Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

BAB 31: KASIH DI HUJUNG JARI

TINDAKAN DATUK HAIDAR

Datuk Haidar duduk berhadapan menantunya dengan wajah berkerut. Kebimbangan semakin bersarang di dalam hatinya. Pengalamannya dalam Jabatan Polis selama lebih 30 tahun dapat menghidu jenayah berprofil tinggi sedang berlaku. Ini cuma puncak ketulan bongkah ais korupsi di tengah-tengah lautan pembuatan keputusan dasar.

Baru sahaja Puspa memberitahunya kebun Arman dibakar. Kebetulan yang membakar itu terbabit dalam senarai nama-nama di dalam fail yang kini di hadapannya. Wajah Adam Prakash dipandang dalam-dalam.

"Setakat maklumat yang kami dah selongkar, ia melibatkan syarikat Anjung Sari, milik Datuk Salim. Ada tiga individu yang mungkin terbabit - Datuk Salim, isterinya Mona dan anaknya Dzafri. Tapi  tidak nampak apa hubungan Dzafri dengan Maju Deras. Cuma dia anak individu yang akaunnya menerima sejumlah wang daripada Maju Deras," jelas Adam Prakash.

"Apa peranan ibu tiri budak ini, Mona?"

"Kami percaya dia wakil yang menerima suapan bagi pihak Datuk Salim. Selain itu Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Maju Deras itu abang Mona. Itu jelas."

"Berani diorang ya . . . daylight robbery!"

"Dulu semua pejam mata."

"So, what can ayah do?"

"Surveillance."

Datuk Salim dan isterinya Datin Mona perlu dipantau gerakan mereka. Ditakuti mereka mungkin akan menghapuskan bukti atau menyusahkan saksi. Itulah yang sering dilakukan oleh pelaku jenayah.

"Surveilans ayah boleh buat. Tracking ayah kena serah pada Suhail Faris."

"Siapa?"

"Oh . . . ayah lupa nak bagi tahu. Ada kerja surveilans ayah 'outsourced' kepada Suhail. Dia ada sistem menggunakan telefon bimbit yang canggih."

"Siapa Suhail?" soal Adam Prakash. Macam ketinggalan keretapi pula dia rasanya sebab tidak ingat siapa Suhail.

"Arman's programmer cousin," jawab Datuk Haidar. "He is a real gem."

"Oh . . . ya . . . budak tu . . ."

Teringat dia kes yang dibawa oleh peguam di bawah firmanya tentang pertuduhan satu perhimpunan haram. Nama itu disebut berkali-kali kerana Suhail salah seorang daripada Ketua Pemuda yang cuba disabitkan di bawah Akta Hasutan dan Anti Keganasan.

Firmanya menang kes itu. Suhail dan beberapa pemuda dibebaskan. Tetapi kes tuntutan saman kepada penguatkuasa untuk mendapat pampasan kerana ditahan secara salah masih lagi belum selesai.

"Budak itu kalau jatuh kepada musuh negara, memang amat bahaya," kata Datuk Haidar. "Sebab itu ayah ambil dia untuk buat kerja ini."

"Budak ini boleh 'hack' sistem komunikasi Kerajaan?" soal Adam Prakash.

"Lebih daripada itu. Kalau hubungi dia, dengan segera dia tahu di mana lokasi kamu, walaupun kamu tak subscribe kepada sistem dia."

"Selalunya pihak penyiasat polis yang ada sistem itu."

"Betul. Suhail bangunkan software ini kerana menjaga keselamatan dirinya dan keluarganya semasa kempen Pilihan Raya Umum dahulu. Khabarnya dia menerima banyak ugutan."

"Kenapa ayah tak ambil dia bekerja di sini sahaja?"

"Dia tak mahu. Dia lebih suka jadi ahli politik dan free lance programmer," tegas Datuk Haidar. "Lagipun dengan profesion seperti itu, lebih baik dia tidak dikenali, kecuali sebagai ahli politik muda sahaja."

"Kita perlu lebih ramai ahli politik yang jujur dan bijak macam dia."

"Cuma dia kena kawal panas barannya sahaja."

"Kita yang tua pun kadang kala masih ada panas baran."

Datuk Haidar nampak kesedihan melintasi wajah Adam Prakash.

"Nanti satu hari daddy kamu akan datang juga," kata Datuk Haidar. Dia rasa perlu menyiram baja damai kepada menantu bukan pilihannya ini.

"Tetapi, usianya sudah semakin tua . . ."

"Ya . . . daddy kamu sangat besar egonya. Sabarlah."

"Saya hanya dapat tengok Mummy dengan Daddy dari jauh sahaja."

Ternyata Adam Prakash sangat sedih dengan tindakan ibu bapanya yang membuangnya.

"Paling sedih, kadang-kadang Puspa juga bertanya tentang Atok Kumar . . . Mujur Ayah beri kasih sayang kepadanya. Kalau tidak kami seperti terpulau."

Datuk Haidar memandang tepat ke mata menantunya di sebalik kaca mata mereka berdua. Hampir 30 tahun, inilah pertama kali Adam Prakash membuka lembaran perasaan yang terbuku di hatinya. Datuk Haidar bersyukur kerana dia telah menerima menantu ini setelah kelahiran Puspa. Kalau tidak dia juga akan dikesali oleh anak menantu dan cucunya.

Sebab itu juga Datuk Haidar menerima pilihan Puspa, walaupun sebelum itu dia fikir cucunya sepatutnya memilih jejaka yang sudah berjaya dalam kehidupannya, seperti Zarif. Apa nak buat. Seperti kata cucunya: Ini soal hati.

Kerana itu juga Datuk Haidar mahu mengurangkan kerumitan Arman. Dia tidak mahu cucunya menangis seperti anaknya Indah, 30 tahun dahulu. Janganlah sejarah yang buruk itu berulang lagi. Jangan.

Perjumpaan itu berakhir dengan janji komitmen Datuk Haidar untuk membantu surveilans terhadap pihak yang disyaki terlibat dalam kes penyelewengan dana Negara yang mungkin bernilai berbilion ringgit itu. Mungkin ada pihak lain yang terlibat selain Datuk Salim. Semua itu harus disiasat secara teliti oleh SPRM.

*****

KESELAMATAN TERSAYANG

Malam itu Suhail berjumpa dengan Malik untuk menguruskan rancangan keselamatan kampungnya. Oleh kerana Malik bukan ahli politiknya, dia terputus bahagian tertentu dalam strategi yang dirangka Suhail. Mereka bertemu di pejabat Suhail. Sebelum bercakap tentang keselamatan, Suhail perlu mendapat pandangan Malik tentang beberapa hal.

"Abang Hail, saya tak minat politik," kata Malik.

"Yelah . . . Kamu hanya minat amoi seorang itu. Aku tahu," balas Suhail. "Ada ramai perempuan Melayu di kampung ini, kamu kejar amoi juga."

"Abang ni nak cakap pasal Nelly, atau pasal kerja?" soal Malik.

Dia sedikit tersinggung dan hairan kenapa Suhail campur tangan urusan peribadinya dengan Nelly.

"Aku tahu kamu non-partisan. Tapi aku nak tahu juga, kamu sokong ke geng Datuk Salim?"

"Hisy! Dah terang-terang salah, buat apa sokong?"

"Bukan apa. Tauke kamu tu jenis makan keliling. Itu aku risau, takut kamu terpengaruh sebab kamu suka anak dia."

Kali ini Suhail bercakap terus terang apa yang dia maksudkan. Malik terdiam. Dalam usianya hampir menjangkau 30 tahun, dia tidak pernah memikirkan tentang politik. Jauh sekali memikirkan bahawa politik itu akan mempengaruhi kehidupannya. Bertahun-tahun dia ke hulu ke hilir dengan Nelly. Tetapi kenapa sekarang jadi isu?

"Aku tahu cinta tiga segi kamu. Bukan aku tak tahu. Jadi kamu kena cari titik pengakhirannya. Kamu lelaki."

Huisy! Tercabar kelelakiannya mendengar ayat-ayat Suhail ni.

"Arman akan kahwin dengan Puspa. Jadi, pintu dia tutup untuk Nelly. Apa yang jadi halangan lagi?"

"Nelly tak tahu lagi . . ." kata Malik.

"Bagi tahu la. Biar dia sedar diri."

Kejam betul kata-kata Suhail ini. Mentang-mentang dia kahwin ustazah yang comel, lemah lembut dan percaya syurga di bawah tapak kaki suami. Memang dia takut memberitahu Nelly perkara ini. Dia tidak dapat bayangkan kekecewaan Nelly. Atau tindakan yang akan dilakukan oleh Nelly. Dua kali dikecewakan oleh orang yang sama.

Malik menghela nafas panjang. "Abang Hail jemput saya ni bukan nak cakap pasal Nelly kan?"

"Sebenarnya ia berkaitan. Sebab kamu dengan Arman sangat rapat. Perempuan yang kamu gila tu pula gila dengan sahabat baik kamu ini. Aku cuma harap kamu tak ada perasaan marah kepada Arman."

"Tak ada bang. Saya ikhlas."

"Aku cakap bukan apa. Aku nak kamu lepaskan apa-apa perasaan kecil hati kamu kepada Arman. Sebabnya - punca asal kita nak buat kumpulan keselamatan ini kerana Arman. Kita bermula dengan mencari keadilan untuk dia, yang akhirnya jadi keadilan untuk penduduk kampung ini."

Malik tunduk diam. Dia memang tak pandai menyusun kata-kata macam ahli politik.

"Aku tak mahu kamu salahkan Arman kalau apa yang kamu harapkan tak tercapai. Aku tahu adik saudara aku tu tak pernah layan Nelly lebih daripada seorang kawan. Aku tahu dia ada ramai girl friend sana sini sebelum bertunang dengan Nora. Tapi dengan Nelly, dia tak pernah kacau. Sebab dia hormat persahabatan dia dengan Nelly dan dengan kamu."

Malik terpaksa mengaku apa yang disebut Suhail itu benar. Sudah macam-macam kebaikan dia buat untuk Nelly. Tetapi hati gadis itu tetap beku.

Suhail melihat skrin komputernya. "Sekejap lagi Arman datang. Jadi aku tak mahu ada sedetik pun perasaan yang mengganggu emosi kamu, sebab Nelly."

Malik mengangguk. Cinta tidak boleh dipaksa. Dia tak akan salahkan Arman.

*****

RAHSIA KITA

Ting! Tong!

"Apa yang kita cakap ini antara kita sahaja Malik. Arman tak boleh tahu," kata Suhail.

Malik mengangguk. Suhail tepuk bahu Malik sebelum menekan suiz kunci pintu di telefon bimbitnya. Pintu terbuka. Arman tersenyum menyapa mereka. Malik bangun dan memeluk Arman. Pelukan kali ini begitu teguh, sehingga Arman sedikit hairan, dan sangat tersentuh hatinya.

Suasana sepi sebentar.

"Kita saja ke?" soal Arman, setelah pelukan Malik terungkai.

"Ya," jawab Suhail.

Dia bahasakan dirinya 'Abang' kepada Arman, tetapi 'aku' kepada Malik. Pepatah Inggeris menyebut 'blood is thicker than water'.

"Aku buat aplikasi untuk kesan di mana lokasi orang yang ada contact dengan kita, walaupun orang itu tidak menghubungi kita." kata Suhail.

"Tracker?" soal Malik.

"Tracker without the hardware," jawab Suhail.

"Macam E-Panggilan," kata Arman.

"Prinsip yang sama. E-Commerce.  Tapi bagi sistem yang abang bina ini, bila orang hubungi kita, terus kita tahu dia di mana, walaupun dia tidak subscribe kepada aplikasi kita. Walaupun dia tak buat setting untuk lokasi telefon bimbitnya. Tak kira dia benarkan atau tidak. Lepas itu, setiap kali dia guna telefon bimbitnya, kita tahu semua," jelas Suhail.

"Lagi?" Soal Arman.

"Nak dengar dia sembang apa, dengan siapa pun boleh," kata Suhail.

"Salah tu. Intip orang," kata Malik.

Suhail senyum. "Bertahun-tahun diorang intip kita bila kita buat kerja online!"

Dia tekan ikon kucing atas skrin telefon bimbitnya, dan keluar satu peta. Ada nama Amirah di atas point di peta itu. Dia telefon Amirah.

Suhail: Assalamualaikum. Jangan lama sangat membawang kat salun tu. Kejap lagi abang balik.

Amirah: Abang ni . . . Macam tahu saja Mira kat mana. Ya . . . Mira nak balik dah ni.

Suhail tutup telefon bimbitnya sambil tersenyum.

"Kat mana pun Mira pergi, aku tahu . . . Bukan nak control dia, tapi kalau apa-apa jadi pada dia aku cepat tahu."

"Menarik kalau kita dapat tahu apa rancangan kartel dadah," kata Arman yang jelas teruja dengan aplikasi yang dibina Suhail.

Suhail jelaskan ada dua jenis software kawalan yang dibangunkannya. "Kita install FOLLOWER untuk orang yang nak kita lindungi. Untuk yang kita nak intip, kita hantar WATCHER."

"Jadi apa beza FOLLOWER dengan WATCHER?" soal Arman.

"Bezanya, orang yang ada aplikasi FOLLOWER boleh hubungi kita dan bangkitkan Pengawal dalam telefon bimbit kita. Jadi kalau dia ada masalah, dia hanya perlu tekan satu butang amaran. Telefon kita akan berbunyi dan mengesan di mana dia berada. Bagi WATCHER, dia tak boleh dapat service itu. Kita hanya tahu di mana dia berada jika dia telefon kita. Ingat lagi tak masa kamu gaduh depan kedai Hardware dulu? Macam mana abang boleh tiba ke tempat itu?"

"Abang Hail kata Arman tak tutup handphone." Jawab Arman.

Suhail mengangguk, "Betul. Yang Abang Hail tak bagi tahu abang dah pasang tracker WATCHER  dalam handphone kamu."

Arman senyum segaris. Patutlah asyik bertembung dengan Suhail saja . . . Ingat kebetulan

Suhail membuka laci dan mengeluarkan dua telefon bimbit. Dia beri kepada Arman dan Malik. Mereka tercengang menerima telefon bimbit itu.

"Itu telefon bimbit sumbangan Datuk Haidar. Khas untuk menggerakkan sistem kita. Jadi tak serabut bercampur dengan telefon yang kamu guna untuk sembang dengan girl-friend," kata Suhail, sambil tersenyum, faham.

"Datuk Haidar bagi?" Arman seperti tidak percaya. Dia tidak pernah bertemu Datuk Haidar.

Suhail mengangguk. "Abang dah jumpa dia beberapa kali. Dia macam sayang kamu dari jauh, Arman."

"Sayang sebab buah hati cucu dia." Malik mengusik. Ada nada iri hati di situ. "Aku menumpang saja."

Arman paut bahu Malik dan menepuknya. Malik menoleh ke arah Arman sambil tersenyum. Mesejnya 'We are in it together, brother' dapat dibaca oleh Malik.

"Pandai-pandailah kamu berdua hargai kasih sayang orang tua ni," kata Suhail. "Apa pun kita mesti perangkap chief kartel Si Badar tu."

Arman setuju. "Selagi dia tak ditangkap, selagi itu kita tak aman."

"Mungkin ada yang tak kisah. Selalu fikir, takkan jadi pada keluarga aku kot?' Bila dah jadi, menyesal pun tak guna," kata Suhail.

Walaupun sistem yang mereka uji itu masih belum sempurna, ia boleh digunakan. Hanya perlu dikemaskini untuk membuang bugs yang mengganggu. Suhail kata dia akan pergi berjumpa Datuk Haidar untuk menguji sistem itu di peringkat yang lebih meluas. Potensi teknologi maklumat amat besar.

"Abang tarik balik kata-kata 'Programmer tak dapat jadi peladang', Arman. IoT memang hebat," kata Suhail, "Kebun boleh dipantau hanya dengan telefon bimbit."

"Arman faham . . . Maksud Abang Hail, perbezaan antara programmer dengan peladang. Tahap kesabaran bila kebun dilanda masalah tak dapat ditangani dengan komputer. Tapi tenaga manusia dan bahan-bahan lain," balas Arman, tidak mahu memanjangkan lagi perkara itu.

Suhail renung mata sepupunya. Teringat dia pada kebakaran kebun cili Arman angkara Dzafri. "Abang kalau kebun sampai kena bakar, tak adalah nak sabar."

Nota: IoT = Internet of Things.

*****

🐱

*Kenapa Datuk Haidar sangat prihatin kepada nasib Arman? Kena baca semua bab cerita ini baru faham. Ada sejarahnya!*

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro