Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

#Remy8 - Bab 23

Remy tersenyum-senyum teringat kan semalam. Dia bersanding dengan Rizki! Romantik, indah dan menginspirasikan. Malah, perasaannya lebih indah daripada apa yang selama ini bermain dalam bayangan.

Itulah masa depan yang kini Remy angankan.

Dia yakin peluang bergambar sebagai pasangan yang tiba-tiba sahaja datang itu, petunjuk yang cintanya pada Rizki, murni. Dia tidak berada di landasan yang salah. Tapi nasihat Rahmah membuat dia sedar, dia perlu mara dengan berhati-hati.

Jadi pagi itu Remy sudah memasang rancangan. Langkah pertama, dia mahu buat apa sahaja untuk mengambil hati Rizki.

Langkah kedua, dia mahu Rizki jatuh hati padanya, jatuh yang benar-benar dalam.

Langkah ketiga, dia akan tunggu gadis itu dahulu beri isyarat yang Rizki ada hati padanya.

Mudah kan? Tapi, kena sabar dan hati-hati.

***

"Remy! Kawan aku Yuzi nak datang lah! Jom, kita ajak Melia lepak dengan dia," ajak Rizki, pantas sekali dia turun dari tingkat atas.

Remy yang sedang membawa serunding daging untuk dimakan dengan lontong dan masak lodeh terkejut disergah begitu.

"Maaf, kau terkejut ya..." Rizki tersengih, sambil cuba mengingat apakah dia tadi berlari pada kadar kelajuan biasa, atau dua kali ganda berbanding Usain Bolt.

"Nasib baik kau yang sergah aku. Kalau bukan kawan baik aku, sia-sia gugur jantung aku ni," balas Remy lalu segera meletak juadah itu.

Dua sahabat itu tergelak berdua.

"Eh Yuzi nak ajak kita pergi beli pakaian sejuk. Dia dah dapat tawaran melanjutkan pelajaran di luar negara," jelas Rizki.

"Keputusan SPM kan belum keluar?" tanya Remy kehairanan.

Rizki duduk di kerusi berhadapan dengan Remy lalu dicapainya sepotong oren. "Yuzi dihantar atas tajaan bapa sendiri, tak perlu tunggu keputusan nak minta biasiswa. Dia akan belajar di Copenhagen nanti. Dulu, bapanya pernah bertugas sebagai guru Bahasa Melayu sambilan  di universiti yang sama. Ibunya memang rakyat Sweden. Ada saudaranya yang bakal tengok-tengokkan dia nanti."

Jadi Yuzi bijak, berada dan berdarah kacukan. Mesti menarik orangnya. Tapi, kenapa gerak hati Remy direnggut keresahan?

"Eh, Yuzi ni, kawan kau yang suka lagu kumpulan B'Z tu, ya?" Remy teringat.

"Ah, itu abang dia yang kenalkan kami pada kumpulan tu. Hah, abang dialah yang bawa dia membeli-belah nanti. Kejap lagi kita kena bersiap. Kita minta Kak Rahmah bawakan kita ke Bukit Bintang. Jumpa Yuzi dan abangnya di situ. Kau cepat bersiap, ya?" terang Rizki lagi tentang rancangan yang dibuatnya dalam telefon dengan Yus sebentar tadi.

Abang dia? Yuzi bawa abang dia? Abang dia yang rapat dengan Rizki tu? Argh! Seluruh jasad Remy tak mahu bersetuju.

Keluarga Rizki semua sudah mula turut bersedia di sekeliling meja. Tak sempat Remy nak melayan protes besar-besar an dalam jiwa.

Samar-samar Remy terdengar suara Rithauddin membaca doa, lantas automatik sahaja Remy mengaminkan. Bila Ros sendukkan kuah lodeh untuknya dia laju sahaja menadah pinggan.

Bila Rizki bercerita tentang rancangan mereka hari itu, Remy cuba ikut teruja walaupun fikirannya melayang.

Melayang ke ceruk gelap di mana dia dapat menahan Rizki daripada ke Bukit Bintang bertemu sahabat. Melayang ke masa lampau di mana dia aman berkawan dengan Rizki tanpa gangguan orang lain apatah lagi watak-watak musibat.

"Kak Rahmah ikut sajalah kami jalan-jalan, ok? Nanti dah dapat kerja mesti sibuk, tak ada peluang berjalan dengan Riz dah," rayu Rizki.

Ah, Kak Rahmah! Kak Rahmah boleh bantu Remy. Bantu jaga Rizki agar jangan biarkan abang si Yuzi tu cuba rapat dengan Rizki! Hati kelam Remy mula menangkap segaris cahaya.

"Jomlah kak," sokong Remy pantas.

Rizki dan Remy sama-sama mula buat muka banduan yang baru menghantar surat rayuan.

"Rahmah, pergilah temankan mereka," Ros ikut berkempen yang sama. Sebetulnya Ros lebih risaukan kalau Rizki makin mesra dengan Remy bila dibiarkan mereka keluar berdua sahaja.

"Nanti papa bagi duit belanja, lepas tu tolong belikan Rizki kasut yang sesuai untuk belajar memandu. Belikan sepasang untuk Remy juga," Rithauddin beri kata putus.

Rahmah yang sedang ketagih duduk rumah menonton drama Turki itu terpaksa bersetuju. "Rahmah pun nak lah sepasang kasut juga, senang nak kejar budak dua ekor ni masa berjogging esok lusa."

***

"Remy, Kak Rahmah, ini abang saya, Yuszairy," Yuziani, teman sekolah Rizki itu perkenalkan sebaik sahaja mereka berkumpul di sebuah kafe di depan kompleks membeli-belah Fahrenheit. Cuaca di Bukit Bintang masih suam kerana jam baru menunjukkan pukul 10.30 pagi.

Sebelum itu Rizki lebih awal dulu memperkenalkan Remy dan Rahmah kepada Yuziani, kerana mulut Yuziani sudah ternganga memandang Remy.

Seperti biasa, Remy selamba sahaja biarpun Yuziani tersipu-sipu di depannya.

Pasangan adik-beradik itu menarik perhatian, kerana wajah kacukan mereka yang cantik dan kacak. Remy mula digigit rasa rendah diri yang teramat. Biarpun terdengar bisikan Yuziani pada Melia asyik bertanyakan tentang dirinya, Remy risau melihat sapaan mesra Yuzairy kepada Rizki sebaik tiba tadi.

"Riz, B'Z ada keluar album baru. Kalau sempat, jom pergi beli. Abang belikan untuk Riz dan Melia sekali," janji Yuszairy pada dua rakan adiknya sambil mereka memilih-milih baju sejuk untuk Yuziani.

Remy biarkan Melia dan Rahmah melayan Yuziani bersembang. Dia mengikut sahaja ke mana Rizki pergi pada jarak selamat. Dipaksanya diri agar tidak buat muka bila nampak Rizki dan Yuszairy berjalan seiring.

"Ya? Naklah beli. Abang Yus tak perlu belikan, nanti Riz minta Kak Rahmah belanja," tergelak Rizki membalas, tambah lagi bila Rahmah berpaling dan buat muka 'jangan membazir' padanya.

Yuszairy ikut tergelak bila nampak Rahmah beri isyarat amaran pada adiknya.

"Kita boleh kongsi beli, Riz. Kau dengar dulu. Dah puas dengar nanti bagi aku pula," cadang Remy, sengaja mencelah.

"Ha, ok juga!" Rizki bersetuju. "Kita kongsi dengan Melia juga."

Melia dan Rizki bersorak berdua.

Yuszairy tersengih sahaja. Lelaki itu mengerling ke arah Rahmah yang sedang menerangkan kelebihan jaket fleece berbanding nilon kepada adiknya.

Rahmah jawab sahaja semua pertanyaan Yuziani dengan ceria, tapi pada Yuszairy selepas 'Hello' langsung tak dia ambil kira.

Remy menangkap pandangan istimewa Yuszairy kepada Rahmah. Yuszairy, setahun lebih muda daripada Rahmah. Macam Remy dengan Rizki.

Bila Rahmah terus selamba depan jejaka itu, Yuszairy sengaja menghulurkan sehelai demi dehelai jaket dekat dengan gadis itu, seolah yang nak disuruh beli jaket, Rahmah, bukan adiknya. Segera Rahmah sampaikan pada Yuziani kemudian buat-buat sibuk meneliti baju lain pula.

"Riz, kenapa Kak Rahmah macam tak nak cakap dengan Abang Yuszairy?" bisik Remy kepada sahabat baiknya.

Rizki ikut berkerut melihat kakaknya berdiam sahaja apa bila 'terperangkap' di antara Yuziani dan Yuszairy. Melia yang ikut sama memilih beg dan baju mula memandang Yuszairy dan Rahmah juga.

"Abang Yus sukakan Kak Rahmah. Confirm! Si Yuzi pun dah mula perasan," tuduh Melia dengan suara perlahan.

Mereka bertiga tersenyum lagi memandang.

Dan itulah rentak mereka berenam seharian di Bukit Bintang. Yuszairy akan cuba dekati Rahmah, Rahmah pula sibukkan diri dengan budak-budak, mengelak atau buat-buat pekak. Lega Remy bila fokus Yuszairy makin tajam ke arah Rahmah, dapat dia bersantai dengan Rizki.

"Jom, makan di restoren Jepun," ajak Yuszairy. "Abang belanja," sambungnya sambil menjeling ke arah Rahmah.

Melia, Yuziani, Rizki dan Remy bersorak. "Terima kasih Abang Yus!"

Rahmah seorang menikus di belakang.

"Cik Rahmah tak suka makanan Jepun?" tanya Yuszairy, sedikit tercabar kerana Rahmah tidak memberi sambutan.

"Eh, suka. 'Terima kasih Abang Yus!' " Rahmah mengajuk geng adiknya sambil mengelip mata.

Naik geram Yuszairy dibuatnya. Mengejek pula Rahmah padanya.

Dibiarkan empat kaum hawa berjalan dahulu sebelum dia merapati Remy.

"Remy, kakak si Riz tu dah ada boyfriend ke?" dia merisik, biarpun berjarak dengan kumpulan gadis cuma lima tapak sahaja.

Remy terpaksa menahan ketawa. Hai, lelaki seperti Yuszairy mahu semua orang sukakan dia. Jenis kalau nampak wanita, nak mengayat sahaja kerjanya. Haruslah Kak Rahmah tak suka.

"Setahu saya, tak ada bang."

"Habis tu kenapa dia macam tak suka abang?"

Remy berdehem. "Maaf ya, tapi mungkin gaya abang bersembang dengan Melia dan Riz pun, macam nak ambil hati mereka berdua juga. Kak Rahmah kan lebih matang, mestilah dia terus label abang... Er..." sengaja Remy menahan perkataan.

"Label abang apa? Gatal?" tagih Yuszairy. Sungguh dia nak tahu.

"Er... Tak lah seteruk tu. Abang kan kacak. Perempuan bijak macam Kak Rahmah mesti label abang, 'bahaya'. Maaf bang, kalau saya terlalu berterus-terang," kata Remy, namun langsung tidak kesal.

Dia lebih marah kerana Yuszairy mesra sangat dengan Rizki awal tadi. Yang menyejukkan hatinya sekarang cuma fakta yang Yuszairy juga bermesra dengan Melia dan terkial-kial menarik perhatian Rahmah. Kalau tidak...

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro