BAB 39: MANUSIA HANYA MERANCANG
NASIB DZAFRI
Keesokan harinya, Ezhar, Zarif dan Suhail kembali berkumpul di pejabat Puspa. Mereka menunggu Dzafri kerana input daripadanya penting untuk melengkapkan lagi laporan yang akan dibawa ke SPRM. Mereka terkejut apabila Dzafri muncul dengan muka lebam-lebam. Lebih teruk daripada muka Arman ketika kena belasah dahulu.
"Kenapa muka engkau? Siapa pukul?" soal Suhail. Dia memang pantang melihat orang dibuli.
Dzafri diam. Malu nak cakap. Tetapi akhirnya setelah didesak, dia bercerita. Katanya selepas balik dari perjumpaan kelmarin, dia telah pergi berjumpa mentuanya untuk beritahu mereka supaya berhenti mengorek pasir dan mengeluarkan semua jentera dari kawasan itu. Dia beritahu mereka akan disiasat oleh SPRM jika enggan berbuat demikian. Dia juga merayu untuk membawa pulang Nora.
Dia rindu. Teramat rindu kepada Nora dan segala kebaikan dan kekurangan isterinya itu.
Namun, dia telah ditumbuk dan diterajang oleh abang iparnya sendiri, walaupun tidak melawan.
"Habis, takkan Nora biarkan saja awak kena pukul?" tanya Puspa.
"Nora pun kena pukul bila dia minta Abang Noramin berhenti," jawab Dzafri.
"Takkan satu keluarga biarkan awak kena pukul?" Ezhar sukar percaya ada keluarga terpelajar seperti ini.
Kata Dzafri, mereka berhenti memukulnya apabila Nora meraung sampai pengsan.
"Jadi, di mana Nora sekarang?" tanya Puspa, mula diselubungi kebimbangan.
Kata Dzafri Nora dihantar oleh keluarganya ke sebuah hospital swasta berdekatan. Tetapi dia berjaya meyakinkan hospital untuk pindahkan Nora ke hospital swasta lain. Hospital itu menerima alasan dia suami Nora dan bertanggungjawab ke atas semua kebajikan isterinya. Lokasi dirahsiakan daripada keluarga Nora. Dia sendiri tidak balik ke rumah. Sebaliknya dia tinggal di hotel berdekatan hospital itu untuk mengelakkan keluarga Nora daripada menjejakinya.
"Pandai juga awak. Ingat bodoh piang," sindir Zarif.
Dzafri abaikan sindiran Zarif. "Saya masih suaminya."
"Keadaan Nora macam mana?" soal Suhail.
"Nampaknya dia lebih tenang," jawab Dzafri.
Dzafri sedar setelah terdengar perbualan ibu tirinya, Nora mungkin terkena mandrem kerana badannya lemah setelah bersalin sebelum masanya. Mujur Khadijah turut membantunya dengan kerjasama Haji Ismail. Tetapi Khadijah tak benarkan dedahkan peranannya. Takut Puspa dan Arman tidak berkenan.
"Siapa jaga dia di hospital?" soal Puspa. Bimbang juga Puspa kalau-kalau Nora lari. Lebih-lebih lagi kalau lari menuju ke arah Arman.
Dzafri jelaskan dia upah seorang pembantu jururawat swasta untuk memastikan Nora tidak dilawati orang lain, kecuali dengan izinnya. Dzafri yang selalu nampak sofistikated itu kelihatan sangat berbeza.
"Tapi dia masih tak suka tengok saya, walaupun tak maki hamun saya lagi," kata Dzafri dengan suara yang jelas tidak bermaya.
Di matanya terbayang bilik tidur dan bilik bayinya yang terhias indah tetapi kosong!
Melihat keadaan Dzafri yang menyedihkan itu, Suhail menjadi simpati. "Baiklah. Aku tarik balik laporan polis aku, dengan syarat."
"Syarat apa bang? Saya ikut semuanya," kata Dzafri.
"Kau tak boleh lagi mengganggu sepupu aku, Arman, atau kaum keluarganya atau sesiapa saja yang dekat dengannya," tegas Suhail.
"Saya berjanji bang. Saya juga akan bayar ganti rugi kebun Arman," jawab Dzafri.
"Perkara ini kena bincang dengan pihak penyiasat," Ezhar mencelah.
"Tak ada masalah. Itu saja yang aku boleh tolong. Bab lain yang kau bersekongkol dengan ayah kau, atau geng curi pasir tu aku tak campur," kata Suhail.
Nada suara Suhail masih keras, seolah-olah berkata: Aku tarik balik laporan polis aku, bukan bermakna aku anggap kau tak bersalah.
Mereka mengambil keputusan. Oleh kerana firma EZHAR & ZARIF peguam untuk penduduk kampung, firma ADAM PRAKASH & PUSPA akan kekal jadi peguam mewakili Dzafri. Laporan kepada SPRM oleh Badan Bertindak Penduduk Kampung Seri Bahagia akan diteruskan. Media akan dipanggil untuk membuat liputan. Lepas itu Dzafri akan menyerah diri yang disertai peguam kepada SPRM. Dzafri akan melakukannya secara rahsia, tanpa pengetahuan media. Dzafri kena bersedia, mungkin dia akan ditahan reman.
Di hujung perbincangan, setiausaha Puspa beritahu Arman sudah menunggu di luar.
"Kata mak aku dulu kalau orang bercinta, tak dapat jumpa, dapat tengok bumbung rumah gadis itu pun jadi..." usik Suhail.
Mereka minta Arman masuk. Bukan ada rahsia yang Arman tidak boleh tahu.
Arman terkejut melihat wajah Dzafri yang bengkak-bengkil.
Tiba-tiba Dzafri bangun dan memeluk Arman. "Arman... Aku minta maaf... Aku banyak buat salah pada engkau..."
Arman membalas pelukan Dzafri, tanpa ragu-ragu. "Aku maafkan kau. Asalkan kau jaga Nora baik-baik."
Begitu mudah. Suasana sepi sebentar.
"Aku tak mahu apa terjadi pada kau dengan Nora buat Puspa salah faham," sambungnya.
"Lepas ni tak ada salah faham lagi kot. Hujung minggu depan kami sampailah..." Suhail mencelah, sambil ketawa.
"Okey. Meeting selesai. Cik Abang semua sila keluar ya. Puspa got nothing more to say." Daun pintu dibukanya. Tangan dihayun dengan gaya mempersilakan mereka keluar.
Ezhar dan Zarif mengangkat punggung dengan malas.
"Jom Suhail, kita ke balai," kata Ezhar. "Peguam engkau nampaknya sibuk, Dzafri. Kalau masih ada urusan, baik pergi jumpa ayah dia."
*****
HARI PENERANGAN
Pada hari Sabtu penduduk Kampung Seri Bahagia berkumpul lagi. Hari itu hari terakhir mereka berbincang tentang strategi untuk membuat petisyen menuntut kerajaan memberhentikan pembalakan dan projek ladang durian kunyit. Penduduk mahu dilibatkan dengan petisyen dan laporan kepada SPRM. Banyak fakta yang sudah diperolehi untuk menyokong petisyen itu, selain isu babi-babi hutan yang menyusahkan penduduk kampung. Itu hanya kesan sampingan.
"Mengikut apa yang saya dapati daripada Exco, pembalakan di hutan di seberang sungai kampung ini diberi kepada sebuah syarikat secara rundingan terus. Wujud pelanggaran beberapa undang-undang tanah negeri, kerana kawasan itu rizab hutan milik kerajaan negeri," jelas Zarif dengan panjang lebar.
"Sah projek tu memang salah?" soal Zahari.
"Itu hujah kita cikgu," kata Ezhar. "Kita highlight dari pelbagai sudut, termasuk Akta Tanah, Akta Alam Sekitar dan mungkin Akta Pencegahan Rasuah dan Pengubahan Wang Haram."
Kata Zarif, wujud keraguan bagaimana sebuah syarikat boleh guna tanah kerajaan untuk tanam durian kunyit sedangkan perbadanan negeri tidak minat pun untuk menjalankan perniagaan itu. Kerana itulah satu siasatan yang rapi harus dijalankan bagi merungkai bagaimana ia boleh berlaku.
"Syarikat itu berani teroka tanah kerajaan mungkin kerana penguatkuasaan kerajaan tidak bersungguh-sungguh sebelum ini." Zarif dalam susun ayat macam di Mahkamah.
"Kami nampak depa terang-terang jentera berat keluar masuk kampung," Haji Ismail yang jelas tidak puas hati mencelah.
"Sampai masa kita bertindak," ujar Zahari, teringat kepada babi-babi yang bertandang di laman rumahnya pada waktu malam beberapa bulan yang lalu.
"Banyak benda pelik-pelik depa buat, kita pun tak tau," kata Haji Ismail.
"Sekarang kita dah tahu. Ada unsur fraud dan rasuah, kita boleh ambil tindakan. Kita ada bukti," tegas Ezhar pula.
"Elok sangatlah. Jangan tangguh-tangguh. Buat keputusan untuk segera banteras. Hentikan kerja-kerja pembalakan haram tu." Haji Ismail kelihatan semakin tidak sabar.
Dia membayangkan jambatan ponton yang merentasi sungai itu diruntuhkan, supaya tidak dapat digunakan oleh babi-babi hutan untuk merayau masuk ke Kampung Seri Bahagia.
"Kita tahu syarikat Maju Deras tu kroni siapa, walaupun nama dia tak ada. Kalau ikut hati aku, sekarang ini aku nak runtuhkan jambatan itu," katanya. Entah sudah berapa kali dia menyebutnya.
"Sabar Tuan Haji. Kita ikut undang-undang," nasihat Ezhar.
Mereka setuju memilih lepas solat Jumaat untuk menghantar petisyen ke Dewan Undangan Negeri dan membuat laporan ke SPRM. Lepas mesyuarat, Ezhar dan Zarif minta diri pulang ke Ipoh.
Kedua peguam itu pergi, dituruti oleh ahli jawatankuasa lain. Tinggal Haji Ismail, Zahari dan Suhail melepak di balai raya itu.
"Hari ini peguam lawa tu tak ada pulak ya . . ." kata Haji Ismail sambil tersenyum.
"Dia dengan Arman pergi kursus," jawab Zahari.
"Hah? Kursus apa pulak?" soal Haji Ismail.
"Kursus kahwinlah."
"Ooh! Jadi betullah khabar angin yang aku dengar."
"Biar cepat kahwin kalau dah suka sama suka," kata Zahari.
Dia pun rimas dengan perangai anaknya sendiri. Mungkin dahulu dia tidak perasan kerana semua aktiviti cinta anaknya di luar radarnya. Kini di hadapan matanya.
"Harap kali ini jadilah," kata Suhail yang dari tadi diam sahaja mendengar orang lain berhujah.
"InsyaAllah," kata Haji Ismail. "Apa cerita Si Dzafri? Aku dengar kena pukul ipar-duai."
Berita-berita seperti itu bukan boleh disembunyikan. Cepat sangat tersebar. Lagipun Nora anak saudaranya.
"Tak serius. Bengkak-bengkil muka sahaja," kata Suhail.
"Aku tahu Noramin tu memang panas baran," ujar Haji Ismail. "Aku kesian pada Nora. Sudahlah kena kahwin paksa. Mati anak pulak."
"Tak paksalah tu, kalau dah boleh ada anak, walaupun meninggal," kata Suhail, sinis.
"Kamu tu mulut tak ada insuran," kata Haji Ismail. "Entah macam mana Amirah boleh berkenan."
Suhail ketawa. Dia sudah lali dengan kecaman orang tentang mulut celuparnya. Alasannya, keceluparan itu hanya untuk mereka yang dia tak berkenan, termasuk Dzafri dan keluarganya. Dia sebagai anak sulung sering terpaksa mengambil peranan sebagai bapa, apabila ibu dan abinya bekerja di tempat yang jauh antara satu sama lain, gara-gara kerja jahat Datuk Salim.
Kedua orang tuanya seolah-olah melakukan kesalahan yang besar kerana aktif dalam politik, kerana mereka guru. Sedangkan Datuk Salim sendiri, sebelum menjadi wakil rakyat juga seorang guru.
Memang dia sakit hati dan teringin kata 'padan muka' sahaja kepada Dzafri. Lebih-lebih lagi Dzafri merampas tunang Arman. Tetapi ditahannya perasaan itu. Sekurang-kurangnya sekarang Dzafri sedang mencuba membayar balik segala perbuatan jahatnya dahulu. Dia cuma harap Dzafri teguh dan tidak u-turn.
Lagipun, Arman dah dapat pengganti yang lebih baik.
*****
WARUNG PAK DE
Kerana Sabtu dan Ahad Arman seharian bersama Puspa pergi kursus kahwin dan buat perkara-perkara lain (Tipulah kalau mereka tidak melencong), Arman menghabiskan masa pagi Isnin di kebunnya dan pulang ke rumah hampir maghrib. Dia sedikit keletihan. Dia bukan Superman. Lepas solat isyak, Malik ajak lepak di Warung Pak De.
Sahabat baik yang banyak jasa ajak takkan tak sudi?
Justeru, Arman turutkan sahaja walaupun dia sudah terasa letih.
Hanya Pak De yang buka warung hingga jam tiga pagi, sebagai memberi perkhidmatan kepada pekerja kilang di Mukim Indra Sakti itu. Selain kilang membuat sos cili milik keluarga Nelly, ada juga kilang kopi dan kilang kicap yang operasinya sehingga 12 malam. Pekerja kilang akan singgah di warung itu selepas habis syif malam untuk melepaskan lelah. Warung Pak De ada skrin besar yang digunakan untuk menayangkan perlawanan sukan. Apabila ada perlawanan bola Piala Dunia, atau Olimpik, warung Pak De dibuka 24 jam. Siapa nak halang? Bukan ada Majlis Perbandaran yang kacau.
Roti canai Pak De amat terkenal. Ditambah dengan susu kacang soya buatan sendiri. Pergh! Itulah yang dihadap pekerja kilang tak kira waktu. Soal makan tiada bezanya Malik dengan pekerja bawahannya. Sering juga Malik ke situ melepak dengan mereka. Sekali sekala dia bawa Nelly. Satu kampung pun tahu.
"Sebenarnya aku tak tau macam mana nak bagi tahu Nelly tentang pertunangan kau dengan Puspa." Malik meluahkan persoalan yang mengganggunya selama ini.
"Aku tak boleh tangguh sehingga kau berjaya memikat Nelly, Malik," balas Arman.
"Yelah. Aku faham." Malik nampak sedih. Arman cepat-cepat alih topik.
"Aku baru perasan, Zarif tu ada menaruh hati dengan Puspa."
Kali ini Malik ketawa terbahak-bahak.
"Tak kelakar pun," kata Arman, menarik muka masam.
Malik menyeka air matanya yang keluar kerana terlalu kuat ketawa. "Aku tak tahu kat mana kau letak mata kau. Mungkin kau asyik pandang Puspa saja, sampai kau tak nampak mata orang lain. Aku dah lama perasan."
"Apa pasal kau tak cakap?"
"Buat apa aku cakap? . . . Dah . . . Jangan nak masam-masam. Tak elok untuk orang yang nak bertunang."
"Ok. I agree it's none of your business. Pasal Nelly ni aku cadang kau bawa dia ke tempat romantik, kau propose dia."
Malik termenung sambil merenung susu kacang soya panas keluaran Pak De. Mana nak letak air muka dia kalau kena tolak?
"Atau pun kau ajak dia tengok cerita hantu Korea, kata Arman sambil ketawa. Ada maksud tersirat dalam ketawanya. Malik senyum sahaja. Arman boleh tahan juga, kadangkala cakap mengarut.
"Mungkin elok kau bertunang dan nikah cepat. Biar dia tak terus berharap," kata Malik.
Arman kasihan kepada sahabatnya. Tetapi apa yang dia boleh buat?
Tiba-tiba mereka dikejutkan dengan sorakan pengunjung Warung Pak De. Riuh rendah mereka. Ada yang kecewa. Gawang Brazil baru sahaja dibolosi Mexico.
"Wamakaru Wamakarallah Wallahu Khairulmakirin" kata Arman.
*****
🏉
Nota: Firman Allah Dalam surah Ali-Imran ayat 54 bermaksud:
"Mereka merancang, Allah juga merancang, Sesungguhnya Allah sebaik-baik perancang"
*Thanks for reading.❤️ Bilik bayi mewah!*
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro