Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 3

"GAMBIT kata, jalan ditutup. Sebab itulah ketika kemalangan berlaku, tak ada orang lalu di situ."

"Kurang ajar! Maknanya, mereka memang sengaja nak kenakan Raid!"

"Polis kata apa?"

"Kemalangan biasa. Kebocoran minyak dari tangki sebelum terbakar. Tapi aku yakin, Raid tahu apa sebenarnya yang dah berlaku di situ. Dan... Aku minta maaf, tuan... Kerana terlambat menjejaki Raid."

Suara-suara itu kedengaran begitu dekat di telinga Raid. Namun, payah sungguh rasanya dia hendak membuka mata. Dia cuba menggerakkan tangan yang terasa pegal.

"Tuan! Engku! Raid dah sedar!"

"Raid Arjuna!"

Terasa ada tangan memegang mukanya. Raid berusaha keras membuka mata. Secercah cahaya masuk melalui celah kelopak matanya yang hanya mampu dibuka layu. Namun, pandangan Raid masih mampu menangkap jelas wajah papa, bonda dan Noah di sisinya.

Bau ubat menusuk hidung, dengan wayar berselirat pada tangannya, buat Raid sedar yang dia kini selamat terlantar di hospital. Ada rasa lega menyelinap dalam hatinya.

Tuan Gilbert meraup tangan ke muka seraya berseru.

"Syukurlah, Arjuna papa dah sedar..."

Raid memaksa bibirnya mengorak senyum. Terasa perit. Ada luka di sudut bibirnya.

"Raid, beritahu bonda siapa buat Raid macam ni?" Engku Marsitah mendesak. Tanpa sedar tangannya mencengkeram bahu Raid.

"Sayang, sabar sikit. Anak kita baru saja sedar." Tuan Gilbert segera meraih Engku Marsitah, menjarakkan dari Raid yang kelihatan mengernyit sakit.

"Macam mana saya boleh bersabar? Sudahlah majlis kahwin tak jadi. Sekarang dia pula cedera teruk. Kalau dia tak lari, dia tak akan kena teruk macam ni!"

"Sayang, saya rasa dalam keadaan Raid sekarang ni, awak tak patut bangkitkan soal perkahwinan itu lagi. Kita bincangkan kemudian."

"Bincang kemudian? Bila? Nak tunggu Raid pulih? Sebulan dua lagi pun belum tentu Raid pulih macam biasa dan boleh kahwin dengan Faiznur!"

"Kalau tak jadi kahwin pun tak mengapalah. Dari awal lagi, saya tak setuju kita campur adukkan urusan keluarga dengan business. Tapi awak..."

"Ya, saya tahu. Tapi itu aje cara terbaik untuk elakkan kita dan Sheikh Edruce jadi musuh. Awak sendiri tahu kan, semakin kita berkuasa dalam dunia perniagaan, politik pula tak akan biarkan kita terus nikmati kesenangan macam tu aje. Hanya Sheikh Edruce boleh berikan kita laluan mudah dalam urusan melibatkan lesen kerajaan. Tapi kalau Raid dan Faiznur tak jadi kahwin, tentu mereka kata kita tamak haloba dan awak dituduh anti Melayu!"

Raid mendesah berat antara rasa kesal dan sakit yang menohok sekujur tubuhnya. Dalam keadaan dia sakit tidak mampu bangun pun, bonda masih memikirkan tentang perniagaan dan dia yang menjadi korbannya.

"Fai... rel..." Susah payah Raid menyebut nama itu.

"Apa? Fairel?" Mata Engku Marsitah membelalak. Berkerut-kerut dahinya kerana nama itu sangat dikenalinya. "Raid jangan nak kata ini kerja Sheikh Fairel, abang Sheikha Faiznur!"

Tiada daya lagi menjawab dengan kata-kata, Raid mengerjapkan mata beberapa kali tanda mengeyakan.

"Tak mungkin!" Engku Marsitah menafi.

Raid tetap mengangguk dalam kepayahan dibedung penyangga leher.

"Tengoklah, belum apa-apa lagi, anak mereka dulu yang cari pasal dengan kita!" keluh Tuan Gilbert.

Engku Marsitah termati kata. Sukar hendak mempercayai pengakuan lisan Raid. Tapi sebagai ibu kandung Raid, tentulah nalurinya tercuit juga. Kalau betul Fairel yang mencelakakan Raid, rancangan perkahwinan itu tidak sepatutnya diteruskan lagi.

"Sayang! Kita kena jumpa keluarga Edruce!" Dengan sigap Engku Marsitah menarik tangan Tuan Gilbert.

"Aku ikut sekali?" tanya Noah.

"Tak perlu! Kau jaga Raid! Dia perlukan perhatian khusus daripada doktor dan jangan benarkan sesiapa pun masuk!" perintah Tuan Gilbert sebelum pergi bersama Engku Marsitah.

Sepeninggalan mereka, Noah duduk pegun di sisi katil Raid. Memerhatikan Raid yang sesekali kelihatan terengah-engah mengatur nafas. Cedera di tengkuk, patah tulang rusuk bahagian bawah sebelah kiri, patah paha kanan dengan luka dan memar seluruh badan, sudah cukup membuktikan kecederaan yang dialami oleh Raid itu akibat dipukul orang, bukannya kerana kemalangan motor.

"Noah..." panggil Raid dengan suara serak seraya cuba menggerakkan tangannya.

Noah bingkas mencegah. "Jangan banyak bergerak. Kau baru dibedah."

"Le... laki tu... Macam mana... Dia?"

"Dia..." Noah tidak segera meneruskan bicara. Ditatapnya Raid dengan pandangan kesal. Setelah menghela nafas panjang, Noah menyambung, "dia kritikal."

"Aku... Nak tengok dia..."

"Tak boleh. Dia masih dalam ICU. Tengoklah keadaan kau sendiri pun teruk. Kau tak boleh bangun!"

Tidak menghiraukan batang lehernya yang cedera, Raid menggeleng-geleng bersama mata dikerjap berulang kali.

"Aku... Nak minta maaf... Aku tak mampu... Selamatkan ibu bapa dia... Tolonglah, Noah... Bawa aku jumpa dia... Aku nak minta maaf..." Rasa bersalah yang mengasak dalam dada, mendorong Raid supaya berusaha bangun.

"Demi Tuhan, Raid! Jangan degil lagi! Aku tak tahu macam mana kau boleh terlibat dalam kemalangan dengan keluarga dia. Tapi tolonglah... Tunggu keadaan kau dengan dia membaik, barulah bersemuka."

Secara mendadak, air mata mengalir deras dari sudut mata Raid tatkala momen tubuh pasangan suami isteri itu yang terbakar dalam kereta, anak lelaki mereka yang digilis oleh kereta Fairel, kembali bergentayangan dalam benaknya. Dia menangis teresak-esak membuat Noah menatapnya kebingungan.

"Raid! Hei... Kenapa dengan kau ni?"

"Aku... Dah cuba... Nak tolong mereka... Ta...piii...Fairel... Datang. Dia... Jatuhkan puntung rokok... Bakar...Dan... Langgar..." Terpatah-patah Raid berkata.

Noah langsung terdiam namun hatinya menggeram. Dia hanya mengenal nama Sheikh Fairel sebagai anak sulung Sheikh Edruce dan tidak pernah bertentang mata. Kalau betul apa yang menimpa Raid ini adalah angkara Fairel, maka lelaki itu wajar dimasukkan dalam senarai musuh Raid. Yang perlu diawasi dari segenap sudut.

Mendengar rintihan Raid, Noah akhirnya mengerti mengapa Raid kelihatan begitu terbeban.

"Raid, dengar cakap aku. Sekarang ni, kau rehatlah dulu. Bila dia dah sedar nanti, aku sendiri yang akan bawa kau berjumpa dengan dia."

Mendengar jaminan dari orang yang paling dipercayainya itu, barulah Raid mampu menghembus nafas lega.

NOAH sedang menyudukan bubur ke mulut Raid ketika pintu bilik dibuka secara tiba-tiba dari luar. Seorang gadis manis muncul, bagaikan dewi dari kayangan.

Pakaian jenama mahal membalut tubuhnya dengan cukup elegan dan berkelas. Kening hitam melengkung cantik bersama hidung terbentuk mancung. Raut wajahnya cukup klasik dan indah, dibingkai oleh tudung sutera warna biru lembut. Tidak ubah seperti puteri Arab.

"Siapa benarkan kau masuk, Cik Sheikha Faiznur Sheikh Edruce?" soal Noah. Sengaja Noah menyebut nama penuh gadis itu, sekaligus membuat Raid segera tahu siapa gerangannya.

"Aku dah minta izin daripada bonda untuk melawat Raid. Lagipun, sebagai tunang, tak salah aku jumpa dia, kan?" jelas Faiznur dan langsung mengarahkan matanya tepat kepada Raid di atas katil.

Tanpa digamit sesiapa pun, Faiznur merapati katil. Bola mata Raid berputar cuba melarang Noah daripada bangun meninggalkannya.

"Tak apa..." Noah menekap tangan ke puncak kepala Raid. "Ini peluang kau bercakap dengan dia. Aku tunggu di luar. Panggil aku kalau dia macam-macam dengan kau." Sebelum keluar, sempat Noah mengerling tajam ke arah Faiznur. Memberi amaran kepada gadis itu.

Akhirnya Raid bertentangan mata buat pertama kalinya dengan Faiznur. Entah mengapa ada rasa tidak nyaman sedang menyelimuti hati Raid. Lebih-lebih apabila melihat Faiznur tetap berdiri kaku menatapnya dengan mata tidak berkelip.

Faiznur sebenarnya terpegun rupa paras Raid di depan mata. Orangnya lebih indah dari gambar. Walaupun sebahagian muka pemuda itu dipenuhi guratan luka tapi Raid tetap berbaloi untuk ditatap sepuasnya. Ketampanannya sangat eksotik dan menyolok sehingga kecederaan pun tidak mampu menahan pesona pemuda itu.

"Kalau awak tak lari, tentu awak tak jadi macam ni."

Tutur kata Faiznur lembut namun perkataan 'kalau' itu terasa menghiris hati Raid. 'Kalau tak lari' yang memungkinkan banyak perkara.

'Kalau tak lari', dia tidak akan dicegat oleh Fairel dan insan-insan malang itu juga tidak perlu mati.

'Kalau tak lari', dia akan jadi suami pada usia muda... Kepada perempuan yang tidak diidamkannya...

"Kau... Nak apa sebenarnya?"

Perasaan kecewa terasa begitu mencengkam jiwa Faiznur ketika mendengar nada ketus itu. Ternyata Raid tidak tertarik langsung kepadanya.

Akhirnya Faiznur menarik kerusi lalu duduk sopan menghadap Raid biarpun pemuda itu lebih senang menatap siling dengan mata bengkak sebelahnya.

"Bonda ada datang jumpa keluarga saya."

Raid langsung tidak menggubris walau dia tahu Faiznur cuba memancing perhatiannya dengan senyum manis.

"Saya terima hakikat yang pernikahan kita terbatal. Tapi saya tak boleh terima bila awak tuduh abang saya penyebab kecelakaan ke atas awak. Tak ke awak terfikir apa yang berlaku adalah kafarah kerana awak melarikan diri dari majlis kita?"

Kafarah? Kalau ini kafarah untuk aku kerana tinggalkan majlis kahwin, kenapa mesti nyawa orang lain yang melayang? Raid pejamkan mata rapat-rapat bersama helaan nafas panjang. Tidak ada daya mahu berhujah dalam kondisi lasat.

"Raid Arjuna..." Suara Faiznur melunak.

Terasa jemari Faiznur melekap di pipinya. Mata Raid semerta terbuka lebar, langsung bertemu pandang dengan mata Faiznur yang basah.

"Sekalipun awak ditakdirkan cacat, saya tetap sudi terima awak sebagai suami..."

"Kalau... Ditakdirkan... Aku cacat sekalipun..." Raid menarik nafas dalam-dalam sebelum menoleh ke arah Faiznur dan menyambung bicaranya, "aku... Tak ingin menikahi kau! Kau bukan perempuan yang aku suka!" Mata Raid terjegil.

Dada Faiznur bergelombang hebat. Sungguh, Raid telah mengoyak hatinya dengan lidah yang tajam mengalahkan mata pedang.

"Saya ikhlas nak terima awak sebagai suami, tapi kenapa awak sombong sangat?"

"Satu hal... Yang aku kesalkan..." Raid menatap Faiznur. Tanpa sedar matanya memancarkan kebencian.

Faiznur terpaku menanti lanjutan kata-kata Raid.

"Kalaulah kau tolak lamaran bonda aku... Semua ni... Tak akan... Terjadi!"

"Jadi, awak nak salahkan saya?"

"Kaulah... Puncanya!"

"Raid! Awak tak boleh salahkan saya seorang. Saya hanya menurut perintah orang tua kita!" Faiznur jelas mengelak daripada mengakui bahawa dia bersetuju kerana ketampanan Raid melalui gambar yang disuakan oleh Engku Marsitah.

"Kalau bonda awak tak pinang saya, semua ni tak akan terjadi!"

"Kalau... Lagi-lagi... Kalau... Aku... Benci... Dengar perkataan tu! Kau tahu tak?!"

"Sebab, kalau awak akur perintah ibu bapa, awak tak akan tanggung kesengsaraan ni!"

"Di... ammm!!!"

Faiznur menganjal bangun dek terkejut mendengar bentakan keras Raid.

Noah meluru masuk, terus menerpa Raid. "Ada apa?"

Terketar-ketar tangan Raid menuding Faiznur.

"Suruh... Dia pergi! Aku... Benci dia!!!"

Pandangan Noah lurus ke arah Faiznur. "Kau dengar sendiri, kan? Jadi, sila keluar dengan segala hormatnya."

"Tapi..." Faiznur masih enggan berganjak.

"Pergiii!!!" teriak Raid.

Buru-buru Faiznur menyingkir bersama rasa sakit bukan kepalang dalam hati.

"Sabar, Raid..."

"Aku... Benci dia!" Raid teresak. "Kalaulah bonda fikir... Perasaan aku..." Raid tidak mampu meneruskan kata.

Sekarang Noah sedar, betapa perkataan 'kalau' itu telah membuka segala macam pintu... Kesedihan, penyesalan dan kebencian yang pasti sukar untuk dinyahkan dari hati Raid.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro