BAB 48 | MURAH
"Hidup orang yang bercinta, permulaan hatinya seakan-akan ikhlas dan bersungguh-sungguh, pertengahannya berpenyakit dan pengakhirannya kematian hati dan jasad."
TATKALA mentari sudah menyembunyikan diri, cahaya turut sirna dari permukaan bumi lalu malam terus melabuhkan tirainya, mempersembahkan hamparan bintang-bintang di angkasa raya. Indah meskipun kelihatan kecil. Sekurang-kurangnya malam ini tidak suram dan kelam sepertimana suasana hati Rita ketika ini.
Sejak kepulangannya dari pasar pagi tadi, dia terus menerjah masuk ke dalam bilik tanpa menyapa sesiapapun yang ada di situ. Puan Zulaikha pula kelihatan bingung dengan perubahan sikap gadis itu. Saat matanya bertentang mata dengan anak lelakinya, Nurhan untuk meminta jawapan, lelaki itu terus mengangkat bahu dan berlalu pergi begitu saja.
Nurhan yang baru saja pulang dari surau setelah menunaikan solat Isyak secara berjemaah terus memberi salam sebelum masuk ke rumah. Matanya meliar mencari kelibat Rita di dapur, namun langsung tidak ditemui. Dia mengeluh perlahan lalu mendekati kakaknya yang sedang memotong bawang. Ibunya yang sedang membasuh pinggan tidak mahu diganggu.
"Rita keluar bilik tak tadi?" tanya Nurhan perlahan setelah melabuhkan duduk di atas kerusi, berhadapan dengan kakaknya itu. Pergerakan Nana terus terhenti lalu adik lelakinya dipandang bersama keluhan berat
"Tak... dia kunci pintu. Akak tanya dia okey ke tak, dia kata dia okey je..." balas Nana risau. Dia tahu Rita berbohong.
"Nurhan tahu ke apa yang terjadi? Kenapa Rita jadi cam tu?" sambung Nana yang berasa ingin tahu. Nurhan terdiam untuk seketika. Kejadian pagi tadi terus berlayar di kepala.
"Nurhan nak cerita pun... Han sendiri tak tahu kisah yang sebenarnya," ujar Nurhan lalu menanggalkan kopiahnya dan diletakkan di atas meja. Rambut yang terjuntai ke dahi diraup ke belakang.
"Tak apa, itu belakang cerita. Lain kali kita selidik lebih dalam. Yang penting akak nak tahu punca kenapa Rita menangis," putus Nana dengan suara yang perlahan. Dia tidak mahu ibunya mendengar perbualan mereka.
"Rita menangis?" Nurham sedikit terkejut. Tidak sangka yang kejadian pagi tadi menjadi suatu masalah yang besar.
Rita mengangguk laju mengiyakan. Bukan niatnya ingin mencuri dengar, tetapi ketika itu dia sangat risaukan Rita. Entah kenapa gadis itu mengingatkan dia terhadap arwah Najwa yang sudah pergi meninggalkan alam dunia sejak dua bulan yang lalu. Tidak semena-mena tubir matanya terasa hangat dengan air mata.
Nana pantas menyeka air matanya daripada terus menitis. Biarlah yang berlalu teruskan berlalu. Dia tidak mahu air matanya menitis sebagai bukti dia tidak reda terhadap qada' dan qadar Allah. Sekali lagi Nurhan terdiam untuk seketika.
"Macam ni... kebetulan waktu tu, Nurhan baru habis isi minyak motor. Tiba-tiba, Haffaz nampak Rita dengan seorang lelaki di depan kedai Pak Awang. Dari riak wajah Rita, nampak sangat dia macam terkejut dan takut dengan lelaki tu. Nurhan tak fikir panjang terus tegur dan Rita terus tarik Nurhan pergi dari situ."
Nurhan menjelaskan kejadian pagi tadi sambil matanya turut memandang ke arah ibunya sesekali. Takut wanita yang dicintainya itu terdengar lalu menimbulkan kerisauan di hati. Cukuplah pemergian Najwa memberi kesan duka dan luka yang sangat mendalam.
"Sewaktu nak pergi tu, tiba-tiba lelaki tu luahkan perasaan dekat Rita tetapi Rita langsung tak berpaling." Nurhan menyambung lagi.
Nana terus menyandarkan badannya ke kerusi. Kepalanya ligat berfikir mencari penyebab yang berkemungkinan menjadi jawapan yang paling tepat. Begitu juga Nurhan.
"Akak rasa mungkin lelaki tu ex boyfriend Rita. Mungkin dia sayangkan Rita lagi?" Berdasarkan cerita Nurham, itulah penyebab paling logik sekali bagi Nana.
"Then why Rita nampak takut? Sewaktu dia tarik baju Nurhan, Han dapat rasa yang tangan dia menggigil. Muka dia pucat dan nampak takut sangat." Nurhan membantah dengan penuh yakin sekali. Dia nampak dengan mata kepalanya sendiri!
"Amboi serius betul korang berbincang. Cuba beritahu ibu apa yang serius sangat tu?" Suara Puan Zulaikha tiba-tiba saja mencelah suasana tegang di antara mereka berdua. Nurhan dan Nana terus membetulkan posisi duduk dan mengubah riak wajah mereka.
"Tak ada apalah, ibu. Nurhan ni ha, suka sangat cari pasal!" Nana lekas mencari alasan bagi menjawab soalan yang diutarakan oleh ibunya. Seperti kebiasaan, Nurhan hanya memberi riak wajah yang kosong dan tenang.
"Kamu berdua ni janganlah gaduh. Ibu ada korang berdua je..." ujar Puan Zulaikha perlahan.
Entah mengapa kata-kata Puan Zulaikha kedengaran begitu sayu dan sedih meskipun wanita tua itu langsung tidak memaksudkannya. Nana terus menundukkan kepala apabila dia dapat merasakan matanya sudahpun bertakung dengan air mata. Hampir-hampir saja mahu menitis. Dia berasa sebak.
"Esok ada kenduri doa selamat Encik Yasin di surau kan? Ibu nak pergi pukul berapa?" Nurhan terus mengubah topik perbincangan apabila melihat perubahan reaksi wajah kakaknya. Dia sangat faham dengan perasaan Nana.
"Mestilah nak datang awal. Ibu nak tolong memasak sekali. Apa salahnya gotong-royong. Nanti Nana ajak Rita pergi sekali ya?"
Mendengar suruhan ibunya, Nana segera menganggukkan kepala lalu senyuman palsu meniti di bibirnya. Mujur air matanya sudah diseka. Diperhatikan saja tubuh tua itu berlalu pergi. Nurhan sekadar mendiamkan diri, memberi ruang untuk kakaknya kembali bertenang.
•𖧷•
SEAWAL jam 9:00 pagi, orang kampung sudah bertapak di surau bagi melaksanakan kenduri kesyukuran buat keluarga Encik Yasin bersempena kepulangan anak perempuannya dari Mesir yang berjaya memperoleh segulung ijazah dalam bidang perubatan. Ibu bapa mana yang tidak gembira apabila menerima khabar gembira mengenai kejayaan anak mereka.
Melihat muka bahagia Encik Yasin dan isterinya, mengingatkan Rita terhadap ibu bapanya di rumah. Entah sihat ataupun tidak, dia sendiri tidak tahu. Layakkah dia pulang ke pangkuan keluarga semula setelah berbakul-bakul duri telah dia berikan kepada mereka berdua?
Dia umpama si tanggang yang derhaka mendengar kata orang tuanya demi mencari cinta senjati, namun hakikatnya, itu cumalah sumpahan yang mengubah si tanggang menjadi batu.
Sejak dari tadi, Nana perasan akan riak muram yang terlukis pada wajah Rita. Mata gadis itu sembab meskipun tidak kelihatan ketara. Tahulah Nana kejadian semalam memberi kesan yang sangat mendalam dalam jiwa gadis itu. Tangannya naik menyentuh bahu Rita.
"Rita okey tak hari ni? Kalau tak sihat balik je rumah."
Rita berpaling lalu terus mengukirkan senyuman nipis. Tangan Nana ditarik lalu digenggam lembut.
"Maaf kalau buat kak Nana risau. Hari ni Rita okey..."
"Betul ni?"
"Ya, betul..." Rita membalas sambil mengangguk perlahan.
"Okeylah macam tu. Kalau ada apa-apa masalah cerita tau. Akak nak ucap tahniah dekat anak Pak Yasin kejap," ujar Nana kemudian terus berlalu pergi.
Rita hanya memerhatikan langkah Nana yang mendekati anak perempuan Encik Yasin. Cantik dan kelihatan sopan. Setiap layanan yang diberikan disambut bersama air muka yang manis. Dia sedikit berasa cemburu. Andai bukan kedegilannya mengikut telunjuk Khairul, pasti sekarang dia sudah dapat menggembirakan hati ibu bapanya dengan kejayaan yang diperoleh.
Disebabkan tidak mahu melayankan sangat perasaan sedih yang menjentik tangkai hatinya, dia terus berlalu pergi dari situ dan mencari kelibat Puan Zulaikha. Setelah menemui figura yang dicari, dia mengambil keputusan untuk mendekati wanita itu, namun langkahnya terhenti apabila mendengar bait bicara manusia yang berada di situ.
"Zulaikha, apa kata kau jodohkan Nurhan dengan anak Yasin, si Dayana tu. Cantik pun cantik. Pandai pula tu. Bakal doktor."
Rita yang berada disebalik dinding hanya tersenyum nipis. Tidak dinafikan Dayana dan Nurhan cukup serasi menjadi sepasang suami isteri. Biarpun Nurhan tidak melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, ilmu agama yang dimilikinya sudah cukup memadai.
"Aku tak nak paksa dia. Biarlah dia tentukan pilihan hati dia sendiri," balas Puan Zulaikha apabila mendengar cadangan wanita itu. Sayur sawi yang berada dalam pegangan dipotong dengan tenang.
"Hmm yelah. Jangan kau biarkan dia dengan si Rita tu pula," ujar seorang wanita yang lain. Puan Zulaikha terus mengerutkan dahi manakala Rita sedikit tersentak. Kenapa namanya pula yang disebut?
"Kenapa kau cakap macam tu? Apa salahnya kalau dia dengan Rita? Kalau dah jodoh nak buat macam mana."
"Aku bukan nak cakap apalah, Zulaikha. Aku yakin kau tak tahu lagi pasal benda ni," ujar wanita yang ketiga.
Kata-kata wanita itu umpama semakin memarakkan api yang sudah sedia panas. Puan Zulaikha semakin kehairanan. Tidak faham dengan permainan yang cuba diatur oleh mereka bertiga.
"Apa yang cuba kau sampaikan ni, Leha?"
"Hari tu, aku nampak yang si Rita tu berjumpa dengan teman lelaki dia di pekan! Dia orang macam bergaduh tau. Selepas tu, tiba-tiba Nurhan datang. Tak cukup dengan tu, Rita terus pegang tangan Nurhan pergi dari situ!"
Mendengar kata-kata itu, Rita begitu tersentak. Kakinya tiba-tiba saja terasa longlai lalu terus terduduk di situ. Baru saja semalam dia menitiskan air mata, hari ini sekali lagi dia menangisi nasib malangnya yang tidak berpenghujung. Sebak mula mencengkam dada.
'Ya Allah... dugaan apakah lagi yang Engkau ingin berikan kepadaku?'
"Haish! Kau orang ni memandai je. Tak kanlah sampai cam tu. Setiap orang ada masalah. Kita belum tahu hal yang sebenarnya," sampuk Puan Zulaikha yang langsung tidak mahu percaya.
"Kau percayalah sangat si Rita tu. Kau sendiri tak tahu mana asal usul dia. Nampak je mahal tapi sebenarnya murah! Jangan jadi macam arwah anak kau si Najwa tu. Dah kena bunuh dengan jantan, baru nak menyesal. Jangan biar pisang berbuah dua kali, Zulaikha."
"Betul! Dari dulu lagi aku tak berkenan tengok cara si Rita tu. Macam mana kau boleh biar dia sebumbung dengan Nurhan? Dia bukan darah daging kau. Tipulah kalau dia tak ada perasaan dekat Nurhan. Macam mana kalau kau dan Nana tak ada di rumah? Kau tak fikir ke dia orang akan buat benda tak senonoh?"
"Bagi aku, Nurhan dan Rita tu bagai langit dengan bumi! Aku bukan nak buat kau sedih, tapi jujur yang kalau arwah suami kau tahu... pasti dia sendiri pun tak bersetuju."
Kata-kata yang keluar daripada mulut mereka umpama busur yang dipanah tepat ke hati Puan Zulaikha. Hatinya dijentik sebak apabila nama arwah suami dan anaknya disebut. Daripada cara percakapan mereka menunjukkan dia seperti seorang ibu yang tidak pandai mendidik anak-anaknya.
Hati ibu mana yang tidak terluka apabila melihat anaknya yang sudah meninggal dunia masih dipandang hina oleh masyarakat? Sejahat manapun anak itu, seorang ibu pasti mahukan yang terbaik buat anaknya biarpun telah meninggal dunia. Dia mengharapkan anaknya didoakan dengan doa-doa yang baik, namun dunia ini sifatnya kejam.
Seputih manapun sehelai kain, seandainya ada setompok cat hitam, itulah yang akan dipandang oleh masyarakat. Kematian Najwa bukanlah kematian yang dia inginkan, namun siapalah dia menidakkan takdir Allah. Walaupun berjuta-juta manusia menghina anaknya, bibirnya akan sentiasa melantunkan doa keampunan buat anaknya itu.
Najwa tidak bersalah sebaliknya dialah yang sepatutnya dipersalahkan. Dia silap dalam mendidik. Semua yang berlaku terhadap Najwa disebabkan segala kekurangan yang dia miliki.
'Maafkan ibu, Wawa. Ibu yang salah... Disebabkan ibulah Wawa dihina. Maafkan ibu... maafkan ibu. Ya Allah, maafkanlah dia...'
Suara hati Puan Zulaikha lirih melontarkan luahan. Air mata yang bertakung cuba ditahan daripada terus menitis. Demi mendapatkan keampunan untuknya anaknya, dia akan terus bertahan dan berdoa sehingga ke penghujung hayatnya walaupun seluruh isi dunia ini membenci.
Melihat wajah Puan Zulaikha yang berubah, Rita terus berlalu jauh pergi dari situ. Dia tidak sanggup melihat wajah tua itu menanggung kesedihan kerana fikirannya akan terlayar mengingat wajah kesedihan ibu bapanya. Sampai saja di belakang sepohon pokok, dia terus menghempaskan segala tangisan.
Agaknya... begitukah air muka ibu bapanya tatkala mendapat hinaan orang kampung apabila mendapat tahu dia melarikan diri mengikut seorang lelaki yang dicintai?
"Maafkan Rita, umi... abah. Maafkan Rita..."
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro