BAB 4 | DUSTA
MATA Dato' Zulkifli dialihkan ke arah tabletnya lalu dibaca dokumen-dokumen yang berada di atas meja kerja bilik peribadinya. Air kopi yang pada mulanya panas kini bertukar suam. Sedikitpun masih tidak berkurang paras, menandakan Dato' Zulkifli masih belum menghirupnya. Mungkin terlalu sibuk sehingga lupa kewujudan air kopi buatan Puan Irnaida itu.
Sedang dia sibuk melakukan kerja-kerja pejabat yang tertangguh, pintu dibuka dari luar tanpa ada bunyi ketukan mahupun laungan salam. Dato' Zulkifli terus menghentikan urusannya.
Kini, tumpuan diberi sepenuhnya kepada Puan Irnaida yang kelihatan resah. Pasti ada sebab mengapa isterinya itu menerjah masuk tanpa pelawaannya terlebih dahulu.
"Kenapa?" Dato' Zulkifli terlebih dahulu membuka mulut. Isterinya itu kelihatan risau.
"Abang tak tengok artikel berita ke?"
Dato' Zulkifli berkerut. Pelik dengan perangai isterinya pada hari ini.
"Kenapa? Awak pun tahukan saya suka tengok berita pada pukul lapan malam," beritahu Dato' Zulkifli sekadar mengingatkan isterinya.
Sekali lagi tanpa pelawaan, Puan Irnaida terus menarik kerusi di hadapan suaminya itu lalu dilabuhkan punggung. Riak wajahnya usah dikatakan. Risau dan takut.
"Cuba awak cerita dekat saya apa yang sebenarnya terjadi? Kalau diam macam ni, sampai bilapun tak settle. Kenapa ni?"
"Ivy, abang!"
"Kenapa pula dengan Ivy? Dia ada kat Paris kan?" Dato' Zulkifli terus bertanya. Dia masih hairan.
"Sebenarnya, tadi saya ada baca artikel berita ni. Katanya berlaku rusuhan di Paris! Kes perdagangan manusia pun ada terjadi. Saya risaulah abang."
Kata-kata Puan Irnaida menyentak tangkai hati Dato' Zulkifli. Ditanggalkan cermin matanya lalu diletakkan di atas meja. Badan disandarkan ke kerusi. Jujur yang dia turut risau memikirkan anaknya itu. Nampaknya, keputusan mereka membenarkan Ivy pergi merupakan satu kesalahan besar!
───•¤•───
BANGUNAN besar yang tersergam indah ini dipandang takjub oleh Ivy. Tidak dipedulikan langsung pandangan orang lain terhadapnya. Baginya, inilah pertama kali dia melihat bangunan yang menerapkan rekaan Inggeris pada zaman 90-an, menjadi bukti bahawa bangunan itu sebagai Universiti Amerika tertua di benua Eropah.
Sedang dia sibuk memerhati nilai-nilai seni yang terdapat pada bangunan itu, bahunya dilanggar kasar oleh seseorang. Pandangan mata terus dialih ke arah seorang gadis yang rambut panjangnya berwarna blonde.
Gadis itu berpaling dan mengukirkan senyuman sinis. Sedikitpun tiada perasaan bersalah mahupun permohonan maaf yang keluar daripada mulut itu. Ivy tergamam. Amirul yang memerhati dari dalam kereta hanya menggelengkan kepala.
Di dunia ini, tiada satu tempat pun yang lari daripada masalah rasisme iaitu mendiskriminasikan seseorang itu berdasarkan ciri-ciri perkaumannya. Konsep rasisme amat berkait rapat dengan perkauman dan semangat assabiyah sepertimana yang berlaku ketika zaman Arab Jahiliah.
Masyarakat Arab jahiiyah mengamalkan sistem Kabilah yang berasaskan cara hidup berpuak-puak dan berkelompok. Dalam sebuah kabilah, ahlinya terdiri daripada suku tertentu dan mereka tinggal dalam sebuah kawasan.
Setiap kabilah mempunyai identiti dan peraturannya sendiri sementara ahli kabilah pula sangat taksub dan fanatik terhadap kabilah masing-masing meskipun sanggup berbunuhan. Amalan sistem kabilah ini mendatangkan kesan yang negatif kepada kehidupan masyarakat Arab dan yang paling utamanya ialah semangat assabiyah, semangat kesukuan yang melampau.
"Macam yang saya katakan, kebanyakkan mereka di sini anti-Islam. Saya risau awak tak kan mampu bertahan, Ivy," jelas Amirul yang kini sudah berada di sisi gadis itu.
"Tapi... tak semua kan? Saya yakin pasti ada yang baik-baik." Ivy membalas walaupun dia masih ragu-ragu.
"Yup. Mungkin ada. Tetapi sangat sedikit. Susah nak ditemui."
Ivy terdiam. Kini, timbul kerisauan dalam hatinya. Adakah mampu untuk dia terus bertahan di sini? Amirul yang berada di sisi mengukirkan senyuman lalu ditepuk kepala gadis itu perlahan.
"Jangan risaulah. Saya sentiasa ada bersama awak. I'll always protect you. Jom, saya teman awak daftar."
"Terima kasih," ujar Ivy bersama senyuman yang kelat.
───•¤•───
SELEPAS membuat pembayaran, Furqan dan Danial terus keluar dari kafe tersebut. Hala tuju mereka sekarang ialah taman yang terletak berhampiran.
Kelihatan dari jauh, pelbagai ragam manusia dapat disaksikan dari tempat mereka berjalan. Namun, bukan itu yang menarik perhatian Furqan dan Danial. Tumpuan mereka lebih terarah terhadap urusan peribadi.
"So, kau bila nak balik ke Perak semula? Sambung selesaikan kes kau tu?" tanya Danial.
"Mungkin lusa. Insya Allah kalau tiada aral yang melintang." Furqan membalas selamba.
Bagi jejaka itu, tiada sedikitpun keraguan jika berkongsi hal peribadi dan kerjanya kepada Danial. Mereka sudah saling mengenali antara satu sama lain sejak zaman kanak-kanak lagi. Jadi, kepercayaannya kepada Danial sangat tinggi.
"Aku harap kau ditemukan jodoh cepat. Tak pasal-pasal jadi bujang terlajak."
"Aku baru umur 27 tahun okey. Lagipun aku bukan macam kau. Beku je memanjang. Perempuan itu tak nak perempuan ini tak nak! Entah-entah kau jenis yang tak berminat dengan perempuan!" kata Furqan dengan riak wajah terkejut yang hodoh.
Danial Faiz hanya mengangkat bahu. Malas mahu melayan perangai sengal kawannya ini!
"Seriuslah, Danial? Kau gay?" Furqan terus bertanya. Terkejut.
Tidak semena-mena, kepala Furqan terus dipukul kuat oleh Danial.
"Aduh! Sakitlah woi!" marah Furqan. Belakang kepalanya dipegang kuat.
'Berbisa sungguh tamparan mamat ni! Boleh benjol kepala aku!' monolog Furqan sambil bibirnya mendesis sakit.
"Bukanlah. Aku ni lurus je. Kau yang memandai kata aku gay." Danial membalas selamba. Kedua-dua belah tangannya dimasukkan ke dalam poket seluar. Buat tidak tahu dengan kesakitan yang dialami Furqan.
"Habis tu? Kenapa kau tolak cinta Rara? Dia lawa apa. Bertudung pulak tu!" tanya Furqan lagi. Dia masih hairan.
Selalunya perempuan yang susah untuk difahami, tetapi kali ini berbeza sekali. Dia sendiri susah nak faham dengan perangai Danial.
"Bagi aku, lawa tidak akan sesekali menjamin kebahagiaan dan bertudung tidak semestinya baik dan indah bak bidadari. Dunia ini hanya bertopengkan dusta. Sukar untuk mencari yang jujur dan ikhlas dari hati."
Furqan sekadar menganggukkan kepala seperti burung belatuk apabila mendengar kata-kata puitis yang dituturkan oleh jejaka terhangat di pasaran itu. Dia faham dan bersetuju sangat dengan maksud tersirat yang cuba disampaikan oleh Danial.
"Habis tu? Kenapa kau tak terima je Ivy? Walaupun dia tak bertudung, tapi dia baik dan polos. Bukan susah untuk kau bimbing dia."
"Sebab aku dan dia muda lagi. Aku tak nak biarkan dia terjebak dalam hubungan yang mengandungi harapan tinggi namun masih belum diketahui pastinya lagi. Seolah-olah kau ingin menggapai langit tetapi rupanya itu hanyalah fantasi."
Sekali lagi Danial bermadah bicara dan itu membuatkan dahi Furqan berkerut seribu demi menterjemahkan makna sebenar disebalik kata-kata jejaka itu.
'Apa bezanya dengan kes Rara? Rara pun confess beberapa hari lepas tu je.'
"Jadi, maksud kau... Bila sampai saat yang tepat, kau akan terima Ivy la?"
Pertanyaan Furqan membuatkan langkah Danial terhenti dan dia terus memandang Furqan dengan kening yang bertaut. Lelaki itu hanya mengangkat bahu.
"Aku ada cakap macam tu ke? Tak kan?"
Baru sahaja Furqan ingin membalas, kedengaran sayup-sayup suara seseorang meminta tolong. Mereka terus terdiam. Telinga dipicing.
"Tolong! Tolong! Arghh!"
Tanpa kata apa-apa, mereka berdua terus berlari ke arah suara tersebut. Satu lorong sunyi terus dilalui mereka dengan larian yang kencang. Sampai sahaja di situ, kelihatan seorang gadis yang sudahpun terbaring dengan perut yang berlumuran darah.
"Berhenti! Menyerah sekarang!" jerit Furqan kepada seorang lelaki bertopeng yang berdiri tidak jauh dari gadis itu.
Disebabkan tidak mahu tertangkap, lelaki itu terus berlari laju meninggalkan kawasan tersebut. Danial terus mengejar lelaki bertopeng itu manakala Furqan terus mendapatkan gadis yang sudahpun terlantar itu.
Di perut gadis itu, terdapat pisau yang telah ditusuk oleh lelaki tadi. Disebabkan sudah terbiasa dengan kejadian itu, Furqan laju menelefon pasukan ambulans dan anggota polis. Harapannya semoga gadis itu terus bertahan supaya keterangan kes dapat direkodkan.
Sementara itu, berlakunya adegen kejar mengejar antara lelaki bertopeng itu dengan Danial. Mereka berdua mempunyai kepantasan yang hampir sama, jadi amat sukar untuk Danial memberkas lelaki itu. Sangat jelas bahawa mereka berdua sama hebat dan handal.
"Berhenti sekarang!"
Kata-kata Danial tidak dipedulikan. Lelaki itu terus berlari masuk ke dalam van yang sudahpun diletakkan di situ seperti dalam rancangan. Namun begitu, Danial langsung tidak mahu berputus asa walaupun risiko untuk dia dicederakan sangat tinggi.
Sedang dia sibuk mengejar, mata helangnya dapat menangkap tangan seseorang yang ingin melepaskan peluru pistol dari dalam van walaupun agak tersorok.
Bang!
Dengan pantas dia berguling ke sisi lalu bersembunyi di sebalik tong sampah seperti yang terjadi dalam kebanyakan filem aksi. Tidak hairanlah jika dia boleh berbuat demikian kerana ayahnya merupakan seorang tentera.
Perlahan-lahan kepala dijegulkan keluar. Keluhan dilepaskan apabila dia melihat van tersebut sudahpun berlalu pergi. Walaupun persoalan demi persoalan menjengah fikiran, akhirnya dia mengambil keputusan untuk berpatah balik. Lagipun pasti Furqan sedang menanti.
Just saya nak ingatkan yg cerita ni ada unsur-unsur aksi. Saya tak dapat nk agak byk atau sedikit tapi korang tunggu je lah ekk. Hehe...
Bye! Assalamualaikum! ❤☺
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro