BAB 40: CINCIN PASANGAN
PENYELAMAT
Warung Pak De terletak hanya lima kilometer dari rumah Arman. Motorsikal Arman pandu dengan kelajuan normal di kawasan kampung, antara 60km - 80km sejam. Malik membonceng di belakangnya. Dia akan turunkan Malik dahulu di rumahnya yang jarak satu kilometer dari rumah Arman, sebelum meneruskan perjalanan pulang.
Kelihatan sebuah kereta di hadapan dengan lampu tinggi. Mungkin pemandu bertindak begitu kerana jalan raya di kampung itu agak gelap. Mata Arman silau. Dia tidak memasang full-faced helmet. Arman memperlahankan pacuannya, dan memandu di tepi sebelah kiri. Kereta itu begitu laju seolah-olah menuju ke arah mereka. Arman cuba mengelak sehingga masuk ke bahagian ke bahu jalan yang berumput. Mujur dia cekap dan masih dapat mengawal motorsikalnya.
Tiba-tiba sebuah trak muncul dari arah belakang dengan bunyi hon yang kuat seperti mahu merempuh kereta yang sedang menuju ke arah Arman.
Kereta dari hadapan itu mengelak dengan melencong ke seberang jalan, sehingga termasuk ke kawasan semak di sempadan jalan.
Arman memberhentikan motorsikalnya. Tergamam. Trak yang tiba-tiba muncul tadi membesit laju dan hilang daripada pandangan. Ia seperti sebuah jet tanpa sayap yang berlepas ke angkasa.
Semua berlaku begitu pantas.
Malik turun dari motorsikal. Insiden yang baru disaksikan itu membuat dia terkesima. Lalu kereta yang hendak melanggar tadi sempat memecut meninggalkan tempat itu.
"Aku dapat nombor plat dia," kata Arman.
"Kalau dapat pun mungkin palsu," jawab Malik.
"Tak apa. Kita lapor polis. Biar mereka semak."
Malik lebih berminat dengan trak yang menghilang di kaki langit. "Kau nampak tak trak tadi?"
"Ya . . . ke mana perginya? Laju sangat. Berani sungguh pemandunya, macam nak rempuh kereta yang nak langgar kita."
"Entah-entah bukan orang," ujar Malik.
"Isy! Mengarutlah engkau. Kalau bukan orang apa?"
"Malaikat," jawab Malik. Pendek.
" Macam super drone, cuma tak ada kipas."
"Betul. Trak tu pun lain macam saja bentuknya."
"Apa pun dia dah selamatkan kita."
*****
TERLUPA
Oleh kerana mereka pergi ke balai untuk membuat laporan polis, akhirnya Arman sampai ke rumah sudah jam 3.00 pagi. Dia teringat, dari tadi dia tak semak mesej, kerana terganggu dengan kejadian yang pelik, yang diakui juga oleh polis yang menyiapkan laporan mereka.
Ada dua mesej daripada Puspa dan beberapa panggilan.
Puspa: Assalamualaikum abang, Jumaat kita pergi ambil 'couple ring' boleh?
Alamak!
Baru ingat kena ambil 'couple ring' yang akan dijadikan cincin tunang.
Puspa: Kita pergi petang, lepas Puspa hantar Dzafri ke SPRM.
Macam mana boleh terlupa? Mungkir janji, bagi Arman, umpama sudah melakukan dosa besar.
Dia tidak terlibat dengan penghantaran memorandum ke SPRM yang dibuat oleh Badan Bertindak Kampung Seri Bahagia. Jadi, Jumaat memang hari yang tiada aktiviti. Ahad rombongan merisik/meminang akan pergi ke rumah Puspa. Takkan Sabtu baru nak ambil cincin itu? Sabtu Puspa tentu ada banyak kerja. Pihak lelaki memang tidak ada banyak sangat persediaannya. Pihak perempuan yang lebih sibuk. Bukan baru pertama kali dia bertunang. Arman jawab mesej Puspa.
Arman: Yup. Abang datang lepas solat zuhur.
Dia tahu Puspa sudah tidur dan tidak akan menjawab mesejnya. Matanya sendiri amat sukar dibuka. Akhirnya dia terlelap. Dia terjaga apabila azan subuh amaran kedua berbunyi di telefon bimbitnya. Malas betul nak bangun. Matanya seperti melekat. Dia duduk separuh baring atas katil dengan kaki terjuntai.
Tiga mesej masuk ke telefon bimbitnya. Semua daripada Puspa. Dia fikir dia akan jawab kemudian kerana subuh tidak menunggu. Dia teringat hari ini dia perlu mengutip cili untuk dijual. Dengan malas dia bangun menuju ke bilik air. Mujur biliknya ensuite bathroom. Memang walidnya buat reka bentuk begitu untuk semua bilik. Ini mengelakkan penghuni berjalan dalam rumah hanya dengan memakai tuala. Lepas mandi pagi badannya rasa sedikit segar. Khadijah yang tahu anaknya kena buat kerja waktu pagi telah siap masak nasi lemak. Beruntunglah ada umi yang sangat prihatin.
Lepas sarapan dia pergi ke kebun bersama uminya untuk mengutip cili. Pekerjanya pun sudah sampai. Mereka perlu bekerja pagi itu dengan pantas.
Pak Bakri datang dengan lorinya. Bakul keranjang dimuat ke atas lori dan dibawa pergi.
Arman arah pekerjanya mengemas kebunnya. Dia sendiri terasa letih dan amat mengantuk. Penangan nasi lemak mungkin. Dia fikir tak baik menyalahkan nasi lemak umi. Memang semalam dia terlebih banyak aktiviti, tanpa rehat. Ditambah lagi, hampir-hampir kemalangan. Patutlah. Ini pengajaran baginya. Dia tidak setangkas mana sebenarnya.
Zuhur belum tiba. Arman masuk bilik, berbaring sambil menunggu zuhur, tetapi terus terlena. Dia terjaga semula apabila masuk waktu zuhur. Lepas solat, uminya panggil untuk makan tengah hari. Oleh kerana adik-adik belum balik sekolah, mereka makan berdua sahaja. Ibunya layan dia macam biasa. Penuh kasih sayang. Kadang-kadang memandang dia dengan wajah sayu tanpa berkata-kata. Ingin dia bertanya apa kekesalan uminya tapi tidak terkeluar ayat-ayat itu daripada mulutnya.
Khadijah sudah siapkan barang-barang untuk hantaran. Semuanya ringkas sahaja. Dia hantar warna pic atas kehendak Puspa. Warna balasan mesti biru langit. Puspa minta warna pic juga. Tetapi dia enggan mengalah. Adakah orang lelaki pakai warna pic? Dia tersenyum, sebab teringat pertengkaran bodohnya dengan Puspa mengenai 'gender equality'. Dia tolong uminya menyusun barang hantaran. Dia harap uminya menerima Puspa seadanya.
"Walau dah bertunang pun, akhlak kena jaga." Khadijah mengingatkan.
Sembang dengan jiran-jiran, Khadijah tahu ada yang terlajak setelah bertunang. Macam yang dilihat dalam filem dan drama TV dari negara asing.
Arman tepuk dahi. Baru teringat, dia belum balas mesej Puspa lagi.
Teruk betul.
Dia buka telefon bimbitnya. Memang ada tambahan mesej Puspa. Ia disertai dengan emoji marah. Lepas itu imej kartun marah.
Dia bangun meninggalkan ibunya dan masuk ke bilik tidurnya. Khadijah senyum. Nak privasilah tu.
Sebaik sahaja pintu ditutup, Arman telefon Puspa. Tak ada salam dan mukadimah. Terus sahaja dia kena serang.
Puspa: Abang, kenapa tak jawab? Puspa mesej banyak kali. Call pun tak jawab.
Arman: Sayang, abang minta maaf banyak-banyak. Malam tadi abang tidur lepas pukul 3.00 pagi. Jadi abang letih. Pagi tadi harvesting. Lepas tu tertidur.
Puspa: Abang buat apa? Tidur lambat sangat?
Nak jawab macam mana? Arman fikir Puspa tak perlu diberitahu tentang insiden malam tadi.
Arman: Sembang orang bujang dengan Malik.
Puspa: Betul?
Arman: Tak percaya tanya Malik.
Senyap. Dia tunggu Puspa menjawabnya.
Dia sebut ayat memancing. Harapannya Puspa tak marah.
Arman: Trust me. I love you.
Puspa: Pandai manis mulut dah buat salah.
Tak sangka kata-katanya tidak dihargai. Keras juga hati perempuan ini.
Arman: Okey. Sayang tak percaya, abang datang sekarang.
Puspa: Tak payahlah, dah petang.
Nada suara macam merajuk.
Kedengaran alunan suara bilal menandakan masuknya waktu asar dari surau berdekatan. Tiba-tiba hatinya bagai didesak mahu berjumpa Puspa. Apa itu? Rasa bersalah? Rindu?
Arman: Lepas solat abang datang.
Puspa: Esok saja. Hari dah petang ni.
Pecut dengan Kawasaki kira-kira 30 minit boleh sampai.
Arman: Puspa tunggu di ofis. Abang datang.
Dia putuskan panggilan. Sebaik sahaja selesai menyempurnakan perintah Allah, Arman terus tukar pakaian. Dia lihat aplikasi FOLLOWER di telefonnya. Puspa masih di pejabatnya. Janganlah Puspa degil dan terus balik. Malulah kalau cari Puspa di rumahnya. Tentu dapat hadiah jelingan maut daripada ibu Indah. Tidak perlu buang masa lagi.
Arman tunggang motosikalnya laju menghala ke utara.
*****
LIBANG LIBU
Entah kenapa hari itu hati Malik terasa libang libu. Bukan sebab dia tak cukup tidur. Malam tadi dia tidur sebaik sahaja kepalanya menyentuh bantal. Dia bangun solat subuh seperti biasa. Lepas solat dia sambung tidur. Dia tahu orang kata tersekat rezeki kalau tidur semula lepas bangun subuh. Tetapi dia fikir, lagi tersekat rezekinya kalau dia tak cukup tidur, tetapi mahu mengendali mesin di kilang. Dia akan membahayakan dirinya sendiri dan pekerjanya.
Jam sepuluh baru dia tiba di kilang. Semua urusan sudah dibuat oleh pembantu teknik. Dia diusik pekerjanya kerana datang kerja satu jam lewat dan matanya merah macam Dracula. Satu kilang tahu hubungannya dengan Nelly. Yang mereka tidak tahu, Nelly sedang merindui orang lain, bukan dia. Memang sakit hati jika difikirnya. Tapi dia malas nak fikir. Punching bag di JACK & JILL akan jadi mangsa dia jika terasa panas hati.
Tetapi hatinya yang libang libu tidak juga reda. Kali terakhir dia merasa begini ketika mengamuk di Kelab Malam The KINS. Tetapi dia tahu Nelly tidak lagi mengulangi kelab malam itu. Malahan dalam beberapa jamuan korporat yang dihadirinya dengan peniaga antarabangsa, Nelly tak minum arak. Malik lihat itu sebagai satu perkembangan yang positif. Baguslah kalau Nelly sudah buang tabiat haram itu. Jadi, bukan Nelly yang menjadi punca libang libunya.
Siapa?
Dia cuba melupakan perasaan yang dia tidak tahu puncanya itu dengan menumpukan perhatian kepada kerjanya. Dia menyemak semua peralatan sampai pekerjanya hairan dengan perangainya.
"Belum masa semak lagi Tuan," kata mereka.
Sementara pekerja kolar putih panggil dia Encik Malik, pekerja kolar biru panggil dia Tuan. Puas dia suruh mereka panggil dia Encik Malik, tetapi mereka enggan. Kata mereka dia 'Tuan Engineer' bukan Encik Engineer'.
Jam 6.00 petang, pekerja-pekerja kilang sudah berduyun-duyun pulang. Malik ingin menghubungi buah hati pengarang jantungnya untuk mengajaknya dinner. Dia ingin meluahkan perasaannya kepada Nelly. Dia sudah membeli cincin lamaran. Sudah lama cincin itu disimpan di laci keretanya. Dia mahu mencari redha Allah bersama Nelly. Peristiwa di tebing sungai yang lalu memberi dia harapan Nelly ada perasaan kepadanya. Dia percaya Nelly cuma keliru tentang apa perasaan itu. Hubungannya dengan Nelly tidak boleh diteruskan begitu. Maksudnya, Nelly tidak boleh menangis di dadanya bila ada masalah, tetapi merindui orang lain bila senang. Itu tidak adil. Tidak adil langsung.
Hidayah? Dia tidak pandai berhujah untuk berdakwah dalam bahasa apa pun. Nelly bukan tidak tahu tentang hukum Islam. Adik papanya sendiri seorang pendakwah yang aktif. Hubungan mereka juga baik. Adik papanya tetap Cina. Berkahwin dengan wanita Cina. Semua sepupu Nelly daripada keluarga ini beragama Islam, tetapi tetap berbangsa Cina. Cuma Nelly liat. Entah tunggu apa.
Takkan masih menunggu Arman? Sedangkan Arman jelas menghantar isyarat dia tidak mahu menjadi jambatan yang menarik Nelly ke arah Islam melalui lafaz cinta.
Ketika mahu menghubungi Nelly, dia buka aplikasi FOLLOWER di telefon bimbitnya untuk mengetahui kedudukan Nelly. Kalau masih di pejabat, dia akan terjah sahaja. Isyarat Arman berkelip-kelip di skrin telefon bimbitnya dan sedang bergerak.
Arman menuju ke utara. Mungkin nak jumpa Puspa. Kalau dia mesej pun tak guna sebab Arman menaiki motosikal.
Kenapa dia pergi ke Ipoh waktu petang?
Biarkan saja. Dia nak jumpa buah hatinya. Apa aku nak kepoh?
Tetapi, setelah kejadian malam tadi, kalau apa-apa terjadi dia akan menyesal seumur hidup. Arman tengah angau. Bukan ingat musuh yang sedang menunggu. Dia mungkin cuai. Sebaliknya, kalau tak jadi apa-apa, baguslah. Boleh pergi minum kopi dan sakat-menyakat seperti selalu. Kalau mengekori Arman pun bukan rugi apa-apa. Cuma kena bayar duit minyak sahaja. Lantas, dia mengambil keputusan mengekori Arman. Pelan asal nak ajak dinner romantik dengan Nelly ditangguhkan.
Ada sesuatu yang menggerakkan hatinya untuk mengekori Arman ke Ipoh.
Dalam perjalanan, dia teringat pengakuan Arman malam tadi. Kata Arman dia tertarik kepada Puspa sejak menjadi tutor rakan sebaya. Tetapi dia tolak perasaan itu ke tepi kerana komitmennya dengan Nora.
"Pelik ke? Seorang lelaki jatuh cinta kepada dua orang perempuan sekaligus?" soal Arman.
"Itu lelaki mata keranjang. Pantang tengok dahi licin," jawab Malik.
Arman ketawa. "Itu dulu . . ."
"Eleh!" Malik mengejek. Sengaja dia buat begitu untuk menduga sahabatnya.
"Sumpah!"
Malik ketawa. Teringat masa kecil-kecil dahulu. Kalau kena tuduh akan bersumpah untuk menafikan.
"Aku tahu engkau ikhlas. Aku lega, sebab kau sudah berterus-terang dengan Puspa. Sebabnya aku di luar sini, masa kau di dalam. Nampak dengan mata kepala aku pengorbanannya. Aku tahu selalu dia menangis."
Seolah-olah pendedahannya menyentuh hati Arman. Dia terdiam. Beberapa detik kemudian . . .
"Now, she is everything to me."
Tegak bulu roma Malik mendengar pengakuan Arman. Dia tidak pernah mendengarnya semasa Arman sedang bercinta sakan dengan Nora.
Adakah ini kematangan atau kegilaan?
Pedal ditekan. SUV meluncur laju.
*****
❌
*Apa yang berlaku sebenarnya? Tunggu bab seterusnya!*
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro