedang menunggu mangsa untuk dilahapnya? Kau mahu kemana?" Raxy bertanya kembali kepada Athran.
"Bhujangga? Apakah jenis makhluk itu? Aku mahu kembali ke persekutuan Blue Aquamarine di pergunungan Caucasus." jawab Athran ringkas namun padat.
"Bhujangga, sejenis naga kuno yang mempunyai wajah yang cukup mengerikan. Ada yang bilang kepalanya mempunyai tanduk seakan-akan singa laut di Lautan Baltik sana, dan ada juga yang mengatakan makhluk ini mempunyai sebaris gigi tajam yang mengerikan."
"Jauh perjalananmu itu, boleh mengambil masa beberapa purnama jikalau menggunakan Penarek Prahu." Raxy berfikir sejenak.
"Tapi, aku ada idea yang lebih baik." Raxy memegang kristal zamrud hijaunya itu yang tergantung di lehernya.
"Idea? Idea apa?" Athran memandang ke arah Raxy dengan mimik wajah yang ingin tahu. Keinginan nya untuk mengetahui lebih lanjut akan idea Raxy membuatkan Kristal biru nya menyala-nyala.
"Idea gila, tapi kau kena terima idea aku ni untuk kau kembali ke persekutuan Blue Aquamarine dengan selamat dan yang penting, lebih pantas." Raxy kelihatan tersengih-sengih selepas memikirkan idea gila terbabit.
"Okay. Aku sedia terima Apa-apapun idea kau. Fuhh.." Athran tidak dapat tidak untuk mendengar idea yang bakal diutarakan oleh Raxy ini.
"Okay. Ideanya adalah...."
"Sauh dibongkar;
layar pun ditarik;
belayarlah gelung panjang itu,
Bagai pucuk dilancarkan,
Bagai kumbang terputus tali,
Gemuruh ayer dilinggi,
Gemuruh ayer disekat,
Sembur-menyembur liang kumbang,
Tiang agung terangguk-angguk,
Tiang topang imbas-mengimbas,
Gada-gada lilit-melilit,
Tidak terpada lajunya geliung,
Kalau tidak sama yang burung,
Burung bersayap geliung berlayar." lafaz Raxy sambil menggosok-gosok kalungan kristal hijaunya itu.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro