Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

BAB 56 | AIR MATA

"Sometimes you need the rain, to know you miss the sun. Sometimes you need the pain, to know it isn't love."














RAZUDDIN ditempatkan di dalam sel penjara secara berasingan dalam keadaan tangan yang digari. Di kakinya telah dipasang alat penjejak berteknologi tinggi yang sukar dileraikan bagi memudahkan lokasi lelaki itu dikesan andai dia melarikan diri. Dia hanya duduk sambil menyandarkan badannya ke dinding tanpa mengeluarkan sepatah perkataan.

Matanya tajam memerhatikan empat orang pegawai polis yang berdiri tegak di luar sel umpama anjing yang amat patuh dengan tuannya. Razuddin terus tergelak besar umpama orang yang sudah kehilangan akal. Empat orang pegawai polis itu terus berkerut hairan lalu memandang antara satu sama lain tetapi tidak pula mereka berusaha mengutarakan persoalan.

Mereka berpengalaman berhadapan dengan banduan yang mengalami masalah jiwa namun, Razuddin adalah seorang ejen yang berpangkat tinggi. Tindak-tanduknya sentiasa terkawal dan amat mustahil untuk mereka yang bergelar ejen di bawah organisasi rahsia negara mengalami masalah mental  melainkan dia seorang psikopat yang pandai menyembunyikan identiti sebenarnya.

"Aku tak fahamlah. Kau orang semua ni macam anjing yang sangat patuh dengan tuannya. Kalau suruh cari tulang, cari tulang. Kalau suruh jelir lidah, kau orang jelir. Cuba kau orang buat, aku nak tengok boleh?" ujar Razuddin dengan tawa yang masih bersisa.

Pegawai-pegawai polis itu tetap berdiri di tempat mereka. Langsung tidak bereaksi walaupun hati sudah panas membara mendengar hinaan lelaki itu. Itulah caranya berhadapan dengan manusia psiko seperti Razuddin. Tetap perlu tenang tanpa membalas apa-apa perkataan kerana amarah hanya menyebabkan lelaki itu semakin gembira dan teruja untuk menyerang balas.

Razuddin mengetap gigi apabila kata-katanya tadi langsung tidak memberi apa-apa kesan. Tangannya dikepal geram apabila kehendaknya tidak dapat dipenuhi. Dia amat bencikan kekalahan. Maruahnya berasa tercalar.

"Huh! Berlagak! Ingat ya, tanpa bantuan aku... kau orang tak kan dapat cari lokasi sebenar semua yang menjadi mangsa! Aku saja yang tahu semua maklumat! Tapi ingat aku akan beri kerjasama ke? Aku lebih rela mati! Sampai bila-bila pun kau orang tak kan menang!"

Nada suara Razuddin naik seoktaf. Bibirnya terus tersenyum sinis apabila melihat perubahan reaksi wajah empat orang pegawai polis itu. Masing-masing berusaha menahan geram dan bersabar. Mereka telah diberi arahan hanya untuk memantau Razuddin, bukannya menyeksa.

'Tak perlu."

Suara seorang wanita tiba-tiba saja menyapa. Empat pegawai polis itu terus menunduk hormat terhadap Jane yang melangkah tenang lalu berdiri di hadapan jeriji besi itu. Razuddin tersenyum senget.

"Yakinnya kau orang boleh kalahkan kami..." balas Razuddin dengan riak wajah yang berlagak. Bangga kerana dia mampu berselindung disebalik topeng ejen rahsia bertahun-tahun lamanya tanpa ada sesiapa yang tahu. Itu bermakna agensi kerajaan lemah!

Jane mengukirkan senyuman ringkas lalu menggelengkan kepala. Tangan kirinya naik menutup mulut bagi mengelakkan tawanya terburai. Senyuman Razuddin terus mati. Dia berasa tercabar!

"Kau apa hal!"

"Aku kesiankan kau, Razuddin. Nampak gayanya otak kau cetek juga. Tak ada lah bijak sangat," perli Jane bersama senyuman. Dia berpeluk tubuh.

Jane bijak bermain psikologi yang menyebabkan situasi itu lebih berpihak kepadanya lalu mencetuskan perasaan kagum dalam diri empat orang pegawai polis di situ. Razuddin terus bangun lalu mendekati jeriji besi itu. Sakit hati menyebabkan urat-urat dahinya timbul. Matanya tajam menikam ke arah Jane yang masih tenang bersama senyuman mendatar.

Empat pegawai polis tadi pantas bergerak beberapa langkah ke hadapan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku namun, dihalang oleh Inspektor wanita yang berumur 47 tahun itu. Permintaan melalui gerak tubuh itu tetap dipatuhi meskipun kerisauan masih melanda diri.

"Kau pengkhianat, Razuddin. Bukankah kau sudah maklum hukuman-hukuman yang akan kau hadapi selepas ni? Sepatutnya kau boleh berfikir mana yang baik dan buruk. Sumpah setia yang kau lafaz sebelum ni cuma sekadar mainan bibir tanpa lahirnya dari keluhuran hati. Harta dan kekayaan cuma sementara, Razuddin..."

Kali ini, Jane memberi pesanan lembut tetapi masih terselit nada tegas dalam percakapannya. Riak muka bengis Razuddin langsung tidak mendatangkan kegusaran dan ketakutan di hatinya. Khidmatnya selama 20 tahun sebagai pegawai polis cukup membuatkan dia kebal berhadapan situasi ini bahkan lebih cemas lagi.

"Aku buat semua ni kerana aku sukakan cabaran! Aku suka tengok ketakutan dan kegelisahan orang ramai. Tengok pegawai polis berusaha mencari kami tapi masih tak dapat-dapat. Sebab apa? Sebab kami dalam kalangan kau orang! Dan kau orang seperti orang bodoh yang berlagak pandai padahal musuh ada saja depan mata!"

"Dia ni memang gila..." bisik seorang pegawai yang berdiri di sebelah kanan Jane namun, suaranya tetap kedengaran jelas pada pendengaran semua orang.

Matanya tajam menikam anak mata Razuddin. Hinaan lelaki itu menyebabkan dia tidak mampu mengawal rasa marahnya. Kalau bukan disebabkan jeriji besi ini menjadi pemisah antara mereka, sudah lama dikerjakan lelaki itu secukupnya.

"Aku? Gila? Hahaha! Kau orang tak sedar ke kau orang lagi gila? Kononnya berkhidmat untuk negara padahal kita saja yang bersusah payah! Dalam keadaan kita bertarung dengan nyawa, orang politik seronok berfoya-foya dengan harta dan masyarakat gembira dengan kehidupan mereka. Pernahkah kita dihargai? Tak! Tanya diri kau, kau sebenarnya berkhidmat untuk siapa!" Razuddin terus menyuarakan ketidakpuasan hatinya.

Pegawai polis terus terdiam. Perlahan-perlahan pendiriannya mulai goyah mendengar kebenaran yang tidak dapat disangkal itu. Pekerjaan mereka melibatkan nyawa tetapi bayarannya tidak setaraf dengan perjuangan mereka. Mereka cuma orang bawahan yang hanya digunakan sebagai perisai rakyat jika berlakunya peperangan dan pergaduhan.

"Tidakkah sepatutnya kau berasa bangga? Pekerjaan kita adalah melindungi, menjaga dan memelihara keamanan negara. Sesebuah keluarga itu tidak akan bahagia tanpa kita. Dalam hidup ni, jangan pernah berasa dengki melihat kebahagian orang lain. Itu tandanya hati kita sakit. Hati yang baik akan gembira melihat orang lain gembira. Tanya hati kau... dalam kalangan rakyat di negara ni, tak kan tak ada seorang pun yang kau rasa sayang dan mahu lindungi?" tanya Jane yang masih tenang.

Razuddin kelihatan tersentak. Wajah tegangnya perlahan-lahan mengendur sedikit. Begitu juga dengan pegawai-pegawai polis di sisi Jane.

"Sekalipun kau dah tak ada orang yang kau sayang untuk lindungi, maka lindungilah apa yang orang lain sayang. Mahukah kita kembali ke zaman peperangan dahulu? Disebabkan kepentingan diri sendiri, kita sanggup biarkan orang lain merana..."

Kata-katanya terzahir daripada hatinya yang luhur. Dia pernah berada di fasa kejatuhan yang menyebabkan dia putus asa dan tidak mahu kembali bangkit. Dia tidak ada sesiapa melainkan suaminya di dunia ini. Namun, saat Tuhan memanggil suaminya pergi, langit yang selama ini ringan terasa berat menghempapnya lalu dia jatuh terduduk di atas tanah. Sekalipun juraian air mata darah yang mengalir ke pipi, tidak akan boleh mengembalikan suaminya yang telah pergi.

Pernah terdetik di hatinya mahu berhenti berkhidmat, namun tiba-tiba saja perbualan antara dia dan suaminya berlegar di kepala umpama kaset yang terus berputar.



















«•»

























15 tahun yang lalu,

"Abang suka jadi polis."

Jane yang ketika itu sedang menonton televisyen di sofa bersebelahan suaminya terus menoleh. Tiba-tiba saja topik itu tercetus daripada bibir suaminya. Dia pelik.

"Kenapa pula? Apa yang best? Abang tak penat ke? Saya penat tau..." tanya Jane lalu menyandarkan kepalanya ke bahu lelaki itu. Tangan lelaki itu digenggam erat bersama senyuman ringkas.

"Penat tu memang penat. Tapi rasa penat tu akan bila tengok orang lain bahagia dengan kehidupan yang aman dan damai. Bayangkan kalau kita di zaman penjajahan British dan Jepun dulu, mesti kita pun akan rasa gelisah, sedih dan takut tengok orang lain diseksa. Sebab itu kita merdeka kerana adanya kerjasama rakyat yang berbilang bangsa, agama dan kaum yang memperjuangkan hak kebebasan Tanah Melayu. Bukankah kita sepatutnya rasa bangga?" Suaminya bersuara dengan penuh rasa teruja, menampakkan perjuangannya selama ini sememangnya ikhlas tanpa ada sedikipun kesalan dan keluhan.

Jane tersenyum lebar mendengar reaksi suaminya. Genggaman tangan mereka dieratkan. Tidak pernah terbayang kehidupannya tanpa lelaki itu di sisi. Selama ini, dia sudah banyak kehilangan orang yang dia sayang. Perkahwinan tanpa cahaya mata menyebabkan dia lebih takut untuk melepaskan suaminya. Doanya, biarlah mereka pergi bersama-sama. Berdua.














«•»














"HAHAHA!"

Tiba-tiba saja Razuddin ketawa kuat. Tubuhnya melorot jatuh terduduk di atas lantai simen itu. Kaki kanannya dilunjurkan ke arah jeriji besi manakala kaki kirinya dinaikkan menongkat tangan kiri. Mereka yang berada di situ terus berasa hairan. Tindakan Razuddin memamg tidak diduga.

"So sad! Kau ingat aku akan tersentuh ke dengan luahan hati kau yang sunyi tu? Aku sikit pun tak minta kau nasihat aku dan aku langsung tak menyesal dengan apa yang aku buat. Kalau kau nak ceramah, pergi ceramah dekat orang yang masih berkhidmat supaya tak jadi pengkhianat negara. Bukannya dekat aku yang dah jadi banduan ni. Bernanah telinga aku dibuatnya!"

Sinis Razuddin melemparkan kata-kata nista. Jane mengetap bibir. Kedua-dua belah tangannya digenggam erat. Perlahan-lahan dia mengukirkan senyuman terpaksa.

"Baiklah kalau itu yang kau fikirkan. Aku tak boleh buat apa. Tunggu sajalah perbicaraan dan hukuman kau nanti. Aku pergi dulu."

Jane terus berlalu pergi dari situ. Pegawai-pegawai polis tadi terus kembali ke posisi asal mereka manakala Razuddin tetap kekal dengan kedudukannya. Dia tersenyum lebar lalu menundukkan kepalanya namun setelah itu, tiba-tiba saja senyumannya menghilang. Air mata yang bergenang disembunyikan melalui tawa halusnya.

"Hahaha! Kelakar betul..."

Melihat keadaan lelaki itu, pegawai-pegawai polis tadi hanya mampu menggelengkan kepala.












Salam Isra' dan Mikraj! Insya Allah ada something sempana peristiwa ni di IG post😎

18 Feb 2023 / 27 Rejab
00:00







Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro