Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 8

SUASANA heboh di ruang lobi mendadak jadi hening ketika Noah dan Gambit mengiringi Raid masuk. Semua mata memandang ke arah Raid yang terincut-incut bertumpu tongkat dengan bentuk badan berubah menjadi janggai, muka cengkung. Bisik-bisik mulai kedengaran.

Menyedari tatapan mereka kebanyakannya panasaran, Noah memandang Gambit yang turut menoleh ke arahnya. Secara bisu mereka menyepakati, ada perkara buruk sedang terjadi di situ.

Tiba-tiba seorang lelaki mendekati Raid. Curiga melihat renungan tajam lelaki itu, Noah segera berjalan ke depan Raid, melindunginya.

"Jangan macam-macam!" Noah menekan suara.

Barulah kendur ketegangan pada wajah lelaki itu. "Errr... Aku tak bermaksud jahat. Terlanjur anak Tuan Gilbert dah muncul, aku mewakili pekerja yang lain, nak minta penjelasan."

"Tentang apa?" Raid menyoal datar.

"Betul ke kami semua akan diberhentikan kerja tanpa pampasan?"

Raid tersentak. Sementara Noah dan Gambit berpandangan sesama sendiri dengan kerut di dahi. Benarlah sangkaan mereka!

"Aku tak tahu apa-apa pun! Kata siapa kalian akan diberhentikan?" Raid bertanya dalam nada keras, sehingga membuatkan Noah dan Gambit sedikit terkejut. Tidak menyangka Raid berani bertegas.

Biarpun kehairanan, lelaki itu menjelaskan. "Kami dapat macam-macam khabar, selepas Tuan Gilbert mati dibunuh."

Raid melirik tajam saat nama papanya disebut.

"Dengarnya, tak lama lagi, Gilbert Group akan diambil alih oleh Armada Raya Nasional. 1000 anak kapal dan pekerja di pelabuhan dah dapat surat diberhentikan kerja. Mereka nak buat petisyen kepada Kementerian Sumber Manusia supaya rujuk kes ni ke Mahkamah Perusahaan."

Kesabaran Raid telah mencapai batasnya, tidak tahan lagi mendengar semua tuduhan itu.

"Berapa lama kau kerja di sini?!" soal Raid setengah membentak, menyentakkan emosi lelaki itu.

"Errr... Dah 10 tahun." Dia tergugup.

"Huh, sia-sia kau kerja selama itu kalau kau masih bersangsi terhadap pengasas tempat kau kerja! Papa dan bonda aku adalah adikuasa syarikat! Walaupun bonda aku mungkin terlebih garang tapi pernah ke gaji semua orang di sini tertunda?" Raid kemudiannya menyebarkan pandangan ke segenap ruang. Semua pekerja tertunduk.

"Daripada yang berjawatan pengurus besar sampai ke pencuci tandas, semua pun merasa bonus beribu ringgit setiap tahun. Sebab orang tua aku adalah pengusaha yang tahu menghargai setiap pekerja yang menyumbang keringat dan tenaga kepada syarikat. Jadi kalian fikir semudah itu ke mereka timbulkan masalah dan menyusahkan beribu-ribu pekerja yang dah banyak berbakti? Malang betul orang tua aku ada pekerja bodoh macam kau!"

Setelah mencemuh, Raid memusingkan tubuh dan beredar bersama kemarahan membuncah dalam dada.

Semua tergamam termasuk Noah dan Gambit. Sungguh mereka tidak pernah menduga Raid yang mereka kenali sebagai anak manja dan kuat memberontak, sebenarnya mampu bercakap soal prinsip pekerjaan.

"Gilbert Group tak boleh dibubarkan walaupun papa aku dah tak ada! Kalian tak boleh berhentikan pekerja macam tu saja!" tegas Raid tapi disambut oleh wajah-wajah dingin dengan sikap menghina daripada ahli-ahli lembaga pengarah yang duduk mengelilingi meja panjang itu.

"Huh, ada hati nak mengajar orang tua. Kau tu cuma anak naga yang dah mati. Sedarlah sikit, sisik pun belum tumbuh, kalau menyembur bukan keluar api tapi hingus!"

Perlecehan dari lelaki gendut itu mencetuskan gelak tawa mereka kecuali Engku Mateen dan Maya yang duduk sebelah-menyebelah. Dua orang itu tertunduk dengan muka serba salah. Noah dan Gambit pula hanya mampu menahan geram, berdiri di sudut dewan persidangan.

"Encik Raid, untuk makluman, sejak kematian Tuan Gilbert, nilai saham semakin jatuh. Banyak syarikat besar termasuk pemegang saham dah mula hilang kepercayaan nak teruskan urus niaga dengan Gilbert Group." Maya bersuara.

Raid menoleh ke arah Maya. Kemudian pandangannya ditancapkan ke wajah Engku Mateen.

"Ayahanda Busu kenapa diam aje? Apa dah berlaku sebenarnya?"

Engku Mateen tidak segera menjawab. Terkelip-kelip mata memandang wajah anak saudaranya yang kelihatan bingung itu. Lalu dengan wajah serius, Engku Mateen berdeham.

"Sebenarnya pejabat kerajaan dah memfailkan saman. Gilbert Group selaku syarikat induk, dinamakan sebagai pihak yang bertanggungjawab kepada kerosakan saluran kuasa bawah air dan saluran paip minyak serta gas di Selat Melaka. Mereka siasat kerosakan dengan menggunakan kenderaan yang dikendalikan dari jarak jauh. Penilaian awal menunjukkan memang ada beberapa kerosakan pada lapisan perlindungan luar kabel. Aktiviti perkapalan di situ dikatakan menggugat maritim."

"Laporan kerajaan juga mendakwa Gilbert dengan 12 pertuduhan sekuriti dan penipuan cukai termasuk konspirasi rasuah serta serangan korporat ke atas beberapa syarikat yang menjalankan aktiviti komersil mewakili kerajaan. Itu belum termasuk tuntutan daripada pihak kastam. Semua ni memudaratkan nama baik semua ahli lembaga pengarah Gilbert Group dan anak syarikat yang lain. Lebih memburukkan keadaan, bonda kau menghilangkan diri dengan pengeluaran sejumlah besar dana dari akaun peribadi dia. Tapi peliknya, tak pula dia pindahkan wang ke akaun peribadi kau. Jadi polis mengesyaki kekanda aku tu dah bawa lari duit hasil penyelewengan syarikat."

Penerangan panjang lebar itu membuat Raid tertelan liur. Lalu dia menarik nafas dengan tajam.

"Mustahil papa dan bonda sanggup buat kerja kotor macam tu!" bentak Raid, merasa sensitif sebagai anak.

"Biar aku jelaskan, wahai anak muda." Lelaki berkumis putih berkaca mata yang duduk bertentangan dengan Raid, bersuara.

"Kau tak boleh mewarisi Gilbert Group sebab rancangan penggantian atas nama kau didapati tak ikut undang-undang probet. Jadi, bila Gilbert selaku pengasas dah meninggal dunia, mengikut perjanjian jual beli saham syarikat, kami selaku ahli lembaga pengarah berhak membeli kesemua saham Gilbert. Kami juga berhak melantik pengerusi baru yang lebih berkelayakan dan berpengalaman. Kau kena faham undang-undang perusahaan. Kau tak boleh tuntut hak dengan menyalak beritahu semua orang yang kau satu-satunya anak Gilbert. Surat beranak kau tak laku jadi bukti dalam urusan perniagaan berdaftar!"

Raid terngadah. Suasana dingin dewan terasa mencengkamnya.

"Kami juga sebulat suara bersetuju supaya Gilbert Group diambil alih oleh Armada Raya Nasional. Beberapa aset Gilbert Group akan dicairkan untuk membayar saman dan segala tuntutan terhadap Gilbert Group."

"Apa?!" Mata Raid membuntang.

"Ayahanda Busu!" Raid menatap Engku Mateen. "Ayahdanda tak boleh biarkan mereka buat begitu! Sebagai salah seorang ahli lembaga pengarah dan ahli keluarga, sepatutnya ayahanda ajak mereka cari jalan membela dan bersihkan nama papa dan bonda!" getus Raid sakit hati.

Namun Engku Mateen hanya tunduk, kelihatan semakin serba salah dan gugup.

"Yang membuat onar tu orang tua kau! Kenapa kami pula yang harus tanggung bebanan?" bentak lelaki tadi.

Geram mendengar pendirian lelaki itu, Raid merenung tajam ke arah Maya.

"Maya! Kau yang selalu ikut bonda. Mustahil kau nak biarkan syarikat lain ambil alih Gilbert Group!"

"Eh, saya mana ada kuasa, Encik Raid. Saya ada sekali di sini pun sebab mereka nak saya keluarkan semua data syarikat." Maya berkata dengan nada takut-takut.

Mata Raid semakin nyalang.

Sebelum Raid mengamuk, Maya segera menjelaskan lagi, "begini, Encik Raid... Memandangkan saman termasuk semua tuntutan mencecah berbilion ringgit, maka tiada apa-apa lagi yang akan tersisa yang boleh dijadikan pampasan pekerja. Jadi, membuang pekerja adalah sebahagian daripada pelan Armada Raya dalam usaha menyelamatkan Gilbert Group. Kalau tak, Gilbert Group akan jatuh bankrap. Dan, suka atau tak, oleh kerana Tuan Gilbert dikaitkan dengan rasuah ketika hayat, Engku Marsitah disyaki dah kabur ke luar negara dengan bantuan Black menggunakan jalan tikus. Disebabkan banyak skandal mega, melibatkan Tuan Gilbert dan Engku Marsitah, maka risiko segala harta keluarga kalian disita sangat tinggi."

Raid merasakan dirinya seolah-olah dicekik. Dia ternganga kehilangan kata. Lebih menyakitkan hatinya bila melihat Engku Mateen terus menikus.

"Pengecut!" cemuh Raid bersama renungan tajam ke arah Engku Mateen. Tapi lelaki itu langsung tidak bereaksi. Tetap tunduk.

"Sudahlah! Kau tak layak dan tak kompeten untuk meneraju Gilbert Group. Jadi, jangan cuba mengajar kami bagaimana nak selesaikan kontroversi dan masalah yang orang tua kau tinggalkan. Nyahlah kau dari sini!" Suara tegang lelaki berkulit hitam manis di hujung meja itu jelas berisi kebencian dan kemarahan kepada Raid.

Naluri melindungi, membuat Noah dan Gambit sama-sama bergerak merapati Raid.

"Maafkan saya, Encik Raid. Saya tak mampu nak tolong." Maya bersungguh memperlihatkan perasaan serba salahnya sehingga dia kelihatan seperti mahu menangis.

Raid terdiam sejenak, meramas jari bersama nafas tersengal. Harga dirinya sebagai pewaris benar-benar tercalar. Ruang dewan yang dingin dan kedap bunyi itu menjadi hening bila Raid bangun tanpa sepatah kata pun, dengan kaki pincangnya melangkah pergi.

"KERETA aku!" seru Raid panik ketika kereta yang dipandu oleh Gambit berselisih dengan sebuah lori penunda. Ternganga Raid melihat Bugatti Veyron miliknya berada di atas lori tersebut.

"Bit! Kejar lori tu!" gesa Raid lalu memutar tubuh, terus mengunci matanya ke arah lori yang semakin menjauh itu.

Gambit tidak menyahut. Dia berbalas pandangan dengan Noah yang duduk di jok sebelahnya. Mereka sama-sama terdiam tatkala melihat sebuah lagi lori penunda membawa dua buah kereta sekaligus.

"Hei! Itu semua kereta kesayangan papa! Nak dibawa ke mana?! Noah, Bit, kita kena halang mereka!" Raid semakin tidak senang duduk melihat kereta klasik tahun 1965 Ford Mustang Cabriolet dan Hispano-Suiza H6 tahun 1919 itu dibawa pergi.

Semakin menghampiri rumah agam, mereka mendapati ada beberapa orang lelaki berseragam biru gelap, lengkap bersenjata, sedang berkawal depan pagar. Rupa-rupanya kawasan rumah sudah dikenakan sekatan.

Lupa pada tongkatnya, Raid meluru keluar dari kereta tanpa sempat ditahan oleh Noah.

"Hei! Kenapa bawa keluar barang-barang dari rumah ni?!" teriak Raid sambil cuba merempuh sekatan.

"Kau siapa?" tanya salah seorang dari anggota keselamatan itu.

"Aku anak tuan rumah ni!" Dengan pandangan nanar, Raid mengikuti setiap pergerakan keluar masuk depan pekarangan pintu utama rumah.

"Maaf. Kau tak dibenarkan masuk. Rumah ni dah disita oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah," jelas anggota keselamatan itu seraya menolak supaya menjauh.

Raid enggan mengalah, terus berteriak-teriak penuh emosi walaupun Noah dan Gambit berusaha menenangkannya. Kekecohan luar pagar itu menarik perhatian seorang lelaki yang sedang mengawasi aktiviti mengangkut barangan berharga ke atas lori. Dia mendekati.

"Sabar, Encik Raid," ujarnya bersama senyum tenang.

Berkerut dahi Raid kerana dia tidak mengenali lelaki itu. "Kau siapa?"

"Aku Zainul Ariff. Pendakwa raya yang mengendalikan kes orang tua Encik Raid."

"Kes apa?! Orang tua aku tak salah dan kalian tak ada hak masuk ke dalam rumah ni tanpa kebenaran aku!" tegas Raid. Tergeliat-geliat dia meronta dalam pautan Noah dan Gambit.

Bagaimanapun Zainul masih dengan senyum tenangnya, segera menjelaskan.

"SPRM dah buka beberapa kertas siasatan melibatkan Tuan Gilbert dan Engku Marsitah. Antaranya di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 atau AMLA. Di bawah akta ni, pihak polis, SPRM, Bank Negara dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri ada kuasa untuk menyita dan membekukan harta-harta yang disyaki. Sama ada harta boleh diambil alih seperti rumah dan tidak boleh diambil alih termasuk duit dalam bank, barang kemas dan kereta."

"Aku adalah anak..."

Zainul segera memotong percakapan Raid. "Selagi siasatan tak selesai, semua harta ni tak boleh dipindah milik walaupun Encik Raid adalah anak kandung tertuduh. Rumah ni dah disita. Harta yang dibawa keluar akan disimpan dalam stor khas. Kalau nanti didapati bersalah, semua harta terbabit akan dijual dan kerajaan akan merampas rumah ni."

Tubuh Raid longlai. Ya Tuhan, bahana apa yang sedang melanda keluarga aku?

"KALAU kau risau pasal duit, aku dengan Noah ada. Taklah banyak berjuta tapi cukuplah setakat nak tanggung kau seorang sementara cari kerja lain," hibur Gambit.

Raid menoleh. Mula-mula menatap Gambit yang kelihatan santai merokok depan meja TV. Kemudian ke arah Noah yang tercenung di tepi tingkap bilik hotel.

"Aku rasa pelik," kata Raid dengan suara bergetar. "Kekayaan bersih orang tua aku bernilai RM11.5 bilion. Mereka mengelola lima perniagaan berdaftar dengan nilai bersih kumpulan RM17.6 bilion. Untung tahunan Gilbert Group melebihi RM5 bilion. Mustahil boleh jatuh bankrap walaupun lepas bayar segala tuntutan. Dan apa hak syarikat lain nak ambil alih? Kenapa hak aku sebagai anak dinafikan seolah-olah nama aku dihapuskan semudah guna getah pemadam?"

Tawa Noah dan Gambit nyaris tersembur mendengar ayat terakhir itu. Namun mereka tahan bila melihat wajah Raid tercenung sayu. Akhbar yang memaparkan berita tentang Gilbert Group, ronyok di tangan Raid.

"Dari mana kau tahu semua angka tu?" tanya Noah dengan tatapan menyelidik.

Raid menarik nafas dalam-dalam seraya membetulkan lunjur kakinya di atas katil.

"Sejak aku kecil, sebelum tidur, papa akan masuk bilik aku, luangkan masa berbual tentang business dengan aku. Papa selalu bentangkan jumlah kekayaan yang dia kumpul dan sumbernya. Aku tahu papa buat macam tu semata-mata nak pancing minat aku dalam business. Tapi aku tak pernah mengacuhkan sebab bagi aku itu semua cuma angka di atas kertas."

Mata Raid menyiratkan kesalan yang amat sangat.

"Maka, bila jadi macam ni, kau tiba-tiba rasa ralat sebab tak pernah cakna." Noah membuat kesimpulan.

Bersama keluhan panjang, Raid mengangguk lemah. Dia berbicara dengan suara lirih.

"Aku tak sangka, pengorbanan orang tua aku jadi sia-sia. Usaha berpuluh tahun mereka, boleh hilang sekelip mata ibarat debu ditiup angin." Kepalanya didongakkan menatap siling dengan benak diasak seribu macam persoalan, bagai benang kusut yang sukar dileraikan.

Tiba-tiba mereka dikejutkan oleh bunyi loceng tanda ada tetamu. Gambit bergegas bangun. Terdengar dia bercakap-cakap dengan seseorang di luar sana. Tidak lama selepas itu, dia muncul bersama seorang lelaki lingkungan usia 40-an. Lelaki itu berbadan tegap dan berpakaian segak biarpun uban kelihatan memutih pada sebahagian rambutnya.

"Mr. Kevin, dialah Raid Arjuna." Gambit memperkenalkan.

Lelaki bernama Mr. Kevin itu mematai Raid dari hujung rambut sampai ke hujung kaki, seolah-olah menganalisis peribadi Raid. Kemudian dia tersenyum dan merapati Raid bersama huluran jabat.

Raid menyambutnya bersama satu anggukan kecil dan sedikit kerut di dahi kerana tidak mengenali lelaki itu.

"Macam mana kau tahu kami ada di sini?" soal Noah.

"Dari Encik Manaf. Dia beritahu aku keadaan Tuan Raid. Sebab itu aku terus datang ke sini."

"Ah, ya, dia peguam keluarga Tuan Gilbert. Dia yang hubungi aku dan minta kami menginap di hotel ni sebab nak jumpa Raid. Tapi siapa kau? Aku tak pernah nampak muka kau sebelum ni?" tanya Noah, langsung tidak menyembunyikan nada curiganya.

"Kita memang tak pernah jumpa. Tapi aku dah beberapa kali berjumpa dengan Engku Marsitah."

Mata Raid membeliak. "Maknanya kau tahu di mana bonda aku?"

Mr. Kevin menggeleng bersama nafas terhela panjang. "Maaf. Kali terakhir kami berjumpa, dua minggu lepas. Aku menguruskan satu dokumen perundangan yang melantik Tuan Raid sebagai pentadbir kepada satu hartanah."

"Tapi semua harta keluarga aku dah disita!" ujar Raid kehairanan.

Seulas senyum terbit di bibir Mr. Kevin. "Mahkamah dah keluarkan surat kuasa mentadbir kepada Tuan Raid." Dia meletakkan beg bimbit yang dibawanya ke atas meja. Satu sampul surat coklat saiz A4 berikat tali putih dikeluarkan dan dihulurkan kepada Raid.

Cepat-cepat Raid membuka sampul itu dengan diperhatikan oleh Noah dan Gambit di sisinya. Demi melihat nama-nama yang tertera helaian-helaian dokumen itu, Raid sontak menggigil. Lalu dia menatap Mr. Kevin dengan nanar.

"Dengan adanya surat tu, kuasa penerima tak terhad dari segi masa, boleh buat apa saja dan bermakna Tuan Raid boleh pegang hartanah tu untuk selama-lamanya."

Raid menelan ludah dan terus mendengar penerangan Mr. Kevin. Selama Mr. Kevin bercakap, bermacam buah fikiran menyambar dalam kepala Raid. Membentuk tanda tanya yang semakin besar.

Untuk apa seseorang itu bekerja keras menjadi kaya jika pada akhirnya, semua harta mahu direbut oleh orang lain?

LETIH secara mental dan sakit fizikal yang masih belum pulih sepenuhnya membuat Raid lelah dan dia jatuh tertidur setelah Mr. Kevin beredar. Namun tidurnya tidaklah nyenyak, dihantui mimpi ngeri. Sehingga dia terjaga kerana terdengar suara-suara berisik.

Raid segera terbangun dengan jantung berdebar-debar. Dia melihat Noah sedang bercakap di telefon bimbit. Wajah masing-masing tampak terkejut.

"Aku tak percaya! Black tak akan buat macam tu!" tempik Gambit penuh emosi.

Kemudian Noah memutuskan perbualan seraya memaki dengan perkataan tidak senonoh. Gambit pula menghenyakkan tubuh di atas kerusi bersama helaan nafas berat.

"Kenapa kau berdua kecoh sangat ni?" tanya Raid.

"Maya beritahu, polis baru aje jumpa mayat Black. Dah setengah reput dalam kereta bonda kau di ladang getah terbiar. Maya kata polis syak Black tembak diri sendiri. Ada pistol tak berlesen di tangan dia. Mungkin dia dah bunuh Engku Marsitah dan buang di mana-mana."

Dunia Raid rasa tercabik-cabik. Sekujur tubuhnya menggigil sampai dia kehilangan suara. Suasana bilik terasa semakin hening bila Noah dan Gambit turut terpaku diam.

Tiba-tiba terdengar bunyi loceng bertalu-talu. Noah bingkas ke depan pintu dan membukanya.

Seorang lelaki meluru masuk dan mereka mengenalinya.

"Syukurlah! Tuan Raid selamat!" serunya tatkala memandang Raid. Dia kemudiannya mengelap keringat pada muka dengan sapu tangan.

"Kalian dah dengar berita pasal Black?" Dia bertanya.

Serentak, Noah dan Gambit mengangguk. Hanya Raid masih kebingungan atas katil.

"Tapi aku tak percaya Black sanggup bunuh Engku Marsitah. Dia kerja sebab nak tanggung mak dan adik-adik dia yang masih belajar! Takkan dia tergamak bunuh diri?!" Gambit meramas rambut.

"Ya, Black memang antara pengawal yang baik. Sebab tu Engku Marsitah mahu Black yang temani dia sejak Tuan Gilbert dah tak ada."

"Encik Manaf, kau okey tak ni? Muka kau nampak pucat," tegur Noah dengan mata mencerun.

Manaf tersenyum lemah. "Aku sangat letih. Tak cukup tidur. Banyak hal dah berlaku dan aku tak dapat nak jelaskan satu per satu. Tapi perkara paling penting, aku nak Tuan Raid tahu... Sebenarnya Engku Marsitah sendiri yang gugurkan nama Raid dari senarai pewaris Gilbert Group dan segala harta."

Bicara Manaf terhenti sebentar memandang Raid yang terbelalak. Noah dan Gambit bahkan kelihatan terkejut.

Raid bertanya kehairanan. "Kenapa bonda buat macam tu pada aku? Bonda benci aku ke sebab lari dari majlis nikah tu?"

Manaf menggeleng sebelum menarik nafas lelah. "Engku Marsitah tak mahu Raid dibabitkan dalam sebarang konflik yang melibatkan Gilbert Group. Sebenarnya Tuan Gilbert bukan cuma seorang pengusaha tapi 'corporate raider' yang mampu meramalkan masa depan terutamanya berkaitan dengan kewangan dan ekonomi. Jadi, musuhnya bukan calang-calang... Melibatkan beberapa orang yang terkenal termasuk ahli politik dan sosialit..." Di hujung kata-katanya, Manaf terbatuk-batuk. Keringat semakin mengucur laju dari dahinya.

"Encik Manaf, kau sakit, ya?" tanya Gambit. Ada riak cemas terlukis pada wajahnya.

"Aaa... Aku okey." Manaf menekup mulut dengan sapu tangan, menahan batuk sebelum meneruskan bicaranya. "Ada konspirasi rahsia... Uhukkk!" Batuknya membuat Manaf mengokol.

"Encik Manaf!" Noah menerpa lalu memaut Manaf dan membawanya ke katil.

Raid mengesot, memberikan ruang untuk Manaf duduk. Namun lelaki itu tiba-tiba tumbang dengan nafas termengah-mengah. Masing-masing panik tapi Manaf menarik tangan Raid supaya rapat kepadanya.

"Aku sanggup pertaruhkan nyawa... Kerana... Orang tua kau... Dah banyak tolong keluarga aku. Engku beritahu dia ada... Tinggalkan... Sesuatu untuk kau... Di Hong Kong. Ada seorang kaisar menjaganya di sana. Tapi... Terlalu bahaya kalau aku simpan... Maklumat tu... Di pejabat..." Manaf terengah-rengah, makin kehilangan nafas.

Raid bingung sampai tidak tahu mahu berkata apa.

"Sebab tu juga... Engku bertindak menamakan Encik Noah dan Gambit sebagai pemilik salah satu... Hotel yang dia bina... Supaya mereka... Tak merampasnya dari tangan Raid." Terketar-ketar, Manaf menarik telefon bimbit dari saku seluar dan menyerahkannya kepada Raid.

Kenyataan itu membuat Noah dan Gambit sama-sama tergamam. Sebegitu tingginya kepercayaan Engku Marsitah terhadap mereka.

"Pergilah jumpa isteri aku... Dia... Tahu... Di mana aku simpan dokumen hotel tu dan kunci peti keselamatan di Hong Kong. Tolong..." Manaf jelas tidak berdaya lagi meneruskan kalimatnya. Mata Manaf perlahan terkatup. Sekejap kemudian dia tidak bergerak lagi, membuat mereka bertiga panik.

"Dia... Tidur ke?" tanya Raid dengan suara bergetar antara gugup dan ketakutan.

Gambit menggoncang tubuh Manaf sementara Noah meletakkan hujung jarinya dekat ke lubang hidung Manaf. Air muka Noah semerta berubah dan Gambit cepat membaca maksudnya. Serentak mereka tertegak.

"Aku rasa Encik Manaf dah tak ada!"

Kontan, wajah Raid memucat.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro