BAB 43 | TAKDIR YANG LAIN
"Ombak tidaklah besar, cuma perahu kita saja yang kecil. Ujian Allah tidak berat, cuma iman kita saja yang lemah."
ఌ︎
RITA berjalan perlahan ke arah sebuah surau kecil yang terletak di antara dua buah rumah di kampung itu. Surau itu tidaklah terlalu besar namun, cukup untuk para jemaah di kampung ini menunaikan solat fardhu lima waktu secara berjemaah.
Angin pagi lembut menyapa tubuhnya. Meskipun surau yang diperbuat daripada kayu dan batu konkrit itu masih agak jauh daripada pandangan, ketenangan dan kedamaiannya telah dapat dirasai dari sini. Mungkin inilah kelebihan yang diberikan oleh Allah SWT hasil daripada usaha penduduk kampung untuk meng'imarahkan surau lama itu.
"Assalamualaikum akak." Satu suara seorang perempuan tiba-tiba saja menyapanya. Rita sedikit tersentak lalu terus mengalihkan pandangan ke arah gadis bertudung labuh berwarna ungu itu.
"Waalaikumussalam. Er... kamu ni dari surau ke?" Rita terus bertanya apabila matanya tertumpu pada Al-Quran lusuh yang dipeluk oleh gadis itu.
"Ya haah. Saya baru habis kelas tarranum dengan Ustaz Nurhan," balas gadis itu dengan ramah bersama senyuman manis.
"Oo... jadi Ustaz Nurhan masih ada di surau la kan?" Gadis itu terus menganggukkan kepala. Matanya jatuh pada bekal makanan yang dibawa oleh Rita.
"Akak nak bagi bekal makanan ni dekat ustaz ke? Kalau nak, saya boleh tolong berikan."
"Ehh... tak apa. Ni amanah orang kat akak. Jadi, akak yang kena beri..." tolak Rita sedikit gugup. Dia tersengih.
"Oh kalau cam tu saya minta diri dulu ya. Assalamualaikum..." pinta gadis itu dengan sopan.
"Waalaikumussalam..." Rita membalas sambil menghantar pemergian gadis itu bersama senyuman. Setelah gadis itu hilang daripada pandangan, Rita segera menyambung langkahnya ke arah surau semula.
'Hebat juga dia... pandai tarranum...' bisik hati kecil Rita yang saat ini teringatkan Nurhan.
Sampai saja dia di kawasan luar surau, langkahnya untuk memasuki rumah Allah itu tiba-tiba saja terhenti apabila dia mendengar suara seorang lelaki remaja dan dewasa bersilih-ganti membaca ayat-ayat suci Al-Quran. Sesekali, suara lelaki dewasa itu kedengaran membetulkan bacaan ayat Al-Quran lelaki remaja tadi.
Sekali lagi Rita terpegun. Entah mengapa akal dan kehendak hati mendorongnya untuk melangkah lebih dekat ke arah pemilik suara itu lalu bersembunyi disebalik pintu utama surau. Dengan berhati-hati, dia menjengukkan sedikit kepala.
Ayat-ayat Tuhan itu dialunkan dengan sepenuh penghayatan kepada Yang Maha Esa sehingga membuatkan Rita sedikit meremang apabila suara itu mencapai nada yang tinggi dan panjang. Namun, tidak dapat dinafikan bahawa hati dan akal fikirannya tenggelam dalam ketenangan dan kedamaian yang dilontarkan melalui surat cinta Ilahi.
"Sadaqallahul'azim..."
"Tahniah, Hairi. Tarranum kamu semakin bagus." Nurhan terus memuji setelah anak remaja lelaki itu menghabiskan bacaannya.
"Alhamdulillah. Terima kasih jugak buat ustaz yang sentiasa mengajar saya menjadi lebih pandai."
"Alhamdulillah. Ilmu ni Allah yang punya. Ustaz hanya menyampaikan..." ujar Nurhan bersama senyuman yang menandakan dirinya seorang muslim yang sangat merendah diri apabila dipuji.
"Saya minta diri dulu ya, ustaz. Assalamualaikum..." tambah Hairi lalu menutup Al-Qurannya.
"Waalaikumussalam..."
Setelah itu, Hairi terus berlalu pergi. Rita yang sedang berdiri di pintu hanya disapa dengan senyuman. Langsung tak bertanya sebab mengapa Rita datang ke sini. Mungkin budak lelaki itu seorang yang tidak suka mencampuri urusan orang lain yang langsung tiada kaitan dengan dirinya.
Setelah budak lelaki itu pergi, Rita terus mengalihkan pandangannya ke arah Nurhan yang sedang menyelak halaman Al-Quran yang bersaiz sederhana besar itu. Dia tak berniat untuk menegur atau menyapa lelaki itu buat masa sekarang kerana dia tahu Nurhan pasti masih ingin meneruskan bacaannya.
Hanya beberapa detik waktu setelah Nurhan mengalunkan ayat suci Al-Quran yang penuh syahdu itu, Rita kembali tenggelam dalam kancah kesepian yang penuh dengan ketenangan dan kedamaian hatta bunyi daun dan ranting tatkala dihentak angin turut tidak kedengaran.
Begitu hebatnya kuasa Allah SWT yang telah mengizinkan mata anak panah ayat Al-Quran menusuk hati seorang hamba-Nya setelah sekian lama dibiarkan hati itu berada dalam kegelapan. Dengan hadirnya Nurhan sebagai perantaraan, satu titik hitam dalam hatinya beransur-ansur hilang. Itulah hidayah, anugerah Tuhan yang tak ternilai buat mereka yang terpilih.
Andai semua yang ada di bumi ini ada harganya, pasti semua manusia akan mati dalam sekelip mata kerana tidak mampu membayar harga nyawa, jantung, hati, tangan, kaki, mata, oksigen dan sebagainya. Tetapi kasihnya Allah kepada kita, segalanya diberikan secara percuma. Yang Tuhan cuma inginkan ialah ketaatan daripada semua makhluk-Nya.
Justeru... tanyalah hati... nikmat manakah yang telah kalian dustakan?
Sekali lagi, air mata Rita menitis. Betapa hinanya dia sebagai seorang muslimah yang berpakaian serba alim di hadapan manusia lain, tetapi hakikatnya dia seorang fasik dan munafik yang mengikut telunjuk nafsu dan iblis. Kendatipun dirinya sudah diasuh dengan agama sejak kecil, Rita tetap tertipu.
•𖧷•
"SADAQALLAHUL'AZIM...."
Setelah beberapa muka surat, Nurhan terus menamatkan bacaan tarranumnya apabila jam di surau itu sudah melepasi angka jam 9:40 pagi. Nampaknya, dia sudah terlambat untuk ke kebun yang dahulunya pernah diusahakan oleh arwah ayahnya.
Kerana disebabkan itulah dia memilih untuk tidak bekerja di bandar yang jauh lebih tinggi gajinya berbanding di kampung. Segalanya kerana kebun pusaka yang ditinggalkan oleh arwah ayahnya ini. Kalau bukan dia yang mengusahakan, siapa lagi? Lagipun dia satu-satunya anak lelaki dalam keluarga.
Setelah memastikan suis semua kipas surau itu ditutup, Nurhan terus bergerak keluar. Buat seketika, dia terkejut apabila melihat terdapat satu bekas makanan bertingkat di hadapan pintu surau.
"Eh siapa punya ni? Untuk aku ke?" tanya Nurhan kepada dirinya sendiri.
Takut makanan itu akan menjadi darah dagingnya yang haram kalau dimakan tanpa izin. Risau segala amal ibadatnya ditolak mentah-mentah dan menyebabkan dia tertarik untuk melakukan maksiat.
"Astaghfirullah. Nauzubillah..." Nurhan beristighfar perlahan apabila memikirkan balasan buruk yang telah dijanjikan Allah pada hari akhirat kelak.
Meremang bulu roma apabila kepalanya membayangkan api neraka yang menjulang-julang bakal membahamnya selama ratusan tahun. Jika api kecil yang berada di dunia ini pun manusia tak mampu tanggung, inikan pula api neraka Allah yang ternyata jauh lebih luas daripada semesta.
Persoalannya... mampukah kita untuk kekal berada di sana?
"Ustaz!"
Satu suara budak lelaki menyapa telinga. Nurhan terus tersedar ke alam realiti lalu mengalihkan pandangannya ke arah Hairi yang tersengih lebar.
"Eh Hairi? Tak balik lagi?" tanya Nurhan yang sedang kehairanan. Diperhatikan saja tindakan budak lelaki itu yang segera masuk ke dalam dan mengambil botol airnya yang berada di tepi dinding.
"Dah balik dah tadi. Bila dah sampai rumah, baru saya teringat botol air saya tertinggal. Hehe..." Hairi membalas seraya bergerak mendekati Nurhan semula. Matanya jatuh pada bekas makanan yang dipegang Nurhan.
"Oh! Ni bekas makanan kakak tadi bagi tu ke ustaz? Untunglah ustaz dah ada girlfriend..." Hairi mengusik sambil tersengih seperti kerang busuk. Dicuit-cuit jubah putih yang dipakai oleh Nurhan.
"Kakak? Kakak mana?" Nurhan terus bertanya. Tidak terusik langsung dengan perangai nakal budak lelaki itu.
"Ada. Waktu Hairi dah habis baca Al-Quran tadi, kakak tu ada tunggu di tepi pintu tu..." Hairi membalas sambil memuncungkan mulut ke arah pintu, tempat Rita berdiri tadi.
'Oh... ni mesti kak Nana...' monolog Nurhan dalam hati.
"Oh yeke... kakak ustaz tu. Memang dia selalu buat bekal untuk ustaz..."
"Ish mana ada! Saya kenal sangatlah dengan muka kak Nana! Kali ni orang lain. Cantik sangat! Macam bidadari jatuh dari langit!" puji Hairi dengan bersungguh-sungguh. Adakalanya nampak seperti budak lelaki itu sudah dewasa. Matang dari segi pemikiran dan perbualan.
"Mesti Rita..." bisik Nurhan perlahan.
"Haa? Apa dia ustaz?" Nurhan tersentak sedikit.
"Eh eh... tak ada apalah. Sibuk je. Dah pi balik!" Nurhan segera menghalau Hairi pergi. Budak lelaki itu mencebik. Namun, kakinya tetap melangkah pergi dari situ meskipun dia masih tak berpuas hati.
"Yelah! Ustaz kalau nak kahwin, jangan lupa jemput tau! Bye!" jerit Hairi lalu segera berlari pulang ke rumahnya. Sempat lagi dia melambai tangan dengan penuh ceria ke arah Nurhan.
"Ish budak ni! Dia pergi cakap kuat-kuat pulak..." Nurhan membebel perlahan sambil melihat kawasan sekeliling. Risau ada orang yang mendengar lalu menimbulkan spekulasi bahawa dia sudah ingin berkahwin. Habis satu kampung terkejut dengan berita tergempar itu.
"Haih... macam-macam perangai budak zaman sekarang..." Nurhan menggeleng perlahan seraya menyarungkan seliparnya lalu bergerak ke arah motosikal yang berada di tepi rak kasut.
Bekas makanan tadi diletakkan di dalam raga motosikal lalu enjin dihidupkan. Tanpa membuang masa, dia terus pergi ke kebun arwah ayahnya yang terletak agak jauh di dalam hutan, tempat di mana dia menemukan Rita yang cedera parah akibat terjatuh dari kawasan yang tinggi.
Satu lukisan takdir pertemuan Tuhan yang tidak disangka-sangka. Misteri dengan pelbagai persoalan... tetapi penuh dengan hikmah yang indah.
•𖧷•
PADA jam seawal pukul 6:30 pagi, setelah menunaikan solat Subuh di surau, Nurhan terus ke kebun arwah ayahnya dengan menaiki lori kecil. Meskipun terpaksa meredah kawasan yang berbatu dan berbukit, dia masih mampu mengawal stereng kereta dengan kemas dan tenang.
Tidak seperti hari kebiasaan, hari ini dia memilih untuk menaiki lori kerana buah-buahan dan sayur-sayuran di kebun telah pun mengeluarkan hasil yang memberangsangkan dan perlu diangkut untuk diberikan kepada pembekal.
Dalam keadaan hari yang masih gelap kerana matahari masih belum memunculkan diri, Nurhan mengajak sepupunya yang berusia dua tahun lebih tua untuk turut serta membantunya mengutip hasil tuaian. Lagipun sepupunya itu tidak sibuk dan sedang cuti semester sebelum menyambung pelajaran semula di peringkat degree.
"Dah dua minggu rupanya Najwa pergi..." ujar Shaz, sepupu Nurhan yang berada di sebelah tempat duduk pemandu. Matanya hanya memandang jalan di hadapan, tidak beralih sedikit pun ke arah Nurhan yang sedang fokus memandu. Begitu juga dengan Nurhan.
"Segalanya dah ditakdirkan, Shaz. Kita hanya mampu doakan dia..." Nurhan membalas bersama senyuman kecil apabila topik kematian adiknya diungkit.
"Aku harap semoga pelaku yang buat adik kau cam tu dapat ditangkap cepat. Tak boleh dibiarkan orang cam tu terlepas. Entah siapa pulak dia nak perdaya..." kata Shaz dengan nada yang agak marah.
Dia sendiri tak menyangka Najwa akan memperoleh kematian sebegitu rupa. Diperdaya dan ditipu oleh lelaki yang benar-benar dia cinta. Disangkakan bunga mawar indah yang dihulur merupakan hadiah, hakikatnya itu cuma umpan yang dipenuhi duri-duri yang menghiris.
Nurhan hanya mendiamkan diri dan langsung tak membantah. Diamnya menandakan dia amat bersetuju dengan kata-kata Shaz.
"Macam mana dengan mak ngah dan kak Nana?"
"Macam biasa. Aku tahu diorang cuma pura-pura kuat. Macam kau cakap la... diorang sendiri tak sangka Najwa akan pergi secepat ni..."
"Mesti berat bagi kau sekeluarga. Aku sendiri pun rasa sedih. Belum ditambah lagi orang kampung asyik mengata pasal arwah Najwa..." sambung Shaz lagi.
"Biarlah diorang. Mulut manusia tak boleh ditutup. Keredhaan manusia ialah matlamat yang tak mungkin tercapai..." ulas Nurhan lagi.
Sedang mereka sibuk berbual, perlahan-lahan langit semakin cerah dengan sinar matahari. Dari jauh, sudah kelihatan kebun yang diusahakan oleh Nurhan sejak dua tahun lalu.
"Dah. Jom turun..." kata Nurhan setelah meletakkan lorinya di bawah sebatang pokok yang besar.
"Aku pergi kutip dekat kebun pisang tau!" Shaz memberitahu dengan nada yang sedikit kuat.
Nurhan hanya mengangguk seraya bergerak ke arah kebun sawi yang terletak sedikit jauh dari lorinya. Setibanya dia di situ, mukanya terus berkerut hairan apabila melihat sebahagian kebun sawinya seperti ditimpa tanah runtuh. Nurhan terus memandang ke atas.
"Aik... semalam tak hujan pun rasanya..." bisik Nurhan perlahan. Perlahan-lahan kakinya bergerak ke arah kawasan yang ditimpa tanah runtuh itu.
Buat seketika, dia terkejut apabila melihat ada seseorang di bawah sebatang kayu dan sebahagian tubuhnya ditutupi dengan timbunan tanah. Nurhan berasa sedikit cemas. Lantas tanpa membuang masa, dia terus mengalihkan batang kayu tersebut ke tepi dan dikais sedikit wajah seseorang yang dipenuhi tanah itu.
"Ya Allah. Astaghfirullah... Shaz!" Nurhan terus memanggil sepupunya dengan nada yang kuat.
Sungguh, dia tidak sangka disebalik timbunan tanah itu merupakan seorang gadis! Dalam keadaan kepala yang berlumuran darah dan tidak sedarkan diri... Nurhan jadi bingung dan sangat terkejut. Tidak sangka pagi itu dia disapa dengan tragedi yang mengejutkan!
#Pls vote n comment if you want me to keep update😛💗
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro