Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

BAB 37 | KETENTUAN

SISA tenaga yang masih ada digunakan sebaik mungkin oleh Amira untuk terus berlari sejauh yang mungkin. Rentak nafasnya semakin laju seiring detak jantungnya kala ini. Tercungap-cungap dia mencari oksigen yang semakin berkurangan.

Raut wajah Amira kelihatan pucat tidak berseri. Keadaan dirinya yang selalu terputus selera menyebabkan dia tidak menjamah apa-apa makanan selama berhari-hari. Keadaan dirinya sekarang tidak lagi sama seperti dahulu. Kurus dan langsung tidak bermaya. Sekiranya tekanan darahnya semakin berkurangan, pasti dia akan jatuh pengsan.

Kakinya yang tidak berkasut, kini sudah pun dipenuhi luka-luka. Pasti ada benda-benda tajam seperti batu kerikil dan serpihan kaca di atas jalan raya. Keadaan jalan yang licin dan diselaputi salji pasti menyukarkan pergerakan Amira untuk melarikan diri. Ditambah pula keadaan cuaca sejuk menyebabkan sebahagian tenaganya turut diragut pergi. Amira semakin letih.

"Allah..." Amira terus melabuhkan duduk di atas sebuah kerusi, berhadapan menara Eiffel yang teguh berdiri mencecah langit bumi. Di situ, Amira berusaha memulihkan semula tenaganya yang semakin menghilang.

Matanya meliar mencari orang-orang suruhan Alex yang berpakaian serba gelap di sekitar kawasan itu. Risau jika mereka berjaya sampai ke sini dalam keadaan dirinya sedang keletihan. Sekali lagi, dirinya mula menjadi perhatian orang yang berada di kawasan itu. Tajam saja pandangan mereka. Amira semakin resah.

"Aku kena pergi dari sini..." Perlahan saja bibir pucat Amira melontarkan kata-kata itu. Cukup sekadar hanya dia yang mendengar. Peristiwa yang berlaku di masjid tadi perlu dijadikan iktibar, hakikat bahawa dia tidak boleh berlama-lama di sini.

Saat dia berusaha gagahkan diri untuk bangun, matanya jatuh pada sekumpulan individu yang baru saja keluar daripada kereta di jalan besar. Pasti mereka semua telah dikerahkan oleh Alex untuk mencarinya secara besar-besaran. Amira tidak ada pilihan. Dia perlu segera berlalu pergi sebelum kehadirannya di sini berjaya dihidu.

Tanpa membuang masa, dia terus berlari di celah-celah keramaian. Berharap semoga orang-orang Alex keliru dengan corak lariannya lalu mereka akan kehilangan jejak. Ini sajalah strategi yang mampu dia fikirkan saat ini, sedangkan dia semakin terdesak dihimpit waktu dan tekanan perasaan.

Alex yang turut menyertai operasi mencari Amira terus keluar daripada kereta. Earpiece yang berfungsi sebagai peranti komunikasi elektronik yang canggih dipasang kemas pada telinganya. Pada masa yang sama, matanya dipicing ke serata tempat, cuba mengenal pasti kelibat Amira yang mungkin sedang bersumbunyi di sebalik orang ramai.

"Macam mana? Jumpa dia?" tanya Alex kepada seseorang melalui peranti komunikasi eletronik itu.

"Jumpa. Dia lari ke arah Utara," jawab seseorang di sebelah sana. Alex hanya membisu tanpa kata. Hanya senyuman sinis yang meniti di bibirnya.

"Utara." Alex memberi arahan ringkas sambil tangannya turut dihala ke arah Utara. Tanpa melengahkan masa, mereka semua patuh dengan arahan yang diberikan oleh Alex.

Bagaimanapun, pergerakan mereka tetap perlu dilakukan secara sembunyi bagi mengelakkan kecurigaan orang ramai yang ada di kawasan itu. Rahsia tetap perlu disimpan utuh biarpun mereka diasak dengan pelbagai persoalan daripada pihak polis, bak kata peribahasa, biar pecah di perut, jangan pecah di mulut.

Saat Amira berpaling ke belakang, terdapat beberapa orang mencurigakan sedang mengejarnya dari belakang. Lagak mereka jelas berpura-pura menikmati suasana alam di kota itu. Dia yakin pasti kedudukannya sudah terdedah pada pengetahuan orang-orang Alex.  Amira semakin menggelabah.

'Ya Allah... bantulah hamba-Mu yang lemah ini...' rayunya sekadar dalam hati. Meskipun kudratnya semakin melemah, dia tetap gagahkan kakinya untuk terus melangkah pantas.

Ketika dia ingin menoleh semula ke hadapan, secara tidak sengaja, dia telah terlanggar seseorang. Keadaan kakinya yang cedera dan dipenuhi luka menyebabkan dia tidak mampu menyeimbangkan badan lalu terus tersungkur jatuh ke atas jalan. Bibirnya merintih sakit.

"I'm really really sorry. Are you okay?" sapa satu suara.

Perlahan-lahan Amira mendongak lalu memerhatikan wajah gadis yang bertudung litup itu. Berdasarkan raut wajah, dia sudah dapat mengagak asal usul gadis itu daripada mana. Menerbitkan sinar harapan dalam hati Amira supaya segera bangkit dan melawan segala rasa sakit.

"Awak, please! Tolong saya! Saya merayu, bawa saya pergi dari sini!" rayu Amira sepenuh hati. Tangan kanan gadis itu digenggam erat bersama tangisan air mata yang semakin lebat dalam keadaan melutut. Sungguh, dia sanggup melakukan apa saja asalkan dia tidak lagi kembali ke neraka ciptaan Alex.

Tindakan Amira yang tidak diduga itu menyebabkan Ivy terperanjat. Ya, gadis itu ialah Ivy Azrin. Gadis yang bakal turut mengikut jejak langkah Amira tanpa dirinya sedari. Perlahan-lahan kakinya dibawa ke arah lembah kegelapan penuh dusta dan tipu daya. Dia adalah mangsa seterusnya.

Ivy melilaukan pandangan. Tepat jangkaannya bahawa mereka sekarang menjadi tumpuan orang ramai yang lalu-lalang. Jelas mereka kelihatan hairan dan pelik dengan situasi itu. Ivy tertunduk malu. Pada masa yang sama, dia juga rasa serba-salah terhadap gadis itu.

"Maaf. Tapi, saya tak kenal awak," tutur Ivy perlahan.

Bukan niatnya tidak mahu membantu, tetapi disebabkan pesanan ibunya dan Zahra yang sering bermain di kepala agar tidak mempercayai orang tidak dikenali menyebabkan dia terpaksa menolak. Jika ingin memberikan bantuan berupa wang tunai mungkin mampu bagi Ivy, tetapi jika membawa gadis itu pergi... dia tidak akan sesekali melakukannya.

Apabila difikirkan semula, pasti ini salah satu cara licik untuk dia diculik ataupun didakwa sebagai penculik kepada gadis itu, padahal dia cumalah mangsa keadaan. Jika dia tidak mampu menafikan tuduhan tersebut dengan bukti yang kukuh, kehidupannya pasti akan berakhir di penjara. Tambahan pula peristiwa dia hampir diculik dan dilanggar hari itu masih mengekalkan perasaan trauma.

"Tolonglah... saya merayu sangat-sangat... tolong saya..." lirih Amira dengan nada suara yang begitu sayu.

Dia tidak dapat menahan sebak. Di kala ini, Ivy satu-satunya harapan dan peluang yang dia masih ada. Harapan yang mampu membebaskan sayapnya yang selama ini diikat dan dibelenggu dengan begitu sengsara sekali.

Lihat saja tangisan gadis itu, Ivy semakin dihimpit perasaan bersalah dan simpati terhadap gadis yang tidak dia ketahui namanya itu. Begitu bersungguh-sungguh sekali gadis itu merayu dan meraih simpati. Pasti ada rahsia disebalik linangan air mata tangisannya ketika ini.

"Andrea!" Suara seorang lelaki menyapa dengan nada yang kuat agar tidak tenggelam dalam keriuhan suasana di kawasan persekitarannya.

Ivy dan Amira menoleh secara serentak. Namun, apa yang membezakan antara mereka berdua ialah reaksi wajah Amira jelas kelihatan resah dan takut manakala Ivy pula masih dalam keadaan terpinga-pinga. Dia langsung tidak faham dengan situasi yang melandanya sekarang.

Langkah Alex meskipun kelihatan tenang, senyuman yang meniti di bibir jejaka itu sudah cukup membuatkan Amira semakin takut dan gelisah menghadapi takdir yang bakal menyakitinya kelak. Jantungnya semakin berdegup kencang mengira jejak langkah lelaki itu ke sini.

Sedar akan detik waktu yang semakin jauh meninggalkannya, Amira segera bangkit dan terus membawa langkah pergi dari situ. Biarpun dalam kepayahan dan kelelahan. Keputusannya untuk terus menunggu di situ ibarat menunggu kematian yang bakal meragut nyawanya pergi. Jiwanya pasti akan semakin terseksa.

Tingkah laku Amira yang secara tiba-tiba itu menyebabkan perasaan terkejut terzahir pada riak wajah Ivy. Tidak sempat dia ingin memberi tahu kesudiannya untuk membantu gadis itu, dia sudah pun ditinggalkan di situ. Kehadiran Alex yang ketika ini telah berada di hadapannya langsung tidak disedari.

"Cik..." Lembut saja suara Alex menerpa bersama ukiran senyuman yang memukau pada pandangan. Amira sedikit terkejut seraya menoleh memandang jejaka itu.

"Maaf sekiranya gadis tu dah buat cik rasa tak selesa. Dia sebenarnya pesakit mental yang telah pun melarikan diri dari hospital. Jangan risau, kami akan segera menangkapnya..." sambung Alex lagi. Amira sekadar mendengar lalu menganggukkan kepala.

"Oh... macam tu rupanya. Tak apa. Harap encik dapat berlemah-lembut dengan dia..." tutur Ivy yang sudah jatuh simpati.

"Baiklah. Itu sudah semestinya." Alex memberi jaminan, salah satu cara penipuannya agar dia memperoleh kepercayaan daripada semua pihak. Ivy hanya mengukirkan senyuman nipis. Lega sedikit hatinya sekarang.

"Saya pergi dulu ya, cik..." pamit Alex. Ivy menganggukkan kepala sebagai tanda mengiyakan.

Senyuman dihadiahkan oleh Alex sebelum dia terus berlalu pergi. Mungkin pada fikiran Ivy, itu sekadar senyuman biasa, padahal senyuman itu memberikan 1001 makna tersirat yang tersendiri. Takdir yang bakal menjelang, masih tersimpan rapi dalam pengetahuan Ilahi. Sama ada dia masih menjadi dirinya yang hari ini, ataupun dibinasakan dengan kebatilan.

Segala niat yang ada dalam hati, hanya Allah yang tahu rahsia disebaliknya. Kadangkala wajah nampak baik tetapi hatinya penuh dengan kejahatan syaitan. Hanya menunggu masa saja untuk bertindak dan pastinya segala takdir itu berlaku atas keizinan Allah tidak kira baik mahupun buruk.

Segalanya pasti ada hikmah yang akan menghadirkan pelangi selepas awan mendung menurunkan tangisan. Manusia mungkin tidak boleh nampak sekarang, tetapi hikmah itu tetap akan hadir jua pada saat hati sudah mampu bertenang. Ketika detik, hati sudah reda atas segala ketentuan kehidupan.








Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro