#Remy8 - Bab 24
Yuzairy terdiam sebentar mendengar analisa Remy. Tak dia sangka pemuda itu begitu matang.
Lalu bila sampai di restoren, Yuzairy biarkan Rizki dan Melia duduk sendiri, tapi kerusi untuk Rahmah, bersungguh-sungguh dia tarikkan agar senang gadis itu duduk. Kemudian dia sendiri segera duduk di sebelah Rahmah sebelum Yuzi sempat melabuhkan punggung.
"Ulat bulu dah naik daun..." Melia berbisik pada Rizki dan Remy yang duduk sebaris dengannya tatkala Yuzairy cuba memberi cadangan juadah kepada Rahmah.
Rahmah cuma tersenyum dan mengangguk sopan, kemudian cuba tak endahkan Yuzi dan Yuzairy sibuk bergaduh tentang juadah apa yang harus dikongsi.
Rizki rasa, lepas ini pasti Rahmah serik nak ikut dia keluar dengan kawan-kawannya.
Namun Rahmah tenang sahaja. Dia selamba menemuramah Yuzi tentang kursus yang bakal diambil di Sweden.
"Abang Yuzairy ikut jejak emak, jadi jurutera. Cuma abang belajar di Jepun, emak di Sweden. Jadi Yuzi ikut jejak ayah, belajar Swedish secara formal. Walaupun tak sama dengan Swedish yang kami guna bila bersembang di rumah, harap-harap senanglah sikit nak lulus ijazah bila ambil subjek yang familiar ni," terang Yuzi pada Rahmah.
Yuzairy sibuk menuangkan teh hijau untuk semua orang. Untuk Rahmah, penuh, kemudian didekatkan cawan itu untuk memudahkan.
"Kalau minat semua jadi senang," sampuk Melia yang sedang makan edamame.
"Betul," Rizki bersetuju.
"Tak semuanya jadi mudah kalau ada minat yang mendalam sekalipun," sampuk Yuzairy tiba-tiba, dan matanya sengaja memandang Rahmah.
"Saya sokong. Kena usaha, minat saja tak cukup," Melia melontar pendapatnya pula.
"Kalau usaha juga, tapi tak berjaya, macam mana Remy?" tanya Yuzairy, mengharap satu-satunya warga lelaki dalam kumpulan itu menyebelahinya.
Dan Remy faham sangat maksud kiasnya.
"Kalau ikhlas, jujur dan serius minatkan sesuatu, usahalah lagi sampai berjaya dapatkan apa kita nak," balas Remy, lebih untuk dirinya sendiri, bukannya hendak sangat dia menasihat. Dia tak dapat menahan diri daripada melontar pandangan ke arah Rizki.
Rizki cuma menghadiahkan anggukan kecil. Fahamnya, Remy maksudkan Yuzairy perlu berusaha lebih lagi untuk menarik perhatian Rahmah.
Rahmah yang juga menangkap maksud kias Yuzairy itu awal tadi, terus berlakon jadi si tuli.
Meja yang dihuni enam muda-mudi itu hening.
Mujurlah pelayan bawakan chawanmushi yang dipesan khas oleh Yuzairy.
"Jom, saya tunjukkan cara paling sedap makan chawanmushi. Mula-mula, masukkan chilli flakes..." Yuzairy segera mulakan tutorial makan gaya Jepun seperti yang dijanjikan sebelum sampai ke restoren tadi.
"Kemudian, letak sedikit sos tonkatsu. Barulah makan. Ha, cubalah!" sarannya bila dilihat lima temannya semua sudah sibuk dengan cili dan sos.
Rahmah sebenarnya tidak gemar sangat chawanmushi. Tapi bila ditambah cili kering dan kicap Jepun... Dia tersenyum sesudah menelan suapan pertama.
"Ok ke tak ok Cik Rahmah?" duga Yuzairy.
"Sedap! Selama ni kalau makan set yang ada chawanmushi, saya bagi pada Riz saja, tak minat," Rahmah terpaksa berterus-terang.
Yuzairy senyum nipis, cuba untuk tidak terlalu suka. "Harap-harap lepas ni awak berminatlah," katanya berlapis makna.
Tergeleng Rahmah di buatnya, tapi masih dia memaniskan muka. Malas Rahmah nak layan lelaki yang lebih muda.
Namun senyuman Rahmah tambah lebar selepas Yuzairy ajar bagaimana nak makan tempura dengan dashi dan halia, malah mereka berdua mula berbual juga.
Namun malang, di hujung hari Rahmah tidak benarkan Rizki lepaskan nombor telefonnya pada Yuzi, yang meminta bagi pihak abangnya.
"Ala Riz, aku rasa abang aku suka kakak kau lah. Kau tak kesian ke pada abang aku? Bagi sajalah. Aku janji suruh abang aku mesej saja dulu. Kalau betul Kak Rahmah tak sudi, tak perlu balas," bisik Yuzi lagi.
Gadis itu baru tersedar abangnya sudah mula jatuh hati pada Rahmah lepas makan tengah hari. Sebelum itu, Yuzi langsung tak perasan gara-gara sibuk membeli barang, bersembang dengan Rizki, Remy dan Melia selain meminta nasihat fesyen daripada Rahmah.
Rizki serba-salah. "Kak Rahmah kata tak boleh bagi, aku tak beranilah Yuzi."
"Yuzi, jangan risau. Kan boleh telefon aku atau Riz, nanti kami 'pass' lah telefon tu pada dia," cadang Remy, dan pantas sekali Rizki menyokong.
Yuzi teruja. Apa tidaknya, dia bakal dapat nombor telefon Remy tanpa tebalkan muka meminta.
"Kau berdua janji?" Yuzi meminta jaminan.
Melia mencelah. "Kalau aku datang lepak rumah Riz, aku akan telefon kau. Suruh Abang Yuzairy telefon aku pun boleh. Nanti aku pujuk Kak Rahmah supaya cakap dengan dia."
Yuzi bersetuju.
***
Makan malam itu Remy cuma ditemani Rizki dan Rahmah sahaja, kerana Rithauddin dan Ros menghadiri majlis tertutup.
Mereka cuma goreng ikan dan rebus terung. Rizki sempat buat sambal belacan.
"Sesekali makan masakan ringkas macam ni, sedapnya..." ujar Rahmah kepedasan.
Air sirap yang Remy bancuh diteguknya banyak-banyak.
"Makanan Jepun siang tadi pun, sedap sangat jadinya bila Abang Yuzairy tunjukkan cara menikmatinya," komen Remy, sengaja nak menduga reaksi dua beradik itu.
Rizki bersetuju dengannya. "Abang Yuzairy tu bijaklah. Macam-macam dia tahu."
Rahmah diam sahaja.
Remy dan Rizki berpandangan.
"Kak Rahmah mesti perasan yang dia sibuk nak ambil hati kakak, kan? Dah lah tu, minta nombor telefon kakak lagi," kata Rizki dengan harapan, tidaklah kakaknya marah kalau lelaki itu menelefon mohon nak bercakap dengannya nanti.
Rahmah masih membatu.
"Kak Rahmah tak minat langsung kat dia ya?" soal Remy pula, cuba membantu Rizki bila nampak yang Rizki tak kisah lelaki itu cuba merapati kakaknya. Itu tanda Rizki tak punya perasaan kepada lelaki kacak itu.
Rahmah ketawa kecil. "Lelaki macam Yuzairy tu, mengerikan. Kacak, pandai, bijak menyusun kata. Habis semua perempuan nak dipikatnya."
"Mana ada dia nak pikat semua perempuan. Siang tadi kakak seorang sahaja dikejarnya," celoteh Rizki sambil meratah terung.
"Mungkin sebab kakak seorang tak layan dia, itu saja."
"Dia ada tanya saya, Kak Rahmah ada boyfriend ke tidak," dedah Remy.
Tersedak Rahmah.
Serentak itu telefon Rizki berbunyi. Seluruh meja nampak nama yang tertera.
Yuziani.
Rizki angkat telefon.
"Hello... Ya... Ada... Kejap Riz tanya."
Laju sahaja perbualan mereka.
Dengan tangan memekup speaker telefon, Rizki berbisik kepada kakaknya.
"Kak Rahmah, ni Abang Yuzairy lah. Dia nak cakap dengan kakak, boleh ke?“
Sambil geleng kepala, cepat-cepat Rahmah cuci tangannya dan tinggalkan meja.
Dan begitulah nasib Yuzairy bila dia mencuba untuk kali kedua dan ketiga.
Lewat malam itu tatkala Remy menemankan Rizki menunggu ibubapanya, mereka berbincang tentang hal Rahmah dan Yuzairy.
"Kak Rahmah tak suka lelaki yang lebih muda daripada dia, agaknya..." teka Remy bila Rizki katakan yang dia juga hairan kenapa Rahmah mengelak bertelefon dengan jejaka kacak itu.
"Hmm, aku rasa bukan usia jadi masalah. Kak Rahmah memang tak pernah ada boyfriend. Setahu aku lah," dedah Rizki.
Remy tak sempat menahan diri. "Kalau kau dapat peminat muda macam Kak Rahmah, kau bagi peluang tak pada dia?"
"Sekurang-kurangnya aku berkenalan dulu. Macam Kak Rahmah ni baru pertama kali jumpa dah macam tak suka... Abang Yuzairy tu baik tau," Rizki mengomel tak puas hati.
"Baik sahaja, cukup ke?"
Rizki berfikir lagi.
"Abang Yuzairy tu baik, kelakar, bijak, suka menyakat... Bagi aku dah ok sangat," komen Rizki. "Mungkin Kak Rahmah nak lelaki yang lebih daripada itu agaknya..."
Remy tak membalas kerana otaknya sibuk mencongak resipi baru, resipi nak menawan si idaman kalbu.
Usia tak jadi masalah. Tapi kena baik, kelakar, bijak, suka menyakat. Baiklah, tegasnya.
Dia memandang Rizki yang berkerut menonton TV, jelas masih memikirkan hal Rahmah dan Yuzairy.
"Baa!" tiba-tiba dia disergah Remy.
Terperanjat Rizki! Hampir dia terjatuh dari sofa yang diduduki.
"Janganlah serius sangat fikir hal Kak Rahmah dengan Abang Yuzairy. Relax lah, Rizki," terkekeh Remy.
"Doh Doh la kau ni!" marah Rizki. Tapi kemudian dia ikut gelihati kerana Remy jarang sekali buat sesuatu yang tidak matang seperti tadi. Sejak kecil bijak dan serius macam orang tua saja.
Menyakat, sudah, bisik hati Remy.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro