Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

BAB 35 | KAFE

LAMUNAN sengaja diputuskan, tidak mahu tenggelam dalam kemuraman suasana. Disebabkan nostalgia itu, dia terpaksa menanggung rasa sakit dan peritnya sebuah penyesalan dan kesedihan. Esak tangisnya yang bergema di dalam bilik wuduk tersebut menambahkan lagi rasa pilu dan ngilu di hati.

Rambut hitamnya digenggam dengan kedua-dua belah tangan, melepaskan rasa sakit dengan menyakiti diri sendiri. Dia hanya gadis yang lemah. Gadis yang tidak punya kudrat untuk mengolah masa silam. Dia tidak punya kekuatan untuk berbuat sedemikian. Dia rapuh. Dia lelah.

"Apa aku dah buat ni... apa yang aku dah buat selama ni... bodohnya aku... aku memang bodoh sebab terlalu percayakan orang lain! Kau memang bodoh, Mira! Bodoh!" lirih Amira dengan suara yang sayu.

Air mata yang semakin lebat mengalir di pipi dibiarkan jatuh membasahi baju yang dipakai. Biarlah air mata ini menjadi saksi dan tanda bahawa seorang hamba Allah bernama Siti Amira ingin kembali ke pangkal jalan dan menyesal dengan segala dosa yang dilakukan.

Perlahan-lahan tangan kanannya disua ke air paip yang masih mengalir lalu diteruskan dengan anggota tubuh wajib yang lain. Bibir digigit, cuba menahan rasa sebak yang semakin mencengkam sanubari. Setelah selesai, dia menapak keluar dari bilik wuduk itu lalu masuk ke dalam ruangan solat wanita.

Jari-jemarinya mengambil telekung putih lalu disarungkan ke kepala. Kain turut dipakai, menutup auratnya yang terdedah. Dada dihadapkan ke arah kiblat lalu Amira pun mengangkat takbir. Bermunajat dalam waktu Dhuha dengan sepenuh penghayatan jiwa dan hati.

"Bis... bismillahirrahmanirrahim... al... alhamdu... lillahi rab... rabbil 'alamin..." Tergagap-gagap bibir Amira menyebut setiap perkataan ayat suci Al-Quran itu.

Ayat seterusnya ingin dibaca, namun fikirannya kini kosong seolah-olah tiada apa-apa. Hafalannya selama ini hilang begitu saja bagaikan debu-debu yang beterbangan tatkala disapa angin perlahan. Lidah Amira seperti terbejat untuk terus mengungkapkan kalimah-kalimah Al-Fatihah itu, lalu terdiamlah dia dalam bungkusan sepi seiiring bergulirnya waktu.

Disebabkan tidak dapat menahan sebak, dia terus jatuh terduduk. Wajahnya ditelekupkan dengan kedua-dua belah tangan, menghamburkan segala air mata yang penuh dengan kekesalan. Dia malu. Malu dengan Tuhan yang menjadi saksi kealpaannya ketika ini.

"Ya Allah... maafkan aku Ya Allah... maafkan aku. Aku hina. Aku berdosa. Aku telah kufur kepada-Mu ya Allah. Aku telah melupakan-Mu. Aku lalai. Aku leka..." ngongoi Andrea seorang diri tanpa ada seorang pun di sisi yang mendengar luahan hatinya kecuali Allah SWT, Tuhan yang selama ini telah dia lupa dan tinggalkan.

"Ya Allah... aku tahu Kau mendengar luahan hatiku ini. Aku tahu kau menyaksikan air mataku ini. Aku tak ada sesiapa untuk meluahkan segala rasa... tapi Kau sentiasa ada untuk mendengar dan memujuk. Tergamaknya aku tinggalkan-Mu sedangkan... Kau selalu ada di sisi aku... aku memang hina. Aku memang hamba yang tak berguna..."

Dadanya disentuh, berharap hatinya yang luka berdarah ini kembali pulih. Berharap rasa sakit ini akan dibawa pergi. Mahu sahaja dia menjerit sekuat hati, melepaskan semua yang menyesakkan dada dan fikiran, tetapi entah mengapa suaranya tidak mampu dikeluarkan. Air matanya tidak henti-henti mengalir.

"Ya Allah... apa aku dah buat selama ni... Kenapa aku kufur? Kenapa aku bodoh sangat? Kenapa aku kena percaya kata-kata mereka? Kenapa! Kenapa! Kau memang bodoh Amira! Kau memang bodoh! Bodoh!" teriak Amira dengan kuat bersama air mata tangisan. Dadanya ditumbuk berulang kali.

"Kenapa aku tak fikir dulu? Kenapa aku boleh buat pilihan macam tu? Kenapa dengan diri kau, Mira? Kenapa kau macam tu dulu..." kata Amira sayu. Dia sebak dalam kepiluan masa silam.

Pukulan di kepalanya beberapa tahun lalu menyebabkan dia pengsan dalam satu jangka masa yang agak lama padahal dirinya turut disuntik dengan ubat pelali, sekali gus menyebabkan dia tertidur lena tanpa dijemput mimpi. Buka saja mata, dia sudah berada di dalam sebuah bilik terkunci dan berada di kota Paris ini.

Luna dan Alex sungguh licik dalam membuat percaturan. Tanpa pengetahuan Amira, gadis itu dibawa pergi melalui laluan air dengan menggunakan kapal seorang pedagang yang sudah diupah dan berjanji untuk bersubahat dalam kancah jenayah besar itu.

Bahkan sekiranya Amira berhasil melarikan diri, gadis itu tidak akan sesekali mampu pulang ke Malaysia semula kerana dia tidak mempunyai pasport bersamanya. Harapan Amira sungguh tipis, namun gadis itu tidak pernah sekalipun mengalah biarpun terpaksa diseksa dan dipukul selama bertahun-tahun.

Kerisauan Puan Kamilah dan Encik Umar dapat dirasai hatinya dari bumi Perancis ini. Andai rahsia disebalik kehilangannya selama ini terbongkar, mereka berdua pasti akan kecewa dan patah hati. Amira yang sekarang bukan lagi seperti dulu. Kufur dan jahil dalam agama.












•¤•











SETELAH lelaki tua itu pergi, Ivy melemparkan pandangannya ke sekeliling. Kedua-kedua belah tangannya didepa lalu mata ditutup rapat, menikmati keindahan dunia yang sangat mengasyikkan. Tudung yang tersarung di kepala beralun apabila ditiup angin sejuk, menyerlahkan lagi seri wajahnya yang cantik, lembut dan manis.

"Kau dah kenapa?" tanya Zahra dengan kening yang diangkat. Ivy menjatuhkan tangan lalu dia memandang Zahra bersama sengihan.

"Seronok. Kalau setiap hari mengembara ke tempat-tempat macam ni kan best. Lagi-lagi bila dengan orang yang kita sayang..." ujar Ivy bersama senyuman yang lebar.

"Siapa orang yang kau sayang tu?" tanya Zahra ingin tahu.

"Awaklah..." Siku Zahra dicuit manja. Mata gadis itu terus terbuntang. Terkejut.

"Asal aku pula? Kau pergilah dengan orang yang kau suka iaitu bakal suami kau," tutur Zahra. Wajah geli-geleman dipamerkan. Ivy terus ketawa.

"Alaa... gurau je. Nak pergi dengan bakal suami? Macam lambat lagi je..." Ivy membalas bersama senyuman kelat.

Serta-merta fikirannya menerawang memikirkan Danial. Sudikah lelaki itu membalas cintanya? Dengan reaksi yang dingin, sombong dan sinis, cukup memberi petanda bahawa lelaki itu langsung tidak menyimpan perasaan terhadapnya. Lagi benci ada lah...

"Kau jangan risaulah. Kalau bukan dia yang jadi peneman hidup kau, pasti akan ada yang lebih baik untuk kau. Lelaki bukan seorang dua, Ivy..." ujar Zahra. Bahu gadis itu ditepuk perlahan. Ivy mengeluh berat.

'Ada lagi ke lelaki sebaik dia? Jaga agama... jaga pergaulan. Jaga adab dengan orang yang lebih tua. Masih ada lagi ke lelaki sebaik tu di bumi muka ini?' tanya Ivy kepada dirinya sendiri, kemudian keluhannya pun dizahirkan sekali lagi.

Entahlah. Dia sendiri pun tidak pasti dan menemui sebarang jawapan, seolah-olah ayat yang dikarang itu tidak ada simbol noktah mahupun titik. Misteri dan dipenuhi pelbagai tanda tanya di benak pemikirannya.

Matanya meliar memandang ke arah lain, jatuh pada kelibat seorang lelaki bertopi hitam yang sedang bersandar di dinding sambil jari-jemarinya ligat bermain telefon pintar. Dahi Ivy berkerut hairan. Dia macam kenal...

"Danial ke tu?" bisiknya perlahan sambil memicingkan mata agar dia dapat melihat lebih jelas.

"Hari ni cuaca agak sejuk. Kau nak aku belikan kopi tak? Kita banyak lagi tempat nak kena pergi..." kata Zahra memecah lamunan Ivy. Gadis itu sedikit tersentak lalu menoleh ke arah Zahra semula.

"Boleh juga. Saya nak cappucino..."

"Okey. Kau tunggu sini. Biar aku yang beli..." Ivy menganggukkan kepala lalu mengukirkan senyuman.

Saat Zahra bangun dari duduknya, mata Ivy tertancap pada belakang baju yang dipakai oleh Zahra. Kelihatan bekas merah berupa darah pada pakaiannya. Dia pantas menegur.

"Zahra... saya rasa awak bocor la." Zahra terkejut lalu dia terus menarik bajunya ke hadapan sedikit, ingin melihat kesan darah seperti yang dikatakan oleh Ivy.

"Hish! Kalau macam tu aku pergi tandas sekejap ya."

"Tak apa, pergilah. Biar saya je yang pergi beli..." tawar Ivy bersama nada suara yang lembut. Zahra berasa simpati dan serba salah kerana terpaksa membiarkan Ivy pergi sedangkan dirinya yang mula-mula menawarkan pertolongan.

"Betul ni?"

"Iya. Pergilah..." Ivy memujuk lagi. Zahra sekadar menganggukkan kepala.

"Okey. Aku pergi tandas dulu. Nanti kita jumpa di sini semula. Bye!" Zahra terus berlalu pergi tanpa berkalih lagi. Langkah gadis itu jelas kelihatan terburu-buru.

Ivy hanya memerhati bersama ukiran senyuman lalu dia melangkah perlahan ke arah sebuah kafe yang terletak 200 meter dari tempat dia berdiri. Danial yang sedari tadi hanya memerhati dalam diam terus membuka langkah dan mengekori dari belakang. Jarak antara mereka tetap dijaga.













Jangan lupa vote gais. Ehe ❤

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro