Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 1

PROLOG

ENCIK Adnan campak segugus kunci ke atas meja. Marahnya masih membara. Sudah lama kes ini berlaku, tapi lamanya masa belum meredakan darjah kemarahan pada jiran selang dua buah rumah dari kediamannya. Puan Ilah yang sedang duduk di atas sofa mengerling gelagat si suami. Faham sangat kenapa Encik Adnan terlalu beremosi. Dia pun sama. Apa yang dirasa suami, turut mengganggu perasaannya. Encik Adnan bengang dan radang, Puan Ilah pun meruap-ruap juga. Marahnya sama naik.

Dua bulan yang lalu, pergaduhan besar-besaran berlaku antara Encik Adnan suami isteri dengan Encik Fazlan dan isterinya, Puan Rohana. Puncanya, berebutkan beberapa ekar tanah. Tanah tu sepatutnya menjadi milik Encik Adnan. Dia sudah pun membayar duit pendahuluan beberapa ribu sebagai tanda jadi pada orang tengah. Alih-alih, Encik Fazlan yang dapat miliki tanah tu. Alasannya, Encik Fazlan sanggup bayar dengan harga lebih tinggi. Mana Encik Adnan tak marah. Dia dah lama mengidam tanah tu, sudah di dalam genggaman pun boleh kena caras.

Mengamuk sakan Encik Adnan. Dia heret Puan Ilah pergi serang rumah Encik Fazlan. Riuh-rendah satu taman perumahan jadinya. Tambahan kedua-dua lelaki tu jenis perengus dan banas baran. Buku bertemu ruas. Puan Ilah sama naik terjerit jerau memaki. Puan Rohana tak berdiam diri, dia membalas segala makian juga malah berlebih-lebih lagi. Habis segala isu diungkit sepanjang hidup berjiran.

Mujur ada jiran-jiran yang tak tahan dengar perbalahan yang bukan-bukan tu datang menenangkan keadaan. Dek ada rasa malu yang masih bersisa, kedua-dua keluarga yang bergaduh bersurai. Namun dendam dan amarah masih melekat dalam hati masing-masing. Tak mungkin ada jalan untuk berdamai kembali.

Encik Adnan hempas punggungnya di sebelah Puan Ilah. Dia merengus marah. Tadi semasa perjalanan balik, dia lalu di kawasan tanah idamannya. Ternampak Encik Fazlan sedang meninjau-ninjau tanah yang baru menjadi haknya secara rasmi. Apa lagi, menyiraplah darah Encik Adnan. Zuppp naik ke kepala.

"Aku rasa nak pi bakaq saja tanah tu. Biaq padan muka Si Fazlan. Bongkak sangat gayanya."

Puan Ilah pandang muka suaminya. "Ilah pun rasa macam tu. Hangat hati tak dak dah bila bertembung dengan bini dia kat kedai. Berlagak, macam depa kaya-raya, sebab tu boleh beli tanah mahai-mahai. Kita ni lekeh, nak beli tanah tapi bayaq ciput, sebab tu orang tak mau juai."

"Melampau betui la depa laki bini tu! Megah sangat dengan duit depa. Ingat boleh bawa masuk kuboq ka?" rengus Encik Adnan, keras.

"Itulah... Meluat tengok. Dengan emas sekerat lengan, goyang-goyang kat mata kita ni. Dari dulu lagi perangai menunjuk-nunjuk Si Rohana tu tak sudah-sudah!"

"Ilah! Ilah! Kau keluar sini!"

Tiba-tiba ada jeritan dari luar rumah. Buntang mata Puan Ilah pandang suaminya. Masing-masing sudah maklum siapa yang empunya suara.

"Apa pasai pula mami karat tu mai rumah kita?" tanya Encik Adnan pada Puan Ilah. Hairan. Langsung dia bangun menuju pintu untuk keluar. Puan Ilah mengekor di belakang. Kedua-duanya semakin geram mendengar suara si musuh macam petir memanah di luar. Dada yang sudah sedia panas, terus membakar.

Di pekarangan rumah, Puan Rohana bercekak pinggang, tercegat dengan wajah garang. Matanya membulat besar. Di sebelah Puan Rohana berdiri anak dara keduanya yang berumur dua belas tahun, Fateha.

"Hah, Rohana... Tak cukup lagi ka tanah yang hangpa dapat? Ni nak mai rampas rumah kami pula?!" jerkah Puan Ilah sebaik saja keluar dari muka pintu. Dia pun tak mahu mengalah, sama naik tangan ke pinggang dengan mata dijegil sebesar yang mungkin.

"Eee... Tak inginlah aku dengan rumah buruk kau orang ni! Kalau tak kerana maruah anak perempuan aku, tak ingin nak jejak sini. Buat cacing kat tanah ni masuk kaki aku saja!" balas Puan Rohana dengan nada tinggi.

"Apa pula kena-mengena maruah anak dara hang dengan cacing-cacing kat laman rumah aku? Awat? Cacing ni semua dok perkosa anak hang ka?"

"Memang ada kena-mengena, tapi bukan cacing yang jahat. Anak jantan kau orang tu yang sial!" jerit Puan Rohana.

"Hoi! Jaga sikit mulut tu! Pantang aku bila orang kata keturunan aku sial!" jerkah Encik Adnan, kuat.

"Tak sial ka lagi, kalau umur dua belas tahun tapi dah pandai cabul kehormatan anak dara aku?" Dengan mata terbeliak Puan Rohana menjawab.

"Sapa cabui anak hang?" Mata Encik Adnan kerling susuk tubuh Fateha. Tubuh si gadis sudah mula berubah bentuk dari alam kanak-kanak.

"Paan la! Berani dia raba anak aku!"

"Jangan tuduh sembarangan! Anak aku tak dak kelakuan macam tu! Entah-entah anak kau tu yang merenyam!" protes Puan Ilah.

"Tak percaya bawalah anak jantan kau orang mai sini! Tanya dia sendiri, apa yang dia dah buat pada anak aku!"

Encik Adnan geram , terus pergi cari anak lelakinya Paan yang tengah makan di dapur. Paan diheret ke halaman rumah dengan nasi masih penuh di dalam mulut. Dia yakin Paan tak buat semua tu. Seburuk-buruk perangai dia, tak ajar anak yang bukan-bukan, yang tak senonoh tu. Ni mesti muslihat Si Rohana nak perdajal keluarga dia.

Relaks aje Paan pandang Fateha. Tak ada rasa bersalah sikit pun. Puan Rohana tenung Paan macam singa lapar, bagai hendak patah-patahkan tulang-belulang Si Paan dan ngap seluruh tubuh budak tu.

"Paan! Hang ada buat apa-apa ka pada Fateha chabi tu?" soal Puan Ilah, tak sabar.

"Buat apa, mak?" Paan kerut dahi tak faham. Selamba dia pandang Fateha.

"Jangan buat tak-tak pula, Paan. Baik mengaku... Kau ada pegang-pegang badan Fateha, kan? Masa main kat padang sekolah!" jerkah Puan Rohana.

Laju Paan menggeleng.

"Mana ada, mak cik... Duduk dekat dengan Fateha pun tak, macam mana nak pegang tangan dia?"

"Hoi, bongok! Baik kau mengaku, kau ada raba Fateha, kan?"

"Siapa bongok? Cakap dengan anak aku baik-baik sikit!" tengking Encik Adnan.

"Entah mak cik ni, merepek saja cakap. Fateha tu yang gatai kat sekolah mak cik tak tau. Budak lelaki bukan suka pun dekat dia! Dia yang lebih gedik," jawab Paan, lancang.

Serentak dengan itu, sebelah tangan Puan Rohana melayang ke pipi Paan. "Kurang ajar punya budak!"

Puan Ilah pun tak tunggu lama, pantas dia tarik selendang Puan Rohana hingga tubuh musuhnya hampir mencium tanah. Dia sendiri tak pernah jentik Paan sejak keluar dari rahim, ni senang-senang aje mami karat tu nak tampar. Sudahnya bergomol-gomol kedua-duanya di halaman rumah. Bertarik-tarik rambut dan baju bagai.

Dalam masa yang sama Encik Fazlan sampai, terus dapat hadiah penumbuk daripada Encik Adnan. Bukan sikit-sikit punya tumbukan. Sampai relai beberapa batang gigi di hadapan. Huh! Encik Fazlan balas balik dengan tendangan kuasa enam. Terpelanting tubuh Encik Adnan ke perdu pokok mangga epal. Ambik!

Ainnura dan Faith baru sampai ke situ. Terperanjat yang amat bila lihat tubuh emak ayah masing-masing bergelimpangan di halaman rumah Ainnura. Mereka berpandangan antara satu sama lain.

"Apa dah jadi ni, awak?" Pucat muka Ainnura bertanya.

"Errr... Orang pun tak tau..." Faith menggeleng. Blurrr. Kedua-duanya panik. 

BAB 1

"KITA kahwin, Ain?" tanya Faith dengan suara ikhlas dan perlahan. Wajah Ainnura direnungnya tak berkedip. Sayangnya pada Ainnura tak dapat diluahkan dengan kata-kata lagi dah. Dia nak jadikan Ainnura sebagai kekasih halal dengan kadar segera.

Ainnura telan liur. Tak tahu nak jawab apa. Ikut hati memang nak kata ya tanpa fikir apa-apa lagi dah, tapi akalnya yang waras menegah. Jadinya dia hanya diam terpaku. Membalas renungan Faith dengan pandangan kosong. Sedetik, dua detik... Beberapa detik berlalu, dia masih tak mampu nak jawab apa-apa.

"Orang serius ni awak..."

Ainnura tunduk. "Ain tahu..." ujarnya perlahan.

"Tapi tak ke cepat sangat, awak? Ain pun tak habis belajar lagi..."

"Boleh aje. Kahwin cepat lagi elok, Ain... Daripada kita selalu jumpa macam ni. Dosa tau."

"Kita mana pernah pegang tangan... Kat mana dosanya?"

"Memanglah tak pernah pegang-pegang, tapi mata orang ni selalu renung wajah Ain yang manis tu. Tiap kali jumpa makin bertambah dosa orang. Dah tujuh tahun kita kawan. Dah tak terhitung dosa orang, kan? Tapi kalau kita kahwin, tiap kali pandang Ain, orang dapat pahala tau!" jawab Faith, seiring dengan senyum dan mata nakalnya.

"Faith baru aje kerja, Ain pula ada dua semester lagi nak kejar..."

"Masalah tu ke, Ain?" Sekali lagi mata Ainnura ditatap dengan segala rasa kasih.

Ainnura mengeluh.

"Orang tau apa dalam hati Ain, itu bukan alasannya, kan? Sebaliknya apa yang orang rasa, Ain pun rasa. Nak kita bersatu cepat dan orang boleh jaga, boleh sayangi Ain siang malam, dua puluh empat jam." Faith tersengih-sengih di hujung katanya.

"Tapi Ain takut..."

"Dengan family kita?" serkap Faith.

Perlahan Ainnura mengangguk. "Takut sejarah lama berulang..."

"Ain jangan risaulah. Orang akan slow talk dengan dia orang. Insya-Allah semua akan okey. Niat kita baik, kan? Nak bina masjid, nak buat benda mulia takkanlah dia orang nak halang kut?" Faith angkat-angkat kening.

"Eee... Yakinnya Faith ni!" Lunak jeritan Ainnura.

Faith senyum. Sikit bangga dengan diri sendiri. Yakin itu memang sinonim dengan diri Muhammad Faith. Jika tak, takkan baru dua tahun kerja, umur pun baru setahun jagung, dah berani buka mulut nak pinang anak Pak Cik Adnan yang perengus dan cepat naik tangan itu. Calang-calang lelaki, mahu sentap semua urat saraf bila terpandang mata bakal pak mentua yang bulat dan garang tu.

Mak Cik Ilah, emak Ainnura pun sama. Cengilnya... Aduh, rasa nak tersembam ke tanah bila dengar dia jerit marah. Nasib baik Ainnura tak menurun sikap emak dan abahnya. Ainnura lemah lembut dan sangat sabar. Chewah... Kalau dah sayang tu, semua elok belaka ya, Muhammad Faith? Tak ada satu pun yang hodoh...

"Nak jadi suami orang kan, kenalah yakin dan berani. Jika tak, macam mana abah orang tu nak lepaskan anak dara dia?"

"Faith dah lupa ke yang jelingan Mak Cik Rohana aje pun boleh buat Ain ni kering darah rasa nak pitam, inikan pula nak pi jadi menantu dia. Mustahil mama dan ayah Faith akan restu. Belum dikira pihak Ain lagi. Mesti emak abah mengamuk sakan. Dua-dua orang tua kita bukan sikit-sikit garangnya, Faith. Ingat macam mana dia orang gaduh dulu... Sampai berterabur gigi, patah tangan bagai. Ngeri Ain!"

Faith terdiam. Memikir. Dia tak nafikan kata-kata Ainnura. Mustahil untuk dua pasang musuh ketat itu mengibar bendera putih dan isytiharkan damai sesama mereka demi cinta suci dia dan Ainnura. Ego dia orang tu lebih tinggi dari Gunung Everest. Susah untuk diruntuhkan. Mereka bercinta pun dalam diam-diam. Siapa pun tak tahu. Mana tak rahsianya, setiap kali balik bercuti di rumah, mesti dapat amaran jangan sekali berbaik-baik dengan keluarga Pak Cik Adnan dan keturunannya. Kerling pun tak dibenarkan, Inikan pula bercintan. Adoyai...

"Ya, Ain... Orang faham. Tapi kalau tak cuba kita tak tahu. Masa hadapan kita tak dapat ramal, kan? Mana tahu... Entah-entah sebab perkahwinan ni, boleh buatkan keluarga kita berdamai dan bersatu. Tambah-tambah bila dah ada cucu nanti. Mesti hati dia orang lebih lembut."

Amboi dah fikir pasal anak cucu Si Faith...

"Tapi kalau sebaliknya macam mana? Emak Ain tak pernah ada niat untuk berbaik dengan mama awak. Dengar nama Mak Cik Rohana aje pun dah boleh buat dia melenting sakan, inikan pula hendak bermenantu dan bercucu daripada keturunan mama Faith. Silap hari bulan, perang besar meletus lagi."

Ainnura masih ragu-ragu. Sungguh dia tak percaya, emak dan abahnya boleh buka hati untuk berbaik semula dengan mama ayah Faith. Musuh ketat tujuh keturunan. Ayat yang selalu disebut emaknya. Situasi dua buah keluarga ni sangat complicated. Macam mana nak berbesan?

"Fikir positif, awak... Kita doa banyak-banyak, supaya hati emak dan ayah kita terbuka dan diberi hidayah. Kalau kita tak usaha sekarang, sampai bila? Takkan nak tunggu emak ayah kita tak ada baru nak kahwin? Orang tak mahu..." pujuk Faith dengan suara lembut.

"Ain tak boleh hidup tanpa awak. Dari kecil Ain selalu dengan Faith. Tak dapat bayangkan andai suatu hari nanti kita terpaksa berpisah. Dari kecik, Faith yang jaga Ain, ambil berat pasal Ain. Kalau awak tak ada, macam mana Ain nak hidup?"

Suara Ainnura dah mula sebak. Wajahnya bertukar suram. Kulit putih sudah memerah. Seleranya untuk makan ayam goreng kesukaan pun mati dengan tiba-tiba. Dia sorong baki ayam satu ketul ke hadapan Faith. Biasanya begitulah, Faith yang akan jadi mangsa untuk habiskan makanannya. Tapi Faith tak pernah merungut. Walaupun dia kenyang, Faith tetap makan bahagian yang Ainnura tolak padanya.

"Jangan macam ni, Ain. Tak ada sebab kenapa kita kena berpisah. Orang tetap ada untuk Ain sampai bila-bila. Orang pun tak boleh hidup tanpa Ain..."

"Sebab tu Ain takut kalau Faith minta izin untuk kahwin. Mesti keluarga kita suruh kita putuskan hubungan. Ain tak sanggup!" Air mata Ainnura sudah mula bergenang di tubir matanya.

Faith memandang dengan perasaan sayu. "Ain kena percaya pada orang..." tuturnya perlahan. Dihulurkan sehelai tisu untuk Ain kesat mata.

"Orang akan usahakan yag terbaik untuk masa depan kita. Tugas Ain hanya setuju aje dengan cadangan orang ni. Hal-hal lain biar orang uruskan, ya?"

"Boleh Faith janji takkan tinggalkan Ain?" tanya Ainnura, penuh mengharap.

Faith gelak. Tercuit hati. Rasa comel dengan gaya Ainnura. Macam kanak-kanak tadika.

"Giler ke orang nak tinggalkan adik manis ni. Separuh nyawa orang kut!"

"Tapi awak kan satu-satunya anak lelaki Mak Cik Rohana. Nanti jadi anak derhaka kalau tak dengar cakap mama awak."

"Ain... Dengar sini, orang tak akan jadi anak derhaka pada mama. Begitu juga Ain terhadap emak dan ayah. Dan yang paling penting tak ada siapa pun yang boleh halang hati orang daripada terus menyayangi Ain. Walau apapun yang berlaku, hanya awak satu-satunya perempuan yang ada di sini..." Faith letakkan tangan di dadanya.

"Tak mungkin ada pengganti Ain."

Jelas keikhlasan Faith di mata Ainnura. Dan matanya tak pandai berbohong. Jika itu yang dipandang, itu juga yang dibisikkan pada hati. Dalam erti kata lain, Faith melafazkan janji akan setia padanya saja. Kembang dada Ainnura tiba-tiba.

"Mulut tu... Manis semedang," komen Ainnura perlahan.

Faith sengih. "Dahlah tu... Orang tak suka tengok awak nangis tau. Tak comel!" usik Faith dengan senyum nakalnya semula.

"Cer bagi senyum... Boleh juga buat bekal untuk orang malam nanti!"

Ainnura jeling. "Mengada-ada... Lepas tu lagi mau kompelin banyak dosa..." 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro