Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

BAB 47: CICIT OTW

RAWATAN TRADISI

Hari demi hari sudah menjadi rutin Arman akan bacakan surah Al-Hasyr, semasa remang senja, sebelum masuk waktu maghrib.

Kata Dato' Baha masa itu makhluk pembawa tenaga negatif (negative energy) sedang tukar sif. Yang kerja siang dalam keadaan lemah. Mudah dicantas. Yang kerja malam, baru nak masuk. Bila yang kerja siang dicantas, yang kerja malam tak berani masuk.

Wallahua'lam.

Puspa masih begitu. Tetapi sejak dirawat oleh Dato' Baha, wajah Puspa yang sebelumnya seolah-olah ditutup mendung sudah kembali cerah. Doktor pun kata, melalui ujian yang dijalankan pihak hospital, hati Puspa menunjukkan tanda-tanda ia berfungsi dengan baik.

Tetapi Puspa masih lena.

Musibah kepada Puspa mengeratkan hubungan dua keluarga. Mereka bergilir-gilir menjaga Puspa, walaupun Arman datang setiap hari. Jamilah juga tidak pernah terlewat datang untuk menjalankan rawatan fisioterapi.

Pada hari yang kesembilan Puspa koma, sebelum maghrib, Khadijah ajak Indah sekali lagi untuk membersihkan badan Puspa dengan air limau purut dan daun bidara berduri.

"Memang perlu ke kak Jah?" soal Indah.

"Tak apa. Kita buat sahaja. Saya selalu buat untuk anak saya bila depa demam," jawab Khadijah.

Maknanya Puspa sudah seperti anaknya juga.

Selesai mengelap badan Puspa, Indah menatap wajah anaknya yang kelihatan tenang. Titik-titik air rawatan masih bergantungan di wajahnya. Bibir Puspa menguntum senyuman. Amat manis sekali walaupun dalam keadaan koma. Indah berpaling kepada Khadijah.

"Lihat, Puspa senyum."

Khadijah menyapu air matanya yang mahu menitis dengan hujung jarinya. Dia lakukan semuanya bukan hanya untuk Puspa dan keluarganya yang sudah berjasa besar. Keluarga Puspa sudah menyelamatkan anaknya. Tetapi dia juga lakukan demi membawa kembali senyuman ke wajah Arman, anaknya.

Indah mengelus-elus pipi Puspa yang sedikit cengkung. "Puspa, bangun sayang. Puspa kan nak bertunang? Jadi Puspa kena bangun. Nanti kita boleh sama-sama raikannya."

Khadijah semakin sebak. Tetapi ditahannya. Indah sedang berusaha menahan kesedihan. Takkan dia pula yang meraung?

"Takkan Puspa nak biarkan Arman menunggu? Puspa sudah banyak kali pertahankan dia. Dari mahkamah sampai ke rumah. Nasihat ibu dengan ayah pun Puspa lawan. Sekarang ibu dengan ayah sudah ikut semua kehendak Puspa. Mengapa pula Puspa tidur? Bangun ya sayang."

Air mata Puspa mengalir perlahan-lahan, walaupun mulutnya tersenyum. Khadijah memanggil Arman untuk membacakan Surah Al-Hasyr.

Arman membaca seperti selalu. Kali ini dia membaca sambil menahan sebak di dada. Dia cuba menunjukkan dirinya kuat di hadapan Umi dan ibu Puspa. Kedua wanita itu yang turut sama membaca berkali-kali menyapu air mata.

Selesai bacaan. Indah bangun untuk membetulkan selimut anaknya.

"Arman . . ." Kedengaran suara Puspa, sangat jauh, seperti amat sukar dikeluarkan, macam mengigau, tetapi jelas.

"Kak Jah dengar?" Mata Indah kembali digenangi air.

Khadijah mengangguk. Arman senyum mengharap. Doktor dipanggil. Beberapa minit kemudian pasukan perubatan tiba untuk membuat pemeriksaan. Indah, Khadijah dan Arman diminta keluar.

Adam Prakash tinggalkan persidangan yang dia turut serta apabila mendengar khabar Puspa sudah bersuara. Indah rangkul tubuh suaminya untuk menumpang sedikit kekuatan.

Terasa begitu lama pasukan perubatan membuat pemeriksaan ke atas Puspa pada kali ini. Maghrib pun menjelma. Mereka solat berjemaah di surau berdekatan, dengan Arman menjadi imamnya. Lepas Maghrib, Zahari ajak mereka solat hajat berjemaah. Selama ini masing-masing melakukannya bersendirian. Lepas solat hajat mereka kembali ke ruang menunggu.

Makan malam ditangguhkan. Masing-masing tidak mahu meninggalkan bilik menunggu. Tiada selera pun. Masing-masing bungkam. Masuk waktu Isyak pintu bilik rawatan masih tertutup. Zahari bawa Zaki dan Sarah makan di kantin hospital. Lepas itu mereka mencari tempat untuk Zaki dan Sarah melelapkan mata. Budak-budak perlu masa tidur yang cukup. Orang tua tidak mengapa.

Subuh menjelang. Sekali lagi mereka solat berjemaah. Perut berkeroncong. Mereka mencari makanan ringan apa yang patut kerana mahu segera kembali ke ruang menunggu. Nampaknya Puspa belum nak bangun lagi.

Jam 9.00 pagi. Akhirnya pintu bilik rawatan dibuka. Semua bangun menerpa ke arah pintu.

"Puspa Kamilah sudah sedar," kata doktor itu dengan senyuman lebar.

Semua yang hadir mengucap syukur. Masing-masing mahu masuk untuk melihat Puspa.

Tetapi kata doktor itu, Puspa mengalami traumatic amnesiaMaknanya dia tidak ingat apa yang terjadi kepada dirinya. Menurut doktor Puspa mungkin lupa perkara yang baru berlaku. Dia sudah sedar malam tadi, tetapi berada dalam 'twilight zone' yang tidak menentu. Sekejap sedar, sekejap tidur semula. Jadi, doktor mengambil keputusan tidak beritahu waris dahulu, sehingga jelas.

"Sekarang macam mana doc? Kami nak tengok anak kami ni," desak Adam Prakash.

"Tentang amnesia tu mungkin sementara sahaja, bagi orang yang baru bangun daripada koma. Tapi keluarga kena bersedia. Jangan paksa dia. Biar dia ingat sendiri secara perlahan-lahan," jelas doktor itu.

Mereka tetap mengucap syukur. Lega.

"Mungkin Puspa mengalami lemah tangan dan kaki. Tetapi itu pun sementara. Boleh pulih dengan fisioterapi," sambung doktor itu.

Bolehkah Puspa ingat aku? fikir Arman.

"Satu lagi . . . Dia sukar berkata-kata," kata doktor itu lagi.

"Maksud doktor?" soal Indah.

"Some words maybe difficult for her."

"Sementara juga?" soal Adam Prakash dengan penuh harapan.

Doktor itu mengangguk. Itupun normal, katanya. 

Namun kebimbangan tetap menampar hati Adam Prakash. Mana boleh anaknya gagap atau bisu? Dia seorang peguam yang bijak berhujah. Suara aset penting.

Doktor itu memberi jaminan supaya keluarga tidak terlalu cemas. "Kita akan jalankan speech therapy untuknya." 

*****

AMNESIA

Sebaik sahaja sedar Puspa mendapati dirinya sukar mengeluarkan suara. Dia diberitahu telah koma selama sepuluh hari kerana disuntik dadah yang beracun. Puspa tidak dapat mengingat kejadian itu. Doktor beritahu dia mengalami hilang ingatan bagi perkara yang baharu berlaku. Kesukaran berkata-kata itu sementara.  Mungkin beberapa hari atau beberapa minggu. Doktor tidak dapat memberi jaminan. Dia harus menjalani fisioterapi untuk pemulihan kudrat tangan, kaki dan vokal suaranya. Nasihat doktor, semua itu dia harus terima dengan sabar.

Puspa menerima penerangan doktor itu dengan tenang. Malah dia memeranjatkan pasukan perubatannya bagaimana dia boleh menerima semua musibah itu tanpa menjadi histeria.

Mungkin ada 'tangan' Dato' Baha di situ, yang memberinya ketenangan.

Ketika ibu dan ayahnya masuk, Puspa boleh mengenali mereka.

Dia menangis melihat ibunya menangis.

Usai bertangis-tangisan, Adam Prakash menyoal. "Puspa ingat tak Puspa sudah menjadi peguam?" 

Puspa teringat kes yang dikendalikannya. "Arman? Ma-cam mana dia Ibu? Ayah?"

Dalam tidurnya yang panjang itu dia mimpi Arman, seorang pemain ragbi Universiti yang tangkas. Tetapi mimpi itu bertukar sedih apabila Arman dihukum gantung sampai mati. Terus Puspa menangis teresak-esak.

Indah peluk anaknya. "Puspa nak jumpa Arman?"

Puspa mengangguk. Tetapi macam mana nak jumpa? Bukankah Arman dalam penjara? 

Adam Prakash bangun berjalan ke pintu. Kedengaran dia memanggil Arman. Hati Puspa berdebar-debar. Arman ada di sini? Bagaimana boleh jadi begitu?

Ibunya menaikkan katil bahagian kepala supaya tinggi sedikit daripada kaki, bagi memudahkan interaksi. Puspa nampak Arman masuk. Kenapa dia tidak seperti banduan lagi? Ah, aku tak ingat. Apa yang terjadi? Arman sudah bebaskah?

Ibu dan ayah keluar meninggalkan dia bersama Arman.

Air mata Puspa terus mengalir. Tetapi bibirnya menguntum senyuman. Atau lebih tepat - tersipu-sipu. Arman menghampirinya dan duduk di tepi katil. Air mata Puspa disekanya. Puspa terkesima.

Dia menegur Puspa. "Hai sayang." 

Kenapa Arman panggil aku sayang? Nak mengusik kah? Memang dia panggil begitu masa di universiti, tapi untuk menyakat sahaja.

"Sayang tak ingat abang ke?" Wajah keliru Puspa ditatap.

Abang pula. Gurauan masa di universiti juga. 

Arman sedikit kecewa kerana Puspa tiada reaksi teruja. Dia mengeluarkan couple ring yang mereka tempah bersama. Dia pusingkan tangan Puspa supaya menadah dan diletakkannya cincin itu di atas tapak tangannya. Puspa cuba mengingati apa signifikan cincin itu, tetapi gagal. Arman lantas mengambil cincin itu dan menunjukkan nama-nama mereka yang terpahat pada cincin itu.

Paparan imej-imej muncul dalam kotak ingatannya. Datang dan pergi. Dia renung wajah Arman, mencari jawapan - sebuah penjelasan. Arman senyum. Manis sungguh jika tersenyum. Patutlah dia diburu siswi pada setiap semester. Dia ingat semua itu. Tapi apa hal mereka ada couple ring?

Puspa hanya dapat menggelengkan kepala. 

"Sayang tak ingat ke? Kita sama-sama pilih cincin ini."

Sayang lagi.

"Sepatutnya Ahad lepas kita bertunang."

Bertunang? Apa jadi dengan otak aku ni? Mengapa aku tak ingat aku nak bertunang dengan lelaki kacak yang bahasakan dirinya 'Abang', dan panggil aku 'Sayang'?

Arman dapat membaca fikiran Puspa. Dia keluarkan telefon bimbitnya dan tunjukkan beberapa gambar mereka berdua. Puspa tidak ingat bila mereka mengambil gambar-gambar itu. Tapi dia suka. Tiba kepada video dirinya yang diambil oleh Puspa semasa permainan ragbi pelajar-pelajar sekolah, Puspa senyum.

"Ingat siapa yang mengambil video ini?" soal Arman.

Paparan imej-imej kembali muncul dan pergi. Puspa menggelengkan kepala lagi. Arman enggan mengalah. Dia bercerita tentang dirinya dan apa yang mereka buat bersama. Mulanya Puspa mendengar dengan tenang. Tetapi apabila sampai kepada kisah dia ditangkap kes dadah, Puspa terus teringat mimpinya dan menangis tersedu-sedu. Pilu sungguh dia mengenangkan Arman dijatuhi hukuman mati mandatori. Dihukum gantung sampai mati.

Dengan lembut, Arman palingkan muka Puspa supaya menghadapnya.

"Ini Arman . . . Abang tidak digantung. Ingat lagi? Puspa yang selamatkan abang," katanya perlahan-lahan, satu satu.

Puspa memandangnya dengan mata yang bulat. Tidak percaya. 

Memang begitu bagi pesakit yang mengalami traumatic amnesia? Arman tidak pasti.

"Betul?" soal Puspa. Masih keliru.

"Betul. Ahad lepas sepatutnya kita bertunang," Arman mengulangi kenyataannya.

Dengan segala kekuatan yang ada pada dirinya, Puspa pegang tangan Arman, sehingga Arman sendiri terkejut. Dengan kepayahan yang amat sangat juga dia gerakkan tangan Arman ke arah jari-jarinya.

"Sayang nak pakai cincin ni sekarang?" soal Arman.

Angguk.

Arman sarung cincin ke jari manis tangan kanan Puspa. Ia agak longgar kerana Puspa sudah kurus. Satu lagi ke jari manisnya sendiri. Air mata Puspa kembali merembes.

Sekaligus, perasaan Puspa mendesaknya supaya tidak melepaskan lelaki ini. "Abang . . ." 

"Sayang ingat?" soal Arman yang disertai dengan segunung harapan.

Geleng.

Arman tak putus asa. Dia terus menyambung cerita mereka berdua. Tetapi dia menapis semua cerita yang sedih. Dia cerita tentang kehidupannya menjadi pekebun cili, dan kini menjadi jurulatih ragbi.

Namun, nama seorang perempuan lain seperti menjadi penghalang. "Nora?" 

"Dia dah kahwin dengan Dzafri. Abang dah tak ingat dia. Tak cinta dia. Sebab itu abang bertunang dengan Puspa." 

"Betul?" soal Puspa.

"Betul. Kalau Puspa tak percaya, kita nikah Ahad ini. Setuju?"

*****

PUAS

Dato' Baha senyum puas. Berbaloi semua usahanya. Dia sudah jangka, paling lama dua minggu Puspa akan sedar. Tetapi nampaknya semangat Puspa sangat kuat. Atau mungkin juga semangat Arman. Dato' Baha bangun menegakkan badannya. Sudah seminggu dia tak makan nasi berlauk. Asyik makan ulam sahaja.

Terdengar bunyi enjin helikopter yang semakin hampir.

Tepat pada waktunya, bisik hati Dato' Baha.

Datuk Haidar turun dari helikopter dan mendapatkannya.

"Macam mana cucu?" tanya Dato' Baha, setelah bersalaman.

"Alhamdulillah! Sudah sedar . . . Tetapi . . ."

"Dia hilang ingatan?" Dato' Baha memotong.

"Dia juga lumpuh . . ."

"Sabarlah . . . Sementara sahaja," pujuk Dato' Baha, "Sains dan teknologi boleh pulihkan dia."

Datuk Haidar tunjuk muka garang. "Engkau sindir aku ke?"

Dato' Baha ketawa. "Bukan . . . Itu sakit fisikal dia. Rawatan moden boleh bantu."

"Aku bimbang . . ."

"Engkau bimbang apa lagi?"

"Bolehkah aku dapat cicit?"

Dato' Baha ketawa terbahak-bahak. "Engkau dari muda sampai ke tua, masih lagi dengan sikap mementingkan diri sendiri. Sabarlah."

Sukar Datuk Haidar untuk bersabar. Dia mahu melihat cicit itu semasa hayatnya. "Engkau tentu tahu, apa herba yang sesuai untuk cucu aku biar cepat pulih?"

"Kenapa nak cepat sangat?" Hairan dia dengan sikap sahabatnya yang begitu tergesa-gesa. 

"Aku dah setuju, Ahad ini diorang nikah. Biar Arman jaga Puspa. Dia muda dan kuat."

Dato' Baha termenung sebentar. "Kau cari cendawan susu harimau."

"Hah? Bukan itu sesuai untuk sakit respiratori asma ke?" soal Datuk Haidar.

"Yelah. Macam mana nak dapat cicit kalau ibunya semput?"

Datuk baha terus pertahankan cucunya. "Puspa tak ada penyakit semput."

"Kau sendiri yang kata Arman muda dan kuat . . ."

Datuk Haidar ketawa. Otak kuning orang tua ni . . . Aku cuma fikir Arman kuat untuk urus keperluan Puspa . . . Sebab kakinya lumpuh. 

"Jangan risau. Khadijah tahu apa herba untuk kerja-kerja tu. Engkau tengok, Zahari tu punya le segak. Keturunan kerabat lagi. Tapi satu itu je dia pakai. Tak pernah aku dengar dia ada skandal dengan mana-mana betina."

"Aku tahu dia keturunan Raja Ahmad Iqram Ataullah yang kena buang tu, walaupun secara rasmi, diorang tak pakai gelaran Raja itu di hadapan nama."

"Sebab itu kau beria sungguh nak satukan cucu engkau dengan Arman, kan?"

"Apa lagi aku boleh buat untuk lahirkan zuriat yang dinafikan dahulu?"

Dato' Baha tahu Raja Ahmad Iqram telah bertunang dengan opah Datuk Haidar, Mai Farzanah anak Penghulu Meor Muhammad, tetapi putus kerana Raja Ahmad dibuang ke sebuah pulau di Lautan Hindi Timur atas tuduhan menentang penjajah.

"Mujur Raja Mohsen, anak Raja Ahmad Iqram dengan isteri Mat Sallehnya, Brenda dapat balik ke sini. Kalau tidak Arman pun tak ada di sini," kata Dato' Baha. Dia tahu kisah itu. dari wajah Arman dia tahu susur-galur keturunannya.

"Manusia hanya merancang Baha."

"Dahlah. Jangan risau. Cicit kau on the way. Jom kita makan mee rebus Janda Aisyah," kata Dato' Baha. Dia terus berjalan ke arah helikopter.

Datuk Haidar mengikut di belakang. Ketika helikopter itu mula naik, Datuk Haidar memandang ke luar tingkap. Pondok kecil tempat Dato' Baha bernaung daripada panas dan hujan serta persekitarannya sudah tidak ada.

Ghaib.

Yang kelihatan hanya hutan belantara  sahaja.

*****

❤️

*Gabungan rawatan sains dan teknologi dengan rawatan tradisi perlu berhati-hati. Jangan memandai makan ubat yang tiada kelulusan Kementerian Kesihatan. 

*Atas wajah Arman mengikut ingatan Puspa. Arman bukannya handsome sangat. Cuma perasan handsome lebih tu biasalah. Mana lelaki tak perasan handsome? Tapi macho tu memang ada.* 

*Imej bawah pandangan daripada helikopter.*




Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro