BAB 32: KIFARAH
IMPIAN ZAKI
Petang itu selepas solat Asar Arman melepak di anjung rumah dengan Zaki. Jarang sekali mereka berdua dapat bergebang. Arman sibuk dengan kebun cilinya. Zaki pula sibuk dengan SPM yang akan dihadapinya. Kerusi-kerusi simenfero yang dibentuk seperti kayu itu hanya menjadi tempat istirehat si Debab, kucing Sarah. Kali ini Debab terpaksa berkongsi tempat itu dengan Arman. Pokok cili yang sudah mengeluarkan hasil memberi peluang kepada Arman meluangkan masa dengan keluarganya. Zaki nampak gembira apabila Arman duduk di sebelahnya, ketika dia memetik gitarnya sambil menyanyi. Entah apa lagunya Arman tidak tahu. Sedap juga suara adiknya, mendayu-dayu. Dia hanya dapat menangkap hujung senikataya:
Kaulah inspirasi
Pada rindu yang menanti
Kasih tidak bertepi
Wira damai di bumi indah ini . . .
Lagu itu yang dimulai oleh Zaki dengan nada suara sedih, diakhiri dengan gembira dan sekuntum senyuman dilemparkan ke arahnya.
"Sedap tak lagu tu Abang Long?" soal Zaki, sambil tangannya masih lagi memetik gitar.
"Sedap. Adik Abang memang berbakat," balas Arman.
Ditepuk-tepuknya belakang bahu Zaki dengan penuh kasih sayang. Zaki masih terus memetik gitarnya,
"Lagu tu mengenai abang long," katanya serius.
Arman terharu. Tak sangka adiknya begitu menyanjungnya. "Ya ke? Thanks dik. Tapi abang long bukan wira macam dalam lagu tu."
Zaki berhenti memetik gitar. Dia renung ke dalam mata abang longnya. Seperti dia nampak sisa-sisa kepiluan, di sebalik senyuman Arman. Zaki nampak matang walaupun baru berusia 17 tahun. Tiga tahun tanpa Abang Long di sisi dia menjadi anak sulung.
"Zaki sayang abang long. Zaki takkan buat perkara-perkara yang abang long tak suka. Atau dilarang agama kita."
Arman peluk bahu adiknya, "Abang long tau . . . Dan abang long minta maaf."
"Minta maaf apa pula abang long?" Jari-jarinya kembali memetik gitar.
"Hari tu abang long marah Zaki dengan Sarah tak usul periksa."
"Ala . . . Zaki dah lupa abang long."
"Tapi abang long tak lupa."
"Bila abang long kena pukul, kami sedar kenapa abang long marah."
Dia tunduk.
Tangannya masih bermain-main dengan tali gitarnya. Arman tidak tahu apa yang Zaki buat mengubah-ubah jejarinya. Tapi bunyi yang dihasilkan semua sedap bagi telinga Arman yang langsung tidak tahu beza antara C Major dengan C Minor.
"Zaki nak jadi penyanyi ke?"
"Taklah . . . Zaki nak jadi sound engineer." Pantas sahaja Zaki menyatakan impiannya.
"Wow . . . Nak belajar di mana?" Arman terfikir Amerika Syarikat.
"Kalau boleh nak belajar di Boston atau New York," jawabnya tegas. Kemudian disambung dengan nada kecewa. "Tapi entahlah . . . Kita mana ada duit."
Arman tidak tahu bagaimana hendak memujuk keluhan adiknya. Dia diam. Alunan bunyi gitar memenuhi ruang anjung itu. Sayu.
"Jadi, apa rancangan Zaki?"
"Mungkin masuk apa-apa program talent seeking. Kalau menang, duit boleh guna untuk biaya belajar," jawabnya, serius.
Kasihan adikku!
Kata-kata adiknya menyentuh hati Arman. Kalau boleh dia nak biaya adiknya. Tetapi dia sendiri pun tak punya apa-apa untuk ditawarkan. Nak kahwin pun sudah termenung, inikan nak hantar adik belajar di Boston. Jari-jari Zaki masih menari-nari di atas tali gitarnya yang melahirkan bunyi-bunyi yang meruntun jiwa.
"Zaki tak ada kebolehan sukan macam Abang Long. Sekarang orang boleh dapat banyak duit melalui sukan."
"Orang pun boleh dapat duit melalui muzik."
"Apa-apa pun Zaki kena habis SPM dulu," tegas Zaki.
"Baguslah Zaki fikir macam tu. Muda hanya sekali. Tiada jalan pintas kalau nak berjaya." Arman melontarkan kepujian sambil mengingatkan.
"Zaki mahu jadi manusia yang sebenar-benarnya. InsyaAllah tak makan rumput," katanya.
Arman faham apa yang dimaksudkan dengan 'rumput' oleh Zaki.
Sayup-sayup kedengaran bunyi azan dari surau.
"Jom solat," kata Arman, terus berdiri sambil melurus-luruskan badan.
*****
KHABAR BURUK
Mereka melangkah menaiki dua anak tangga rumah itu. Namun langkah mereka terhenti di muka pintu. Khadijah kelihatan bercakap di telefon dengan suara yang cemas. Arman dan Zaki hanya berpandangan dengan tanda soal di wajah masing-masing. Apa yang mencemaskan?
"Ya? Innalillahi wainaillaihirajiun . . . Bila? Terima kasihlah bagi tahu. Ya, Mak Jah bagi tahu Cikgu - Assalamualaikum."
"Ada orang meninggal?" soal Arman.
"Ya. Naemah telefon," jawab Khadijah.
"Kenapa dengan Naemah, umi?"
"Bukan Naemah . . . Nora," jelas Khadijah. Wajahnya keruh dan sedih.
"Hah? Kenapa dengan Nora? Hari tu sihat saja?" Semakin mengelirukan jawapan uminya.
"Dia lahirkan anak tak cukup umur . . . Meninggal," terang Khadijah, sambil duduk.
"Innalillahi wainaillaihirajiun."
"Bila bayi tu meninggal Umi?" soal Arman lagi, teringat wajah Nora yang stress ketika suaminya diselamatkan. Sejak hari itu dia tak pernah jumpa Nora lagi.
"Pagi tadi."
"Dah sempurnakan ke belum?" tanya Zahari yang terkocoh-kocoh keluar dari bilik setelah mendengar kecoh-kecoh di ruang tamu.
"Dah. Tapi Nora masih di hospital." Khadijah seperti tak tentu hala. Sekejap duduk, sekejap berdiri semula.
"Tentu Nora sedih sangat," ujar Arman dengan suara perlahan.
Khadijah pandang suaminya. "Bang. Jom tengok dia."
Zahari melihat jam tangannya. "Boleh lagi ke?"
"Jom la . . ." Khadijah mendesak.
"Kita solat Maghrib dulu. Lepas tu kita pergi." Dia berpaling kepada Arman, "Kamu nak ikut ke Arman?"
"Tak adalah Walid. Kalau Arman pergi, nanti apa kata suaminya," jawab Arman.
Dia sebenarnya berat hati nak pergi.
"Tak ada kamu teringin jenguk dia? Kesian Nora. Hari tu jumpa di pasar macam mengharap sangat nak dapat anak tu . . ." ujar Khadijah dengan suara sedikit sebak.
"Nanti saya jenguk dengan Puspa," jawab Arman.
Dia harus memikirkan perasaan Puspa. Mana boleh dia jenguk bekas tunang seorang diri. Nak cari nahas?
Zahari setuju. "Elok pun kamu jangan pergi sekarang."
Malam itu Arman goreng telur dadar dan perangat gulai siang tadi untuk lauk. Sayur pula cuma hirisan timun. Sarah menyiku Zaki sambil mulutnya dimuncungkan ke arah Arman yang kelihatan muram. Zaki memberi isyarat supaya adiknya diam. Mereka makan dengan senyap.
Mengapakah Umi masih begitu mengambil berat tentang Nora? Adakah Umi masih mengharap kepada Nora?
Hati Arman terguris dengan sikap uminya yang dilihatnya terlebih prihatin dengan Nora. Sedangkan dia langsung tidak mahu diingatkan tentang Nora lagi.
*****
NORA MINTA CERAI
Hospital Bersalin swasta yang eksklusif untuk orang yang ada duit ini comel saja saiznya tetapi lengkap. Di luar wad bersalin yang berbentuk bilik-bilik persendirian itu kelihatan Dzafri yang duduk di atas bangku seorang diri dengan wajah sugul. Dia seperti tidak peduli orang yang lalu lalang. Zahari suruh isterinya masuk dahulu kerana dia rasa perlu bercakap dengan Dzafri.
Zahari tepuk bahu Dzafri. "Sabarlah Dzafri. Allah sayangkan dia."
Dzafri masih kekal dalam keadaan tadi. Macam patung beku. Zahari duduk di sebelah Dzafri. Dia letak tangannya atas bahu Dzafri sambil mengusapnya perlahan-lahan. Zahari terasa badan Dzafri yang mulanya tegang sudah nampak kendur. Dia berpaling memandang Zahari. Matanya merah tanda bekas menangis. Kemudian dia kembali seperti tadi. Lama dia diam. Macam susah sangat dia hendak mengeluarkan kata-kata.
"Nora minta cerai Cikgu . . ."
Bagai langit runtuh. Zahari terkejut, terus mengucap panjang. Terpacul kata-kata, "Takkan sampai ke situ."
"Dia . . . Salahkan saya . . . Kerana saya . . . Anak kami meninggal . . ." kata Dzafri dengan suara tersekat-sekat.
Zahari menepuk-nepuk bahu Dzafri untuk memujuknya, "Nanti saya nasihat dia."
"Tadi Ayah dengan Makcik Mona datang. Nora halau diorang. Doktor tak bagi diorang datang lagi, takut Nora jadi lebih stress."
"Sabar Dzafri. Bagi masa Nora bertenang."
"Ibu dengan bapa Nora pun datang. Tapi diorang pun kena halau."
Zahari tak tahu nak kata apa. Dulu dia baik dengan Datuk Salim. Tetapi setelah Dzafri menjadi punca Nora putus tunang dengan Arman, hubungannya dengan Datuk Salim menjadi renggang. Dia percaya hubungan Arman dengan Dzafri juga tidak baik, walaupun anaknya menggadai nyawa untuk menyelamatkan dia daripada mati lemas.
Dzafri menarik nafas panjang. "Saya tahu, Nora dipaksa kahwin dengan saya. Tapi saya cintakan dia. Saya sangat sayang dia Cikgu. Walaupun Nora kadang-kadang marah saya . . . Kadang-kadang kami gaduh pasal . . ."
Lama Dzafri diam sebelum menyambung. "Pasal Arman . . . Tapi kami sentiasa berbaik balik."
Jeda.
Dzafri memandang ke depan. "Tak ada maknanya hidup ini kalau Nora tinggalkan saya."
Zahari beristighfar lagi.
"Mengucap Dzafri. Nanti saya dengan Mak Jah nasihat dia baik-baik. Jangan fikir yang bukan-bukan," Zahari cuba memberi nasihat.
Zahari bimbang juga kalau-kalau Dzafri buat perkara yang mencederakan dirinya sendiri. Paling dibimbanginya jika dia berdendam dengan Arman.
Orang muda sekarang ramai yang jiwa memberontak dan tidak rasional semasa bertindak, fikirnya. Jangan Arman pula dijadikan kambing hitam.
"Bulan lepas Nora sangat gembira. Katanya Arman dah ada penggantinya. Tapi saya sakit hati. Saya cemburu kenapa dia masih fikirkan soal hati Arman. Dia isteri saya."
Apa yang Dzafri cakap itu semua benar. Kalau sudah jadi isteri orang, tak patut fikir tentang kekasih lama. Lebih-lebih lagi sampai bercerai berai. Lagi teruk, puncanya anak dia pula.
"Saya menyesal." keluh Dzafri.
"Setahu saya, Arman dah tutup semua buku dengan Nora. Dia pun dah ada teman wanita baharu" jelas Zahari.
"Saya tahu. Tapi saya yang cemburu . . . Sehingga kami gaduh besar."
"Kamu pukul dia ke?" Nada suara Zahari terus jadi bengis.
"Demi Allah. Saya tak pernah naik tangan dengan Nora, walaupun banyak kali dia cabar saya."
Dzafri menekur ke lantai. Kali ini dia bergaduh kerana ada orang hantar gambar Arman melalui mesej ke telefon bimbit Nora. Gambar Arman sebagai hiasan kulit majalah lelaki. Tentu gambar yang nampak bicep besar dan seksi. Walaupun Nora menafikan kenal si pengirim, dia masih tidak percaya. Pertengkaran terjadi. Kerana itu Nora diserang semput dan terpaksa dibawa ke hospital, melahirkan anak yang hidup hanya beberapa minit.
Siapa yang mahu dia berantakan dengan Nora dan berpanjangan bergaduh dengan Arman? Sedangkan dirinya sudah tersangat malu kerana jatuh ke dalam sungai dan diselamatkan lelaki yang dibencinya itu.
"Nanti hati dia sejuk, tentu dia akan maafkan kamu Dzafri," pujuk Zahari.
Sebenarnya kata-kata Dzafri membuat dia sedikit lega. Arman tidak turut dipersalahkan.
Pintu bilik dibuka. Khadijah menjengukkan kepala. Wajahnya kelihatan cemas, "Bang . . ."
Zahari faham. Dia bangun, tepuk bahu Dzafri untuk menunjukkan sokongan dan masuk ke dalam bilik Nora. Dia nampak Nora menutup seluruh tubuh sampai ke muka dengan selimut, macam mayat.
Zahari baca sedikit doa yang dia belajar daripada bapa mentuanya dan tiupkan ke arah Nora. Mana tahu, kot-kot lari syaitan yang mengharuk.
"Nora, ini Pakcik Zahari."
Nora membuka kain yang menutup mukanya. Dia memandang ke arah Zahari dan terus meraung, "Pakcik! Nora berdosa pakcik! Nora berdosa dengan Abang Arman, dengan keluarga pakcik. Allah dah balas!"
Zahari menepuk-nepuk lengan Nora perlahan-lahan. Sambil itu mulutnya masih terkumat-kamit membaca doa.
"Nora tak ada dosa dengan kami. Lama dah kami maafkan Nora."
Nora masih menangis. Tetapi tidak lagi meraung. Hanya teresak-esak. Begitu sayu bunyinya.
"Ini takdir, Nora. Sabarlah. Nora muda lagi." Khadijah memujuk.
Nora memegang tangan Khadijah dengan kuat. "Mak Jah . . . Jangan pergi . . ."
"Mak Jah ada di sini. Mak Jah tetap sayang Nora macam anak Mak Jah sendiri."
Seorang doktor diiringi dua orang jururawat masuk untuk memberi ubat. Dzafri turut masuk, tetapi tak berkata apa-apa. Mungkin takut Nora menjerit jika nampak dia. Akhirnya Nora tertidur setelah diberi sedatif oleh doktor. Dzafri membetulkan selimut Nora. Zahari dan Khadijah minta diri untuk pulang. Dzafri mengiringi mereka keluar.
"Sabar Dzafri. Jangan tinggalkan dia sendiri," nasihat Khadijah. "Beri dia sokongan. Biasalah, bila kematian bayi, mesti sedih sangat."
Dzafri mengangguk. Dia terasa dirinya sangat lemah dan letih.
"Nanti kita usahakan cara Islam selain cara moden," kata Khadijah.
Dzafri tiba-tiba memeluk Zahari. Bahunya bergerak-gerak menunjukkan dia benar-benar menangis. Khadijah turut menyapu air mata.
Kesian budak ni. Ada ayah pun macam hantu, gerutu hati Zahari.
*****
💙💙
*Siapa pula yang melaga-lagakan Dzafri dengan Arman? Apa motifnya. Sis belanja video Pemain gitar dari Negara jiran. Amazing! Thanks for reading*
https://youtu.be/2juaBIXNxvA
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro