BAB 34: MANDREM
MIMPI PUSPA
Pada pandangan Puspa, mata Arman yang memandang Nora, seperti masih ada putik-putik cinta. Bukan dia tak mahu Arman bersimpati dengan Nora yang kehilangan anak. Tetapi, dia amat takut Nora masih ada di hati Arman. Nora pula jelas mahu dibelai oleh Arman, bukan suaminya.
Puspa tidak boleh terima. Takkan jadi sewel begitu bila kematian anak? Sampai abaikan suami sendiri dan mahu belaian kasih bekas tunang?
Sebenarnya sudah lebih seminggu Puspa tidak dapat tidur dengan lena. Dia seperti diserang suara-suara yang berbisik jahat agar meninggalkan Arman. Sedangkan, di sebalik itu dia benar-benar mahu mempercayai Arman, cinta pertamanya.
Kenapa bayangan itu asyik berulang kali dalam otak ini?
Aku belum gila lagi!
Puspa tidak tahu kepada siapa dia hendak mengadu. Kepada ibu? Tak mungkin. Tak pasal-pasal kena sindir. Kepada ayah? Sudah berapa kali ayahnya beri dia amaran. Jangan menagih cinta Arman. Akhirnya Puspa menyimpan semua kesedihan di dalam hatinya sendiri. Menangis senyap-senyap di dalam bilik. Menangis sehingga tertidur, bermimpi manis dan tersedar, ia hanya mimpi.
Beberapa kali Arman menghubunginya. Untuk apa? Hanya nak tanya khabar sahaja? Takkan dia tiada perasaan?
Sakit hatinya.
Tiba-tiba dia didatangi Malik. Puspa hairan kerana Malik tidak pernah datang ke pejabatnya. Lalu semua yang dialaminya diluahkan kepada Malik.
Lama Malik termenung memikirkannya. Akhirnya dia bersuara."Jangan-jangan kau kena mandrem tak?"
Puspa tunjuk wajah kabur. "Mandrem tu apa?"
"Sihir Pemisah Kasih," jawab Malik.
"Isy! Apa ni? Mandrem? Sihir pemisah kasih? Ada lagi ke zaman milenium ni?" Bertalu-talu Puspa melontarkan soalan.
Malik ketawa sinis. Dia tahu wujud amalan itu daripada cerita guru silatnya, Dato' Baha. "Hahaha . . . orang Melayu memang ada yang mengamalkannya."
"Takkan Nora buat macam tu? Dia kan guru . . . terpelajar . . . Lagipun dia baru saja keguguran." Puspa masih keliru.
"Mungkin bukan Nora."
Makin mengelirukan. "Siapa?"
"Pihak yang mahu menghuru-harakan perkahwinan Nora dengan Dzafri dan sekaligus hubungan kau dengan Arman." Malik meneka.
"Pihak keempat? Apa salah kami?"
"Orang jahat tak perlu alasan untuk berbuat jahat."
Puspa tunduk merenung meja yang bisu.
"Puspa rasa helpless . . ."
"Ini . . . Abang Malik ada." Dia menepuk-nepuk dada bidangnya.
"Menyusahkan Abang Malik sahaja."
"Kita ada kepentingan sama."
Puspa tahu Malik menyintai Nelly secara diam-diam. Puspa tahu sejak di universiti lagi. Mungkin juga Malik sudah suka Nelly sejak sekolah lagi. Itu Puspa tak tahu sebab mereka bukan dari sekolah yang sama. Cara Malik memandang Nelly dan melayannya sudah cukup jelas. Tetapi Nelly macam tidak sedar. Atau sedar tapi sengaja buat-buat tidak sedar.
Kesian Malik. Macam burung pungguk merindu bulan.
Lamunan Puspa dikejutkan dengan soalan Malik. "Macam mana? Setuju tak?"
"Setuju apa?" soal balik Puspa, sedikit bingung.
"Puspa kena lawan perasaan itu. Tak boleh merajuk lama-lama."
"Puspa tak berapa faham."
"Arman sangat menderita. Tapi ego dia besar," kata Malik.
Ya. Arman sangat menderita. Bagaimana dengan aku?
"Tapi Puspa boleh buat apa, kalau dia tak boleh lupa bekas tunang dia . . ."
"Pucuk pangkalnya hati kau Puspa. Kalau kau berkeras melawan suara-suara itu, yang jahat akan kalah."
"Tapi . . . Macam mana pula dengan hati Abang Arman?"
"Aku tolong kau untuk 'lembutkan' hati Arman. Aku tahu di mana kelemahannya. Kau kena ikut cadangan aku, Kalau betul kau nak tawan hati dia."
Malik hurai cadangan dia. Puspa tenung wajah Malik. Nampak serius sangat mukanya. Dalam sedih Puspa rasa kelakar pula.
"All is fair in love and war," kata Malik. "You will never know unless you try!"
Masuk juga dalam kepala otak Puspa akal Malik. Kalau dia peduli, dia akan datang, fikir Puspa.
"Kau sudah ada aplikasi pengesan FOLLOWER di telefon bimbit kau?" soal Malik.
"Ada. Abang Arman letakkan. Atok kata baik ada," jawab Puspa, tanpa sebarang tanda teruja.
"Eloklah ada. Apa-apa jadi pada kau kita orang cepat dapat tahu lokasi kau, selagi telefon bimbit kau ada bateri."
Puas mempengaruhi Puspa supaya mengikut pelan dia, Malik pulang dan jentik Arman pula.
*****
TRICK SIKIT
"Engkau tak nak tengok apa buah hati kau buat di JACK & JILL BOXING CLUB ke Arman?" kata Malik, sambil melihat blinks FOLLOWER di telefon bimbitnya.
Mereka baru sahaja keluar dari masjid selepas solat Jumaat.
Arman mengambil telefon bimbitnya, melihat sebentar dan menyimpan semula ke dalam koceknya.
Dia buat-buat tak peduli. Ini tak boleh jadi, fikir Malik.
"Engkau tahu tak, hari ini ialah mixed-gender day di JACK & JILL BOXING CLUB. Maknanya, pengajar tidak terhad kepada lelaki untuk lelaki dan perempuan untuk perempuan," kata Malik lagi.
"Ada hari macam tu ke?" soal Arman. Wajahnya jelas menunjukkan skeptikal. Dia tidak pernah pergi ke JACK & JILL pada hari Jumaat.
"Kau tak perasan ke? Tiap hari Jumaat. Itu permintaan ahli yang bukan Islam. Engkau kena tahu, Jack tu businessman. Jumaat orang Islam memang tak ramai yang pergi."
Arman diam. Mereka terus melangkah ke tempat parkir.
"Aku pergi dulu," kata Arman tiba-tiba. Dia bergegas meninggalkan Malik yang hanya tersenyum melihat Arman memandu motosikalnya meninggalkan kawasan masjid.
Kenapa pergi hari Jumaat? Dulu diajak tak mahu. Saja cari pasal. Geram betul, gerutu hati Arman.
JACK & JILL BOXING CLUB memang ada peraturan, pengajar peribadi perempuan untuk ahli perempuan sahaja. Begitu juga yang lelaki. Arman sendiri melanggar peraturan itu kerana dia pengajar peribadi Puspa tanpa bayaran. Jack beri pengecualian kepadanya. Itupun dilakukan waktu sebelum pusat itu dibuka untuk awam pada jam 10.00 pagi hujung minggu.
Setibanya di rumah Arman terburu-buru menukar pakaian dan keluar semula. Khadijah tercengang melihat anaknya keluar tergesa-gesa dan tidak mahu makan tengah hari yang sudah disediakan.
*****
KENA TIPU
Setibanya di JACK & JILL BOXING CLUB, dia nampak tak ramai pelanggan. Ini kerana ketika itu masih waktu pejabat. Semua pelanggan perempuan. Arman melintasi perempuan-perempuan itu. Ada yang nakal mengusiknya sebelum dia sampai ke ruangan latihan boxing yang tertutup daripada ruangan fitness biasa. Jack sengaja bina begitu kerana ruangan latihan boxing selalunya bising. Dari jauh kelihatan seorang pengajar perempuan sedang membantu Puspa menggunakan punching bag. Ketika itu Arman sedar dia sudah ditipu kawan baik sendiri.
Kurang asam punya Malik.
Tetapi apabila melihat Puspa kelihatan melepaskan penumbuk dengan gaya yang lembik, tiada semangat, rasa geramnya kepada Malik terus hilang.
Pantas Arman menghampiri mereka.
"I will take over," katanya kepada pengajar itu.
Puspa cuba memprotes suam-suam kuku. Tetapi pengajar itu terus pergi kerana takut dimarahi.
Arman senyum. Puspa hanya membalas dengan wajah bosan. Arman abaikan sahaja reaksi Puspa. Dia terus mengingatkan Puspa ajarannya dahulu bagaimana menggenggam dan menghayun penumbuk. Tetapi Puspa masih menumbuk dengan gaya lemah longlai, seperti mahu tak mahu.
"Bayangkan punching bag ini Abang. Sayang tengah marah Abang. Sayang tumbuklah sekuat hati," kata Arman. Dia pegang punching bag itu untuk menstabilkannya.
Puspa menumbuk dengan sekuat hati beberapa kali dan air matanya berjurai turun. Bukan turun lakonan seperti yang disuruh Malik. Tetapi turun dengan sendirinya.
Arman terkejut melihat wajah Puspa sudah dibasahi air mata. Daripada rasa panas hati kerana ditipu Malik, berubah kepada terasa dirinya seperti jantan jelek pula. Malu juga kalau dilihat pelanggan lain. Macam dia pembuli. Arman tarik Puspa masuk ke pejabat baharunya yang terletak di ruangan itu. Pintu ditutup.
Jack yang memerhati gelagat mereka dari jauh menjadi kalut. Mana boleh berdua-duaan dalam bilik dan tutup pintu? Ini tak boleh jadi, fikirnya. Dia gerakkan kerusi rodanya sehingga ke pintu dan rapatkan telinga untuk mendengar apa yang berlaku di dalam bilik.
"Lepaskan apa dalam hati tu . . . Apa yang sayang nak cakap? Abang nak dengar." Jack dengar suara Arman. Agak tinggi suaranya.
Budak-budak ini dah berabang-sayang. Sejak bila? Kenapa aku tak tahu? fikir Jack sambil tersenyum-senyum.
"Abang suka pada Nora lagi . . . Abang nak balik pada dia kan?" Suara Puspa juga tinggi.
Nada suara Arman direndahkan. Tak berapa jelas, hanya hujungnya kedengaran ". . . Bloody hell!"
Isy! Pandai pula budak ni keluar bahasa macam tu, gerutu Jack.
"Berapa kali abang nak bagi tau . . . Abang dengan Nora tak ada hubungan lagi."
"Tapi dia sudah berpisah dengan suaminya . . ." Suara Puspa masih tinggi, seperti menangis.
"Jadi?"
"Dia boleh kahwin lain!"
"Biarlah kalau dia nak kahwin lain. Apa kaitan dengan kita?"
Tiada jawapan. Senyap.
Apa sudah jadi?
Jack membilang, "1 - 2 - 3 - 4 - 5 ----9 - 10."
Masih senyap.
Apa diorang buat di dalam?
Jack tak sabar lagi. Pintu bilik pejabat diketuk.
Walaupun hanya beberapa minit, Jack rasa seperti berjam-jam baru Arman membuka pintu. Bau minyak lavender menerjah ke lubang hidungnya. Kelihatan sebotol minyak lavender terletak di atas meja. Jack memang menggunakan minyak lavender untuk tujuan rawatan kecederaan kecil. Puspa pula duduk cantik dan aman damai di sofa, walaupun nampak baru lepas menangis. Arman nampak tenang dan normal. Macam tidak ada perkara yang pelik terjadi.
Terlalu tenang. Terlalu orderly. Pandai budak-budak ni berlakon, hati Jack merengus.
"Tangan Puspa cedera," kata Arman, tanpa nampak bersalah.
"Tunjuk tangan," Jack mengarah, persis seorang guru disiplin.
Puspa menghulurkan tangannya. Jack memeriksa dengan teliti. Dia mempunyai kelulusan dalam sport medicine dari sebuah universiti di Amerika Syarikat. Benar. Dilihatnya jari-jari Puspa kemerah-merahan.
"Hmm - Sikit saja. Mungkin glove tak sesuai," katanya.
Dalam pada itu, Jack masih tidak yakin. Perkara kecil sahaja.
"Awak berdua tak buat perkara . . . yang . . . salah?" soal Jack, memandang tepat ke muka Arman.
Arman cuma tersengih. Puspa mengalih pandangan ke arah lain.
"Baiklah. Kamu tak mengaku. Aku pun tiada empat saksi . . . Di tingkat bawah ada satu kedai emas . . ."
"Kenapa dengan kedai emas?" Puspa memotong sebelum sempat Jack menghabiskan ayatnya.
"Arman nak cari cincin merisik. Cincin tunang pun kamu boleh tempah," kata Jack, sengaja menyindir, tapi dengan nada suara yang serius. Arman tak tahu buat keputusan, biar aku buat keputusan untuknya.
"Sekarang pergi." Tangan Jack menunjuk ke pintu.
Setelah 'dihalau' oleh Jack, Arman dan Puspa keluar dari kelab itu seperti budak-budak yang sudah melakukan kesalahan. Mereka berjalan dengan senyap menuju ke eskalator.
"Sakit lagi tangan tu?" Arman bertanya dengan lembut setelah tiba ke tingkat bawah. Sebenarnya dia tahu Puspa menangis tadi bukan kerana sakit tangan. Tetapi sakit hati.
Puspa tidak menjawab. Dia mengangkat tanganya untuk mempamerkan jari-jari cantiknya di hadapan wajah Arman.
"Kalau bengkak nanti tak muat masuk cincin, dah salah saiz," kata Arman. Sebuah senyuman manis diukir.
Puspa menjeling manja ke wajah Arman sambil membalas senyuman. Tidak perlu kata-kata. Dia sudah menang pusingan ini, fikirnya. Terasa amat bahagia. Semua suara-suara sumbang itu tidak kedengaran lagi.
Pemilik kedai emas dari Kelantan kenal Arman kerana wajahnya terpampang pada poster saiz manusia dekat pintu masuk JACK & JILL BOXING CLUB. Dia beri diskaun. Selepas beli cincin merisik, emas belah rotan, pemilik kedai emas itu, yang memanggil dirinya Abe Ja (Jailani) memujuk supaya mereka menempah cincin tunang.
Puspa kelihatan sangat teruja, sama seperti ketika Arman menjadi tikus belanda masakan rotinya. Tidak sampai hati Arman berkata tidak. Semakin menipis dompetnya. Mereka menempah couple ring yang dibuat daripada platinum. Cincin Puspa mempunyai sebutir berlian kecil yang dibenamkan dan ukiran nama Arman Naim. Sementara cincin Arman hanya diukir nama Puspa Kamilah. Itu saja yang Arman mampu. Walaupun ringkas Puspa ternyata amat gembira. Melihat wajah gembira Puspa, dia turut gembira. "Minggu depan cincin siap. Lepas ini ramai yang patah hati," Abe Ja mengusik.
Buat masa ini Arman fikir dia hanya perlu yakinkan Puspa soal hati sahaja. Kalau Puspa terima dirinya seadanya, tak perlu dia nak fikir macam-macam. Dia tahu kalau dia pilih Nelly, hidup dia senang kerana dia akan jadi bos di kilang itu. Tetapi dia tidak cintakan Nelly. Dia tidak akan berkahwin kerana harta. Dan tidak akan merosakkan harapan Malik. Tidak adil untuk mereka.
Lepas beli cincin Arman beritahu Puspa dia amat lapar sebab belum makan tengah hari.
"Belum makan? Kenapa sampai macam tu?"
"Malik punya pasal."
Puspa sembunyikan senyum. "Tak apalah, Puspa belanja."
"Betul?"
"Betul."
Mereka mencari restoran makanan Melayu. Arman makan dengan selera. Sebab lapar. Sebab free. Sebab lega.
Malam itu Arman letak kotak berisi cincin merisik di hadapan umi dan walidnya.
"Nampaknya tercapai juga hasrat walid," kata Zahari.
Kata-kata Walid sudah cukup buat Arman semakin yakin.
"Cincin tunang kamu dah tempah?" soal Khadijah pula.
"Sudah umi, tadi kami tempah sama-sama."
Khadijah memandang suaminya. Pandai betul anaknya menggatal.
"Bertuah budak ni. Mengapa tak cakap dengan umi?"
Arman hanya mengangkat keningnya. Takkan dia nak cerita dia ditipu Malik. Lepas tu 'ditangkap basah' oleh Jack? Mujur Jack. Kalau Pak Imam yang tangkap lagi teruk.
Arman beli cincin pasangan untuk cincin tunang. Memang 'budak bertuah'!
Esok jaga engkau Malik. Berani kau tipu aku.
*****
💘💘
*Arman dan Puspa berjaya setakat ini mengatasi kejahatan. Tetapi angkara siapa? Thanks for reading!*
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro