Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 1

Prolog 1

JASAD itu tersandar di kerusi dengan darah mengucur dari lubang di dahinya. Masih segar menguarkan bau menyengat seperti logam ke udara, tanda baru sahaja ditembak. Raid segera mundur bersama makian perlahan. Namun darahnya tiba-tiba berderau dan menyedari ada bahaya menanti di belakangnya.

Sepantas kilat Raid memutar badan dengan siaga. Tapi pandangannya bertemu dengan seorang lelaki yang sedang mengacukan pistol dilengkapi modulator bunyi 9mm ke arahnya. Tindakan refleks, Raid berundur setapak namun ekspresi wajahnya masih tetap tenang.

"Raid Arjuna... Lama tak jumpa," sapa seorang lelaki bersama pandangan sinis.

Raid tetap mematung dengan wajah sama sekali tidak memperlihatkan adanya emosi. Dia tidak mengenali lelaki itu tapi segera menyedari sesuatu. Lalu dia terus mendiamkan diri apabila dua orang lelaki berpakaian preman keluar dari pintu di sebelah kanan ruang pejabat. Seorang botak, seorang lagi berbadan besar bak Badang. Akur arahan menerusi mata lelaki itu, mereka terus mencengkeramnya.

"Raid Arjuna yang malang! Jutawan kambing!" Lelaki berpistol itu mentertawakan ayatnya sendiri. "Jangan takut kami bukan nak bunuh kau. Cuma nak jadikan kau kambing hitam." Renungannya penuh ejekan.

Saat itu Raid sedar, dia dijebak. Patutlah lelaki itu lengkap bersarung tangan. Telinga Raid menangkap bunyi siren sayup-sayup di bawah sana. Tidak! Dia harus melepaskan diri. Secepatnya.

Ketika lelaki berpistol itu bergerak mendekati, dengan gerakan pantas, Raid melayangkan kaki kanannya ke arah tangan lelaki itu. Pistol terlepas dari tangannya dan terpelanting ke tepi. Tanpa buang-buang waktu, Raid mengayun kaki kiri membuatkan lelaki itu terjengkang jatuh bersama suara kesakitan.

Kelajuan serta kelincahan pergerakan Raid sangat mengejutkan dua lelaki yang memegangnya. Raid memutar kedua-dua belah lengannya serentak. Cengkeraman automatik terlepas. Sekarang ganti dia yang mencekal lengan mereka. Dengan kekuatan penuh, Raid melagakan kepala kedua-duanya. Berdetup bunyinya membuat mereka sempoyongan menjauh bersama erangan sambil memekupkan tangan ke kepala.

Kemudian, Raid meloncat, membuat tendangan tornado 360 darjah melibas kepala si botak. Darah tersembur dari mulut lelaki itu. Tidak sempat melolong pun, si botak roboh tidak sedarkan diri lagi.

Si Badang cuba menyerang pada saat Raid terpandang ketua mereka dalam keadaan merangkak, sudah berjaya mencapai pistol dan mengangkatnya dengan sebuah gerakan cepat. Bunyi berdecut-decut tertangkap di telinga Raid tepat ketika dia menarik Si Badang menjadi taming tubuhnya. Sebutir daripada peluru yang melesat nyaris menyambar cuping telinga Raid. Saat tubuh Si Badang mulai melemas, Raid tahu lelaki itu sudah putus nyawanya. Lalu Raid menolak Si Badang sebelum menendang keras bokongnya. Si Badang roboh, menghempap si ketua.

"Arghhh! Celaka kau, Raid!!!" Lelaki itu berteriak.

Secepatnya Raid bergegas keluar dari situ. Sambil berlari di lorong panjang bertingkap kaca, Raid mengeluarkan telefon bimbit lalu cuba menghubungi pemandunya. Panggilannya tidak bersahut.

Sudah tidak ada masa lagi, Raid menerjah pintu tangga kecemasan sambil menghubungi seseorang. Sebaik sahaja panggilannya bersahut, dia berseru.

"Masalah besar! Tolong balik secepat mungkin. Cari Isfan! Aku rasa polis dah cekup budak tu!" Raid memutuskan talian dan meloncat ke atas besi bulat selusur tangga beralaskan paha dan menggelosor turun.

Dia berhenti di tingkat lima kerana merasa senak di bahagian perut. Keningnya mengerut sambil tangan meraba. Terasa basah. Sejenak dia berkeluh. Mujur kemejanya biru gelap dan jasnya hitam pekat. Jas dibutangkan. Dia harus mengolah nafas, mengencangkan otot perut supaya pendarahan terkawal. Berlagak tenang, dia keluar dari situ. Terus berkejar menyertai beberapa orang yang berpapasan keluar masuk lif.

Ketika pintu lif terbuka, Raid dapat melihat beberapa orang polis mula memasuki ruang lobi. Raid segera menyelinap keluar, membaur bersama beberapa orang dan kemudiannya melencongkan langkah. Terus bergegas ke pintu belakang sambil menghubungi seseorang.

"Yasmin, ada di mana? Kau kena tolong aku. Tak, Noah di Penang. Gambit di ladang. Ah, aku tak ada masa nak cerita. Cari aku di bangunan sebelah The Great SOFO. Sekarang! Itu pun kalau kau nak tengok aku hidup lagi!"

RUANG parkir bawah tanah itu agak sepi. Raid berdiri diam di sebalik tiang, memejamkan mata sambil berzikir dalam hati buat mengurangi kesakitan. Tapi indera dengarnya tetap dipertajamkan. Siren polis masih berkumandang di luar sana. Mungkin ambulans juga telah tiba.

Lengan kanan Raid tidak bergerak daripada melingkari perutnya, cuba bertahan dengan tenaga dalam. Tapi dia semakin kelelahan. Ototnya terasa semakin lemah dan dia dapat merasakan darah hangat menderu keluar. Darah sudah menembusi jas yang dilipat buat menekap bahagian luka. Terdengar decitan tayar kereta berhenti serentak dengan getaran telefon bimbitnya. Raid segera menekapkan ke telinga.

"Aku dah sampai."

Tidak menjawab, Raid segera keluar dari tempat persembunyian. Sebaik sahaja Raid masuk ke dalam kereta, gadis itu terus memandu keluar.

"Apa kau buat sampai terpaksa menyorok ni?" tanya Yasmin lalu menoleh sebelum dia terbelalak melihat Raid menyelak kemeja. Lubang di sisi perut lelaki itu sedang mengalirkan darah, sekejap kelihatan laju, sekejap bagaikan terhenti.

"Raid! Siapa tembak kau siang buta ni??? Astagaaa! Aku nampak ada ambulans depan bangunan The Great SOFO. Kenapa kau..."

Raid pantas memancung bebelan Yasmin. "Aku sepatutnya jumpa Dato Krishna. Tapi dia dah mati kena bunuh waktu aku sampai."

Semerta Yasmin terdiam.

"Habis tu kenapa kau lari?"

"Yang bunuh dia tu polis bogeyman!" getus Raid. "Tiga orang. Ketuanya aku tak kenal. Tapi aku rasa macam familiar."

"Okey, aku faham. Mereka cuba nak perangkap kau! Dasar celanat!" Yasmin menghentak stereng.

Raid tertawa kepayahan sebelum meringis. "Tolong hantar aku balik ke emper."

Yasmin tertoleh dengan mata membulat. "Kau nak mati ke???" Melengking suaranya. "Aku tahulah kau ada doktor peribadi. Tapi..."

"Kau pun tahu kena..."

Giliran Yasmin memangkas kalimat Raid. "Ya, aku tahu... Sebab kau penakut! Aku bawa kau ke hospital!"

"Yasmin Qawlah Azwar! Jangan degil boleh tak?"

"Kau tu yang degil. Dah pucat nak mati pun masih keras kepala! Ah, tak kira! Aku tetap bawa kau ke hospital!"

Raid mendesah tapi tiada daya mahu bertengkar.

"Jangan risau. Kali ni biar aku yang jaga kau. Tolong bertahan dan terus hidup!"

Prolog 2

MATA Asyanur menerawang ke persekitaran rumah yang terlihat asing padanya.

"Ini rumah abang ke?" Dia mendongak kepada lelaki bertubuh kurus yang sedang memimpinnya.

"Mulai hari ni, Asyanur tinggal di rumah ni, ya? Itu umi..." Ibu jari lelaki kurus itu terarah kepada seorang wanita yang berdiri di ambang dapur dengan senduk di tangan. "Umi yang akan jaga Asyanur lepas ni. Asyanur tak perlu lagi tinggal di rumah anak yatim."

Asyanur mengarahkan pandangan ke arah wanita itu. Wajah keibuan yang langsung menambat hatinya lalu kepala mengangguk setuju.

"Abang? Tinggal di sini juga ke?"

"Tak. Abang ada kerja di tempat lain." Lelakinya itu membawa Asyanur masuk ke dalam rumah. Wanita itu mengarahkan mereka naik ke tingkat atas sebelum dia sendiri ke dapur.

"Ini bilik Asyanur. Selesa, kan? Tak payah berebut lagi dengan orang lain."

Asyanur mengangguk suka. Hanya memerhati lelaki itu menyusun pakaiannya di dalam almari. Selesai semuanya, lelaki itu mendukungnya, membawanya turun ke tingkat bawah terus ke dapur.

"Makanlah, Asyanur. Hari ni umi buat sup ayam. Umi harap Asyanur berselera makan di rumah umi ni."

Asyanur menjenguk isi mangkuk. Liurnya terasa mahu meleleh. Perutnya mendadak berkeroncong. Lalu tanpa tangguh-tangguh, dia menghirup sup dengan gelojoh.

"Uhuk!" Asyanur tersedak. Sup yang panas melecurkan lidah. Dia meringis pandang si abang dengan muka mahu menangis.

"Lapar sangat rupa-rupanya. Itulah... Siapa suruh mogok tak nak makan? Sini, abang suapkan."

Sambil menerima suapan, Asyanur meneliti wajah itu. Menyimpan kemas-kemas dalam memori. Wajah pucat berhidung mancung dengan rahang tajam, matanya kehijauan bak tasik dalam itu kelihatan sentiasa berkaca-kaca.

Ketika si abang mahu pulang, Asyanur mula merasa tidak sanggup berpisah dengannya. Dia meronta dari pegangan tangan umi lalu berlari memeluk kaki lelaki itu yang sedang menunggu orang menjemputnya di hadapan pagar.

"Abang, janganlah pergi! Nanti abang tak balik-balik lagi macam abang Sya. Tinggallah di sini! Temankan Sya!"

Si abang berlutut ke tanah, menatapnya dalam-dalam sebelum menariknya ke dalam pelukan. "Abang kena kerja, adikku sayang... Abang kena cari duit banyak-banyak. Tapi abang... Bersumpah... Akan jaga Asyanur sampai tarikan nafas terakhir..."

Asyanur terkejut bila abang itu menangis tersengguk-sengguk di bahunya. Lalu dia menggeliat, melepaskan diri dari pelukan. Abang itu terduduk di atas tanah. Mukanya sepucat kertas dengan mulut menganga, mata terbeliak.

"Abang... Sakit? Abang jangan tinggalkan Asyanur! Jangan mati!" Asyanur cuba menahan dengan tangan kecilnya tapi abang kurus terlanjur tumbang ke tanah dengan hidung mimisan.

"Umiii!" Dia menjerit sekuat hati sebelum menangis mengongoi meminta si abang bangun.

Ketika ambulans membawa si abang pergi, Asyanur tertanya-tanya kenapa abang itu selalu menangis kemudian pengsan setiap kali bertemu dengannya? Tapi pertanyaan itu tidak pernah terjawab kerana abang kurus tidak pernah muncul lagi selepas itu...

Sehingga sekarang Asyanur tertanya-tanya. Kesal kerana tidak pernah menanyakan nama abang kurus itu. Di manakah dia? Ingatkah lagi dia kepada aku? Dia dah tak sayang aku ke? Dia tahu tak aku menunggunya? Atau dia dah lupakan janjinya nak jaga aku?

Atau dia sudah matikah?

Bab 1

15 tahun sebelumnya...

"TOLONG... Lepaskan aku!"

Rintihan itu berkumandang lagi, akan tetapi orang yang dirayu masih membeku di tempatnya berdiri. Bagai patung. Hanya bola matanya saja sesekali berputar mengerling. Sesuailah dengan tugasnya sebagai pengawal peribadi. Kurangkan bercakap, tumpukan perhatian. Harus lebih waspada!

"Kau nak aku melutut ke?"

Masih tiada reaksi dilemparkannya. Badan tinggi gedenya itu masih jua dalam keadaan senang diri, kaki dibuka lebar dengan dua tangan bersilang di belakang.

"Noahhh..." Rintihan bertukar menjadi rengekan.

Spontan, Noah merengus lalu menoleh ke arah empunya suara. Tuksedo serba putih membalut tumbuh ramping remaja itu. Sulaman kerawang emas menghiasi hujung lengan dan bahagian dada. Persalinan yang membuat ketampanannya semakin menyerlah bak putera raja.

"Noah, aku mohon..." Akhirnya remaja itu berlutut di hadapan dengan kepala tertunduk memandang lantai.

"Raid Arjuna! Bangun!" Suara Noah meletus.

Raid mendongak. Terus berdiri.

"Noah, kau pun tahu perkahwinan ni tak ubah macam sistem barter. Semua ni demi kepentingan mereka dalam perniagaan. Aku tak mahu kahwin!"

Raid memasang muka kasihan memancing simpati pengawal peribadinya itu.

Pandangan Noah jatuh, tepat ke dalam anak mata bak warna air tasik milik Raid. Keningnya melintang rapi, membuat sepasang mata Raid terlihat tajam dan liar. Torso tubuhnya terbentuk sempurna, berkadaran dengan ketinggiannya. Dalam usia semuda itu, Raid sudah kelihatan cukup sempurna dari segi fizikal. Noah yakin, bila Raid semakin meniti usia dewasa, dia bakal jadi pangeran idaman wanita.

"Noah, tolonglah aku..." Raid tetap tidak jemu merayu. Riak wajahnya bagai anak kucing kebasahan.

"Raid, tolonglah faham. Aku dah ditugaskan jaga kau sejak umur kau 15 tahun lagi. Sekarang, biar aku pula yang merayu pada kau, tolonglah dengar cakap Tuan Gilbert dan Engku Marsitah. Demi masa depan kau juga."

Air muka Raid mendadak berubah tegang. "Masa depan aku akan hancur kalau kahwin dengan perempuan tu!"

"Hoi! Dia cantik, seksi dan bakal mewarisi kekayaan orang tua dia. Maka, sesuailah dengan kau, pewaris tunggal empayar Gilbert Group!"

"Masalahnya aku tak bersedia jadi suami. Perempuan tu pula lebih tua dari aku!"

"Hei, bukannya tua sangat pun. Cuma beza dua tahun dari kau dan dia baru dapat kunci kebebasan. Bolehlah dia bimbing kau berfoya-foya secara halal." Senyum jail terconget di hujung bibir Noah.

"Aku baru 19 tahun! Serius aku tak faham kenapa papa dan bonda paksa aku kahwin. Tiba-tiba fikiran mereka jadi kolot!" Raid mencemuh bersama riak jengkel.

"Aku rasa kau pun tahu, penggabungan syarikat akan meningkatkan skala ekonomi, prestasi syarikat dan nilai pemegang saham dalam jangka panjang. Takkan kau tak ingin hidup senang sepanjang hayat dengan kekayaan melimpah-ruah? Bila dah kahwin nanti, kau bebas buat apa saja dengan isteri kau." Noah menabur pancingan.

Raid mengeluh hampa. "Bukan kebebasan begitu yang aku cari. Aku nak ada masa dengan kawan-kawan. Bukannya dikelilingi oleh pengawal peribadi seolah-olah aku ni puteri raja. Aku lelaki, Noah... Bukannya budak kecil yang perlu dikawal sepanjang masa." Suara Raid makin mendatar. Jelas sekali nada kecewanya.

Tak ayal, Noah melepas nafas bersama rasa belas melihat Raid melangkah loyo mendekati katil lalu menghenyak punggung di situ.

"Aku memang kasihankan kau, Raid. Tapi ini arahan orang tua kau. Papa kau mogul perkapalan yang membangun armada kapal kargo dan kapal tangki sendiri. Dari dua buah, akhirnya dah melebihi seratus buah kapal. Kemudian memperkembangkan business dalam bidang perhotelan dan perladangan. Sehingga menjadikan dia sebagai salah seorang terkaya dan terkenal di Malaysia."

"Ah, aku tak peduli soal kekayaan papa!" getus Raid.

"Kau dah lupa ke? Sejak sekolah, bukan sekali dua cubaan menculik kau disebabkan kau satu-satunya anak Tuan Gilbert?"

Seketika Raid terdiam. Mana pernah dia lupa semua itu. Tapi dalam keadaan sekarang, dia terdesak mahu melarikan diri.

"Selama ni aku anggap kau macam abang aku, yang akan tolong bila aku dalam kesusahan. Rupa-rupanya aku salah menilai." Raid berkata tanpa mahu memandang Noah.

Aduhaiii, terkeluh dalam hati Noah dibuatnya bila mendengar suara lirih, apatah lagi melihat mata Raid yang berkaca-kaca. Perlahan-lahan, Noah mendekati Raid. Tangan dihulur meraih bahu Raid.

"Raid, kau kena faham tugas aku dan kenapa orang tua kau buat semua ni."

Raid menoleh bersama pandangan tidak puas hati. "Oh? Aku kena faham semua orang. Tapi kenapa tak seorang pun cuba faham aku?!"

"Sebab kau masih mentah!"

"Heh, kau pun sama macam orang lain. Suka pandang rendah pada aku!" Tangan Raid, diam-diam cuba menarik kayu besbol yang disorokkan di bawah bantal.

Sebaik sahaja dapat memegangnya, Raid cuba mengayun. Namun Noah lebih bijak membaca pergerakan Raid. Dia bingkas merendahkan tubuh ketika kayu itu melayang di atas kepalanya. Setelah berjaya merentap kayu besbol itu dari tangan Raid, Noah melemparkannya jauh-jauh. Kemudian sepantas kilat, tangannya memaut badan Raid yang cuba berlari ke arah pintu.

"Peraturan pertama, jangan derhaka dengan tok guru!" getus Noah seraya mengilas tangan Raid ke belakang dan memaksanya turun bertekuk ke atas lantai.

Namun Raid bingkas menguatkan pertahanan kakinya. Kepalanya ditelengkan menatap Noah.

"Peringatan untuk tok guru, jangan pandang rendah pada anak murid!" balas Raid bersama senyum misterius.

Sekuat tenaga, Raid melonjakkan tubuh, sekaligus menyebabkan Noah terjajar mundur beberapa langkah. Kekuatan Raid yang mendorong tubuhnya, dalam masa yang sama menyikut rusuknya tanpa henti, membuatkan Noah hilang imbangan!

Debuk!

Bagaikan sekarung guni beras, Noah terlentang ke belakang bersama tubuh Raid menimpanya.

Dengan sigap, Raid meloncat bangun. Meluru keluar dan menghempas pintu sebelum menguncinya dari luar!

Berpinar pandangan Noah. "Tak guna! Kau main kotor!" Noah mendesis seraya memegang belakang kepala. Mulai naik bincut!

Bila menyedari dia terkunci di situ, Noah menyumpah. "Bodoh, Raid! Kau memang cari mati!"

"ENGKU! Raid dah lari!"

Engku Marsitah terlonjak bangun dari kerusi saat mendengar bisikan itu di telinganya. Kepala Engku Marsitah terputar 90 darjah ke kanan, dengan mata terpelotot memandang pembantu peribadinya, Maya.

Namun apabila menyedari dirinya sedang berada di Taman Carcosa Seri Negara, di hadapan tamu-tamu terhormat, Engku Marsitah segera mengawal diri, memaksa bibir mengukir senyuman. Dalam pada itu, matanya sempat melirik ke arah Faiznur yang duduk anggun di singgahsana berhias bunga-bunga segar. Puan Sri Kamariah, ibunya si Faiznur turut memandang Engku Marsitah tapi dengan kerut resah di muka. Seolah-olah memahami prahara sedang melanda.

Tidak ingin terus menjadi perhatian mata Puan Sri Kamariah, Engku Marsitah segera menarik Maya ke tepi, terlindung di balik sebatang pokok.

"Kau biar betul, Maya? Suami aku dah tahu?" Mata Engku Marsitah meliar mencari kelibat suaminya. Namun tidak ketemu.

"Betul, Engku. Tuan Gilbert baru aje arahkan Noah dan yang lain supaya menjejaki Raid!" Maya menjelaskan, takut-takut memandang Engku Marsitah.

"Macam mana boleh terlepas? Noah tidur ke apa?"

"Tak. Tapi Raid berjaya perdayakan Noah!"

Dada Engku Marsitah sontak rasa bagai dilanda gempa. "Anak tu! Tak pernah serik! Pengawal pun sama tak guna! Mana telefon?!"

Maya terkocoh-kocoh merogoh beg, mencari telefon bimbit. Sebaik sahaja dapat, terus dihulurkannya kepada Engku Marsitah.

Berkali-kali Engku Marsitah menekan nombor anak tunggal itu. Tapi percuma, panggilannya terus bersambung ke peti suara!

Engku Marsitah kembali memandang Maya dengan mata mencerlang garang. "Macam mana dia boleh lari? Bukan ke aku dah suruh kau pegang kunci kereta Raid?!"

Maya menelan ludah dengan payah. "Ya, Engku...Kunci kereta Raid memang ada pada aku. Tapi, kita terlupa satu lagi. MV Agusta."

Mata Engku Marsitah bagai mahu terkeluar dari soket. "Kita lupa? Kau tu yang pelupa!"

"Masalahnya Raid dah lama tak guna motor tu sejak Tuan Gilbert hadiahkan dia kereta."

Engku Marsitah terdiam. Memang sudah lama dia tidak melihat Raid menunggang motosikal tersebut. Benaknya segera terbayangkan MV Agusta F4 RR warna merah putih milik Raid. Kalau Raid sudah dapat MV Agusta itu, memang macam pelesitlah jawabnya.

"Tapi macam mana motor tu boleh ada di sini? Siapa yang bawa ke mari?"

"Tak tahu, Engku. Mungkin awal-awal lagi Raid dah seludup motor tu ke sini."

Engku Marsitah tidak terkata.

"Raid Arjuna! Kau memang nak kena dengan bonda!" Engku Marsitah menggeram seraya meramas telefon bimbit.

"Bonda..." Suara lembut itu, menyentak Engku Marsitah. Perlahan-lahan dia menoleh. Saat melihat Faiznur yang manis berdiri di belakangnya, Engku Marsitah tergamam.

"Raid... Dia tak datang, kan?" Faiznur bertanya dengan wajah paling tenang. Tapi suaranya bergetar.

Engku Marsitah hilang kata sejenak. Tidak dapat menahan perasaan bersalah, dia lantas menarik Faiznur ke dalam pelukannya.

"Maafkan bonda, sayang. Bonda tak terfikir langsung yang Raid sanggup buat macam ni pada kita."

Faiznur terjeda. Tidak menyangka telahannya jadi nyata. Beku seketika dia dalam pelukan Engku Marsitah. Dia tidak mengenal Raid, tidak pernah pun bersua muka. Waktu mendengar berita keluarganya mahu mengahwinkan dia dengan Raid yang baru berumur 19 tahun, dia membantah.

Lelaki mentah, tentu tidak layak jadi suami!

Tapi pertama kali melihat Raid dalam gambar, hatinya terus jatuh cinta dan tanpa ragu-ragu lagi mengeyakan saja rancangan mereka mahu menyatukan dia bersama Raid. Soal penggabungan syarikat, dia sudah tidak peduli lagi.

Setelah sedar diri berpijak di bumi nyata, barulah Faiznur menarik nafas dalam-dalam. Berusaha mempamerkan tampang tegar dan tabah di mata Engku Marsitah.

"Bonda, tak apalah. Saya dah agak semua ni akan berlaku. Dari awal lagi saya tahu Raid tak akan dapat menerima rancangan pernikahan ini. Saya reda..."

Betapa hati Engku Marsitah tersentuh mendengar kata-kata Faiznur. "Maafkan bonda, sayang. Ini semua salah bonda. Bonda tak sangka Raid tergamak melarikan diri. Ya, Allah... Malunya bonda!"

Faiznur tersengguk-sengguk dalam pelukan Engku Marsitah. Bibir diketap kuat menahan tangis, tapi sudahnya dia kalah dengan perasaan sendiri. Air mata berjurai juga akhirnya.

Hati perempuan mana yang tidak walang bila pengantin lelaki melarikan diri, bahkan akad pun tidak sempat dilafaz. Bukankah itu dayus namanya?

Punah sudah pelamin angan Faiznur!

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro