Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

BAB 53 | JAWAPAN


"Let it hurt than let it go."










RUANG yang menempatkan Nurhan untuk disoal siasat diperhati lama. Tanggapannya selama ini bilik untuk polis menyoal siasat penjenayah selalunya tertutup dan dikawal ketat tetapi ruang ini sangat terbuka. Beberapa pegawai polis sekali sekala melalui kawasan itu lalu memberikan senyuman manis.

Namun, ada juga yang mukanya bengis dan garang semacam. Mungkin mereka adalah pegawai atasan atau tertekan dengan kes-kes jenayah yang semakin menimbum. Nurhan cuba bersangka baik. Tanggungjawab sebagai pahlawan negara bukannya mudah. Andai kekacauan berlaku di sempadan atau dalam negara, mereka orang pertama yang akan turun ke medan perang. Hidup atau mati itu perkara kedua.

Andai mereka yang Islam mati ketika pertarungan dan iman mereka tetap teguh di jalan Allah selama ini, syahid menjadi anugerah yang amat dicumburui andai niat mereka tulus dan ikhlas. Bidadari Ainul Mardhiah setia menanti di syurga.

"Maaf saya lambat. Ada hal tadi..."

Nurhan tersentak daripada lamunan. Matanya naik melihat pegawai polis lelaki yang membawanya ke sini tadi.

"Tak apa, tuan. Saya faham." Nurhan menjawab lembut.

"Mari kita bincang di dalam pejabat saya," ujar pegawai polis tersebut lalu beransur pergi dari situ. Nurhan hanya mengekori saja dari belakang.

"Maaf tak sempat nak perkenalkan diri. Saya Inspektor Khalil. Terima kasih sudi luangkan masa membantu menyelesaikan kes ni." Tangan dihulurkan ke arah Nurhan.

"Saya Nurhan. Tak apa. Dah memang tanggungjawab saya terhadap mangsa." Huluran tangan Inspektor Khalil disambut. Senyuman ramah turut terukir di bibirnya.

"Jemputlah duduk." Nurhan hanya menurut. Tiada sebab untuk dia membantah kerana itu sememangnya adab yang diajarkan Islam untuk menyambut tetamu.

Inspektor Khalil mencapai sebuah fail hitam yang tebal di sisi meja. Buku notanya yang telah banyak diconteng dibuka lalu ditulis beberapa rangkaian perkataan yang hanya lelaki itu fahami. Nurhan tidak mahu mengganggu dan hanya mendiamkan diri.

Pejabat itu agak besar dan dipenuhi fail-fail yang menimbun namun, tetap kelihatan kemas dan tidak berselerak. Pasti pegawai polis itu seorang yang amat menitikberatkan kebersihan dan kekemasan. Al-quran yang terletak di atas penjuru meja menarik perhatian Nurhan. Tidak berdebu dan sudah hampir lusuh, menandakan Al-quran itu sering dibaca oleh tuannya.

Nurhan tersenyum sendiri. Dalam kesibukan menggalas jawatan inspektor polis, Encik Khalil tetap tidak melupakan pemberi kejayaan sepanjang hidupnya. Sejak awal, sebenarnya Nurhan sudah mengenali lelaki itu. Nama dan figuranya sentiasa terpampang di dada akhbar dan sekali-sekala di kaca televisyen atas kejayaan lelaki itu menyelesaikan kes. Dalam diam, hati Nurhan terpalit rasa kagum.

"Jadi, macam mana kamu boleh berjumpa dengan mangsa?" tanya Inspektor Khalil lalu menghentikan fikiran Nurhan yang jauh menerawang memikirkannya.

"Selalunya selepas subuh saya akan ke kebun kepunyaan arwah ayah saya. Bila saya periksa kawasan hujung kebun, ada tanah runtuh dan saya terkejut tengok cik Rita berada di bawah tanah runtuh..." Inspektor Khalil mengangguk lalu tangannya pantas mencatat di atas buku nota.

"Anggaran masa ingat lagi tak?"

"Hmm... tak silap saya dalam sekitar 6:45 pagi..." jawab Nurhan sambil mengerutkan dahinya, cuba mengingati semula waktu dia menemui Rita.

"Bagaimana keadaan mangsa?"

"Tidak sedarkan diri dan berdarah."

"Jadi, apa pendapat kamu?" soal Inspektor Khalil dengan wajah yang serius. Pen diletakkan lalu jemarinya dicantumkan antara satu sama. Lagaknya seperti menyoal siasat Nurhan selaku penjenayah.

"Haa? Maksud tuan?" Nurhan tiba-tiba saja menjadi gugup melihat lelaki itu.

"Saya tanya... sebagai penduduk di situ, apa pendapat kamu tentang hal ni..." Inspektor Khalil masih menggunakan nada yang sama. Tenang dan tidak marah apabila Nurhan tidak memahami soalannya.

"Setahu saya... asal tempat cik Rita jatuh bukankah kawasan larangan? Dan agak mencurigakan bila seorang gadis pergi ke kawasan tu seorang diri pada malam hari." Nurhan menjawab dengan berhati-hati. Inspektor Khalil mengangguk sebagai tanda bersetuju.

"Jadi, keluarga kamu merawat cik Rita. Kamu tahu kenapa cik Rita tidak mahu pulang ke pangkuan keluarga?"

"Tak." Ringkas saja jawapan Nurhan. Dia jujur.

Sekali lagi Inspektor Khalil mengangguk. Fail hitam yang tebal tadi diselak helaian demi helaian lalu terhenti pada sekeping gambar seorang lelaki yang diklip pada fail tersebut. Gambar tersebut dicabut lalu diletakkan di atas meja, berhadapan Nurhan.

"Kenal lelaki ni?"

Air muka Nurhan terus berubah apabila melihat figura lelaki tersebut. Ya, dia amat mengenali lelaki itu. Inspektor Khalil tersenyum.

"Nampaknya kamu memang kenal..."

Inspektor Khalil bijak membaca perubahan tingkah laku Nurhan. Pengalamannya selama 18 tahun mengendalikan kes menyebabkan dia menemui pelbagai jenis ragam manusia. Ada yang mengalami masalah mental, melarikan diri dan ada juga yang sengaja berpura-pura gila agar terlepas daripada seksyen 302, hukuman mati mandatori.

"Ya... saya kenal..." Tanpa berfikir panjang, dia terus menceritakan pergelutan Rita dengan lelaki yang dipercayai bekas teman lelaki gadis itu di pasar baru-baru ini. Jelas lelaki itu kelihatan memaksa Rita mengikutnya meskipun dia tidak mendengar butir perbicaraan mereka berdua.

Inspektor Khalil mengangguk lalu sekeping gambar lagi dikeluarkan dari laci kecil mejanya lalu diletakkan bersebelahan gambar lelaki tadi. Nurhan terkejut besar. Bibirnya ingin melontarkan persoalan namun, entah mengapa suaranya seperti disekat. Dia tergamam. Perasaannya bercampur baur. Rindu, sedih, terkejut dan marah.

"Ini adik kamu kan..." Lembut saja Inspektor Khalil menyoal. Dia faham perasaan Nurhan. Bukan mudah menerima hakikat pemergian tragis adik yang dicintainya itu.

Disebabkan seorang lelaki, gadis itu sanggup mengabaikan keluarga. Siapa sangka cinta yang pada mulanya manis akan berubah menjadi racun yang membunuh. Akhirnya, Najwa pergi akibat menerima suntikan racun sebelum ditikam pada perut.

"Ya... Najwa adik saya..." Perlahan saja suara Nurhan.

"Tapi... kenapa tiba-tiba tuan kaitkan Najwa?" sambung Nurhan. Dia tertanya-tanya... apakah motif lelaki itu sebenarnya? Dia langsung tidak faham.

"Hasil siasatan saya... sebenarnya yang bunuh adik kamu adalah dia." Mata Inspektor Khalil terus beralih ke arah gambar lelaki tadi.

Sekali lagi Nurhan terkejut. Penumbuknya dikepal geram. Patutlah dia seperti pernah lihat lelaki itu sebelum ini. Rupanya lelaki itu teman lelaki dan juga pembunuh adiknya!

"Kamu kenal ke lelaki ni?" Sekali lagi Inspektor Khalil bertanya soalan yang sama.

"Selama ni, saya tak tahu rupa teman lelaki adik saya memandangkan dia sangat berahsia. Suatu hari, sehari sebelum kematian Najwa, saya mendapat satu mimpi yang sangat aneh..."















<<•>>













SAAT mata dibuka, keadaan yang gelap menyebabkan Nurhan sangat terkejut dan takut. Dia meraba-raba mukanya. Dia langsung tidak nampak apa-apa. Penglihatannya seperti buta. Kakinya bagaikan dikunci pada tempatnya. Nurhan panik.

"Abang!" Suara itu menyebabkan dia tersentak. Matanya terus meliar mencari arah suara tersebut. Untuk seketika, dia terlupa keadaannya sekarang.

"Najwa?" Nurhan terus melaungkan nama adiknya itu.

"Abang... abang..."

Teriakan penuh ketakutan tadi secara tiba-tiba berubah menjadi esak tangis yang menghayat hati. Pada saat ini, perlahan-lahan muncul dua figura manusia di hadapan matanya. Kelihatan Najwa terduduk dengan wajah dan tubuh yang berlumuran darah. Rambut panjangnya menutupi sebahagian wajah. Gadis itu kelihatan pasrah menghadapi takdirnya.

Di hadapan Najwa, seorang lelaki megah berdiri dengan pisau yang berlumuran darah. Diperhatikan saja mangsanya yang telah ditikam tanpa belas kasihan bahkan senyuman turut meniti di bibirnya. Jantung Nurhan bagaikan direntap. Masa seakan-akan terhenti. Tiba-tiba saja dia menjadi bisu dan lumpuh.

Lelaki misteri itu berpaling melihat Nurhan, menyerlahkan wajah psikonya. Kaki dibawa mendekati Nurhan yang hanya kaku tidak boleh melakukan apa-apa. Setiap kali langkah lelaki itu membunuh jarak di antara mereka berdua, jantung Nurhan semakin berdegup kencang. Buat pertama kali, dia merasai ketakutan yang amat dahsyat sepanjang hidupnya.

Langkah lelaki itu terhenti sekitar jarak lima kaki dari Nurhan. Matanya yang merah menyala memperlihatkan sisinya yang bukan manusia. Manusia ada simpati dan belas kasihan sedangkan syaitan tidak. Jiwanya bukan lagi berpegang pada Tuhan. Senyuman sinis meniti di bibir lelaki itu. Pisau yang menikam Najwa tadi tadi diangkat tinggi.

"Mati. Kau akan mati!"














<<•>>















AKHIRNYA dia menemui jawapan bagi segala tanda tanya. Takdirnya bertemu dengan Rita bukan kebetulan tetapi satu ketetapan yang telah Allah aturkan sebagai jawapan. Meskipun jawapan itu hadir agak lewat, aturan Allah tidak pernah salah alamat. Ada hikmah dalam setiap kesedihan. Ada petunjuk bagi setiap kesabaran.

Siapa sangka dugaan demi dugaan yang berlaku mempunyai kaitan antara satu sama lain, membentuk rangkaian jawapan yang mengandungi berjuta-juta hikmah dan pengajaran meskipun terpaksa menahan luka yang membuakkan darah.

Setiap yang berlaku dalam hidup bukannya sengaja suka-suka Allah mahu aturkan melainkan membentuk diri yang lebih kuat dan teguh daripada sebelumnya. Sebuah novel yang jalan ceritanya hanya bahagia tanpa musibah pasti akan terasa membosankan. Sesiapa juga boleh menjangka pengakhirannya turut bahagia. Jadi, untuk apa lagi meneruskan pembacaan?

Begitulah realiti. Kehidupan yang menyedihkan akan memberi manusia kekuatan untuk mendapatkan pengakhiran yang bahagia. Akhirnya Nurhan sedar, cepat atau lambat, Tuhan akan tetap mempertemukannya dengan jawapan walaupun permintaannya mengubah masa silam dikabulkan. Takdir masa hadapan tetap tidak akan berubah kerana itu semua dalam pegangan Allah dan bukannya manusia.
































Sekarang dah banyak petanda-petanda akhir tahun. 🧐

Salah satunya novel ni akan melabuhkan tirai juga🙊. Korang kalau ada kawan ii yang minat novel, jgn lupa share n recommend buku ni tau 😎

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro