Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Remy8 - Bab 2

"Riz, kau tak bosan ke asyik makan mee segera?" tanya Remy bila untuk kesekian kalinya, Rizki memesan mee segera tomyam di kedai mamak tempat mereka melepak setelah selesai berlatih di padang. Sejak awal tahun mereka mula berlatih dua kali seminggu, setiap kali singgah makan sebelum pulang, itulah yang disantap Rizki.

Dia sendiri, mampu beli roti canai sahaja. Kadang-kala minum susu atau air soya saja.

Riz tersengih, gigi putihnya yang terletak cantik itu terserlah. "Aku tak dapat makan makanan ni di rumah, Remy. Papa dan mama boleh naik angin kalau tahu aku makan benda terlarang ni," katanya perlahan, seolah-olah Remy bertanya kenapa dia menanam pokok ketum di belakang rumah.

(Nota khas untuk pembaca: Jauhi dadah, ketum, ganja dan yang seangkatan dengannya, kecuali anda punya preskripsi doktor. Moga para pembaca sihat dan gembira sentiasa.)

"Apa yang sedap sangat pun mee segera tu?" tanya Remy. Dia juga sama, tidak dibenarkan makan makanan yang digelar tidak berkhasiat itu oleh ibu dan mak ngah.

"Fuh, nikmat dia lain macam, Remy. Cuba sikit, baru kau tahu," Rizki menghulur mangkuk yang masih sarat dan berasap.

Remy memandang makanan yang berbau enak itu, tapi hatinya tidak cepat tergoda. "Ah, tak nak lah," katanya.

"Betul?" tanya Rizki. Keningnya diangkat-angkat, dan rupanya ketika itu tak ubah seperti penyanyi Ella di zaman kegemilangan Ella & The Boys, cuma rambutnya sahaja yang pendek.

Remy memandang sekali lagi juadah itu. Kepulan wap yang berserakan di depan mukanya mengingatkan dia kepada permainan yang selalu dia dan ibunya mainkan.

Kecil-kecil dulu, ibunya akan menghiburkan Remy dengan sebuah permainan kecil yang mereka panggil 'Neptun'. Kali pertama ibu mengajak Remy bermain Neptun, malam agak sejuk di Cameron Highlands. Ketika itu mereka bercuti bersama mak ngah. Oleh kerana jalan sesak, mereka masih terduduk di dalam kereta yang dipandu mak ngah tatkala mahu mencari makan malam di Tanah Rata.

Remy yang baru berusia 5 tahun sudah tidak keruan di kerusinya lalu ibu mengajak dia duduk bersama di kerusi penumpang hadapan.

"Huh..." ibunya menghela nafas panjang ke cermin sisi kereta. Wap yang terbentuk di permukaan cermin itu di berbentuk bulat.

Ibu mencapai jari telunjuk kanan Remy lalu digunakannya untuk melukis sebuah bulatan dan kemudian, sebuah garisan lurus untuk membelah bulatan itu.

"Gambar apa ni ibu?" tanya Remy sudah mula berhenti merengek.

"Inilah planet Neptun," balas ibunya.

"Tapi Neptun tak ada gegelung di sekelilingnya. Yang berbentuk begini, Zuhal sahaja," Remy tidak puas hati. Remy sudah belajar mengenai sistem suria di taska, jadi dia kenal bentuk semua planet yang pernah dilukiskannya dengan krayon.

"Sebenarnya Neptun pun ada gegelung di sekelilingnya, cuma, tak terlalu jelas. Tapi kalau Remy beli teleskop, mesti boleh nampak," ibu menyakinkannya.

"Apa ada dalam gegelung Neptun?" tanya Remy.

"Oh, ada sekumpulan tentera yang sangat kuat. Mereka mengepung penduduk planet, jadi tidak ada sesiapa dibenarkan keluar daripada Neptun. Mereka tak mahu penduduk Neptun kenal dengan penduduk Bumi, Zuhal, Utarid dan yang lain-lain," terang ibunya.

"Kenapa?"

"Sebab penduduk Neptun sikit. Tentera takut kalau mereka mengembara ke planet lain, mereka tak mahu balik. Nanti Neptun kosong. Tak ada orang," cerita ibunya lagi.

"Teruknya! Mana boleh halang orang nak jalan-jalan, " Remy tak puas hati.

"Memang teruk, Remy. Tapi, ada juga beberapa penduduk Neptun yang dapat melepaskan diri, mereka dapatlah berkenalan dengan makhluk dari planet lain," sampuk mak ngah tergelak.

"Eleh mak ngah macam tahu je. Mak ngah bukan akauntan ke, kerja tambah-tambah nombor saja?" Remy menyakat. Memang dia seorang anak yang pandai bergurau.

"Eh, mak ngah punya ex-boyfriend, orang Neptun la! Tak percaya, tanya ibu," balas mak ngah sombong.

Remy memandang ibunya. Ibunya mengangguk. Terbeliak mata Remy.

"Hoiiiiii! Dah sampai planet mana tu? Aku dah habis makan mee ni, kau tak jawab-jawab lagi soalan aku. Aku tanya nak makan ke tidak ni, Remy. Dah tinggal sikit ni!" panggil Rizki, menyentak lamunan Remy.

Air soya sudah cair dalam gelas yang tadinya penuh ais. Terkebil-kebil Remy memandang Rizki, terkejut disergah begitu. Remy segera menggeleng.

"Kan aku dah pesan, jangan mengelamun masa makan! Aku boleh nampak perempuan-perempuan dalam lamunan kau tu. Melayang-layang depan muka kau," marah Rizki. Mee segera dihabiskannya.

Remy tergelak, lalu dia menghabiskan air soya yang dipesannya tadi dengan cepat.

"Dah, jom, ajar aku main gitar," ajak Remy.

"Kalau nak cepat, jom lumba. Siapa kalah, esok kena belanja minum di sekolah," cabar Rizki.

"Ah, jom! Cepat, sayap aku dah nak tumbuh ni!" gertak Remy.

Dua sahabat meredah panas mentari pukul 5 dengan gembira.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro