#Remy8 - Bab 10
Rizki perlahan-lahan menukar butiran resipi dalam buku catitan Nia. Digandakan berat udang kering yang perlu dimasukkan ke dalam masakan terung balado yang baru sahaja disalin oleh si kembar yang lebih muda itu.
Tiba-tiba telinganya menangkap suara gadis-gadis kembar itu dari luar bilik tidur yang dicerobohinya. Sepantas mungkin Rizki simpankan semula buku catitan berwarna merah jambu itu ke dalam laci kemudian dia melompat keluar melalui tingkap yang terbuka luas. Gril tingkap dipasangnya cepat-cepat. Walaupun cuma sempat memasang satu skru di setiap bucu, gril itu tampak teguh di posisi asalnya.
"Esok ada kokurikulum, malasnya," getus Mia sambil membuka pintu biliknya.
Dia tercegat sebentar sebelum masuk, hingga Nia terlanggar tubuhnya dari belakang.
"Masuklah, kau tunggu apa?" desak Nia yang sudah mengantuk. Jam sudah 10.30 malam, dan ibubapa mereka cuma perlu menyebut sekali sahaja, dan dua beradik berusia 15 tahun itu terus akur perintah 'masuk tidur'.
Mia berbisik. "Bau... wangi. Kau dapat hidu tak?"
Terus Nia memukul lengannya. "Hoi, malam-malam, tak elok tegur kalau ternampak atau terhidu apa-apa. Itu pun tak tahu?"
"Tak, ini bau pewangi artis terkenal. Britney Spears. Takkanlah hantu nak pakai pewangi Britney," tingkah Mia.
Berkerut-kerut hidung adiknya cuba mencium bau yang unik itu. Dia minat juga pewangi artis itu.
"Ya lah Mia, aku dapat bau," kata Nia sambil perlahan-lahan masuk ke bilik. Meja tulisnya didekati, mengikut sahaja arah yang dikesan hidungnya.
Dua gadis itu berpandangan.
Hidung Nia menyuruhnya membuka laci. Kemudian dia terhidu-hidu lagi.
"Buku ni," katanya pada Mia.
***
Esoknya Remy dicari pasangan kembar itu pagi-pagi lagi. Remy terus mereka tarik ke tempat duduk mereka di dalam kelas, sebelum sempat jejaka itu meletakkan beg ke kerusi.
"Hei, kenapa ni? Kejaplah, aku letak beg dulu," mohon Remy.
"Remy, Remy, kau nak tahu malam tadi kami dilawat bidadari," terus saja Nia membuka cerita.
Tergelak Remy, lalu begnya diletakkan ke meja Mia. "Ya lah tu," ejeknya. Dua beradik itu memang kreatif bila bercerita.
"Eh, kenapa bau beg kau semacam ni?" tanya Mia.
Tiga sahabat itu cuba menghidu udara sekeliling mereka.
"Mia, bau semalam!" umum Nia.
"Bau apa?" tanya Remy.
Dua gadis itu dengan selamba mengorek beg Remy untuk melihat isi di dalamnya.
"Buku ni, buku ni yang berbau sama macam bau yang kami hidu semalam di bilik tidur. Ia melekat pada buku resipi Nia. Mana kau dapat buku ni?" tanya Mia, berdebar.
Takkanlah Remy curi masuk ke dalam bilik mereka? Kenapa buku nota ini yang berbau pewangi Britney Spears. Takkanlah si Remy nak curi masuk bilik sambil bawa buku pula sambil menyelinap tu? Ish, tak masuk akal.
Remy mengambil buku nota yang baru diterimanya melalui kiriman pos semalam.
"Ini, buku nota lagu. Banyak lagu yang kita suka ada di dalam ni. Rizki yang kirimkan, katanya... hah, tengok kad ni," sua Remy.
Mia dan Nia meneliti kad yang tertampal di halaman pertama buku nota itu.
Remy,
Buku ni kompilasi nota muzik untuk gitar, dram dan bass untuk lagu-lagu rock Jepun. Kau kongsilah dengan si kembar Mia dan Nia, dan Cikgu Muzik sekolah kau tu. Mesti seronok jamming nanti.
Ikhlas,
Riz
Ternganga Mia dan Nia. Kemudian Nia dekatkan buku itu ke hidung Remy.
"Wangi kan, Remy? Baik betul Rizki berikan kau buku ni. Tapi, inilah bau yang kami tercium dalam bilik tidur kami semalam. Pukul 10 malam semalam. Ini, bau pewangi Britney Spears," cerita Nia.
Tergelak lagi Remy. "Pewangi ni ramai orang suka kan? Takkanlah Britney Spears nak jual pewangi di US saja, Malaysia pun mesti ada."
"Tapi Remy, aku dan Nia tak pernah beli pewangi ni. Geng-geng kita di sekolah ni pun bukannya pakai pewangi sangat. Pewangi ni mahal tau. Ibu tak bagi beli. Katanya membazir budak sekolah beli."
Remy terdiam sekejap. "Agaknya ada buku kau yang cikgu kita pernah pegang, cikgu yang pakai pewangi yang sama?"
Giliran si kembar terdiam. "Ya lah kot..." akui Nia.
"Cikgu datang!" jerit seorang rakan sekelas.
Segera Remy berlari ke tempat duduknya di belakang.
***
Petang itu Remy menghantar email kepada Rizki, bercerita tentang hal pewangi. Dia tahu, petang-petang, Rizki pasti ke makmal komputer di sekolahnya yang punya kemudahan WiFi untuk memeriksa email. Lagipun, pelajar tingkatan 4 di sekolah Rizki tidak perlu menghadiri kelas tambahan petang seperti pelajar tingkatan 3 dan 5.
Hi Rizki,
kau tahu apa-apa tentang pewangi tak? Kalau pewangi Britney Spears tu mahal ya? Kau ada sembur pada buku nota yang kau kirim tu?
- Doh Doh Kau Lah Siapa Lagi -
Ia tidak segera dibalas Rizki. Remy terpaksa menunggu hampir setengah jam barulah sampai email dari Kuala Lumpur.
Hello Remy,
Kenapa tiba-tiba saja tanya tentang pewangi? Nak beli untuk teman wanita ya? Kau pilih siapa? Mia atau Nia?
- Riz -
Geram Remy membacanya. Rizki ni tak tahu ke aku sukakan dia? Oh ya, dia tak tahu.
Remy tidak puas hati.
Riz,
Aku pilih kau lah.
Ni, soalan aku kau tak jawab, macam mana kau nak SPM tahun depan?
- Doh Doh Kau Lah Siapa Lagi -
Di seberang sana talian digital, Rizki tersentak ssebentar membaca ayat pertama Remy.
Hei Remy,
Gurau kasar ye. Mengadalah kau. Mentang-mentang nak beli dua botol pewangi.
Pewangi Britney Spears tu bagus baunya dan harganya beberapa ratus sebotol. Pewangi ni kalau ia pekatan EDP, lebih tahan lama. Pakai setitik dua, satu bilik berbau. Kalau pekatan EDT murah sikit, tapi tahannya tak lah selama EDP. Sebelum belikan pewangi untuk si kembar tu, periksa dulu tahap pekatannya. Mahal, mestilah EDP lebih daripada EDT. Tapi kalau bukan jenama selebriti, ada yang murah tapi sedap baunya.
- Riz -
Melihat balasan Rizki, Remy tersenyum sendiri. Nampaknya Riz suka bau pewangi Britney Spears...
Jejaka itu berazam mahu membelikan pewangi yang sama hebat untuk gadis itu. Dia mahu membalas kiriman buka nota muzik yang dihadiahkan padanya.
Hi Riz,
Terima kasih atas jawapan tadi.
Aku tanya sebab Nia dan Mia terbau wangian itu di bilik mereka malam tadi.
- Doh Doh Kau Lah Siapa Lagi -
Dan sekali lagi Rizki tersentak bila membaca balasan Remy.
"Riz! Lain kali jangan malas mandi!" amuknya sendiri, mengejutkan beberapa pelajar sebayanya di dalam makmal komputer yang sunyi.
(Nota khas untuk pembaca: Ya ampun, sebulan tak update cerita ni. Sebenarnya cerita ni ada 3 versi. Yang bahagian hujung ada di Facebook, yang complete dalam Google Docs. Untuk Wattpad anda sedang membaca versi teen. Sebab itulah kucar-kacir. Maaf ya.)
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro