Bab 5
SETELAH murca agak lama, Raid tersentak jaga apabila merasai kesakitan tiba-tiba menyengat bokongnya. Dia berteriak bersama mata terbeliak tapi suaranya terperangkap di sebalik plaster yang tertampal di mulut.
Bersama rasa sakit yang maha dahsyat, perlahan-lahan Raid mengumpulkan nyawa. Saat itu dia menyedari yang kedua-dua belah tangannya diikat merentang dalam keadaan berdiri. Bahunya terasa amat ngilu. Apabila menunduk, dia mendapati simen pada kaki kanannya, meretak. Kedua-belah kaki terasa nyeri. Tulang rusuknya pula mencucuk kulit dada dari dalam. Sakitnya tidak terucap.
Bola mata Raid berputar perlahan mematai keadaan sekitar. Hanya satu lampu sorot tertumpu kepada Raid dari atas kepalanya. Cahaya yang cuma tersebar dalam radius tidak sampai dua kaki, membuat Raid dipagari kegelapan pekat. Perasaan gentar tiba-tiba menguasai Raid saat menyedari adanya kehadiran manusia. Entah berapa ramai tapi Raid tahu dia sedang menjadi bahan tontonan mereka.
Noahhh... Entah mengapa, Raid hanya teringatkan Noah. Selama ini Noah yang selalu melindunginya daripada sebarang marabahaya. Bila lelaki itu tiada di sisi, Raid jadi kimput.
Tiba-tiba, dari arah kegelapan, Raid nampak kelibat seseorang mara. Tapi orang itu berhenti sebelum bias cahaya lampu menjamah wajahnya.
"Noah?" seru Raid di hujung asa. Benar-benar mengharapkan Noah yang muncul.
"Hah? Siapa? Noah? Oh, itu nama malaikat pelindung kau ya?" Satu suara parau yang bergetar nadanya, ketawa mengejek.
Bukan Noah! Raid langsung terdiam. Puas dia mencerunkan mata tapi masih tidak dapat melihat siapa di hadapannya.
Satu tangan besar bersarung serba hitam terjulur, meraih hujung plaster di mulut Raid. Dengan satu sentakan, dia menarik plastik itu. Raid berteriak kesakitan.
"Bos! Orang tua ni tak percaya anak kesayangan dia ada dalam tangan kita!" Suara seorang lelaki lain berkumandang.
"Tak guna! Dia fikir kita main-main ya?!"
"Bunuh dan hantar mayat anak dia ni depan rumah dia! Biar laki bini tu tahu rasa akibat menentang kita!" Suara lain pula menyampuk.
"Kita tak perlu susah payah bunuh budak ni. Biarkan saja dia mati mereput di sini! "
Raid tersentak. Seluruh tubuhnya gementar mendengar gelak tawa mereka. Seolah-olah kematiannya nanti adalah bahan lelucon mereka.
Suasana jeda seketika. Hanya terlihat cahaya dari skrin sebuah telefon bimbit di tangan seseorang.
"Gilbert!"
Raid menoleh ke arah suara yang menyeru nama ayahnya itu. Tapi tetap dia tidak dapat meneka siapa gerangannya.
"Kau dah tak sayang anak ke? Nak tunggu berita mayat anak kau ditemui reput?"
"..."
"Kau masih tak percaya? Tunggu!"
Setelah sunyi beberapa saat, skrin telefon bimbit terhala ke depan muka Raid. Sang pemanggil membuat panggilan video untuknya.
Wajah Tuan Gilbert terpapar. Membelalak pandang Raid yang kelihatan memar berdarah dari muka sampai ke hujung kaki.
"Raid Arjuna?!" panggil Tuan Gilbert begitu cemas.
Tidak sempat Raid menyahut.
Zasss!!! Satu libasan hinggap di belakang badan membuat Raid berteriak panjang akibat rasa bisa menjalar dan terperanjat diserang tiba-tiba.
Tuan Gilbert hilang kata beberapa saat melihat alat yang digunakan untuk menyebat Raid. Tali panjang yang hujungnya dikat dengan bilah tajam.
Kepala Raid terlentok ke sisi. Mulutnya mengerang panjang. Mata layunya memandang sayu Tuan Gilbert mengharap simpati.
"Paaa... Bonda... Tolong... Raid janji... Tak lari lagi..."
Suara serak Raid menghiba hati Tuan Gilbert. Engku Marsitah di belakangnya menekup mulut sendiri dan kemudiannya kelihatan melonglai disambut oleh Noah dan Gambit.
Zasss! Satu sebatan singgah lagi. Sontak Raid melolong kesakitan. Air matanya berurai menanggung azab merasakan isi belakang badannya terbelah. Matanya membeliak dengan nafas tersekat-sekat.
"Hentikan!" pekik Tuan Gilbert.
Namun, bagai sengaja mahu Tuan Gilbert menonton seksaan ke atas Raid, sang pemanggil membiarkan skrin terus terhala ke depan.
Sebatan demi sebatan singgah di belakang badan Raid tanpa ampun biarpun berkali-kali Tuan Gilbert meminta mereka berhenti. Raid meraung sampai suaranya tidak terkeluar lagi, tersekat di celah rengkung. Keringat membasahi tubuhnya, menambah bisa pada luka-luka yang menganga. Sengsara dek kesakitan tidak tertanggung membuat isi fikiran Raid mula tergawang memikirkan kematian. Azabnya rasa sakit membuat mata Raid mula memutih.
Raid semakin meloyo dan tulang tangannya terasa seperti mahu tercabut dari sendi. Kedua-dua belah kakinya tidak berdaya lagi menunjang tubuh. Kesakitan melampau, membuat Raid hilang kendali diri. Penderitaan itu melumpuhkan wilayah otaknya, membuat sfinkter anus mula hilang kawalan. Lalu air seni dan endapan dari perut meleleh bersama darah mengotori kakinya.
"Hentikan... Aku mohon!" rayu Tuan Gilbert bersama linangan air mata. Tangannya terkepal keras menahan rasa sakit hati melihat Raid diseksa.
Baru si legojo berhenti menyebat Raid. Telefon bimbit beralih semula ke kawasan gelap.
"Aku nak kau sendiri datang sini tebus anak kau. Dan kalau kau nak tengok anak kesayangan kau hidup lagi, datang seorang diri! Kalau kau lapor pada polis atau suruh kuli batak kau ikut jejak kau... Jangan harap kau dapat jumpa anak kau lagi!"
Suara itu makin bergaung di telinga Raid. Sekejap kemudian, Raid tidak sedarkan diri lagi.
"HOI! Bangun!"
Teriakan itu diiringi simbahan air ke muka, menyentap Raid daripada pengsan. Tercungap-cungap Raid mencari udara buat bernafas. Rongga hidungnya dipenuhi bau darah sendiri.
Dari balik kelopak mata yang layu, Raid melihat kegelapan yang sama di sekelilingnya dengan cahaya lampu tetap menyorot padanya seorang. Entah malam atau siang, tidak ada bezanya bagi Raid.
Walaupun sudah kembali jaga, Raid tidak berdaya berdiri dengan betul. Lapar, dahaga dan sakit membuat dia terkelepai. Lemah tidak bertenaga, hatta mahu mengeluarkan suara pun rasa tidak mampu lagi.
"Sekejap lagi bapak kau datang. Berdoalah supaya bapak kau sanggup menebus kau!" Suara itu berkumandang dari dalam kegelapan.
Namun Raid tidak berdaya untuk menyahut. Dalam kepala hanya terfikirkan mati! Walau dia tahu papa sanggup mengorbankan seberapa banyak wang ringgit demi nyawanya.
Jangan-jangan aku akan mati sebelum papa sampai... Raid merintih dalam hati.
Dalam keadaan separuh sedar, Raid mendengar suara bising. Saling berteriak dan membentak. Sehingga akhirnya sesusuk tubuh terhambur di depan Raid.
"Arjuna papa!"
Kepala Raid terangkat sedikit.
"Pa? Papa!"
"Ya, Raid Arjuna... Ini papa. Ya Tuhan... Apa mereka dah buat pada kamu?" Menggeletar Tuan Gilbert menangkupkan tangan pada pipi Raid.
Perih matanya melihat wajah Raid lebam dengan bibirnya mengelupas teruk. Segera Tuan Gilbert memeluk Raid, mengangkatnya lebih tinggi agar dapat mengendurkan ketegangan pada kedua-dua belah tangan Raid yang sekian waktu terikat ke atas. Bau pesing dan hanyir yang menguar dari tubuh Raid tidak dihiraukan langsung.
Tuan Gilbert menalakan pandangan ke arah kawasan gelap di hadapannya.
"Aku datang seorang diri macam yang kau nak. Sekarang, bebaskan anak aku!" tegas Tuan Gilbert tanpa melepaskan Raid dari pelukannya.
Suara ketawa berdekah-dekah menyambut permintaan Tuan Gilbert.
"Tak semudah itu, Gilbert. Aku hanya akan bebaskan putera kesayangan kau tu, lepas kau sain dokumen ni!" Satu tangan terjulur, menyuakan sebuah fail ke depan muka Tuan Gilbert.
Berkerut dahi Tuan Gilbert memandangnya.
"Dokumen apa ni?"
"Jangan banyak tanya lagi! Pilihlah, tandatangan semua dokumen ni atau nyawa kau berdua melayang."
Ugutan itu benar-benar membuat Tuan Gilbert dalam dilema. Tuan Gilbert merenung Raid. Anak itu kembali memejamkan mata dan mengerang berpanjangan tanda dia sedang merana dek kecederaannya. Sebagai seorang ayah, Tuan Gilbert tidak sanggup melihat satu-satunya anak yang dia punya, menderita sedemikian rupa.
"Baik... Aku akan tandatangan. Tapi tolong lepaskan ikatan anak aku. Jangan seksa dia lagi." Tuan Gilbert mengalah.
Zinggg! Libasan pedang memutuskan tali yang mengikat tangan Raid. Bagai buah jatuh dari pohon, Raid meluruh dalam pelukan Tuan Gilbert.
Mata Raid terbuka perlahan ketika Tuan Gilbert membaringkannya ke atas lantai. Cahaya lampu menuju mata, menghalang Raid melihat wajah Tuan Gilbert dengan jelas.
"Papa... Maafkan Raid..." pinta Raid, menatap siluet Tuan Gilbert yang sedang berjongkok di sisinya.
"Raid Arjuna tak salah... Anak papa tak tahu apa-apa. Papa yang salah. Bertahanlah... Anak papa kena kuat." Tuan Gilbert mengucup dahi Raid.
"Ah! Tak payah buat drama di sini! Lepas kau tandatangan semua isi fail ni, peluk ciumlah Arjuna kau tu puas-puas!" Suara itu membentak.
Kelibat-kelibat lelaki bertubuh sasa, mara menarik Tuan Gilbert. Raid ingin menghalang tapi otot dan sendinya kejang. Dia hanya mampu memandang Tuan Gilbert dibawa pergi.
Sepanjang pemergian Tuan Gilbert, fikiran Raid melayang-layang. Dia bahkan punya perasaan tubuhnya melebur di atas lantai dingin dan lembab itu. Berkali-kali dia tertidur dan kembali terjaga oleh rintihan yang keluar dari mulutnya sendiri. Raid merasa jiwanya bagai terbahagi dua. Satu masih bertahan dalam tubuhnya, satu lagi melayang di sekitar, mendengar erangan yang keluar dari mulutnya.
Entah berapa lama sejak ditinggalkan, telinga Raid mendengar suara Tuan Gilbert bergema memanggil namanya. Dia nampak wajah papa di hadapan matanya. Dia cuba berkata-kata tapi suaranya tidak terkeluar. Seluruh tubuhnya bagai mati rasa. Saat itu Raid tahu dia semakin nazak.
Papa! Raid tak mahu mati! Batin Raid berteriak. Air mata mengaburi pandangannya. Makin kelam dan terus menghitam.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro