Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

BAB 58 | BELAJAR MELEPASKAN

"It is not the eyes that are blind, but the hearts."

( 22:46 )









SEJAK kejadian dia dibawa pulang oleh ibu bapanya beberapa hari lalu, Rita hanya mengurungkan diri di dalam bilik. Bukan mudah untuk gadis sepertinya melawan perasaan trauma seorang diri. Dia mengalami fasa ketakutan dan penyesalan melampau setiap kali fikirannya mengimbas masa lalu yang penuh duka dan sadis itu.

Disebabkan cintanya dihalang orang tua, dia sanggup menjadi anak derhaka dan pergi melarikan diri. Namun, menjadi dewasa yang selalu ingin membuat keputusan sendiri kadangkala tersalah naluri juga. Akhirnya, kemanisan cinta bertukar menjadi racun yang membinasakan diri. Dikhianati orang yang dicintai menjadi bukti dunia ini bukan semuanya dipenuhi orang baik. Dia hampir terbunuh. Detik ngeri yang pasti meninggalkan kesan mendalam dalam fikiran.

Rita terbaring di atas katil sambil matanya sejak tadi merenung siling rumah. Mengimbas masa silam berdarah yang penuh dengan kegelapan. Tanpa cahaya, tanpa sesiapa. Keadaan bilik terasa mengecil dan menjadi sempit. Masa juga seperti bergerak dengan sangat perlahan dan nafasnya terasa berat. Perlahan-lahan Rita mulai tenggelam dengan imaginasi masa silamnya.

Malam begitu sepi dan kelam pada masa itu bagaikan berada di ruang vakum angkasa lepas. Meskipun bunyi cengkerik menyanyi girang pada saat itu, tidak cukup menghilangkan resah dan takut di dada. Hanya ada dia dan lelaki itu. Mana mungkin tenaga seorang gadis mampu mengatasi kudrat seorang lelaki. Saat itu... barulah fikirannya terlintas mengingati Allah setelah melupai-Nya sejenak.

Dalam hati, tidak putus dia berdoa agar diberikan keajaiban hadirnya seseorang yang menjadi penyelamat namun, sesungguhnya Allah maha berkehendak atas sesuatu kejadian. Takdir yang sengaja Allah restukan agar dia belajar dan memahami konsep dunia fana ini walaupun darah dan air mata yang terpaksa menerimanya...

Mata hitam lelaki itu kelihatan begitu besar merenung tajam anak matanya. Tidak seperti Khairul yang dia kenali selama ini. Jelas ekspresi wajah lelaki itu bagaikan tidak sabar mahu membunuhnya. Senyuman lelaki itu lebar terukir di bibir bagaikan tidak sabar mahu membunuh mangsanya. Rita terus mengundurkan diri dan terhenti apabila mendapati di belakangnya ada tebing yang agak curam.

Matanya merenung ke bawah. Sukar untuk dia melihat keadaan kawasan curam itu dalam keadaan yang gelap. Pohon-pohon yang tumbuh di sekitarnya mungkin boleh digunakan untuk berpaut menuruni tebing tetapi tiada jaminan untuk dia sampai ke bawah dengan selamat. Namun, apa lagi pilihan yang dia ada selain mengambil risiko berbahaya ini? Tiada.

"Aku beri kau dua pilihan. Ikut aku, kau akan hidup. Turun bukit yang curam tu, kau akan mati," kata Khairul yang kelihatan berbangga diri seperti sudah memperoleh kemenangan.

"Jadi, aku akan pilih mati." Rita membalas berani.

Dia pantas memaut dahan pokok berdekatan lalu menghulurkan kakinya ke bawah tanpa menoleh ke belakang sedikit pun. Dalam keadaan tanah yang tidak rata, Rita melangkah ke bawah dengan berhati-hati. Dia bagaikan orang buta yang terkapai-kapai mencari tempat berpaut. Kawasan sekelilingnya kelihatan gelap, kelam dan hitam bahkan kakinya turut ragu-ragu ingin terus melangkah.

Mendengar tiada apa-apa balasan daripada Khairul, Rita menjadi lega. Sekarang, dia hanya perlu risaukan keadaannya sekarang. Patutkah dia teruskan rancangannya untuk turun ke bawah atau kembali naik ke atas? Masih belum terlambat untuk dia mengubah fikiran dan nalurinya yakin lelaki itu sudah pergi meninggalkannya keseorangan. Memikirkan risiko yang amat tinggi, Rita mengambil keputusan untuk berpatah balik.

Ternyata jangkaan Rita meleset. Baru saja dia mendongakkan kepala, kelihatan Khairul sedang berdiri di hujung tebing bersama senyuman lebar. Jantung Rita bagai direntap saat pandangan matanya jatuh pada potongan kayu balak yang dipegang oleh Khairul. Hatinya kembali resah dan takut memikirkan sebarang kemungkinan yang bakal terjadi. Menyebabkan bibirnya terkunci mahu melepaskan kata-kata.

"Kalau macam tu, selamat tinggal."

Kayu balak tadi terus dilempar ke bawah mengenai tubuh Rita lalu menyebabkan pegangan tangannya pada dahan menjadi longgar lalu terlepas akibat hilangnya daya keseimbangan. Pada masa itu, fikiran Rita menjadi kosong dan masa berjalan begitu perlahan sekali lalu menyebabkan setiap hentakan tubuhnya pada batu dan pepohon begitu terasa sekali.

Dia begitu terkejut sehingga lupa kepala dan badannya mulai terluka lalu membuakkan darah. Rita cuba menggapai mana-mana dahan dan akar pokok tetapi jemarinya terasa begitu lemah untuk menggengam lalu akhirnya dia cuma merelakan saja semua kesakitan itu terjadi. Mujur perjalanan panjang itu mencapai pengakhirannya. Dia tebaring lemah di atas tanah rata. Entah di mana dia sendiri tidak mengetahui.

Hanya mampu merenung langit malam yang hitam sambil terbaring lemah menanggung kesakitan yang penuh dengan luka dan darah. Kepalanya berdenyut begitu sakit sekali. Akibat kesakitan yang tidak tertanggung itu, Rita hanya mampu menangis sebak mengingatkan nasib diri yang malang. Semua anggota tubuhnya langsung tidak boleh digerakkan bagaikan orang lumpuh.

Tangisannya berubah menjadi semakin pilu dan sayu. Dia kesepian dan keseorangan di hutan tebal ini. Tiada sesiapa untuk dia memohon pertolongan. Rita sudah hilang harapan. Hanya terbaring tanpa kudrat menunggu tibanya ajal. Hatinya tidak menyangka beginilah cara kematiannya sedangkan bicara doanya sentiasa menzahirkan kematian husnul khotimah setiap kali selepas solat.

Benarlah kata ibunya dahulu. Jangan terlalu yakin dengan amalan dan doa akan diterima oleh Allah walau sehebat mana pun latar belakang agama. Dan jangan pernah berputus asa dan hilang harapan untuk berdoa meskipun banyak berbuat dosa. Manusia merancang tetapi Allah yang menentukan. Masa depan bila-bila saja boleh berubah.

Mengingatkan kejadian gelap itu, air mata Rita semakin lebat mengalir. Esakan kecil bertukar menjadi teriakan yang lantang. Siling rumah yang tadinya menjadi tempat renungan Rita terus menjadi kabur. Sekali lagi situasi silam berulang. Dia terbaring lemah di atas katil bagaikan orang lumpuh bersama esakan keras yang memilukan.

"Arghhh! Aku memang tak guna! Ke... kenapa! Kenapa aku kena lalui semua ni! Kenapa... kenapa!" Rita berteriak kuat sehingga mengejutkan sesisi rumah.

"Rita? Rita, kenapa ni! Ya Allah!" Hajah Zarina muncul dalam keadaan bertelekung di muka pintu bersama wajah yang cemas.

Wanita itu terus meluru ke arah anaknya saat melihat keadaan Rita yang sarat dengan tangisan dan terbaring lemah tidak bergerak di atas katil. Gadis itu dibangunkan dalam posisi duduk lalu dipeluk anak gadisnya dengan erat. Luruh hati seorang ibu melihat anaknya menghadapi trauma yang sangat berat. Akhirnya, butir mutiara Hajah Zarina jatuh juga.

Haji Rahman baru saja muncul di muka pintu. Wajah tua itu jelas turut berasa risau melihat perubahan emosi Rita secara mendadak. Perlahan-lahan dia mendekati dua beranak itu bersama tongkat kayunya lalu melabuhkan punggung di atas katil. Wajah Rita yang basah dengan air mata menunjukkan anaknya bukan saja dilukai secara fizikal tetapi hati dan mental.

"Maafkan Rita, umi... abah. Rita bersalah. Se... semuanya salah Rita. Kalaulah... kalaulah Rita dengar cakap umi dan abah... semua ni tak kan terjadi! Rita anak tak guna! Maaf sebab tak mampu jadi anak yang terbaik buat umi dan abah. Maaf sebab Rita lebih pentingkan lelaki berbanding umi dan abah. Rita... Rita anak yang tak berguna..." lirih Rita yang masih dikuasai kesedihan.

Hajah Zarina semakin lebat tangisannya. Dipeluk erat tubuh dan kepala anaknya rapat ke bahu lalu dibelai-belai rambut gadis itu. Dia menggelengkan kepala lalu dahi gadis itu dicium berulang kali.

"Tak, Rita. Tak. Rita masih anak umi dan abah yang baik. Rita masih ada masa lagi nak berubah. Jangan terlalu salahkan diri sendiri. Sebanyak mana pun salah dan dosa anak umi, umi tak kan pernah buang Rita. Umi dan abah sayangkan Rita sangat-sangat..."

"Kenapa... kenapa Rita kena lalui semua ni. Rita terseksa, umi. Rita terseksa. Sampai bila-bila Rita tak kan mampu maafkan diri sendiri. Rita sakit. Rita penat, umi. Dunia akan pandang Rita hina, jijik dan kotor. Rita dah tak nak hidup. Rita dah tak nak hidup..." Hajah Zarina pantas menggelengkan kepala saat mendengar kata-kata putus asa anaknya.

"Tak. Tak. Rita masih ada umi dan abah. Jangan cakap macam tu, sayang..."

"Rita, sekalipun dunia ni kejam dan memandang anak abah ni hina, jijik dan kotor... kami tak kan sesekali tinggalkan Rita. Kita dah janji nak masuk syurga sekeluarga sama-sama, kan? Jadi, kita kena lalui semua dugaan ini bersama-sama. Ingat lagi kan abah pesan... La yukallifullahu nafsan illa wus'aha yang bermaksud Allah tidak akan membebankan seseorang hamba itu... melainkan dengan apa yang terdaya olehnya. Maksudnya apa? Maksudnya Rita mampu lalui sebab itu Allah bagi dugaan ni. Andai dugaan ini diberikan kepada orang lain yang kudratnya berbeza dengan Rita... apa jadi? Mungkin dia akan berakhir lebih awal daripada Rita sendiri..."

Haji Rahman terus bersuara setelah isterinya berkata-kata. Seorang ayah mungkin kasar, tegas dan kelihatan tidak berperasaan namun, jauh di sudut hati... mereka sangat peduli saat orang yang sepatutnya dia lindungi benar-benar rapuh tidak mampu bangkit kembali. Selama ini dalam diam, ayahlah yang membanting tulang empat keratnya demi keluarga dari arah belakang. Dan kerana itu ramai yang tidak dapat melihatnya...

"Kalau dah salahkan diri... minta maaf pada diri sendiri semula. Belajar memaafkan diri sendiri kerana dari situlah kamu akan mulai belajar melepaskan semua kesakitan dan kesedihan dunia yang hanya sementara..." tambah Haji Rahman lagi bersama senyuman lembut. Bahu anaknya ditepuk lembut.























Let me introduce you my fav song. About how kita hadapi rasa trauma dalam diri 🤍

🎶DALIL CINTA 🎶

Tak salah mengenang kisah silam
Saat jatuh bangunmu dulu
Kadang atur takdir-Nya sukar dibaca
Hingga wujud dirimu jua dalil cinta-Nya

Yakin padaku
Ini dalil cinta tuhan kepadamu
Kerana luar biasa martabatmu
Lihatlah bagaimana bicara-Nya ini
Agar kau belajar cintai-Nya

Yakin padaku
Kau kan lelah mengejar sangkaan manusia
Tak tergapai hasrat setiap mereka
Tapi selangkah kau mengejar cinta-Nya
Seribu langkah kau kan didekati-Nya








Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro