BAB 7 | BODYGUARD
IVY membuang pandangannya ke segenap kawasan universiti yang luas itu. Dia kelihatan kekok. Dari tadi, semua mata asyik memandangnya pelik, dari atas hingga bawah. Ada juga segelintir daripada mereka berbisik sesama sendiri dan melontarkan senyuman sinis.
Dia hanya buat tidak tahu dan menekur memandang lantai dan kasut. Rasa tidak selesa apabila dia dijadikan tumpuan. Dia berharap sangat yang Amirul akan segera kembali walaupun jejaka itu baru sahaja pergi tidak sampai seminit.
"Hey perempuan!" sapa suara seseorang.
Ivy terus mendongakkan kepala. Dipandang gadis berambut perang itu dari atas hingga bawah dengan pandangan hairan.
"Dia cakap melayu ke tadi?" Dia bergumam perlahan. Gadis itu terus mengerutkan dahi, cuba menangkap butiran kata-katanya yang perlahan.
"Kau cakap apa ni? Kuatlah sikit!" marah perempuan tersebut secara tiba-tiba. Dia hanya mengukirkan senyuman tipis. Apa salahnya dia berkenalan dengan gadis itu kan? Lagipun mereka berasal dari negara yang sama.
"Hai. Nama saya Ivy Azrin. Selamat berkenalan. Tak sangka saya ada orang Malaysia di sini."
Tangan dihulur, namun gadis jelita itu hanya memandang sepi. Senyuman kelat terukir di bibir merah bak delima itu.
"Hmm... Nama I Cassandra." Huluran Ivy tetap disambut walaupun riak wajahnya kelihatan tidak ikhlas dan selesa. Ivy hanya tersenyum dan tidak mengambil hati.
"Actually, I bukannya nak berkawan dengan you pun. You nak tahu kenapa?" tanya Cassandra secara tiba-tiba.
Senyuman Ivy sedikit demi sedikit mengendur apabila melihat pandangan sinis tersebut. Dia hanya mampu membisu.
"Sebab kalau I berkawan dengan you, orang-orang di sini semua akan palau I. I tak nak ada musuh. But nampaknya kehadiran you di sini bakal mencetuskan perang yang besar ya. So, I mencemar duli datang dekat you ni sebab nak cakap good luck je okay! Bye!"
Cassandra senyum mengejek. Ditepuk perlahan bahunya lalu gadis itu terus berlalu pergi bersama rakan-rakannya yang lain. Dia hanya mampu berdiri kaku.
'Tak apa, Ivy. Jangan risau, kau ada Allah,' bisik hatinya separuh yakin. Risau sama ada dia mampu menghadapi dugaan ini atau tidak.
Pandangan matanya beralih memandang seekor burung yang hinggap sebentar di atas kerusi. Jelas burung itu mencari sesuatu untuk dimakan dan mungkin anak-anaknya sedang menunggu kelaparan.
Manusia selalu berfikir bahawa alangkah indahnya mereka menjadi seperti burung. Terbang bebas sesuka hati ke setiap pelosok muka bumi. Tetapi mereka sering lupa bahawa burung juga perlu menghadapi ujiannya. Meskipun terpaksa menghadapi ribut dan taufan, ia tetap gagahkan sayap untuk terbang dan berjuang.
"Kalau burung tu boleh, aku pun pasti boleh."
"Hoi! Buat apa? Berangan!" sergah Amirul tiba-tiba sambil ketawa. Dia terkejut. Tajam matanya memandang lelaki itu lalu dihadiahkan jelingan maut. Amirul ketawa kecil.
"Auchh! Hatiku berdebar melihat jelinganmu itu!" balas Amirul sambil menyentuh dadanya. Drama lebih! Ivy mencebik lalu kepala lelaki itu terus dipukul dengan buku-bukunya.
"Aduh! Sakitlah!"
"Padan muka! Drama sangat!"
"Uish, saya ingatkan awak ni jenis perempuan yang sopan-santun dan lemah-lembut. Rupa-rupanya ada taring juga ya," komen Amirul dengan mata yang dikecilkan. Sekali lagi, Ivy menjeling.
"Nampaknya awak salah menilai saya. Saya ni dulu bekas ahli kumpulan diva tau. Jangan main main dengan saya. Muka saya mungkin nampak lembut tapi hati saya ni keras," katanya, bangga.
"Hek eleh! Tak payah banggalah. Saya ni dulu bekas ahli kumpulan gengster tau. Semua orang di sini takut dengan saya." Amirul membidas. Kaca mata hitamnya dipakai lalu dia menaikkan sedikit wajah.
"Poyo betul!" Bebola mata dinaikkan ke atas. Dia terus berlalu meninggalkan Amirul di situ.
"Awak boleh ke pergi seorang diri tu? Tahu ke nak pergi ke mana dan arah jalan di sini?"
Langkah Ivy terus terhenti. Dia segera berpaling dan membuat muka garang.
"Haa... Cepatlah tunjuk!"
'Hish perempuan ni pun tak payahlah marah. Inilah perempuan. Complicated!' Amirul mengutuk dalam hati.
Walaupun begitu, kakinya tetap melangkah mendekati Ivy. Dalam diam, dia sudah berjanji dengan dirinya sendiri agar menjaga dan melindungi gadis itu tidak kira apa jua keadaan sekalipun. Bagi Amirul, Ivy tidak akan mampu mengharungi semua keadaan ini seorang diri. Sebab itu, dia akan sentiasa di sisi. Ya, menjadi bodyguard.
•¤•
"MACAM mana, Danial?" tanya Furqan secara tiba-tiba setelah sekian lama membisukan diri. Ketika ini, mereka sedang berada di balai polis, tempat Furqan bekerja.
"Macam mana apa?" Danial memulangkan kembali persoalan tersebut kepada Furqan.
Furqan sendiri tidak dapat agak berdasarkan riak wajah Danial sama ada jejaka itu memang naif tidak mengerti soalannya atau hanya sekadar berpura-pura. Jejaka misteri betul.
"Kan tadi tuan Khalil ada jemput kau sertai team dia, siasat kes si arwah Najwa."
"Ouh... Jadi?"
"Jadi, kau setuju ataupun tak?" tanya Furqan lagi. Matanya tepat memandang figura Danial yang bersandar di dinding. Jejaka itu kelihatan berfikir.
"Tengok dulu macam mana. Kau pun join sekali ke?"
"Kes yang dekat Perak tu pun aku masih tak selesaikan lagi. Kau nak aku tambah kes yang di sini lagi? Susahlah aku," jawab Furqan sambil menyilangkan tangan ke dada.
"Apa yang susahnya?"
"Ingat Perak dengan Selangor dekat ke, bang? Payah aku nak berulang-alik."
"Kalau aku sambung belajar macam mana?" Danial sengaja menguji.
"Kau kan tak buat permohonan lagi. Buat masa ni, apa kata kau isi masa lapang kau dengan selesaikan kes ni?" Furqan masih berusaha untuk memujuk Danial. Dia teringat perbualannya dengan Encik Khalil sebentar tadi.
Beberapa minit yang lalu,
"Furqan!" Encik Khalil memanggil Furqan dari ruang pejabatnya.
Furqan yang berada tidak jauh dari situ terus pergi ke arah Encik Khalil. Danial ditinggalkan buat sementara.
"Ya, tuan?"
"Silakan duduk." Furqan tidak membantah, terus dia menarik kerusi lalu duduk, menghormati permintaan daripada orang yang dia segani itu.
"Saya nak kamu pujuk Danial selesaikan kes ni." Furqan mendiamkan diri buat seketika, berfikir.
"Tapi kenapa tuan minta tolong dia? Maaf jika saya berkata sebegini. Walaupun dia kawan saya, saya jujur katakan yang dia hebat orangnya. Cuma saya risau semua orang akan pertikaikan sebab mengapa tuan berbuat keputusan sedemikian. Nanti tuan akan dikatakan tidak adil dan amanah kerana mempercayai orang luar." Furqan terus menjelaskan isi hatinya.
"Saya tahu dan saya sudah bersiap sedia dengan semua itu. Saya yakin keputusan saya tepat. Dan bagi saya dia bukan calang-calang orang. Dia hebat orangnya. Saya tidak nafikan." Jawapan Encik Khalil membuatkan Furqan sedikit bingung. Ada yang ganjil dalam percakapan ketuanya itu.
"Encik Khalil kenal ke dengan Danial?" Secara tidak sengaja bahasa tidak formal digunakan. Namun, kekeliruan Furqan hanya dibalas dengan senyuman.
"Itu hanya firasat saya." Encik Khalil hanya menjawab beberapa patah. Masih sengaja menyimpan rahsia.
"Furqan!" Suara lantang Danial terus mengejutkan Furqan daripada lamunannya. Tersentak lelaki itu.
"Ya?"
"Kau tanya aku, bila aku jawab kau mengelamun pula."
"Maaflah. Haa, jawablah soalan aku tadi." Furqan berkata sambil tersengih. Danial sekadar mengeluh.
"Aku cuma orang luar, Furqan."
"Tapi tuan tak kisah. Asalkan kes ni dapat diselesaikan."
"Biarlah aku fikir dulu. Buat masa ni aku tak tertarik. Kalau ada apa-apa keputusan aku, aku update kepada kau," balas Danial. Furqan sekadar mengangguk. Kalau itu kata putus Danial, dia tidak boleh berbuat apa-apa.
"Tak apalah jika itu kata putus kau."
•¤•
BUNYI ketukan pintu tidak dipeduli. Dia terus duduk memeluk lutut. Seperti kebiasaan malam sebelumnya, dia pasti akan menangis dan meratap nasib diri yang malang.
Rambut panjangnya dibiarkan mengurai menutupi wajah. Bilik yang hanya ada beberapa perabot itu menghasilkan gema esak tangisnya. Tiada sesiapapun yang faham perasaannya ketika ini. Sedih, kecewa, putus asa, marah, menyesal dan lelah.
"Andrea! Kau jangan buat aku marah boleh tak! Buka pintu ni sekarang!" marah Alex seiring ketukan pintu yang semakin kuat. Andrea hanya buat tidak tahu.
"Lebih baik kau buka pintu ni sekarang! Kalau kau tak nak sakit, lebih baik kau buka sebelum aku yang buka!" Alex menengking dengan suara yang begitu kuat.
Sama seperti tadi, Andrea hanya duduk di satu sudut bilik. Sedikitpun dia tidak terusik dengan ugutan lelaki yang kejam itu. Dia sudah terbiasa.
"Tyra, please give me the key now!" Tyra yang berada di sisi tergopoh-gapah mencari kunci di dalam sebuah almari yang berkunci. Setelah mendapatkan kunci tersebut, dia terus menyerahkannya kepada Alex.
"Sir," panggil gadis berketurunan England itu.
Alex terus mengambil kunci tersebut lalu pintu itu terus ditolak kuat. Dia terus berjalan ke arah Andrea lalu lengan gadis itu ditarik dengan kasar. Wajah gadis itu kelihatan pasrah.
"Kau dah pandai melawan cakap aku ya! Aku panggil kau, tapi kau buat tak tahu! Jangan kau lupa, aku ni tuan kau! Kau kena ikut cakap aku!" Dahi Andrea ditunjal dengan kasar.
"Enough, Alex! Aku bukan hamba kau! Lepaskan aku! Bebaskan aku! Perangai kau memang sama macam iblis!" Andrea meronta dan meraung sekuat hati tetapi pegangan Alex cukup kuat.
Pang!
Tidak semena-mena Andrea dipukul dengan kuat. Terus jatuh terduduk gadis itu menahan kesakitan. Tyra yang berada di luar sedikit terkejut. Tidak pernah lagi dia melihat bosnya begitu. Selalunya dia akan melayan perempuan dengan baik. Itupun jika perempuan itu bersikap seperti yang dikehendaki oleh Alex.
"Selagi kau berada dalam genggaman aku, selagi itu kau akan ada di sini! Ingat ya, kau ada berhutang dengan aku." Alex menundukkan badan lalu wajah Andrea diraih. Jelas terukir senyuman sinis di bibirnya.
"Aku guna perkataan senang je. Kalau kau nak keluarga kau mati, silakan lari. Semoga berjaya," ujar Alex sebelum berlalu pergi. Andrea hanya mampu terduduk kaku tidak membalas. Hanya air mata yang mampu menunjukkan perasaannya tatkala ini. Benci.
NOTES: Maaf sebab dah lama tak update. Saya asrama dan busy dgn pdpr. Saya harap anda semua dapat bersabar dgn sy. Maaf tak mampu nak update setiap hari. Saya hanya berusaha buat apa yg termampu.
Satu je saya minta. Please, doakan saya untuk SPM tahun ni. Tolong aminkan ya. Mana tahu doa korang Allah kabulkan 👇
"Ya Allah Yang Maha Memberi, kau berikanlah Saiyidah Nafisah kefahaman dan berikanlah dia kekuatan untuk menghadapi segala cabaran. Jadikanlah dia muslimah yg terpelihara hati, iman dan maruh dan berikanlah dia kecemerlangan dunia akhirat. Aamin."
Saya doakan kalian juga dipermudahkan segala urusan. Semoga syurga buat kalian. ❤❤❤
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro