BAB 41 | DERHAKA
NAFAS semakin tidak stabil. Berkerut-kerut muka Encik Afnan menahan rasa sakit lalu keringat pun membasahi tubuh. Pandangan matanya kelihatan berbalam-balam. Sekejap jelas, sekejap kabur. Ketika ini, dia hanya mampu terlentang dan merenung lampu-lampu yang terpasang di siling hospital.
Di sisinya, para doktor dan jururawat tergesa-gesa menarik katil untuk dibawa ke ruangan unit rawatan rapi lalu ke bilik bedah. Sahabatnya, Dato' Zainal yang turut sama melangkah pantas dipandang bersama senyuman nipis. Mengharapkan lelaki itu tidak terlalu merisaukannya.
"Afnan?" Dato' Zainal memanggil apabila melihat anak mata lelaki itu tepat memandang ke arahnya. Bibir itu tergerak-gerak ingin melafazkan sesuatu. Dia pantas mendekatkan diri dan meletakkan telinganya tepat ke mulut lelaki itu.
"Ja... jangan... be... beri... tahu... Da... Danial..." Perlahan saja Encik Afnan memberitahu amanatnya.
Dia tidak mahu Danial terlalu merisaukannya lalu membuatkan hati anak lelakinya menjadi serba-salah. Tanggungjawab lelaki itu untuk membendung jenayah yang dilakukan oleh anak buah Tuan Razen tetap perlu diteruskan. Perjuangan tidak boleh ditangguhkan begitu saja.
Langkah Dato' Zainal terus terhenti apabila dia dilarang masuk ke dalam bilik pembedahan. Keluhan berat dilepaskan. Dia baru saja berniat ingin memberi tahu khabar duka ini kepada Danial yang berada jauh di bumi Paris, tetapi Encik Afnan berjaya membatalkan hasratnya. Dia terpaksa menurut disebabkan perasaan hormatnya kepada lelaki itu.
"Dato!" Suara seseorang menyapa. Dato' Zainal segera menoleh. Encik Khalil yang sedang berlari anak ke arahnya dipandang bersama senyuman nipis. Mereka bersalaman.
"Apa yang dah terjadi?" Encik Khalil bertanya dengan nada yang risau.
Kawasan itu kelihatan lengang. Cuma ada dia dan Dato' Zainal saja di situ. Lelaki itu meraup mukanya. Jelas terpancar riak kesal pada wajahnya. Mulutnya terasa sukar untuk melontarkan kata-kata. Encik Khalil masih menanti dan tidak pula memaksa. Dia sangat faham perasaan yang dirasai oleh lelaki itu.
"Kalaulah saya datang lebih cepat..." keluh Dato' Zainal perlahan.
Dia kesal kerana tidak mampu untuk melindungi dan sentiasa berada di sisi sahabatnya itu. Jika dari dahulu lagi dia dan rakan sepasukan yang lain tidak melengahkan masa untuk memberkas Tuan Razen, pasti semua ini tidak akan terjadi.
Membiarkan penjenayah licik itu bebas merayau ke serata dunia merupakan satu kesalahan besar yang tidak boleh dimaafkan. Niatnya ingin menunggu sahabatnya itu terpujuk lalu kembali bertugas semula, namun ternyata dia alpa dan tersilap percaturan. Nampaknya, Tuan Razen lebih cepat bertindak.
"Kalau Afnan tak dapat diselamatkan... saya tak kan maafkan diri saya sampai bila-bila. Danial pasti akan semakin kesal..." luah Dato' Zainal lagi. Bahunya ditepuk perlahan oleh Encik Khalil.
"Jadi, Dato' nak beritahu Danial ke? Tentang perkara ini?" Encik Khalil bertanya. Dato' Zainal tidak semena-mena mengeluh perlahan.
"Afnan tak izinkan saya beritahu..." Encik Khalil terkejut mendengar jawapan lelaki itu. Dia hairan. Setahunya Encik Afnan masih belum tahu mengenai tugasan rahsia yang perlu dilakukan oleh Danial.
"Macam mana Encik Afnan boleh tahu Danial pergi ke sana untuk tugasan rahsia kita?"
"Saya sendiri pun tak tahu..." keluh Dato' Zainal lagi. Kerusi hospital yang tersusun rapi berdekatan pintu bilik kecemasan itu didudukinya lalu wajahnya diraup. Terpancar riak kekesalan pada wajah itu. Sungguh, dia keliru dan kusut!
Pada saat yang genting ini, tatkala Encik Afnan sedang bertarung nyawa untuk terus hidup, dia langsung tidak boleh berfikir apa-apa. Keputusan terbaik tidak mampu dicapai di kala ini. Perasaannya berkecamuk. Fikirannya kusut! Patutkah dia memberitahu khabar ini kepada Danial? Tetapi sahabatnya itu keras melarang walaupun ketika itu berada dalam keadaan lemah.
Memikirkan hal itu, sekali lagi keluhan berat dilepaskan oleh Dato' Zainal. Pada saat ini, dia tidak mahu terburu-buru membuat apa-apa pilihan. Doanya kepada bekas rakan setugasnya itu tidak putus-putus dilangitkan kepada Yang Maha Esa, berharap akan ada peluang kedua buat lelaki itu. Khidmat terakhir Encik Afnan untuk menjayakan misi memberkas Tuan Razen amat diperlukan.
"Sabarlah, Dato'. Kita doakan semoga Encik Afnan selamat." Encik Khalil memujuk lembut. Dia tidak mahu mengusutkan lagi fikiran lelaki itu.
"Insya Allah. Aamiin..."
•••
BUNYI cengkerik seakan-akan menyanyikan lagu dengan irama yang bingit. Pada saat manusia sedang melelapkan mata, masih terdapat makhluk lain yang berjaga. Sepertimana siang dan malam, bulan dan bintang bersilih ganti, seperti itu jugalah kitaran hidup haiwan di alam dunia ini.
Rita segera membuka matanya. Sejak tadi asyik bertukar posisi tidur, namun semua usahanya langsung tidak berhasil. Sukar sekali untuk dia melelapkan mata saat ini. Dia menoleh memandang Nana yang berada di sisinya. Lena sekali gadis itu tidur. Tidak semena-mena Rita melepaskan keluhan seraya terus bangun dari pembaringan.
"Ya Allah... kenapa dengan aku ni? Kenapa aku rasa resah dan gelisah?" keluh Rita sambil memerhatikan jam yang sudah menunjukkan tepat pukul 12 tengah malam.
Sejak kejadian dia hampir diperdayakan oleh Khairul, fikirannya sering teringatkan umi dan abahnya di rumah. Dia berharap sangat tidak akan ada apa-apa perkara buruk terjadi kepada mereka berdua. Umi dan abahnya pasti risau apabila mendapat tahu dia melarikan diri dari rumah dan langsung tidak pulang semula.
Memikirkan hal itu, Rita hanya mampu menangis kesal tanpa mengeluarkan suara. Sungguh, dia menyesal kerana bertindak mengikut kebodohannya sendiri. Begitu mudah sekali dia ditipu dengan janji manis dan luahan cinta daripada Khairul. Begitu murah sekali harga maruahnya pada saat itu. Akibat terlalu mengikut kata hati yang dahagakan cinta, dia terpaksa menerima hukuman yang sangat menyakitkan.
Pada mulanya, jalan yang dipilih umpama Syurga yang sangat indah pada pandangan mata. Apabila langkah dibawa menelusuri jalan itu, hutan berduri mula menjengah lalu menyakiti hati dan jiwanya. Tidak ada luka yang lebih sakit daripada sakitnya dosa dan maksiat. Hati akan menjadi resah dan gelisah. Hidup akan sentiasa berada dalam kemurkaan Allah SWT.
Dia derhaka kepada Allah. Dia derhaka kepada perintah Rasulullah. Dia derhaka kepada ibu bapanya. Dia ingkar dengan perjanjian yang termeterai saat dia mula-mula menjadi manusia bergelar khalifah ketika berada di hadapan Allah. Sungguh, dialah manusia yang paling hina dan berdosa saat ini.
"Ya Allah... kau lindungilah ibu bapaku. Ampunilah aku Ya Allah. Ampunilah aku Ya Allah. Aku berdosa... aku hina. Aku hamba yang derhaka... Sungguh, aku tidak layak untuk ke Syurga-Mu. Aku kotor... aku teruk Ya Allah..." Akhirnya, air mata tangisan pun mengalir membasahi pipi.
Esak tangisnya cuba ditahan agar tidak mengganggu lena Nana. Namun, hakikatnya... gadis itu sudah pun terbangun daripada tidurnya. Sengaja dia tidak menegur dan memujuk Rita. Dia tidak mahu gadis itu berasa tidak selesa. Biarlah detik ini dijadikan kisah indah antara gadis itu dengan Allah SWT. Detik dimana seorang hamba kembali ke dalam pelukan-Nya setelah sekian lama berpisah.
"Ya Allah... janganlah Engkau menghukum aku Ya Allah... sungguh, aku takut ingin menjejak neraka-Mu ya Allah. Sungguh, aku tak kan mampu untuk terus bertahan..." luah Rita dengan nada yang begitu sebak.
Nana hanya memerhatikan tubuh belakang gadis itu. Tanpa sedar, air matanya turut mengalir membasahi pipi. Fikiranya teringatkan adik perempuannya yang sudah dijemput Ilahi. Sayangnya, gadis itu pergi dalam keadaan dirinya tidak bersedia dari segi iman dan taqwa.
'Najwa... apa khabar adik akak di sana? Akak harap Allah akan ampunkan dosa adik. Walaupun adik bencikan akak... akak tetap doakan adik. Ibu, ayah dan Nurhan sentiasa doakan adik. Ya Allah... tolonglah... ampunilah dia..." bisik Nana sekadar di dalam hati.
Buat sesiapa yg x ingat Najwa, boleh tengok semula Bab 5
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro