Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

BAB 52: KORBAN

PENGORBANAN

"Apa dah jadi?" soal Khadijah.

Dia hairan kerana sebentar tadi Datuk dan Datin Tan tergesa-gesa pergi setelah mendapat panggilan. Suhail pula naik bersama Puspa sahaja.

"Nelly pengsan," jawab Suhail. "Mungkin terkejut tengok banyak darah di baju Hail."

"Di mana dia?" 

"Rehat di bilik VIP."

Soal-jawab terhenti apabila pintu bilik ICU terbuka. Pandangan mereka beralih ke pintu itu. Arman melangkah keluar bersama seorang jururawat. Semua yang menunggu melepaskan nafas lega setelah jururawat beritahu Arman sihat. Jururawat juga menyampaikan maklumat daripada doktor, Malik sudah melepasi tahap kritikal. Dia sedang dirawat untuk mengelakkan infeksi. Bagaimanapun dia belum boleh dilawati.

Tunggu lagi.

Arman pandang wajah isteri penuh kasih. Dia tahu banyak perkara yang Puspa mahu bertanya. Tetapi hanya matanya yang penuh tanda soal. Arman cium pelipis Puspa.

Hai isteriku! Aku rindu mendengar suaramu yang becok seperti dahulu!

Bibir Puspa mengukir senyuman buat suami yang berkerut keningnya. Air matanya tergenang. Air mata lega. 

Hai suamiku! Jangan apa-apa terjadi padamu, kerana aku amat memerlukanmu!

Arman menyeka air mata Puspa. 

Besarnya pengorbananmu wahai isteri! 

"Syyy! Jangan menangis. Nanti orang ingat Abang pukul Puspa pula," dia memujuk, separuh bergurau. Sebutir kucupan mendarat di dahi Puspa.

Arman tidak peduli mata Umi dan Walid yang tertumpu ke arah mereka. Dia tidak merasa perbuatannya keterlaluan. Isterinya tidak berupaya meminta itu dan ini. Hanya pancuran kasih sayang yang mampu dia beri buat penampung harapan untuk Puspa pulih sepenuhnya. Cintanya kepada Puspa semakin hari semakin mendalam.

Takkan nak tunjuk kasih sayang kepada isteri sendiri tak boleh? Hatinya memprotes.

Tiba-tiba kedengaran bunyi deruan ombak kecil dari perut Arman. Puspa tutup mulutnya untuk mengelak daripada ketawa. Arman bangun. Tangan sudah bersedia untuk menolak kerusi roda Puspa.

"Siapa nak turun makan?"

Zaki dan Sarah mengangkat tangan. Arman memandang Suhail, tetapi Suhail menggelengkan kepala.

Arman tahu kedua adiknya tentu trauma setelah terlibat dalam pengalaman yang menakutkan itu. Muka Zaki juga kelihatan lebam. Mungkin kena tumbuk semasa bergelut mempertahankan diri. Sarah tidak nampak kesan apa-apa di luar. Tetapi di dalam hati siapa tahu? 

Mereka mencari kantin hospital. Lebih selamat daripada makan di luar. 

Setelah mengambil tempat duduk dan memesan makanan, Arman alih perhatian kepada adik-adiknya. "Are you two okay?"

"Okey abang long," jawab Zaki. 

"Sarah?"

Sarah menghulurkan tangannya yang berbirat kerana ditarik oleh penjahat.

"Sakit lagi ke?"

Sarah geleng kepala. "Tak sakit. Tadi hospital bagi ubat sapu."

Arman tahu kedua adiknya mahu menunjukkan wajah berani. Di bawah meja, dia rasa tangan kanan Puspa mengusap tangan kirinya. Dia genggam tangan Puspa.

Makanan pun sampai. Nasi goreng kampung untuk Arman. Nasi goreng Cina untuk Puspa, mi bandung untuk Zaki dan Sarah.

Puspa teringin makan mi bandung, tetapi diketepikan niat itu. Dia tahu kalau dia hendak makan juga, maknanya Arman terpaksa menyuapnya. Nasi goreng lebih mudah.

Apabila makanan itu sampai, Puspa hanya memandang mi yang berkepul-kepul asap itu, penuh keinginan. Sarah sedar. Kenapa tadi pilih nasi goreng Cina lepas itu memandang mi bandungnya?

"Kak Long nak ke?" soal Sarah. Terus dia sorong mangkuk mi bandungnya.

Puspa menggeleng kepala.

"Tak apa Kak Long. Abang long boleh suapkan."

Hah . . . Itu yang dia tak mahu. Nanti meleleh-leleh di mulut, Arman kena mengesat mulutnya. Malu sungguh dilihat orang. Lagipun, jika Arman menyuap dia, bila lagi Arman nak makan? Sedangkan perut Arman yang tadi kedengaran macam ada anak-anak ombak tsunami di dalamnya.

Arman ambil mangkuk mi bandung Sarah. Dia panggil pelayan kantin dan pesan satu mangkok lagi mi bandung. Dia minta nasi goreng cina itu dibungkus sahaja.

"Sayang, hargai adik dah bagi mi bandung dia," kata Arman lembut, kepada Puspa.

"Terima kasih Sarah," ujar Puspa. Seulas senyuman dihadiah.

"No problem kak long. Kalau terjadi pada Sarah, kak long tentu akan buat macam Sarah buat."

Mereka menunggu mi bandung yang baru dipesan sebelum memulakan makan. Mujur sekejap sudah siap, sebab pelanggan tak ramai.

Arman merasa mi bandung Puspa sudah sedikit sejuk. Tapi itu lebih baik.

Arman mula menyuap Puspa. Kening Puspa sudah membentuk garis lurus. Arman tahu sekejap lagi air mata akan tumpah.

Ah! Cengeng sungguh isteriku sejak tragedi itu.

Arman ubah duduknya lebih rapat dan kucup ubun-ubun isterinya. Zaki dan Sarah tunduk menghadap mi bandung mereka dan buat-buat tak nampak.

"Abang makanlah," kata Puspa.

Arman menyambar nasi goreng kampungnya. Tetapi apabila melihat Puspa terkial-kial untuk menyuap mi bandungnya, dia berhenti.

Lalu proses makan itu menjadi lebih lama.

"Abang long, kami naik dulu ya," kata Zaki. Dia fikir tentang privasi Abang Long dan Kak Long. Lagipun mereka sudah makan. Air minuman pun sudah habis.

"Sit down. Kita turun tadi empat orang. Kita naik pun empat orang," Arman memberi amaran.

Baginya Badar yang masih bebas boleh berada di mana-mana. Zaki dan Sarah kembali duduk.

Puspa hanya dapat makan separuh daripada mi bandungnya. Arman pula yang terpaksa menghabiskannya. Begitu juga nasi goreng kampung yang sudah sejuk itu. Perutnya rasa penuh macam sampai ke dada.

Lepas membayar, Arman pergi ke kedai kecil yang menjual baju-T. Dia beli sepasang. Lepas itu mereka berempat kembali ke ruang menunggu.

"Umi nak nasi goreng Cina?" soalnya. 

Khadijah geleng kepala. Walid mengambilnya. Baju-T dia beri kepada Suhail.

"Apa ni?" soal Suhail.

"Abang gantilah baju tu," kata Arman.

Suhail mengambil bungkusan itu dan terus bergerak menuju ke bilik air.

"Arman, Puspa dan budak-budak baliklah dulu. Puspa nampak letih," kata Zahari.

"Tak nak," jawab Sarah. Dia sudah anggap Malik seperti abang sendiri yang sudah dikenali sepanjang hayatnya. Jika Malik sedar, dia mahu berada bersama ketika itu.

"Sayang nak balik ke?" soal Arman kepada Puspa.

"Ikut abang," jawab Puspa.

Akhirnya kesemua mengambil keputusan untuk menunggu sehingga dibenarkan melawat Malik.

Suhail kembali dengan baju-T yang bersih. Baju penuh darah dimasukkan ke dalam beg plastik. Nanti balik dia basuh.

Pintu ruang menunggu terkuak. Masuk seorang anggota polis membawa beg kertas kecil seperti gift bag. Dia mencari waris Malik. Suhail mengambil beg itu. Dijenguk isinya.

Dia tahu apa yang dia harus buat.

*****

CINCIN

Nelly terjaga. Dia hairan mengapa dia berada di atas katil. Tadi dia bercakap-cakap dengan Puspa di tangga. Matanya cuba merayau-rayau ke segenap bilik. Namun hanya wajah kedua orang tuanya memenuhi ruang matanya. Kebimbangan tergambar di wajah mereka.

"Nelly . . . Kenapa nak?" soal Datin Tan.

Nelly tiba-tiba teringat baju Suhail yang penuh darah. Segera dia pegang tangan Datin Tan.

"Mama . . . Malik di mana?"

"Kau tak ingat ke? Malik kan cedera. Dia masih di ICU."

Nelly terus menegakkan badannya. "Mama . . . Papa . . . Kenapa Nelly ada di sini? Nelly nak jumpa Malik."

Datuk Tan jelaskan Nelly pengsan. Dia yang memohon supaya Nelly diletakkan di bilik VIP hospital itu. Niat Datuk Tan biarlah anaknya ada privasi. Anaknya telah melalui berbagai kejutan dan kesedihan sejak akhir-akhir ini. Datuk Tan tak kisah bayaran yang dikenakan pihak hospital.

"He is badly hurt Nelly. The doctor won't let us see him," kata Datin Tan.

"Nelly bersalah dengan dia mama."

"Dia ditikam orang jahat bukan salah Nelly. Tak ada kaitan dengan Nelly," terang Datuk Tan pula.

"Ya, kata polis ini mungkin balas dendam kartel dadah dengan Arman. Malik just got himself caught in the crossfire," tambah Datin Tan.

"Kalau iapun tunggu dia sedar dulu," nasihat Datuk Tan pula. "Doktor kata kamu stress. Tekanan darah turun mendadak. Kena rehat."

"Bagaimana kalau dia tak sedar?" Nelly teringat apa yang berlaku kepada Puspa. Sampai sekarang Puspa masih belum boleh bertutur dengan betul dan lumpuh kakinya. Dia tak mahu itu terjadi kepada Malik.

Malik yang gagah, yang suka berjoging, suka pergi ke gym, yang kelakar dan yang sabar dengan kerenahku.

Tak mungkin!

Pintu diketuk perlahan dan Suhail masuk membawa sebuah beg kecil.

"Polis hantar beg ini. Sebab kereta Malik dibawa ke balai. Polis takut benda ini hilang. Nanti diorang pula yang dituduh, sebab benda ini mahal dan peribadi," jelas Suhail sambil menghulurkan beg yang dibawanya. 

Dia sudah tahu apa isi beg itu setelah ditunjukkan oleh pegawai penyiasat. Biarlah Nelly yang menyimpannya dan mengambil tindakan apa yang wajar. 

Datuk Tan mengambil beg itu, menjenguk isinya dan menyerahkan kepada Nelly. "Papa ingat ini untuk kamu."

Melihat beg sudah berpindah tangan, Suhail minta izin keluar.

Nelly menyambutnya, tetapi dia sedikit kebingungan. Sambil duduk di atas katil, isi beg dijenguknya. Ada sebuah kotak kecil dibalut dengan baldu berwarna merah. Hatinya mula berdebar.

Dia keluarkan kotak itu.

"Apa isinya?" soal Datin Tan. 

Nelly membuka kotak itu. Dia tersentak. Sekeping kertas yang masih berlipat diambil dan dibukanya. Lalu terus dia menangis tersedu-sedu. Semakin lama semakin kuat dia menangis sehingga terhinggut-hinggut bahunya. Tindakan Nelly itu menghairankan Datuk Tan. Beg kertas diambil. Isinya diperiksa. 

Kotak yang masih terbuka itu dilihatnya berisi sebentuk cincin berlian.

Kertas yang menjadi punca Nelly menangis itu juga diperhatikannya. Ia sekeping kertas resit daripada kedai emas. Datuk Tan melihat tarikhnya. Sudah agak lama.

Maknanya Malik sudah lama menyimpan cincin itu untuk diberikan kepada Nelly. Itulah jangkaan Datuk Tan. Dia mengeluh.

Nenek moyang tolonglah berkati menantu kami, bisik hatinya.

Nelly membuang selimutnya dan terus menghulurkan kaki untuk turun dari katil. Dia mahu berlari keluar dari wad untuk mendapatkan Malik. Tetapi usahanya segera ditahan oleh Datuk Tan.

"Tenang Nelly. Tenang. Nanti Suhail akan mesej kita bila doktor kata okey untuk lawat Malik. Papa percaya dia akan tanya kamu." Datuk Tan cuba menenangkannya.

"Jam berapa Papa?" Tiba-tiba Nelly teringat dia belum solat zuhur.

"Jam 5.00 petang. Kamu pengsan tiga jam. Risau kami."

Ya Allah. Nelly sudah tertinggal zuhur kerana pengsan. "Papa, mama, Nelly nak solat dan doa."

Nelly berjalan sedikit terhuyung hayang menuju ke bilik air. Datin Tan segera memegang anaknya.

"Nelly okey mama. Boleh berjalan. Mana baju Nelly?" Katanya. Baru dia sedar dirinya memakai baju hospital yang tidak menutup aurat.

"Nelly pergi bathroom dulu, mama ambilkan," kata Datin Tan. Tadi dia letakkan jubah yang Nelly pakai dalam kabinet.

Nelly pergi ke bilik air mengambil wuduk. Lepas itu dia memakai jubah, stokin dan hijab. Dia mendongak ke siling dan nampak tanda arah kiblat. Bagusnya hospital ini kerana prihatin. Tuala kecil yang disediakan hospital dijadikan lapik solatnya.

Datuk dan Datin Tan perhati langkah-langkah anaknya dengan sayu. Dalam hati mereka berdoa semoga anaknya sentiasa bahagia. Selesai solat, Nelly menadah tangan. Datuk dan Datin Tan tahu anaknya sedang berdoa kepada Allah. Panjang doanya. Teringin juga mereka tahu.

Lepas berdoa, Nelly bangun dan mencium tangan kedua orang tuanya. Terkejut mereka. Tidak pernah seumur hidup Nelly melakukannya.

"Apa yang kamu doa?' soal Datuk Tan. 

Dia tahu Tuhan orang Islam menerima doa dari pelbagai kaum dan pelbagai bahasa.

Nelly senyum. "Nelly doa yang baik-baik untuk papa dengan mama. Semoga Allah turunkan hidayah kepada papa dengan mama supaya kembali bersama Nelly kepada asal agama Tuhan yang satu, Allah. Nelly juga doa Allah selamatkan Malik."

Datuk Tan mengangguk. Dia fikir dirinya sudah terlalu tua untuk kembali kepada Islam. Mengenangkan dia kena 'masuk jawi' kalau 'masuk' Islam sudah menyeramkannya. Sebaliknya Datin Tan tidak melihat kata-kata Nelly itu satu ancaman. Baginya tiada beza dia Islam atau bukan. Dia bukan mencuri, menipu, bunuh orang, atau rasuah. Dia tahu semua itu Islam larang. Kalau ada beza pun cara sembahyang sahaja. Itu pandangan dia.

Panjang lagi perjalanan Nelly untuk berdakwah kepada kedua orang tuannya.

Jam 6.00 petang mereka dapat mesej daripada Suhail. Walaupun Malik belum sedar, mereka sudah boleh melawatnya. Nelly dan kedua orang tuanya segera bergerak menuju ke wad Malik.

*****

Suatu malam Nelly dalam perjalanan pulang dari Putrajaya. Berhampiran Slim River, tiba-tiba dia mendengar bunyi brob-brob-brob, dan keretanya kehilangan kelajuan. Sah, tayar kereta bocor. Dia berhentikan kereta, terus dia telefon pihak pemantau lebuh raya. Lambat pula mereka tiba. Sebuah kenderaan mirip trak tunda menghampirinya. Nelly tidak berani membenarkan dua orang lelaki itu mengusik keretanya. Dia pun menipu dengan berkata, abangnya akan datang, sedangkan dia tiada abang. Dia hanya ada Malik.

Pantas Malik tiba sebelum pemantau lebuh raya. Laju sahaja dia mengambil peralatan dari dalam but keretanya dan menukar tayar yang bocor.

Selesai kerja Malik mengusik. "Kalau Malik mati, Nelly nak panggil siapa?"

Sebagai balasan Nelly bersungut, " Macam tak ikhlas saja . . ."

Malik ketawa sambil mengelap tangannya dengan tisu. Setelah siap kerja, dia tutup but, berpaling ke arah Nelly dan memicit hidungnya. Tak sempat Nelly bertindak, Malik sudah masuk ke SUVnya.

*****

Tidak mungkin aku biarkan Malik menanggung kesakitan sendirian. Tidak! Malik tak boleh mati sekarang.

*****

😥

*Imej di atas: Ruang menunggu sebuah hospital swasta* 

*Beginilah perasaan Nelly*

https://youtu.be/wwCykGDEp7M


Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro