Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

PART 41: BANGUN SAYANG

SERANGAN GHAIB

Puspa melihat jam tangannya. Sekejap lagi Arman tiba. Degil betul lelaki itu. Dah kata datang esok, tapi Arman putuskan talian. Sekarang mungkin dalam perjalanan

Dia rasa rimas menunggu dalam pejabatnya, walaupun pendingin hawanya berfungsi dengan baik. Semakin lama suhu di bilik semakin panas dan menyesakkan.

Rosak kot aircond ini? Baik tunggu dalam gazebo di tepi tasikAngin petang tentu nyaman, fikir Puspa.

Dia tutup pendingin hawa, ambil beg tangan dan keluar.

Terperanjat Puspa apabila di luar pintu utama, dia melihat pengawal keselamatan terbaring tidak bergerak. Puspa berpaling untuk masuk semula ke pejabat, tetapi dia dihalang oleh seorang lelaki bertubuh tegap yang memakai balaclava. Puspa undur. Tetapi tubuhnya dipegang dengan kasar oleh seorang lagi penyerang dari belakang.

Arman yang baru tiba nampak Puspa bergelut dengan dua lelaki. Sambil berlari dia membuka helmet dan membalingnya dengan sepenuh tenaga pemain ragbinya. Helmet itu tepat mengenai kepala seorang daripada penyerang itu. Lelaki itu terjatuh dan menggelupur kesakitan. Seorang lagi cuba melarikan diri. Arman kejar dan terajangnya dengan kaki kanan sehingga terpelanting.

Puspa jatuh terjelepuk di atas anak tangga anjung bangunan itu.

"Abang . . . Puspa tak boleh bangun . . ."

Dua orang lagi penyerang keluar dari kereta SUV untuk membantu rakannya ketika Arman berpaling untuk menolong Puspa. Di saat itu  Malik tiba. Pantas dia melompat keluar dari keretanya  dan terus membelasah penyerang-penyerang itu. Arman tumpukan perhatiannya kepada Puspa.

Kedengaran bunyi tayar berdecit, menunjukkan  ada kereta yang dipandu untuk melarikan diri.

Mata Puspa tertutup rapat dan badannya terkulai longlai. Arman angkat tubuh Puspa dan pangku kepalanya dan separuh badannya.

"Puspa!" Dia memanggil sambil menepuk-nepuk pipi Puspa. Tiada apa-apa reaksi.

Dia rasa nadi di tangan. Sangat lemah, hampir tidak ada. Dia dongakkan muka Puspa dan rapatkan telinga ke mulut Puspa. Tiada tanda penafasan.

Arman semakin panik. "Puspa sayang! Bangun!"

Langsung tiada reaksi.

"Puspa Kamilah! Bangun Sayang!" Dia memanggil lagi. Kini badan Puspa digoncangnya.

Masih tiada reaksi.

Tak mungkin!

Dia mendongak dan melihat Malik berdiri di sebelahnya. Dua orang penjahat yang dikerjakan mungkin sudah mati atau setengah mati. Kekuatan pukulan Malik memang amat dahsyat.

Tenang Arman! Hatinya bersuara. CPR! Aku tahu buat CPR! 

Lalu dia longgarkan tudung Puspa. Tangannya menggigil ketika membuka keronsang kecil di dagu Puspa.

"Biar aku buat," kata Malik. Dia tahu apa yang cuba dibuat Arman.

Lepas tudung terlerai, tinggal anak tudung yang dibiarkan oleh mereka. 

"Bismillah hir Rahman nir Rahim. La ilaha illa anta subhanaka inni kuntu minaz zalimin"

Arman buka mulut Puspa, picit hidungnya, rapatkan bibir dan hembus nafas ke mulut.

"Macam mana?" Kedengaran suara Malik bertanya dengan suara bimbang.

Arman tidak menjawab. Dia ulangi hembusan. Tetapi masih tiada reaksi daripada Puspa.

Tenang Arman. Hatinya terus memujuk.

Dia tekan dada Puspa dengan kedua-dua belah tangannya. 15 kali seperti yang diajar oleh jurulatihnya dahulu. Dia letak telinga ke mulut, masih tiada penafasan. Dia ulang CPR, untuk pusingan kedua. Sekali lagi dia letak telinga hampir ke mulut Puspa. Terasa seperti hembusan nafas. Tetapi dia tidak pasti. Nafasnya sendiri seperti mahu terputus. Jantungnya sendiri berdegup kencang bagai mahu melompat keluar dari dadanya.

"Malik, kau dengar . . ."

Malik letak telinga dekat mulut Puspa, kemudian meletakkan tangannya di situ.

"Alhamdulillah" kata Malik, mengukir segaris senyuman kecil.

"Tapi kenapa Puspa tak terbatuk dan tak buka mata?" 

Air mata Arman mengalir tidak boleh ditahan lagi.

"Puspa Kamilah! Bangun sayang!" Dia memanggil lagi. Pipi Puspa diusap-usapnya. Dia harap sentuhannya dapat membuka mata Puspa.

"Sabar Arman," pujuk Malik. Belakang Arman digosoknya.

Bunyi siren ambulans yang tadi dipanggil Malik kedengaran seperti muzik di telinga kedua sahabat ini. Bunyi siren itu semakin hampir dan berhenti. Dua orang paramedik menghampiri mereka dengan peralatan penafasan. Terus paramedik itu memasangnya ke muka Puspa.

"She is breathing," kata salah seorang paramedik dengan senyuman lega.

"But why wouldn't she wake up?" soal Arman.

"Jangan bimbang. Kita bawa ke hospital," jawab paramedik  yang seorang lagi.

"Malik, tolong telefon Ayah Adam dengan Ibu Indah," kata Arman sebelum turut masuk ke dalam ambulans.

Ketika keluar dari WISMA IKHTISAS ambulans yang membawa Arman dan Puspa berselisih dengan trak dan kereta polis yang baru sampai.

Terima kasih Malik. Kau sahabatku dunia akhirat.

*****

KOMA

Perjalanan ke hospital swasta itu dirasanya amat lama walaupun sebenarnya hanya beberapa minit. Arman duduk di lantai ambulans, memegang dan menggosok tangan Puspa yang sejuk di sepanjang perjalanan.

Setibanya di hospital beberapa pekerja terus bertindak pantas. Mereka kelihatan sangat profesional menghadapi situasi kecemasan daripada pelbagai jenis dan rupa. Puspa segera dibawa ke unit kecemasan dan terus dimasukkan ke ICU.

Arman hanya menunggu di luar bilik ICU. Menunggu Adam Prakash dan Indah untuk menyampaikan berita buruk. Ruang menunggu itu menyediakan beberapa buah kerusi panjang untuk waris pesakit yang sedang mendapat rawatan di ICU menunggu.

Akhirnya pintu ke ruang menunggu itu terkuak.

"What happened?" soal Indah memandang Arman.

Arman hanya menggelengkan kepala. "Puspa diserang."

Adam Prakash mahu tahu bagaimana ia berlaku.

"Penyerang itu memang menunggu Puspa keluar pejabat. Kebetulan Arman tak sedap hati, Arman nak sangat jumpa Puspa. Jadi Arman datang. Arman nampak semuanya. Empat orang. Mujur Malik, our friend, he followed me. He helped us."

"Where is Malik?" soal Adam Prakash kerana dilihatnya hanya Arman seorang di situ.

"Probably got arrested. He'd beaten up the attackers really bad," jawab Arman. 

Pandangannya kembali ke pintu masuk ICU.

Banyak lagi soalan Adam Prakash. Nalurinya sebagai ayah dan sebagai peguam ingin tahu apa yang berlaku. 

Indah menyapu air mata dengan jari-jarinya.

"My beautiful baby . . ." katanya dengan suara perlahan dalam esakannya.

Jam di dinding bilik menunggu dirasakan bergerak dengan amat perlahan bagi Arman. Pintu bilik ICU masih tertutup rapat. Apa yang mereka sedang lakukan kepada Puspa? Takkan serius sangat?

Arman dilanda seribu kekesalan, kebimbangan, persoalan dan kemarahan yang bercampur baur. Mengapa Puspa keluar? Tentu mahu menunggunya. Tetapi . . . Siapa  penyerang tu? Yang bergaduh dengan kartel dadah aku. Mengapa serang Puspa?

Pintu ke bilik menunggu terbuka lagi. Masuk Khadijah yang memegang tangan Sarah dan Zahari. Di belakang mereka Zaki. Cepat juga mereka sampai. Zahari bersalaman dengan Adam Prakash. Khadijah memeluk Indah. Inilah pertama kali mereka bertemu. Lama mereka berpelukan.

Petang sudah menginjak ke malam. Akhirnya pintu bilik ICU terbuka. Seorang doktor bersama seorang jururawat keluar. Semua yang ada di ruang menunggu itu menerpa ke arah doktor itu, dengan soalan yang sama.

Puspa disuntik dengan satu jenis dadah yang toksik, atau mungkin dicampur racun, kata doktor itu hasil pemeriksaan pasukannya. 

"Kita belum tahu dadah jenis apa. Kita sudah bersihkan organ dalaman pesakit untuk mengeluarkan sisa toksik itu. Kita sudah halang racun itu daripada mengganggu buah pinggang dan pundi kencing. Kita sedang memantau keadaan hatinya." jelasnya

"Kenapa dengan hatinya?" soal Arman.

"Dia kena suntikan overdose dadah yang masih misteri. Jadi kita kena pantau."

"Do you mean her liver is  . . . damaged?" soal Adam Prakash pula.

"We don't know yet," jawab doktor itu.

"Ya Allah!" keluh Indah.

Dia hampir terjatuh jika tidak dipegang oleh Adam Prakash.

"She is such a wonderful girl. She helps everybody. How could they do this to my baby!" Indah terus tersedu-sedan.

Adam Prakash memeluk isterinya untuk menenangkannya.

"The paramedics reported someone gave the patient CPR," kata doktor itu.

Arman diserang panik. "Saya buat CPR . . . Kenapa doc? Saya silap ke?"

Doktor itu senyum, memberi semangat, "Tidak. Mujur awak buat CPR. Awak sudah selamatkan dia. Kalau tiada bantuan awal, nafas yang terhenti lama boleh menyebabkan kerosakan otak."

"Tolong doktor. Tolong anak saya," rayu Adam Prakash.

"Sekarang dia dalam keadaan shock . . . Er . . . Terkejut," kata doktor itu.

"Maksud doktor, koma?" soal Adam Prakash.

Tangisan Indah semakin memilukan. Khadijah dan Sarah turut menyapu air mata.

Dada Arman terasa berat. Nafas tersekat. Air mata bergenangan. "Ibu, maafkan Arman tak jaga Puspa dengan baik . . ." 

Kali terakhir dia menangis bila mendengar berita Nora memutuskan pertunangan. Puspa membantunya keluar daripada kepompong putus asa. Tapi petang ini sudah dua kali dia menitiskan air mata.

"Tidak . . . Kamu sudah selamatkan dia. Kamu selamatkan dengan beri dia CPR, kata doktor."  Adam Prakash memujuk. Dia pun tidak mahu Arman menyalahkan dirinya sendiri.

Adam Prakash biasa melihat dan urus kes orang dipukul dan koma. Tetapi itu orang lain. Dia urus secara profesional. Ini anaknya sendiri. Kali ini dia berasa sukar mengawal kesedihannya. Dia pandang Arman yang jelas nampak sayu. Dia empati. Tetapi dia sendiri sedih.

Doktor benarkan mereka masuk untuk melihat Puspa. Hanya dua orang dibenarkan setiap kali dan masa yang terhad.

Adam Prakash dan Indah masuk dahulu. Arman dan keluarganya menunggu di luar.

*****

ALLAH TOLONGLAH DIA

Seribu kekesalan menyerang Arman bertubi-tubi. Kesal kerana tidak dapat melindungi Puspa. Kesal kerana pernah menyakiti hati Puspa.

Arman tidak berani bertentangan mata dengan Adam Prakash dan Indah ketika mereka keluar dari bilik ICU. Dia hanya tunduk melihat lantai dingin hospital. Tetapi Adam Prakash menyentuh bahunya dan menyuruhnya masuk bersama uminya.

"Mana tahu, kalau Arman sembang dengan Puspa, dia dengar dan cepat bangun," katanya, memberi semangat.

Pilu Arman ketika melihat pelbagai wayar dan tiub peralatan yang bergantungan dan bersambungan dengan tubuh Puspa.

Apa yang berlaku sebenarnya?

Khadijah nampak lebih tenang. Dia duduk di kerusi berdekatan. Tangan Puspa dipegang dan dielusnya lembut.

"Puspa, dengar sini nak. Umi minta maaf. Umi selalu sangsi kamu tidak cukup sayang kepada Arman. Maklumlah . . . Anak umi bukan siapa-siapa. Umi takut kamu tinggalkan dia macam Nora dahulu . . . Sebab itu umi tidak layan kamu dengan cukup baik. Walaupun kamu sudah cuba buat umi senang hati . . ."

Inilah kali pertama Arman mendengar suara sebenar uminya. Kesangsian terhadap cinta Puspa. Kesangsian yang sebenarnya dia sendiri turut rasai. Arman peluk tubuh ibunya.

"Umi . . . Umi tak salah. Umi dah layan Puspa dengan baik. Puspa tak pernah bersungut." Dalam hati Arman teringat Puspa merajuk ketika Nora beria-ia tidak mahu melepaskannya.

Air mata Khadijah semakin banyak tumpah. Kata-kata Arman buat dia kesal kerana dalam detik hatinya, masih terselit rasa ingin membandingkan Puspa dengan Nora, walaupun secara zahir dia menafikan.

"Puspa sayang. Cepat bangun ya nak. Nanti umi buat gubahan bunga cantik-cantik untuk Puspa."

Khadijah berpaling memandang Arman.

"Umi dah habis cakap. Umi puas hati Arman dah dengar suara hati umi. Arman nak cakap apa, cakaplah. Umi keluar dulu."

Dia bangun, menyeka air matanya dan keluar meninggalkan Arman bersendirian.

Arman duduk di kerusi bersebelahan katil Puspa. Wajah Puspa yang pucat ditatap.

"Puspa sayang, abang tak pandai susun ayat . . ."

Baru satu ayat. Air matanya sudah kembali bertakung.

"Dulu Puspa janji tak akan tinggalkan Abang, walau apapun terjadi. Puspa mesti kotakan janji itu."

Tiada apa-apa reaksi daripada Puspa. Hanya nafas Puspa dan bunyi tut tut dari peralatan yang berselirat itu yang kedengaran.

Air mata diseka.

Arman teringat satu surah yang dia hafal ketika dalam penjara. Surah Al-Hasyr. Lalu, dia membacanya untuk Puspa supaya kurang kesakitan yang ditanggungnya.

"Abang baca surah Al-Hasyr. Kalau Puspa dengar, Puspa baca sekali ya . . ." katanya, penuh harapan.

Dia baca keseluruhan surah itu. Pada ayat 21 hingga 24, dia ulang tiga kali.

Dia lah Allah, yang tidak ada Tuhan melainkan Dia; Yang Mengetahui perkara yang ghaib dan yang nyata; Dia lah Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. (Al-Hasyr 59:22).

Dia lah Allah, yang tidak ada Tuhan melainkan Dia; Yang Menguasai (sekalian alam); Yang Maha Suci; Yang Maha Selamat Sejahtera (dari segala kekurangan); Yang Maha Melimpahkan Keamanan; Yang Maha Pengawal serta Pengawas; Yang Maha Kuasa; Yang Maha Kuat (menundukkan segala-galanya); Yang Melengkapi segala KebesaranNya. Maha Suci Allah dari segala yang mereka sekutukan denganNya. (Al-Hasyr 59:23).

Selepas selesai membacanya, dia perhati wajah tenang Puspa. Air mata Puspa mengalir dari kelopak mata yang tertutup rapat.

"Puspa dengar kan? Kalau dengar, Puspa bangunlah."

Air mata Puspa disekanya. Tangan kanan Puspa dipegang. "Abang nak letak cincin di sini. Abang nak jadikan hubungan kita halal. Abang tak mahu hidup sendiri. Abang tak kuat, Puspa."

Air mata Puspa terus mengalir. Arman picit loceng untuk memanggil doktor. Dia tahu orang koma kadangkala menangis. Puspa belum sampai 24 jam tidak sedarkan diri. Tetapi tak salah meminta doktor memeriksa. Jururawat datang dan bertanya apa keperluan. Arman sebut tentang Puspa yang menangis. Jururawat memanggil doktor yang kemudiannya datang bersama pelatih.

Mereka meminta Arman keluar kerana mereka mahu memeriksa pesakit. 

*****

💕

*Penggunaan ayat 21-24 dari Surah Al-Hasyr ini Sis belajar daripada seorang pengamal rawatan Islam di Selangor. Sis kongsi ayat itu dan maknanya, untuk pembaca Muslim.*

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro