Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

PART 42: AMBILLAH HATIKU

DOA BUAT PUSPA

Di ruang menunggu luar ICU, keluarga Arman dan Puspa masih berkumpul. Arman minta walid, umi dan kedua adiknya pulang dahulu, kerana mereka perlu pergi ke sekolah.

"Ala . . . Sarah nak jumpa Kak Long." Sarah membantah.

"Doktor tengah periksa Kak Long," nasihat Arman kepada adiknya.

"Why? Is something wrong?" soal Adam Prakash.

"Puspa menangis," jawab Arman.

"Ya, orang koma kadang kala boleh mendengar dan menangis." Mendatar sahaja suara Adam Prakash. Dia tidak berani mengharap lebih daripada itu. Menurut pengalamannya, dalam mengendalikan kes saman sivil, ia hanya reaksi pesakit yang koma.

"Apapun kita berdoa, mudah-mudahan ia tanda positif," balas Zahari.

Adam Prakash mengangguk. Indah masih menyandarkan kepala di bahunya. Tangisannya sudah berhenti.

Arman terus meminta keluarganya pulang dahulu. "Biar Arman sahaja duduk di sini. Apa-apa Arman bagi tahu walid dengan umi. Mungkin lama lagi doktor periksa Puspa."

Akhirnya Zahari bersetuju untuk balik ke rumah bersama Khadijah, Sarah dan Zaki. Tinggal Arman bersama Adam Prakash dan Indah.

"Apa kamu buat hingga Puspa menangis?" Adam Prakash dia ingin tahu.

"Arman baca surah Al-Hasyr. Arman belajar daripada seorang ustaz semasa di penjara," kata Arman. "The Surah keeps me sane."

Adam Prakash mengangguk dan berpaling kepada isterinya, "Mungkin kita pun patut baca surah itu, honey."

Hospital swasta ini mempunyai dormitory khas untuk mereka yang menunggu pesakit, dengan bayaran. Ia sering penuh dengan keluarga pesakit.

Nasib baik Adam Prakash dapat menyewa satu katil untuk Indah berehat pada malam itu. Kerusi di lobi di tingkat bawah juga penuh dengan waris-waris pesakit yang menunggu. Dia dan Arman mencari tempat untuk melelapkan mata di kerusi panjang di taman di luar hospital. Mujur tak hujan. Dalam kecemasan, peguam kanan dan orang biasa jadi sama sahaja.

Masuk waktu subuh Arman dan Adam Prakash solat berjemaah di surau berdekatan. Adam minta Arman menjadi imam. Tiga orang lain yang tidak dikenali turut menjadi makmum. Tidak lupa mereka panjatkan doa untuk kesihatan Puspa. Lepas solat Adam Prakash ajak Arman dan Indah mengisi perut di kantin hospital. Mulanya Indah enggan meninggalkan ruang menunggu. Setelah dipujuk, baru dia ikut sekali.

Arman baru sedar dia tak makan sejak semalam. Dia ambil nasi lemak bungkus dan pesan kopi pekat. Itu saja yang dia rasa boleh masuk ke dalam perutnya pada waktu itu.

"Ayah, Ibu, I will marry her as soon as she wakes up," katanya, sebaik sahaja menghabiskan nasi lemak bungkusnya. Ayatnya seperti satu pengumuman, bukan permintaan.

Mereka bertiga sedar kemungkinan Puspa akan mengalami kesan daripada koma. Mungkin lumpuh atau bisu, atau kedua-duanya, disebabkan kenyataan doktor tentang kesan racun kepada saraf dan hati. Tetapi tiada seorang pun ahli keluarga membuka mulut mengenainya.

"I am okay with that," kata Adam Prakash sambil memandang isterinya.

Indah mengangguk sahaja. Dia sedar Arman mahu menjaga Puspa, tanpa halangan agama. Dia harus patuh. Dia amat memahami anaknya. Puspa sendiri takkan mahu dijaga oleh jururawat yang tidak dikenali, atau menyusahkan ibu dan ayahnya.

Lepas sarapan mereka naik semula ke unit ICU di tingkat empat. Setibanya di ruang menunggu, Malik sudah sampai bersama dengan beberapa orang pegawai polis. Arman perkenalkan Malik kepada Adam Prakash.

"Adakah pihak polis mahu menahan reman dia kerana merusuh?" soal Adam Prakash kepada pegawai polis itu. Ayatnya skema seperti selalu ketika berhadapan dengan pegawai penyiasat dalam kes pergaduhan.

"Oh tidak . . . Kami cuma siasat sahaja. Dia pukul dua orang itu sangat teruk. Seorang masih koma. Luka organ dalaman. Seorang lagi patah dua tulang rusuk," kata pegawai polis itu dan menambah, "Yang dua orang lagi juga teruk. Seorang retak tempurung kepala, seorang patah kaki."

"Memang patut kena belasah pun," kata Malik. Dia tahu yang dua orang itu dibelasah Arman. Yang retak tempurung kepala itu mungkin kena baling dengan topi keledar.

Adam Prakash mengangkat tangan menyuruh Malik diam. "Saya akan jadi peguam bela dia kalau ada dakwaan daripada pihak polis," katanya.

"Kami masih siasat kejadian kelmarin. Saya perlu juga keterangan saksi," kata pegawai polis yang masih muda itu menunjuk kepada Arman dengan ibu jari tangannya.

Adam Prakash. memberi jaminan akan akur kepada kehendak undang-undang. "Okey. Lepas kami dapat update daripada doktor tentang anak saya, kami datang ke balai."  

Dua orang polis meninggalkan ruang menunggu manakala dua orang lagi masih tinggal di situ.

"Kami dapat arahan supaya memberi perlindungan kepada 'mangsa' . . . Errr . . . Maksud saya Cik Puspa Kamilah," kata pegawai itu sebelum pergi.

Adam Prakash tahu 'arahan' itu mungkin hasil permintaan Datuk Haidar yang masih dihormati oleh pihak berkuasa, walaupun sudah lama bersara. Baru sahaja dia menerima mesej sekejap lagi mentuanya tiba.

Arman dan Malik mengambil tempat duduk di kerusi panjang yang tersedia. Arman perhati ada tanda lebam-lebam pada lengan Malik. Mungkin dia guna tangan itu ketika menangkis serangan dua penjahat semalam. Wajahnya kelihatan letih.

"Kau tentu letih, bermalam di balai."

"Okey saja. Sekurang-kurangnya aku dapat tidur," jawab Malik selamba. "Kau lagi teruk."

Arman tidak menjawab.

"Kata polis dua daripada empat penjahat itu pekerja syarikat Dzafri," ujar Malik setelah melihat sahabat baiknya yang selalu becok itu membisu sahaja.

"Hah? Takkan dia?" Kali ini Arman menunjukkan reaksi. "Bukankah dia sudah berjanji dengan Suhail tidak akan ganggu keluarga aku?"

"Aku percaya bukan dia. Mungkin ayah dia atau mak tirinya." Malik menduga. "Mungkin sekarang Dzafri dah sampai di balai."

*****

AMBIL SAJA HATIKU

Perbualan mereka terhenti apabila pintu bilik ICU terbuka. Mereka semua bangun menuju ke pintu. Doktor beritahu racun yang digunakan sudah dikenalpasti daripada picagari yang ditemui polis di tempat kejadian. Masih ada bahan itu dalam picagari tersebut. Kemungkinan besar mereka tidak sempat menghabiskannya kerana perbuatan itu dihalang Arman yang sempat tiba.

Malangnya dadah bercampur racun yang amat toksik itu sudah mengganggu hati. Kalau rawatan perubatan gagal dan kerosakan berlaku, pindahan hati mungkin akan diperlukan.

"Ambil dari saya doktor. Saya sihat," kata Arman.

Semua wajah memandang Arman. Jelas! Mereka bimbang kerana Arman seorang ahli sukan lasak. Bolehkah? Tiada kesan sampingankah? Itulah yang mereka fikirkan.

Doktor mencatatkan sesuatu di kertas dan dihulur kepada Arman. Ia mengandungi catatan lokasi dan nama doktor di unit penderma organ.

Berita baiknya, Puspa sudah bernafas sendiri, tanpa bantuan alat penafasan. Cuma dia masih koma. Kata doktor, tidak ada rawatan khusus yang boleh mengeluarkan seseorang daripada koma. Pihak hospital hanya boleh membuat rawatan menghalang kerosakan fizikal dan neurologi. Katanya pihak hospital memiliki tenaga pakar untuk fisioterapi dan urut.

Arman teringat isteri Jack yang juga pakar fisioterapi dan urut. Agaknya bolehkah diambil pakar dari luar hospital untuk tujuan rawatan fizikal? Jamilah ada 'magic touch' kata Jack. 

Pihak hospital tidak ada masalah kalau waris mahu tenaga pakar mereka sendiri. Malah ia dialu-alukan kerana tenaga pakar fisioterapi hospital itu amat terhad.

Malik ingin berjumpa Puspa dan ajak Arman masuk sekali. 

"Bukan Puspa tahu pun, asalkan kau tak bersuara", katanya. Malik nakal sungguh. Orang koma pun dia nak usik.

"Aku nak sembang dengan Puspa. Dan aku nak kau dengar apa yang aku sembang dengan Puspa," sambungnya.

Semalam uminya nak dia dengar buah butir sembangnya dengan Puspa. Sekarang Malik pula.

Mereka masuk bersama. Malik duduk di kerusi plastik di sebelah katil Puspa. Arman berdiri di sebelahnya.

"Puspa. Bila kau nak bangun?" Itu mukadimah Malik.

"Engkau ingat lagi tak, apa engkau kata masa mula-mula jumpa Arman? Apa? . . . Engkau pura-pura lupa kan? Tapi aku ingat lagi. Engkau kata lebih kurang begini: 'Finally you are here. Well, better late than never'. Aku ingat lagi sebab masa itu kami budak engine memang berebut-rebut nak tackle kau."

Malik berpaling ke arah Arman dan melemparkan sebuah senyuman.

"Tahu sajalah bila budak lelaki engine jumpa budak perempuan law yang comel. Macam Empat Hukum Termodinamik tu dah salah, tahu?"

"Kau datang bawa hukum hati. Macam bidadari bawa cahaya yang bersinar terang. Tapi hati kau cuma pada seorang itu sahaja, walaupun masa itu dia bengap pilih yang palsu, tak nampak bidadari."

Pedas. Namun, Arman abaikan sahaja sindiran sahabatnya itu. 

"Tapi kali ini, selepas dia nampak bidadari, kau pula tidur memanjang..."

Tiba-tiba Puspa tersenyum. Tetapi secepat mana senyuman itu datang, secepat itu juga ia pergi. Malik menyedut hingus dan mengesat air mata.

"Kau sendiri yang kata 'better late than never.' Jadi aku, Abdul Malik Haffaz Bin Hakim, mohon kau bangunlah. Lewat pun tak apa. Janji kau bangun, jangan tak bangun."

Suara Malik sudah menjadi sebak. Dia bangun dan tanpa berpaling, berjalan menuju ke arah pintu, membukanya dan keluar. Tinggal Arman sendirian dan berasa matanya turut tergenang.

Kedengaran bunyi pintu dikuak. Arman menoleh. Indah melangkah masuk.

"Puspa senyum," kata Arman.

"Itu yang Malik beritahu kami tadi. Sebab itu ibu nak tengok," kata Indah.

Arman tidak menjawab. Takut suaranya tersangkut kerana sebak.

Nampaknya Indah sudah semakin tenang. Dia merenung wajah anaknya dan mengusap-usap pipi Puspa dengan lembut.

"Kita semua sayang dia. Anak Ibu ni sangat baik hati . . . Dari kecil asyik nak tolong orang saja. Siapalah yang jahat sangat buat anak Ibu macam ini?"

Arman terasa sebaknya semakin terkumpul.

*****

ANGKARA SIAPA?

Setelah memberi keterangan, Arman, Adam Prakash dan Malik berjalan keluar dari balai polis. Dzafri menunggu di tempat letak kereta. Dia ditemani Sam dan Guna.

"Sumpah. Saya tak buat kerja jahat sampai nak bunuh orang," tegasnya.

Adam Prakash merenung tajam ke wajah Dzafri.

"Sumpah Tuan. Saya tak macam itu. Lagipun saya dah insaf," sambungnya.

"Jadi, kamu masih nak menyerah diri selepas ini?" soal Adam Prakash.

"Saya tak takut, sebab tentang hal Puspa kena serang ini tak ada kaitan dengan saya. Tadi saya dah beri keterangan, tanpa peguam. Saya mengaku dua orang itu pekerja saya. Tetapi bukan saya yang arah diorang buat kerja jahat tu. Mungkin Mona."

"Kamu bagi tahu polis begitu?" soal Adam Prakash lagi.

"Saya minta polis siasat Mona . . . Dari apa yang saya dengar . . . Apa yang dia dan ayah saya cakap."

"Sepatutnya kamu tunggu peguam," ujar Adam Prakash.

"Saya rasa tak sempat. Saya mesti jelaskan kepada polis dengan segera."

Adam Prakash melihat jam di tangannya. Dia ajak mereka solat di masjid berdekatan balai polis itu, sebelum berbincang mengenai langkah seterusnya.

Mengikut rancangan awal, Badan Bertindak Kampung Seri Bahagia akan membuat laporan ke SPRM selesai solat Jumaat. Lepas itu Puspa akan bawa Dzafri menyerah diri dengan membawa dokumen. Pelan kekal dengan pindaan, Adam Prakash akan bawa Dzafri. Bagi Adam Prakash, kes ini sudah lebih daripada penyelewengan dana kerajaan, tetapi cubaan bunuh.

*****

APARTMEN DATUK HAIDAR

Selesai menunaikan solat, Adam Prakash mendapat panggilan telefon daripada Datuk Haidar meminta pergi ke sebuah apartmen. Datuk Haidar gunakan apartmen itu sebagai salah satu daripada tempat perjumpaan 'rahsia' stafnya. Dzafri akan dibawa ke satu apartmen lain demi keselamatannya. Seorang pegawai SSH akan bawa kereta Dzafri 'makan angin' untuk mengelirukan mereka yang kini mungkin sedang mengawasinya. Semua persediaan itu Datuk Haidar buat secara percuma. Biasanya perkhidmatan keselamatan akan memakan belanja ribuan ringgit, mungkin jutaan bergantung kepada risiko yang ditanggung firmanya.

Apartmen itu kelihatan seperti mana-mana apartmen mewah lain di bandaraya itu. Ia dihias ringkas, minimalist dan kelihatan masculine.

Datuk Haidar menyambut mereka dengan gembira. Dia ditemani seorang bodyguard  yang berbadan tegap dan berwajah garang. Sepucuk pistol tersangkut di tepi ketiaknya.

"Your mother is in the hospital," katanya apabila Adam Prakash bertanya di mana Datin Kalsum.

Dia diperkenalkan kepada Arman.

"So this is the famous Arman," kata Datuk Haidar, dengan senyuman lebar.

Arman salam dan cium tangan Datuk Haidar. Itu kebiasaan yang diajar uminya jika bersalam dengan orang tua. Ini pula orang tua itu atok kesayangan Puspa. Melihat perawakan dan penampilan Arman dari dekat, Datuk Haidar memahami kenapa cucunya begitu bersungguh-sungguh mempertahankannya.

"And this is the famous buddy?" katanya kepada Malik yang tersengih.

"Kamu semua mesti lapar kan? Saya sudah order makanan. Kejap lagi mereka hantar ke sini."

Datuk Haidar sangat tenang, walaupun cucunya sedang terlantar di hospital. Mungkin juga kerana pengalaman puluhan tahunnya di jabatan polis dan kemudian terlibat dengan kegiatan surveilans. Semua itu perlu pemikiran yang sentiasa tenang.

"I am an old man now. I just want peace in this country before I leave," katanya merendah diri.

Tiada siapa yang komen kata-katanya. Semua sudah letih dengan kebejatan yang berlaku.

"You can freshen up or even have your shower here."

Adam bangun. "Can I use your bathroom ayah?"

"Go ahead, ada towel bersih di sana. Arman, Malik, kamu berdua boleh guna bilik air yang satu lagi."

Loceng berbunyi. Pengawal keselamatan dengan pantas membuka pintu. Macam yakin sahaja. Seorang wanita masuk. Dia terus ke bilik dan entah apa dibuatnya di sana.

"Nanti lepas mandi ambil t-shirt dan pakaian dalam bilik itu. Memang kami sediakan untuk staf kami yang out station. Pakailah sementara belum balik rumah. Baju kamu bagi pada makcik ini, nanti dia basuh," kata Datuk Haidar.

Dia sudah biasa memberi arahan kepada orang. 

*****

💜

*Siapa yang tak kenal Datuk Haidar kena baca bab di awal cerita.*

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro