#Remy8 - Bab 13
"Hoi Remy, sinilah!" laung Rizki sebaik sahaja ternampak kelibat Remy keluar daripada platform A di KL Sentral. Lelaki itu nampak segar sahaja walaupun baru lepas 4 jam terperangkap dalam keretapi laju dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur.
Kalau Rizki, tak sanggup. Kalau terbang, cuma 3.5 saat sahaja diperlukan untuk melalui jarak yang sama. Susah juga hidup bangsawan ni, fikir Rizki.
"Riz! Hei kau dah lebih pendek daripada aku!" balas Remy, jelas sekali gembira melihat sahabat baiknya sudah menunggu. Lewat malam semalam dia telah menghantar bapa saudaranya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, dan lelaki itu dilambai beriring doa sebaik dia dipanggil untuk menyertai jemaah haji dari negeri itu untuk masuk ke balai pelepasan.
Kemudian Remy dihantar saudaranya ke stesen keretapi untuk ke Kuala Lumpur. Dia bakal tinggal bersama keluarga Rizki sepanjang ketiadaan bapa saudaranya yang banyak berjasa itu. Dia sendiri tidak menyangka bapa Rizki menawarkannya tempat berteduh di rumah baru keluarga Rizki di Seri Kembangan itu. Mulanya dia fikir, kakak atau abang Pak Lang akan ditugaskan menjaga dia tapi bila Pak Lang kata bapa Rizki beriya mengajak dia duduk di KL sahaja, Remy bersyukur Pak Lang sudi setuju pula.
"Lebih tinggi tak semestinya lebih laju, Remy..." sakat Rizki lalu mereka berdua ketawa.
"Auntie, uncle, assalamualaikum. Pak Lang kirim salam, malam tadi penerbangannya cuma terlewat 30 minit sahaja," Remy segera bersalaman dengan orang tua Rizki.
"Syukurlah dia dah selamat bertolak ke Tanah Suci. Syukur juga Remy selamat sampai ke sini," sahut Ros yang sudah terbiasa merisaukan diri.
Tersenyum Remy.
"Kak Rahmah, lamanya tak jumpa. Tahniah kak, dah dapat Masters!" ujar jejaka itu bila nampak Rahmah juga ada di KL Sentral.
"Terima kasih Remy. Eh jom makan, kakak dah lama tak makan di restoren pelakon veteran Rubiah Suparman tu. Jom papa, mama?" ajak Rahmah. Maklumlah baru pulang ke kampung halaman, selera Rahmah harus dilayan.
"Kak Rahmah sejak balik Malaysia macam-macam dia teringin nak makan, Remy," Rizki mengusik kakaknya.
Mereka semua tergelak-gelak sambil berjalan ke arah restoren yang menyajikan pelbagai masakan Melayu itu.
"Pak Lang pandai masak juga," bual Remy bila Rithauddin bertanya, apalah juadah harian Remy dan Pak Lang. Dapat saja tempat duduk macam-macam diambil dari kaunter lalu dikongsi semeja.
"Dia ajar kau masak gulai tak?" duga Rizki.
"Ada! Aku boleh masak gulai ikan, daging dan ayam sekarang. Masak kicap dan masak taucu pun dia ajar," Remy berlagak depan Rizki.
"Auntie nak rasa Remy punya gulai ayam boleh?" minta Ros sebelum menjamah kuih pulut inti.
"Uncle dah lama tak rasa masak taucu. Auntie tak pernah pun masakkan untuk kami, Remy," kata Rithauddin pula.
Lalu lelaki itu dijeling isterinya, hingga tiga pemuda di depan mereka tergelak melihatnya.
"InsyaAllah Remy boleh masakkan gulai ayam untuk auntie, dan ikan masak taucu untuk uncle. Bila auntie dan uncle nak?" tanya Remy, gembira bila keluarga Rizki begitu ramah melayannya.
"Hujung minggu ni sesuai. Malam ni kakak nak masak kari daging cincang, Rizki dah janji nak masakkan nasi hujan panas," cadang Rahmah.
Remy setuju. Dalam hati jejaka itu bersyukur kemesraan mereka bagaikan tidak pernah lama tak bertemu. Empat tahun tak bersua tak terasa bila ada teknologi menghubungkan mereka.
****
"Pandai kau masak, Riz. Sedap baunya," tegur Remy sambil melangkah masuk ke dapur rumah keluarga itu.
Mula-mula dia agak segan kerana rumah itu besar, berias indah dan terletak pula di kawasan ekslusif. Rupanya sejak pencen awal dengan kerajaan, bapa Rizki berniaga dan perniagaan Rithauddin agak maju.
Sebaik sampai di rumah, Ros terus membawa Remy ke bilik tamu di tingkat bawah. Bilik itu lebih besar daripada bilik Remy di rumah Pak Lang. Kata Ros, Remy boleh tengok TV dan bermain PlayStation dalam bilik itu, cuma jangan sampai tidur terlalu lewat.
Lalu lepas Maghrib, Remy ke dapur untuk membantu apa yang patut.
Kak Rahmah sudah lama siap masak kari. Nasi hujan Rizki sahaja yang baru masak. Bau semerbak masakan itu menggetarkan perut Remy.
"Jom makan, Remy. Kalau dah lapar makan saja sekarang. Papa dan Mama lebih suka makan selepas Isyak," terang Rahmah.
Remy geleng. "Tunggu auntie dan uncle lah. Tak seronok makan sendirian," katanya. Memang sudah selalu sangat dia makan seorang bila Pak Lang terpaksa kerja lebih masa.
"Keropok lekor ada di bawah tudung saji tu, Remy. Makanlah kalau dah lapar," pelawa Rizki pula.
"Riz, aku nak bagi kau ni... " kata Remy lalu dihulurkannya sebuah bungkusan kecil.
"Apa ni?" tanya Rizki teruja menyambut pakej kecil itu.
Bungkusan dibuka dengan hati-hati. "Pewangi! Wow! Eh, mahal ni, Remy," kata Rizki sebaik sahaja ternampak isi bungkusan. Pewangi jenama Fragonard itu dibeleknya.
"Aku beli masa ke Thailand dengan Pak Lang selepas habis peperiksaan hujung tahun tempoh hari. Di zon bebas cukai, harganya ok," terang Remy.
Rahmah mengerling sedikit ke arah Rizki. Rizki pura-pura tak perasan.
"Susah-susah je Remy, terima kasih kau ingat juga pada aku walaupun seronok berjalan dengan Pak Lang kau," ujar Rizki.
"Alah, kau kan kawan aku. Mestilah ingat!" kata Remy lalu mengeluarkan satu lagi bungkusan. Ia lebih kecil.
Rahmah menahan nafas. Imaginasinya tentang Remy membawa cincin lamaran jadi girlfriend untuk Rizki berulang di ingatan. Dia melontar satu lagi pandangan bermakna ke arah Rizki. Rizki membalas dengan pandangan, Jangan risau, tak ada apa-apalah.
"Ini untuk Kak Rahmah," kata Remy, mengejutkan Rahmah.
"Er, untuk kakak?" ulang Rahmah.
Gadis yang berusia 24 tahun itu merapati meja yang diduduki dua remaja itu lalu disambutnya kotak hadiah.
Ada tiga kerongsang perak berbentuk bunga dahlia di dalam. Rahmah terharu.
"Lah, Remy ni, buat susah-susah je! Terima kasih!" ucap Rahmah.
"Saya ada hadiah untuk auntie, uncle dan Abang Rahman juga. Saya belikan uncle tali leher, pin tudung untuk auntie dan vinyl album pertama Metallica untuk Abang Rahman. Agak-agak, mereka suka tak?" tanya Remy lalu menjamah keropok.
Hadiah-hadiah itu dicadangkan oleh Pak Lang. Katanya Rithauddin sendiri menawarkan diri untuk menjaga Remy, tak kena gaya kalau Remy datang dengan tangan kosong sahaja. Remy sendiri sudah berkira-kira mahu membeli buah tangan untuk keluarga Rizki bila diberitahu Pak Lang.
"Mestilah!" jawab Rizki sambil menuang tiga gelas jus oren untuk mereka.
"Terima kasih Remy. Pandainya Remy pilih," komen Rahmah.
"Ha, Kak Rahmah belum nampak apa saya belikan untuk awek saya lagi," gurau Remy.
Rizki terhenti mengunyah keropok.
Rahmah terus menerkam. "Remy dah ada awek?"
"Haha! Belum lagi la kak. Tengoklah sehari dua lagi, mana tahu muncul pula seorang! Comel macam akak, siapa tak nak?" balas Remy.
Muka Rahmah merah dek geram. Rizki tak tahan, lalu dia ikut Remy ketawa.
Dalam hati Remy, kenapa Rizki tak cemburu langsung bila sebut tentang hal kekasih tadi?
Oh dia lupa. Pada Rizki telah dia ceritakan segala. Baru beberapa hari lepas Rizki tanya, "Nak duduk di KL sebulan lebih, girlfriend kau yang ramai-ramai tu tak marah ke?"
Dan Remy balas, "Huh, aku tak ada girlfriend lah. Tak minat!"
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro