Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 7

RAID dapat merasakan bokong badannya ditoreh-toreh oleh sesuatu. Bunyi daging tersayat dek benda tajam membuat Raid dapat membayangkan kulitnya terbelah menampakkan isi sampai ke tulang. Denyutan daripada luka-luka itu seakan meledakkan otaknya. Lalu mata Raid tiba-tiba terbuka lebar bersama jantung melonjak kencang.

Perkara pertama yang dilihatnya adalah lantai kayu yang renggang-renggang, menampakkan tanah berpasir di bawah sana. Kemudian baru Raid menyedari bahawa dia terbaring dengan posisi telungkup tapi condong. Dia dapat bernafas kerana mukanya telangkup di antara bukaan sebesar dua tapak tangan. Dia cuba bangun tapi menyedari anggota badannya terikat pada katil itu.

Mendadak sontak, otak Raid mengulang rakaman penderitaan yang dirasakan oleh tubuhnya. Rasa sakit dan bisa datang bertubi-tubi membuat Raid yakin penyeksaan ke atas dirinya belum berakhir.

"Tolong! Lepaskan aku!" Raid berteriak panik.

Sekejap kemudian, Raid mendengar derap langkah bergegas masuk. Suara seseorang yang sangat dikenalinya, berkumandang.

"Raid! Ya, Tuhan... Syukurlah kau dah sedar!" Wajah Noah terjengul, berdiri setengah sendeng di hadapan Raid.

"Kenapa ikat aku macam ni? Lepaskan!" bentak Raid penuh prasangka.

"Sabar." Noah memujuk seraya membuka satu per satu ikatan pada tubuh Raid. Lerai semuanya, Raid terburu-buru mahu membalikkan badan tapi rasa pegal seluruh badan, menyebabkan dia mengerang dan nyaris tersungkur.

"Jangan banyak bergerak lagi. Tulang paha, rusuk kau masih dalam proses nak bercantum balik," ujar Noah, pantas memaut tubuh Raid. Anak muda itu didudukkan ke pangkin tepi dinding dengan kaki dilunjurkan.

Baru Raid perasan, kaki kanannya yang patah tulang paha, tidak lagi bersimen, sebaliknya dibungkus dengan kain kasa dan beberapa bilah buluh panjang disusun mengelilingi pahanya menjadi penyangga.

Kemudian, mata Raid liar mengitari suasana. Dahinya berkerut hairan. Dia bukan lagi berada dalam gudang gelap. Tapi dalam sebuah bilik berdinding papan. Semua tingkap terbuka luas membawa angin dari luar. Dari tempat duduknya, dia nampak pokok kelapa melambai-lambai dan terdengar deburan ombak.

"Aku di mana?"

"Pulau Aur."

"Hah? Kenapa kau bawa aku jauh ke sini, Noah? Kau pun terlibat culik aku???" tuduh Raid dengan rasa cuak.

Noah yang baru mahu duduk, tegak semula dengan tangan terus dicekak ke pinggang.

"Aih... Ini boleh mendatangkan marah tok guru! Susah-payah kami angkut kau ke sini, boleh kau tuduh aku culik kau? Kau nak aku patahkan balik tulang paha dengan rusuk kau tu ke?" gertak Noah.

Raid mengernyitkan dahi. Melihat gaya Noah membebel, dia percaya lelaki itu masih waras.

"Tapi kenapa kau ikat aku macam tahanan? Macam nak seksa aku." Mata Raid melirik ke arah katil kayu itu. Kedudukannya yang condong sekitar 45 darjah, tidak semena-mena menimbulkan perasaan ngeri dalam dirinya. Membayangkan dia terdampar di situ dan disebat tanpa ampun.

Noah mengamati air muka Raid yang memucat saat melarikan pandangan dari katil tersebut. Sekaligus Noah dapat membaca ketakutan anak jagaannya itu.

"Kau koma. Luka belakang badan kau teruk sangat. Berkali-kali kami terpaksa jahit semula sebab kebanyakan luka sampai ke otot dan daging. Ada yang merekah dan bernanah dek infeksi. Jadi, kami tak boleh biarkan kau baring menelentang. Penyelesaiannya, kami terpaksa bina katil khas dan ikat kau di situ dalam keadaan telungkup supaya luka kau senang bercantum."

Dahi Raid mengernyit kengerian mendengar penjelasan Noah. Cepat-cepat dia mengesot, mahu turun dari pangkin.

"Eh? Kau nak ke mana?"

"Aku nak tengok sendiri!" desak Raid setengah panik.

Serba salah pada mulanya, namun Noah terpaksa akur melihat kesungguhan Raid lalu membantunya bangun mendekati cermin panjang pada pintu almari. Buat seketika, Raid terpaku melihat tubuhnya sangat kurus. Dengan bertopang tangan pada lengan Noah, perlahan-lahan Raid memutar tubuh.

Demi melihat pantulan dalam cermin, mulut Raid terlopong bersama mata terbeliak. Bokongnya kelihatan sangat mengerikan. Penuh dengan garis dan bahagian rosak yang antaranya dikelim bagai kulit karipap. Cepat-cepat Raid memalingkan muka, dia tidak sanggup lagi menatap kecacatannya. Ketika itu Noah dapat merasakan seluruh tubuh Raid menggigil. Lalu tanpa disuruh, dia menuntun Raid kembali ke pangkin. Setelah duduk, Raid menghela nafasnya yang sesak.

"Jangan rasa malu, Raid. Percaya cakap aku, palau-palau tu akan buat kau jadi kuat," pujuk Noah.

Langsung tidak mengerti maksud Noah, Raid sebaliknya bertanya, "berapa lama aku koma?"

"Dah sebulan."

"Hah?" Raid terperanjat.

"Tapi mujur juga kau koma. Senang sikit Tok De jahit semua luka, masukkan balik tulang paha dan rusuk kau yang patah tu ke tempat asal. Aku rasa kalau kau sedar, harus kau melalak tak henti!" Noah berlawak, cuba mengalihkan perhatian Raid.

"Siapa Tok De?" tanya Raid seraya memandang kakinya yang berbalut.

"Tok guru aku."

Tiba-tiba mata Raid melebar, cebisan ingatannya mulai bercantum.

"Papa... Mana papa? Hari tu lepas orang yang culik aku bawa papa pergi, papa datang semula cari aku. Papa ada di sini?"

Pertanyaan itu menyentak tangkai jantung Noah. Memang tak boleh mengelak lagi. Tidak tahu bagaimana dia harus menjawabnya. Betul dugaannya sebelum ini, Tuan Gilbert yang cedera parah kembali mendapatkan Raid.

Raid terkelip-kelip memerhati gelagat Noah yang menarik keluar kotak rokok dari poket seluar sambil mendekati tingkap. Cara Noah menyedut dalam-dalam dan menghembus asapnya secepat mungkin, menimbulkan curiga dalam hati Raid.

Perasaan Noah sedang kalut!

"Noah! Aku tanya, mana papa?!" Raid mula membentak. Dia berusaha menenangkan jantungnya yang berdebar kencang, saling bergolak dengan rasa takut dan ingin tahu, apa yang telah berlaku sepanjang tempoh dia koma...

Selepas menenyeh puntung rokok pada jenang tingkap, Noah mencampakkannya ke luar sebelum membalikkan tubuh menghadap Raid.

"Papa kau... Dah meninggal dunia."

Khabar yang disampaikan Noah itu, bagai lontaran sebuah bom, memuingkan seluruh hati Raid. Matanya bulat tidak berkelip dengan mulut menganga. Dalam sekilap waktu, air matanya bergenangan.

"Noah... Kau... Tipu aku... Kan?" Tergagap-gagap Raid menanya bersama mata nanar menatap Noah.

Tidak menjawab soalan Raid, Noah beranjak dari tingkap lalu menarik kerusi dari meja berhampiran. Dibawanya mendekati Raid. Noah melabuhkan punggung ke atas kerusi seraya menghela nafas berat.

"Buat apa aku tipu soal hidup dan mati papa kau, Raid?" Wajah Noah serius.

Raid terhenyak. "Kau bohong! Papa jumpa aku! Dia kata nak bawa aku keluar dari tempat tu!"

Noah menghela nafas panjang dan menatap sedih ke wajah Raid.

"Betul... Tuan Gilbert datang cari kau. Tapi sebelum tu dia dah kena tikam..."

Tubuh Raid membeku tegang. Wajah Tuan Gilbert semerta menyergap dalam ingatan Raid. Malah kata-kata Tuan Gilbert, masih segar dalam ingatan ketika datang memeluknya dengan senyum tanpa terlihat sebarang kesakitan.

"Raid Arjuna... Papa dah datang, anakku. Bertahanlah... Kita akan keluar dari sini... Arjuna papa kena kuat semangat!"

"Aku dengar papa suruh aku bertahan. Tapi aku tak berdaya nak jawab papa. Aku rasa nazak sangat masa tu... Bila aku selamat ni... Aku sangka papa..." erang Raid dengan suara tertahan-tahan. Susah payah dia menelan ludah menahan diri daripada menangis.

"Aku yang ikut polis dalam operasi mencari. Kau memang nazak masa tu, sampai polis sangka kau pun dah mati. Tuan Gilbert, terbaring sebelah kau. Dah tahap livor mortis, kaku lebam mayat..." Noah tidak sanggup menjelaskan perkara sebenar, sudah busuk dan berulat di bahagian tikaman.

"Hasil bedah siasat mendapati Tuan Gilbert meninggal kerana kehilangan darah lapan jam selepas ditikam."

Perasaan lara mula menyeruak dalam jiwa Raid, terasa begitu menyakitkan. Jantungnya berdegup sangat kencang, membuat dadanya terasa sesak. Tidak mampu lagi membendung air mata, lalu Raid menumpahkan tangis.

Tidak tergamak melihat Raid menangis tanpa suara, Noah merangkul bahu Raid lalu menepuk-nepuknya, cuba menyalur semangat.

Kemudian Raid memaksa dirinya berhenti menangis. Setelah menyusutkan air mata dengan kedua-dua belah tapak tangan, dia menoleh pandang ke arah Noah.

"Polis dah dapat tangkap semua penculik tu?"

Lambat-lambat Noah menggeleng. "Mereka bijak menutup jejak dan polis tak jumpa sebarang cap jari di kawasan jenayah. Polis mendapati tak ada motif jelas sebab penculikan kau tak melibatkan wang tebusan. Sebab tu polis bingung kenapa Tuan Gilbert dibunuh. Siasatan polis terbantut sebab Engku Marsitah tak berikan kerjasama."

"Mustahil! Bonda tak akan lepas tangan macam tu aje!" tegas Raid enggan mempercayai kata-kata Noah.

Selepas menghembus nafas berat, Noah berkata, "mulanya aku pun pelik. Engku Marsitah macam nak sembunyikan sesuatu. Tapi bila dia suruh aku dan Gambit bawa kau pergi jauh supaya tak ada orang boleh cari kau, kami yakin ada konspirasi sedang berlaku dan dia tak mahu kau dilibatkan."

Beberapa detik Raid terdiam. Namun, jauh dalam sudut hatinya mengeyakan telahan Noah.

"Sabarlah, Raid," pujuk Noah. "Sejak kes pembunuhan Tuan Gilbert, Engku Marsitah asyik tertekan sebab jadi buruan media yang nak tahu perkembangan kes. Banyak urusan perniagaan yang dia kena uruskan."

"Tapi... Dalam keadaan macam ni, sebagai anak, aku tak patut biarkan bonda hadapi semua tu seorang diri. Tolong hubungi bonda sekarang, Noah. Aku nak jumpa bonda, nak minta ampun. Aku nak balik temankan bonda," rayu Raid bersungguh.

Tidak tangguh, Noah mengeluarkan telefon bimbit dari kocek seluar lalu segera mendail nombor Engku Marsitah. Namun panggilannya disambut oleh oleh suara mesin.

"Nombor yang anda dail tidak dapat dihubungi..."

Tidak putus asa, Noah mencuba lagi. Sehingga kali kelima, dia mendesah bersama kerut di dahi memandang Raid lalu menggeleng.

"Aku rasa Engku di luar kawasan."

"Bonda kan selalu dengan Maya. Cuba kau hubungi Maya," usul Raid.

Walaupun yakin Maya juga mungkin tidak dapat dihubungi jika bersama Engku Marsitah, Noah enggan menghampakan Raid. Nombor Maya didail dan kening Noah menjongket saat mendengar panggilannya disahut.

"Helo? Siapa ni?"

"Aku Noah."

"Noah! Ya Tuhan! Awak tukar nombor rupa-rupanya. Di mana awak sekarang?"

Tidak menjawab pertanyaan Maya, Noah segera menyoal, "kau ada dengan Engku Marsitah ke?"

"Eh? Dua tiga hari lepas, dia beritahu saya, dia nak pergi tengok Raid. Bila saya tanya, dia tak nak cakap di mana. Dia pergi dengan Black."

"Kau biar betul, Maya? Dia tak ada beritahu aku pun yang dia nak datang jumpa Raid."

"Oh, maknanya Raid ada dengan awak ke?"

Noah terdiam. Hati sudah mula rasa tidak enak.

"Noah, awak jangan buat saya cemas. Sejak akhir-akhir ni, banyak sangat perkara yang Engku Marsitah rahsiakan dari saya. Dia macam takutkan sesuatu. Lepas tu, dia selalu keluar dengan Black. Saya bimbang..."

"Kau bimbang apa, Maya?"

Terdengar Maya mendesah. "Black ugut dia."

Semerta Noah memutuskan talian. Terus menghubungi nombor Black. Noah tertelan liur saat mendengar suara mesin yang menyahut.

"Kenapa, Noah?" tanya Raid sedikit bingung ketika Noah menatapnya dengan mata nanar.

"Aku rasa... Bonda kau dah hilang."

Seluruh tubuh Raid mendadak kejung dengan mata melebar memandang Raid. Dia baru bangun daripada kehilangan kesedaran yang panjang setelah melalui pengalaman mendekati kematian. Tapi gabungan maklumat buruk itu bagai taufan menggoncang dunianya. Membuat hatinya terasa luluh lantak dan putus asa.

Noah mula cemas apabila menyedari nafas Raid yang pendek-pendek dengan mata membulat berkaca-kaca. Lantas dia menerpa.

"Raid! Jangan takutkan aku. Bangun! Hei, sedarlah!" Noah menepuk-nepuk pipi Raid. Namun Raid tidak menyahut sebaliknya menggeletar.

"Gambittt!!!"

LAUT yang terbentang luas depan mata dipandang kosong. Suasana pulau terpencil ini aman damai tapi tidak mampu menenangkan jiwa Raid yang merusuh. Tidak ada rasa lain yang tinggal dalam hati Raid melainkan kepedihan dan kerinduan paling dalam buat papa dan bonda.

Sesal tidak bertepi...

Kalau tahu hidupnya bakal tragis begini, dia akan berusaha menjadi anak yang patuh.

Kalau dia cakna amaran papa dan bonda tentang musuh di sekeliling mereka, tentu dia lebih berhati-hati.

Kalau dia ambil tahu urusan papa dan bonda...

Memikirkan kalau begitu, kalau begini, sangat meracun hati Raid.

Dari beranda depan rumah, Noah merenung Raid yang duduk berlunjur seorang diri di pangkin bawah pokok. Bersandar pada batang pokok di belakang.

Anak muda itu sudah mampu berjalan berdikit-dikit dengan bantuan tongkat. Sudah boleh mandi dan menguruskan diri sendiri.

"Kau renung apa?"

Noah tertoleh ke sisi. Gambit berdiri di sebelahnya.

Kembali memandang Raid, Noah berkeluh.

"Budak tu..." Noah muncung bibir ke arah Raid. "Aku dah tak tau nak hiburkan dia macam mana."

"Biar ajelah..." sahut Gambit, santai.

Terkejut, Noah lantas memusingkan kepala memandang Gambit. "Kau suruh biar? Kau lupa ke apa jadi pada dia hari tu? Tiba-tiba kena serangan panik. Sekarang dah seminggu dia asyik menung macam orang bingung. Langsung tak nak bercakap."

"Budak hilang orang tua sekelip mata, memanglah bingung jadinya. Macamlah kita tak pernah rasa macam tu?" Gambit mengerling mencari reaksi Noah.

"Lain, Bit... Aku, kau lain." Noah menghela keluh resah. "Kita tahu berdikari. Tapi Raid tu budak manja. Kau sendiri tengok, setiap kali aku sapu ubat ke belakang badan, dia meraung. Nampak sangat otak dia masih fikir kesakitan kena seksa. Itu belum lagi tidur dia yang asyik meracau. Aku takut dia jadi gila aje."

Gambit terdiam sejenak mendengar perkataan gila.

"Selagi kau dan aku ada, dia tak akan jadi macam tu, kut..."

"Susah nak cakap, Bit," keluh Noah panjang sebelum menyambung kata, "sebab sadis sangat apa yang jadi pada dia. Aku sendiri tak sangka, semua ni berlaku sekelip mata. Nasib Engku Marsitah pun kita tak tahu macam mana. Tak tahu siapa musuh sebenar keluarga mereka."

"Hmmm... Kalau ikut rasa hati, aku memang menyampah dengan Engku Marsitah. Suka mengarah dan keras dengan semua orang. Lembut dan sopan bukan sebahagian dari sikap dia. Kadang rasa nak doakan, biarlah dia hilang sampai bila-bila!"

Noah kalih pandang muka Gambit dengan kerut di dahi. Kecurigaan perlahan menyelinap ke dalam hatinya.

"Tapi bila waras, aku sedar, sikap keras Engku Marsitah itulah yang jadi kehebatan dia sebagai wanita besi dalam dunia korporat. Sampai dia mampu mendukung Tuan Gilbert meneraju Gilbert Group menjadi konglomerat terkenal. Tapi sisi baik Engku Marsitah, ramai orang luar tak nampak. Dia wanita yang sangat percaya akan kerja keras dan ketekunan. Dia banyak bantu orang lain sebab berpendapat setiap orang ada peluang yang sama untuk berjaya." Gambit menghembus nafas berat seraya membuang pandang ke arah Raid.

Noah segera menyampuk, "tapi orang-orang macam kita selalu terhalang oleh begitu banyak korupsi. Bukan hanya dalam kehidupan, tapi dari sistem pemerintahan berteraskan kleptokrasi yang dikuasai pula oleh kakistokrasi."

Gambit tersenyum nipis seraya mengangguk setuju. "Dan dia paling suka tolong anak yatim. Jasa dia kepada aku sangat besar. Kalau bukan kerana dia paksa Tuan Gilbert kutip aku, bagi aku makan pakai, bagi aku kerja, suruh ajar Raid, dah lama aku jadi sampah masyarakat. Sekarang ni giliran aku balas jasa mereka. Raid tu amanah mereka. Kita kena jaga Raid elok-elok." Ada lapisan bening nipis pada mata Gambit. Dia terlihat sedikit emosi.

Automatik bibir Noah mengorak senyum penuh kelegaan. Sekarang dia yakin, tidak ada kejahatan berbahaya dalam diri Gambit yang memungkinkan lelaki itu menjadi musuh dalam selimut.

"Eh, aku gerak dululah. Nak pergi ambil Tok De. Dia kata nak periksa tulang paha Raid hari ni." Gambit bergegas menuruni tangga tiga mata depan rumah.

"Tunggu sekejap!" Noah menyeluk kocek seluar dan mengeluarkan sekeping not lima puluh ringgit. Dihulurkannya kepada Gambit.

"Nak buat apa duit ni?" tanya Gambit.

"Alang-alang kau keluar, tolonglah beli lauk basah. Dah tak ada apa dalam peti ais tu aku nak masak."

Gambit terkeruk-keruk kepala sambil duduk atas motor. "Nak beli apa? Bab beli barang dapur ni, aku mana reti. Kalau suruh bertukang, pandailah aku."

"Ala, belilah apa yang patut. Beli sayur lebih sikit pun tak mengapa. Raid dalam pantang lagi, tak boleh makan sembarangan."

"Okey, kapten!" Gambit angkat tabik hormat sebelum menghidupkan enjin motor.

Setelah Gambit berlalu pergi, Noah turun ke tanah mendapatkan Raid.

"Raid!"

Raid tidak menoleh pun.

Berdiri di tepi Raid, Noah bersuara, "jom masuk rumah, kejap lagi Tok De datang." Noah menghulur tongkat.

Raid mengesot ke pinggir pangkin dan menyambut tongkat dari tangan Noah. Begitu hati-hati Raid menjatuhkan kaki kanannya yang berbungkus dengan kain berubat ke atas tanah. Melihat Raid terkial-kial mahu bangun, Noah pantas menghulur tangan. Walaupun tidak bersuara, Raid tetap berpaut pada lengan kekar Noah.

Geleng kepala Noah dek ketegaran Raid mengunci mulut. Betul-betul macam orang bisu lagaknya.

"Boleh jalan sendiri tak ni?" tanya Noah, prihatin.

Cuma sebuah anggukan kecil Raid berikan sebagai jawapan. Tanpa mengendahkan Noah yang masih tercegat memandangnya, Raid menongkat langkah tertatih-tatih menuju ke rumah.

"Tak bercakap tapi tetap tunjuk degil!" getus Noah seraya mengekori Raid.

"Sampai bila kau nak jadi orang bisu?" getus Noah.

Raid buat tidak dengar dan terus masuk ke dalam rumah. Dalam gerakan perlahan dia menjatuhkan badan, duduk menyandarkan diri di tepi tingkap panjang, tempat Tok De selalu mengurut kaki dan dadanya.

Noah muncul dengan muka tidak puas hati di hadapan Raid. "Kau nak aku benam kau dalam laut ke, baru kau nak sedar?" marahnya.

Bersama segala rasa yang bercampur aduk dalam hatinya, Raid mendongak dengan pandangan menantang.

"Aku dah cukup sedar sekarang ni, Noah! Aku sedar aku ni anak tak berguna! Dah tak ada apa yang tinggal pada aku. Hah, tunggu apa lagi? Buang ajelah aku ke laut!"

Tidak cakap banyak, Noah meraih tubuh Raid.

"Eh? Kau nak buat apa ni?" tanya Raid agak panik bila Noah tiba-tiba mengangkatnya.

Tanpa menghiraukan pertanyaan itu, Noah membanting Raid ke bahunya. Terlonta-lonta Raid mahu turun. Tapi dalam keadaan kaki yang masih berbungkus, tubuhnya yang semakin kurus, mustahil bagi Raid melepaskan diri. Apatah lagi tenaga Noah kuat luar biasa macam Badang.

"Apa kau nak buat ni?" teriak Raid dengan memukul-mukul belakang badan Noah.

"Campak kau ke laut!" sahut Noah bersama langkah laju menuju ke pantai.

"Lepaskan aku!"

"Kau yang cabar aku sangat!"

Terbeliak biji mata Raid mendengarnya. Sungguh dia tidak menyangka Noah menanggapi cabarannya.

"Noah! Turunkan aku!" pekik Raid dengan rasa panik semakin menanjak.

"Diam!" bentak Noah mengetatkan cengkaman.

Pada ketika itu, Raid ternampak Gambit yang baru tiba depan rumah bersama Tok De.

"Gambit!!! Tolonggg!!!" pekik Raid.

Terkocoh-kocoh Gambit dan Tok De turun dari motor lalu mengejar Noah yang sudah pun masuk ke dalam air separas betis.

"Hoi, Noah! Kau nak bunuh budak tu ke?!" teriak Gambit.

Tapi percuma, Noah lebih pantas mencempungkan Raid. Akibat terkejut dek tindakan nekad Noah, Raid tidak sempat mengimbangkan badan, terus tenggelam dalam air separas dada.

"Noah oi! Kaki budak tu baru nak baik! Angkat dia balik!" deruah Tok De dari pantai.

Namun Noah hanya tegak memandang Raid bangun tercungap-cungap tapi limbung akibat dipukul oleh ombak. Oleh kerana jatuh tenggelam beberapa kali, Raid semakin hanyut ke bahagian yang lebih dalam. Mula kehilangan tenaga, tangan Raid terkapai-kapai kelemasan.

Gambit meluru lalu menceburkan diri, berenang tangkas mendapatkan Raid. Sebaik sahaja tangannya berjaya menggapai tubuh Raid, Gambit pantas merangkul bahagian dada Raid dari arah belakang dan menundanya naik ke pantai. Sempat juga dia melepaskan pandangan geram kepada Noah.

Langsung tidak terkesan, Noah mengekori.

Gambit membaringkan Raid ke pasir lalu menekan-nekan dada anak muda itu. Bersembur air laut keluar dari mulut Raid, sehingga terbatuk-batuk dia dibuatnya.

"Macam mana rasa kena buang ke laut?" soal Noah sinis.

"Kau dah kenapa?" Gambit bangkit berdiri menghadap Noah. "Kalau mati budak ni, macam mana?"

Noah menancapkan renungan jengkelnya kepada Raid. "Biar dia rasa! Siapa suruh dia cabar aku? Kita punyalah ambil berat pasal dia, tapi dia tak pernah pun nak fikir masa depan dia."

"Dia budak lagi! Fikiran budak baru 19 tahun, yang manja, yang pernah hidup kaya-raya, apa yang kita boleh harapkan?"

"Balik-balik kau nak menangkan dia soal umur. Sebab dia baru 19 tahunlah aku nak dia belajar jadi manusia! Masakan nak tunggu dia dah tua bangka baru nak ajar jadi lelaki sejati?"

"Tapi bukan begini caranya!"

"Habis, macam mana caranya? Terus layan dia macam budak manja? Kau juga yang cakap, dia amanah. Takkan kau nak tengok dia terus lembik macam jantan tak ada telur?!"

"Aku pun tak naklah dia jadi lelaki lembik. Tapi kau kena ingat tujuan kita bawa dia ke sini. Selain sebab nak sembunyikan dia dari musuh orang tua dia, kita nak bimbing dia, supaya dia belajar semua benda dari kita, dari Tok De!"

"Huh, belajar tomoi dengan aku pun sekerat jalan. Lepas tu asyik nak melawan tok guru! Kau harap dia belajar apa lagi? Malam-malam asyik menangis meraung macam budak cengeng!" Noah balik tubuh dan beredar pergi.

"Takkan kau dah mengalah?" Tak puas hati, Gambit mengejar Noah.

"Aku bukan mengalah tapi aku penat tengok dia terus lembik macam tu! Tak guna dia jadi lelaki!"

Raid tiba-tiba merasa ciut menyaksikan pertelingkahan dua orang lelaki bertubuh besar yang pernah bergelar pengawal peribadi keluarganya. Noah dan Gambit telah berjalan ke depan meninggalkan Raid bersama Tok De. Tapi suara perbalahan mereka masih kedengaran.

"Mereka marah-marah, sebab sayangkan kau, bukannya benci," sampuk Tok De apabila melihat Raid menikus.

"Dahlah tu. Mari masuk. Takut kaki kau tu lemau masuk angin pula..."

Raid hanya patuh bila Tok De membantunya bangun.

WALAUPUN tidak mendengar sebarang suara, Noah tahu Raid sedang menangis. Berbaring dalam keadaan mengiring menghadap dinding, bahu Raid kelihatan terhinggut-hinggut.

Selepas diurut oleh Tok De siang tadi, Raid tiba-tiba demam. Gambit terus menyalahkan Noah kerana tegar membenamkan Raid ke dalam air laut. Tok De pun ikut sekali membebel.

Tak ayal, Noah mengeluh dan merapatkan semula daun pintu. Bila dia memutar tubuh, Noah tersentak melihat kemunculan Gambit di hadapannya.

"Hish! Kau ni nak buat aku semaput ke apa?" sela Noah seraya mengurut dada.

"Ala, kalau risau, cakap ajelah. Tak usah curi-curi mengintai dia pula." Gambit mencebik.

"Mana ada!" Noah menafi dengan muka bera. "Saja nak tengok, dia demam lagi ke tidak."

"Dah kebah sikit. Aku paksa dia minum air kelapa muda dua biji."

Noah berkeluh lega.

"Pergilah pujuk dia..."

Kembali pasang tampang serius, Noah meningkah, "buat apa aku pujuk dia? Dia bukannya budak kecil..."

"Hei, kawan... Kau juga yang kata takut dia jadi gila. Jadi, sebelum dia jadi gila, eloklah kita sepakat tenangkan dia..." Percakapan Gambit terhenti dek deringan telefon bimbit Noah.

Melihat nombor yang tertera, Noah segera menyambutnya, berharap akan mendengar berita baik tentang Engku Marsitah. Namun, air muka Noah perlahan-lahan berubah, terus mematikan talian begitu sahaja.

"Engku Marsitah?" tanya Gambit.

Noah menggeleng bersama desahan panjang. "Maya minta kita bawa Raid balik sebab keadaan di Gilbert Group semakin huru-hara. Sekarang ni Maya yang jadi pelaksana syarikat."

"Hah? Macam mana Maya boleh jadi pelaksana? Siapa yang lantik dia? Sedangkan kita semua tahu, walaupun Tuan Gilbert lantik adik Engku Marsitah jadi naib presiden Gilbert Group, Raid tetap pewaris tunggal yang teruskan legasi."

"Memang Raid pewaris tunggal tapi semua orang pun tahu yang dia tak berminat dan tak pernah terlibat dalam urusan syarikat. Mungkin ahli lembaga pengarah ada buat kesepakatan sebab Maya yang banyak menguruskan Engku Marsitah. Tentulah Maya lebih arif selok-belok syarikat berbanding Raid yang tak tahu apa-apa."

"Habis tu, tak ada gunalah kalau kita bawa Raid balik ke sana?" Gambit mengeluh.

"Aku nak balik ke sana!"

Suara Raid mengejutkan Noah dan Gambit. Mereka bingkas menoleh dan mendapati wajah sembab Raid tersembul dari balik daun pintu.

"Raid, kau masih belum pulih sepenuhnya. Biar kami aje yang ke sana tengok apa yang berlaku," ujar Gambit.

"Noah selalu kutuk aku jantan lembik," kata Raid tapi tidak memandang Noah yang mendesit akibat disindir.

Namun Noah dan Gambit kemudiannya terdiam melihat sinar mata Raid yang membara.

"Aku tak lembik! Bawa aku balik. Aku akan buktikan kepada semua orang yang aku, anak Tuan Gilbert boleh teraju Gilbert Group!"

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro