BAB 57: ADIWARNA KASIH
ISTERIKU, KEKASIHKU
Petang esoknya Puspa dibawa pulang. Seluruh keluarga bersyukur kerana Puspa sudah boleh bertutur seperti normal, walaupun dia masih memerlukan tongkat siku untuk berjalan bagi menyokong kakinya. Tetapi doktor sangat positif Puspa akan berjalan secara normal tidak lama lagi.
Mereka mengadakan kenduri kecil yang dihantar di surau berdekatan. Hanya kaum lelaki yang terbabit.
Penat menunggu Arman di ruang tamu sambil menonton TV, Puspa masuk ke bilik tidur. Seperti malam-malam lain, Puspa memakai baju tidur biasa sahaja. Kain cotton, warna putih gading, lengan pendek dan labuhnya di tengah paha. Ada gambar dua hati warna merah di dada. Puspa menyisir rambut ikal mayangnya dengan jari dan dibiarkan lepas.
Tiba-tiba dia dipeluk dari belakang. Terus dia menyiku.
Adoi!
Puspa menoleh. Alamak! Tersiku Encik Suami!
Arman berkerut muka. Bukannya sakit pun. Dia sempat mengelak. Jadi, siku Puspa terkena sedikit di tepi perut. Dia tunjuk muka sakit untuk menagih simpati sahaja.
"Sorry abang . . . Puspa terkejut . . ."
Dia tarik Puspa ke arahnya, peluk dan cium dahi Puspa. "Abang lupa, Puspa masih trauma."
Sungguh! Dia terlalu teruja.
Mereka panjat katil dan duduk berhadapan. Senyum-senyum macam baru pertama kali bertemu.
Tiba-tiba Puspa terasa malu. Pandangan dialihkan ke dinding.
"Tengok sini," kata Arman sambil memaling muka Puspa supaya memandangnya. "Sebelum kita sambung cerita kita . . . Abang nak tanya kenapa tiap kali Abang mandikan Sayang, pakaikan baju, Sayang menangis? Kenapa ya?"
"Sebab . . . Puspa rasa tak adil . . ."
"Apa yang tak adil? Abang kan suami. Itu tanggungjawab Abang."
"Yalah . . . Abang saja yang sentuh Puspa satu badan. Tapi Puspa tak dapat sentuh Abang."
Lepas mengeluarkan kata-katanya, Puspa terus menutup mulut nya sendiri. Tersedar dirinya sudah terlajak cakap. Freudian slip. Arman ketawa terbahak-bahak. Dia terus membuka bajunya dan mencampakkannya ke lantai.
"Eh abang . . . Kenapa buka baju?" soal Puspa tiba-tiba panik.
"Tadi kata nak adil kan? Kata nak sentuh Abang?" Arman menyakat. "I am all yours. Touch me anywhere."
Puspa kesipuan. Dia terus melorotkan tubuhnya masuk ke dalam selimut. Malunya! Arman sentap selimut. Puspa terus duduk sambil cuba membetul-betulkan baju tidurnya yang terselak ketika selimut disentap kuat.
"Tak payah nak tutup-tutup. Abang dah tengok semuanya," kata Arman, masih tersenyum-senyum.
"Abang kalau nak menuntut hak, cakap saja . . ." kata Puspa. Dia tahu dirinya sudah mengarut, kerana terasa malu terlebih gedik.
"Ini bukan mahkamah, nak buat permohonan rasmi bagai . . ." jawab Arman, kemudian suaranya diperlahankan. "Tapi kalau Puspa tak bersedia, abang faham."
Matanya merenung Puspa, redup, bukan memaksa.
Puspa tolak tepi kesipuannya. Arman suami pilihan hatinya, yang dipertahankan sampai setengah mati. Dibalas permohonan yang datang daripada mata itu dengan ciuman lembut di leher Arman. Tanda satu kerelaan.
Arman senyum, menyambut sensasi sentuhan bibir Puspa. Lantas tertutup kawalan otaknya ke atas pancaindera. Mata tertutup saat bibir bertaut. Dunia jadi sunyi sepi, bagai terhenti waktu. Tiada lagi kedengaran suara burung pungguk yang mendayu-dayu. Hanya desah nafas mereka berbicara tanpa kata.
Aku cintakan kau Puspa Kamilah!
Aku cintakan kau Arman Naim!
Sesungguhnya saat terindah dalam kehidupan itu tidak dilihat tetapi hanya dirasai oleh hati. Begitulah adiwarna dalam kasih yang disemai oleh cinta yang halal.
Arman dan Puspa bersama melepas rindu.
*****
BADAR MATI
Esok paginya Arman menghadap sarapan agak terlewat. Walid dan adik-adiknya sudah pergi ke sekolah. Tinggal Khadijah yang mengemas dapur. Dia menjeling anaknya dengan ekor mata. Senyum. Nampak ada kelainan di wajah anaknya. Hilang sudah kesedihan yang sesekali dilihat melintas di wajahnya.
"Mana Puspa?" soalnya. "Selalu keluar sama-sama?"
"Dia lambat sikit," jawab Arman sambil mencedok nasi lemak.
Puspa sebenarnya malu nak keluar awal. Rambutnya yang lebat, kalau dibasuh, lambat kering. Sudahlah tadi bangun tidur hampir serupa anak pontianak dikerjakan Arman. Masa solat subuh tadi rambut dibungkus dalam tuala sahaja sebab mengejar masa. Dia menyisir rambutnya perlahan-lahan. Tadi Arman menawarkan diri untuk menolong, dengan menggunakan alat pengering rambut. Dia halau Arman keluar dengan alasan nak buat sendiri. Tetapi dia tahu, walaupun genggaman tangannya sudah pulih, kecerdasan kinestetiknya masih belum sempurna. Ini membuatnya sedikit kecewa.
Arman basuh tangan dan masuk semula ke bilik. Ternyata Puspa masih terkial-kial di meja hias, cuba mengikat rambutnya.
"Let me," kata Arman.
Puspa beri band pengikat rambut yang dia guna. Bibirnya muncung.
"Jangan nak muncung mulut pagi-pagi. Kiss karang . . ."
Puspa mendongak. Bagai sengaja meminta. Lembut kucupan Arman yang sengaja dilewat-lewatkan penamatnya.
"Emm . . . Kalau terus begini . . ." Kata-kata Arman tidak diteruskan. Dia tarik Puspa berdiri, "Jom. Tinggal kita saja yang belum sarapan."
Mereka berpegangan tangan keluar bilik.
Melihat wajah Puspa dan rambut yang sedikit basah, Khadijah tahu ke pulau mana mereka belayar malam tadi. Khadijah senyum. Tak lama lagi dapat cucu, fikirnya.
Dalam hati ada taman. Dalam taman ada bunga.
Khadijah yang menyibukkan diri membasuh kain sekali sekala menjeling ke arah anak dan menantu yang bersarapan bersuap-suapan. Dia merasa amat bahagia. Lepas makan kedua mereka sama-sama membasuh piring yang digunakan. Seolah-olah seorang tak boleh buat kerja mudah itu.
"Assalamualaikum!" kedengaran suara lelaki tidak dikenali dari luar.
Puspa segera masuk ke bilik untuk mengambil tudung kepala. Arman basuh tangan, pergi ke pintu dan kembali bersama dua orang pegawai polis.
"Oh, Tuan Mahadi. Pagi-pagi dah sampai, apa hal?" Khadijah menyapa.
"Saya nak beritahu, doktor tidak dapat selamatkan Badar. Dia mati tanpa sedar semula."
"Biar dia mampus. Hidup di dunia pun menyusahkan orang," kata Arman.
DSP Mahadi juga setuju, tetapi matanya melirik ke arah Puspa yang baru keluar dari bilik.
Wajah Khadijah sudah mula berkerut seribu. "Macam mana ni? Puspa kena tuduh membunuh ke?"
DSP Mahadi menjelaskan dia datang untuk mengambil keterangan Puspa sekali lagi, sebab Badar sudah mati. Laporan perlu dipinda.
"Puspa perlu peguam," kata Arman. Tangannya sudah erat memeluk pinggang Isterinya. Tiada siapa yang boleh membawa Puspa pergi ke balai ketika itu.
Baru sahaja Khadijah berangan-angan untuk menjadi opah, kini menantu sudah menerima musibah baharu. Tidak dapat dibayangkan jika Puspa pula ditahan reman kerana membunuh sebab hendak mempertahankan diri.
Bilakah segala dugaan ini akan berakhir?
"Kami cuma ikut undang-undang sahaja. Lagi cepat perkara ini diselesaikan lagi baik," kata DSP Mahadi. Secara peribadi, dia lega kerana Badar sudah mati. Kurang satu penjenayah yang ganas.
"Nak panggil ayah ke?" soal Arman kepada Puspa. Bagi Arman, sudah cukup banyak dia menyusahkan bapa mentuanya.
"Kita panggil Abang Ezhar," jawab Puspa. Menyerahkan kesnya kepada Ezhar lebih teratur, kerana tidak timbul isu emosi hubungan keluarga peguam dan anak guam.
"I'll be there in an hour," kata Ezhar, setelah dihubungi.
Selepas bersetuju menunggu di balai untuk mengambil keterangan Puspa, DSP Mahadi pun beredar.
Atas kebijaksanaan hujah Ezhar, Puspa dibebaskan dengan jaminan polis setelah keterangan diambil. Kata DSP Mahadi, maklumat baharu ini akan diserahkan ke Pejabat Peguam Negara.
Ezhar yakin, polis akan tutup kes ini. Puspa mangsa, bukan suspek.
*****
HAN SENG
Sejak Puspa tidak lagi menggunakan kerusi roda, Arman mula membawanya berjalan-jalan, untuk menguatkan otot kaki dan ingatannya. Hujung minggu Arman memandu kereta Puspa ke utara. Katanya urusan kerja. Puspa terasa seperti pernah melalui jalan ini dahulu. Tetapi dia tidak bertanya. Setelah melalui jalan-jalan bandar yang tidak berapa rata, kereta berhenti di hadapan sebuah gerai. Tempat ini pernah dia pergi dahulu.
Arman buka pintu kereta sebelahnya. Puspa berjalan dengan tongkat siku. Masing-masing di gerai itu membuka ruang untuk Puspa berjalan.
"Abang Arman! Sini!" Kedengaran satu suara memanggil dari dalam gerai itu. Puspa seperti kenal pemilik suara itu.
Ada dua orang yang duduk di meja itu. Lelaki yang bersuara tadi bangun dan memeluk Arman, diikuti oleh lelaki yang duduk di sebelahnya.
"Sayang ingat lagi pada Ilham?" soal Arman.
Puspa melebarkan senyumannya. Ilham budak yang ada lesung pipit itu. Di sebelahnya Han Seng a.k.a. Hans yang nakal. Han Seng nampak sedikit berbeza. Badannya lebih gempal dan kulitnya putih pucat.
"Kau kahwin dengan girlfriend aku tak jemput aku ya . . ." Han Seng mengusik.
"Hahaha . . . Nanti kami buat resepsi semua geng lama dijemput," balas Arman.
Pelayan datang mengambil pesanan.
"Kau masih naik Kawasaki lagi?" soal Han Seng, setelah membuat pesanan untuk semua orang. Dia belanja.
"Ya. Kau?"
"Aku dah jual . . ." jawab Han Seng, tanpa perasaan.
"Hah? Sayangnya!"
"Aku trade in dengan itu!" Katanya menuding ke arah motosikal Yamaha superbike yang tersergam di tepi jalan.
"Wow!"
"Jom nanti kita konvoi, cari laksa Perlis."
"Tunggu my wife betul-betul sihat," balas Arman.
"Oh! Aku dengar juga. Sorry about that. Aku tak sempat lawat kau di hospital."
"That's okay," jawab Puspa.
"Kau sihat Ilham? Dah buang tabiat merokok tu?" soal Arman. Direct betul soalannya tentang rokok. Arman memang seorang anti rokok yang tegar.
"Sejak Abang kata rokok dan sukan tak boleh tidur sekelambu, saya dah berhenti. Tetapi badan saya naik pula."
"No problem. Datang ke JACK & JILL. Kita ada pakej istimewa untuk 'non-smokers' dan 'wanting to quit smoking'. Free untuk pemain ragbi BLACK SELADANG pada hari yang ditetapkan," jelas Arman.
"JACK & JILL, sounds familiar," kata Han Seng.
"JACK & JILL BOXING CLUB, milik Jack, coach kita dulu," terang Arman.
"Oh, yeah! Accident! What a tragedy."
"Dia tak pernah give up. Mungkin suatu masa dia boleh berjalan."
"Jack pemilik JACK & JILL dan juga BLACK SELADANG!" Han Seng seolah-olah baru sedar.
"Kau ni dari dulu, memang blur, Hans," kata Arman. Ditumbuknya dada Han Seng secara main-main.
"Amazing!" kata Han Seng. Sedikit pun dia tak tersinggung dikata blur oleh Arman.
"Yes! He is a pillar of strength," kata Arman sambil mengenyit mata kepada Puspa.
"Apa rahsia ni? Kongsilah . . ." gesa Han Seng.
"My grandfather, patron JACK & JILL," jawab Puspa, mengelak daripada menceritakan 'rahsia' di sebalik kenyitan mata Arman.
"Datuk Haidar?"
"Berbalik kepada tujuan kita jumpa ni . . . Kita perlu set tarikh bila nak mula training," Arman memintas. Dia tak mahu cerita 'rahsia' itu dipanjangkan lagi.
"Betul. Aku perlu buang lemak-lemak ni. Susah cari girl bila dah dompot," balas Han Seng.
Mereka ketawa.
"Untuk seven a side dah cukup pemain," tegas Arman. "Kau pun jangan tak datang Ilham."
Ilham tersengih. "Abang. Saya ni kan kecil saja. Mati saya kena gomol."
Riuh rendah mereka ketawa.
"Datang sajalah. Mana tahu ada bakat terpendam," Arman memberi semangat. "Ada pemain hebat taraf dunia, yang badannya kecil sahaja."
"Orang main ragbi sejak masa sekolah lagi bang."
"Just learn to play," tegas Han Seng seperti mengarah.
"Kalau bos dah arah, saya datanglah."
Han Seng tepuk belakang Ilham.
Makanan pun sampai.
Nasi goreng Cina yang Puspa pesan tiba dengan dua ketul udang goreng besar. Arman lihat muka Puspa sudah cemberut. Lalu dia ambil udang itu, buang kulit dan letak kembali ke atas pinggan Puspa. Tetapi Puspa kembalikan seekor ke piring Arman. Han Seng perhatikan tingkah laku Arman dengan sedikit rasa cemburu. Maklumlah, dia sendiri masih mencari-cari amoi yang sesuai dengan dirinya yang cerewet itu. Ibunya tak sudah-sudah membebel, mengugut nak jodohkan dengan amoi yang ditemui di Australia. Tentulah dia tidak berkenan.
Perjumpaan itu berjaya mendapatkan sponsor untuk BLACK SELADANG daripada syarikat minuman di mana Han Seng bekerja.
*****
TERIMA KASIH JACK
Dalam perjalanan pulang, Puspa seperti ada perkara yang ingin dibangkitkannya.
"Cakap apa nak cakap. Jangan simpan dalam hati. Nanti meletup," kata Arman.
"Abang ni macam mind reader . . ."
Puspa teringat apa yang pernah disebutnya dahulu, kalau kita cinta seseorang, kita akan ada telepathy dengan orang itu.
"Puspa cuma nak ucap terima kasih pada abang sebab kongsi your passion with me."
"Sayang, without you I am nothing."
"Sweet talker," kata Puspa.
"Malam ni abang buktikan, eh?"
Tak sempat nak berbalah, kereta sudah membelok ke rumah. Nampak macam ada kekecohan. Khadijah, Zaki dan Sarah mengerumuni sebuah kotak besar yang terletak di anjung rumah. Mereka seperti tak sabar-sabar hendak mengetahui apa isi kotak itu.
Arman melihat kad penghantar hadiah itu tertera nama Muhammad Murtaza Abdullah @ Jack dan Laila Jamilah. Ia ditulis 'HADIAH PERKAHWINAN.'
Terjerit Sarah apabila melihat sebuah treadmill yang canggih apabila kotak itu dibuka.
"Wow! Boleh Sarah tumpang, kak long?" tanyanya.
"Boleh," jawab Puspa, memikirkan di mana hendak diletakkan treadmill itu.
"Kita letak di bilik bacaan, umi pun boleh guna," kata Arman.
Dia tahu, tentu isteri tersayang tidak mahu benda gedabak itu duduk di studio mininya. Ia boleh mengurangkan ruang untuk Puspa berlatih balet. Lagipun itu tempat privasi mereka.
Khadijah ketawa terkekeh-kekeh. "Umi dah lari ke sana sini sepanjang hari, tak perlu lagi lari atas benda tu."
"Walid yang perlu guna lebih, rasanya," saran Zaki.
"Apa ni . . . Mengumpat walid ke?" soal Zahari yang baru balik mesyuarat NGOnya, dan turut teruja melihat alat yang menjadi punca kekecohan itu.
"Abang Jack bagi hadiah ini walid," kata Arman. "Memang sesuai untuk walid guna."
Zahari memandang Khadijah sambil senyum bermakna. "Nanti walid jadi terlebih gagah, ada orang risau pula . . ."
Khadijah cubit pinggang Zahari.
"Tengok tu umi kamu. Belum apa-apa dia dah kerjakan walid."
Pecah tawa keluarga itu.
Adiwarna kasih mereka bersemarak di segenap ruang rumah itu. Tanpa riak kesombongan. Tanpa rasa pentingkan diri sendiri.
*****
💕💕💕
*Best Treadmill*
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro