BAB 33 | MIMPI
GAUN merah yang baru saja dibelinya petang tadi dipadankan dengan tubuhnya di hadapan cermin. Hatinya berbaur perasaan gembira dan teruja yang tidak mampu diungkapkan dengan nada suara. Gembira kerana dia berhasil mengecapi impian yang selama ini dia kuburkan saja dalam mimpi.
Sepurnama sudah berlalu. Dan Amira masih kekal bertahan dengan posisinya sekarang. Dahulu mungkin dia ragu-ragu dan curiga terhadap perilaku Luna, namun setelah matanya mula disajikan dengan wang, niat di hatinya juga berubah. Sedangkan dia sudah berjanji untuk berhenti dan meninggalkan dunia yang penuh dusta ini.
Matanya mulai buta meskipun kelihatan celik pada pandangan manusia. Tetapi tidak pada pandangan Allah SWT. Jalan lurus yang selama ini diselusuri Amira dengan keimanan dan ketaqwaan, akhirnya sudah berpaling arah dan tadah.
Duit dan harta mula menjadi kutamaan. Fesyen-fesyen terkini mula menjadi ikutan lalu ditinggalkan Al-Quran dan As-Sunnah yang selama ini dia agungkan. Malah alunan zikrullah juga tidak lagi meniti di bibir. Solat yang sepatutnya dia kerjakan mengikut jajaran waktu yang telah difardukan turut dia tinggalkan. Sungguh, Amira benar-benar sudah berubah!
Setelah berpuas hati dengan penampilannya yang terpapar di cermin, Amira meletakkan semula gaun merah mahalnya itu ke dalam beg kertas lalu disimpan semula ke dalam almari kayu buruknya. Dia melabuhkan punggung di atas lantai lalu dikeluarkan alat persolekannya satu persatu daripada beg kecil.
Perlahan-lahan jari-jemari naik menghasilkan satu karya seni pada wajah putih bersihnya. Salah-satu hobi yang menjadi kesukaan dan kegemarannya sejak kebelakangan ini. Hasil tunjuk ajar Luna agar dia lebih berkeyakinan untuk menampilkan diri di hadapan khalayak ramai.
Dunia ini tidak pernah berlaku adil terhadap manusia yang tidak punya apa-apa. Manusia akan dipuja-puja apabila populariti, kekayaan dan kecantikan mula tersarung pada jasad mereka. Cukup tiga syarat kelayakan itu, barulah mereka akan disanjung tinggi.
Bagaimanapun, semua manusia itu hanya menyarungkan topeng dusta. Janji-janji manis yang termeterai untuk tetap setia di kala susah dan senang, saat suka dan duka hanya palsu semata-mata. Satu pembohongan yang terlafaz di bibir tanpa menetapkan keikhlasan dari hati.
Malam mula melabuhkan tirai. Dan Amira masih tidak berginjak dan bangkit daripada dunia angan-angannya. Masih ralit melakar impian untuk mengahwini seorang lelaki kacak lagi kaya suatu hari nanti. Oleh itu, dapatlah dia hidup dalam serba senang dan mewah.
"Mira..." Tiba-tiba saja suara ibunya menyapa.
Amira terperanjat besar lalu terus bangun berdiri. Peralatan soleknya yang bersepah di atas lantai dilindungi dengan batang tubuhnya. Wajah Puan Kamilah dipandang bersama satu ukiran senyuman manis seakan tiada apa-apa yang berlaku. Sedangkan ibunya sudah menyaksikan ulahnya tadi.
"Ya, ibu? Kenapa ibu tak ketuk pintu dulu?" tanya Amira dengan perasaan amarah yang dirahan-tahan.
"Tadi ibu dah ketuk dah. Tiga kali ibu ketuk. Kamu tak sahut... ibu buka je lah..." jelas Puan Kamilah tenang.
"Oh..." Amira terbungkam.
"Tapi kenapa ibu cari Mira?" sambung Amira lagi.
"Ibu nak panggil kamu makan. Pelik juga. Selalunya selepas solat Maghrib kamu selalu tolong ibu sediakan makanan. Sejak kebelakangan ni, kamu asyik berkurung dalam bilik..." luah Puan Kamilah tanpa berselindung. Wanita itu jelas risau melihat perubahan anaknya.
Amira terdiam seiring jantungnya yang semakin berdetak hebat. Risau andai rahsianya pecah pada pengetahuan Puan Kamilah. Di kala ini, otaknya ligat memikirkan alasan yang sesuai agar dia tidak diragui.
"Entahlah... sejak akhir-akhir ni, Amira dapat banyak kerja sekolah daripada cikgu. Ibu tahu kan... Mira kan dah nak SPM..." tipu Amira dengan raut wajah yang dibuat kasihan. Puan Kamilah melepaskan keluhan panjang.
"Kalau ya pun... janganlah lewat-lewatkan makan. Nanti kamu sakit macam mana? Belajar-belajar juga tapi pemakanan kenalah jaga..." tutur Puan Kamilah penuh kelembutan. Langsung tidak mencurigai Amira.
"Baiklah, ibu... sayang ibu!" Amira terus memcium pipi ibunya itu. Puan Kamilah hanya mengukirkan senyuman nipis.
"Apa yang ada pada muka kamu tu?" Puan Kamilah terus bertanya apabila anak matanya mula perasan perubahan pada raut wajah Amira.
"Ini make up. Saja la Amira belajar. Barang make up ni, kawan Mira yang bagi." balas Amira sambil tersengih. Dia tidak mahu Puan Kamilah bertanyakan bermacam-macam soalan lahi.
"Hmm... ye lah. Kamu dah solat Maghrib? Kalau dah, jom la makan."
"Sudah! Okey, jom!" Sekali lagi Amira melakukan pembohongan.
Tidak ada secebis pun rasa bersalah dalam hatinya kini. Perasaan bersalah dan takutnya terhadap kemurkaan Tuhan sudah dilenyapkan oleh najis dosa yang mulai menghitamkan hatinya. Perlahan-lahan mati menjadi jasad yang tidak bersenyawa.
Sampai sahaja mereka di dapur, Puan Kamilah terus bersila di atas hamparan tikar yang sudah lusuh. Lauk sardin dan nasi putih yang terisi di dalam mangkuk dicedok lalu diletakkan ke atas pinggan. Lihat saja lauk pauk yang hampir setiap hari dia temukan itu, selera Amira terus menghilang.
"Haish lauk ni lagi. Kalau bukan ikan goreng dan kicap, mesti sardin!" keluh Amira dalam nada bisikan.
Tanpa sedar, kekayaan yang diperolehinya selama ini telah menggelapkan seluruh hatinya yang dahulu sentiasa dipenuhi perasaan syukur biarpun sentiasa dikelilingi dengan serba kekurangan. Satu ajaran yang bersifat kejahatan melalui hasutan dan bisikan syaitan.
"Mira? Kenapa tak duduk? Marilah makan..." Tiba-tiba saja abahnya bersuara. Hairan melihat Amira masih berdiri tanpa suara.
"Oh... nak duduk la ni," balas Amira setelah tersentak mendengar suara abahnya.
Dia berjalan perlahan lalu segera melabuhkan duduk. Pinggan yang disuakan oleh Puan Kamilah diambil lalu diletakkan di atas tikar. Tangannya dicelup ke dalam mangkuk yang berisi air bersih, cara tradisional masyarakat Melayu terdahulu membasuh tangan di kampung.
Tanpa banyak soal, Puan Kamilah dan Encik Umar terus makan dengan tatatertib Islam yang sopan. Langsung tidak bersuara apatah lagi mencela rezeki yang dikurniakan oleh Allah SWT pada hari ini. Bersyukur kerana mereka masih diberi kesempatan untuk mengisi perut sedangkan ramai lagi gelandangan yang masih mencari wang demi sesuap nasi.
Melihat ibu dan abahnya itu hanya makan tanpa bersuara, Amira terpaksa juga berlakon menjadi dirinya yang dahulu. Tetap menjamah lauk-pauk tanpa ada sedikitpun keluhan yang terbit dari bibirnya. Hidangan itu terpaksa juga dia habiskan.
"Oh... baru abah teringat!" Tiba-tiba saja Encik Umar mencelah setelah selesai menjamah hidangan.
"Apa benda yang abang ingat?"
"Semalam abang nak bayar bil yang tertangguh tu... tapi bila sampai, orang tu kata dah bayar. Seingat abang... abang belum bayar lagi..." ujar Encik Umar kehairanan.
Amira yang hanya mendengar tidak semena-mena mengukirkan senyuman dalam diam. Semestinya itu ialah angkara dia dan Amirul. Pada saat begini, abangnya masih berhibur di kelab malam. Agaknya, pagi nanti baru lelaki itu balik.
Sedangkan... Puan Kamilah dan Encik Umar beranggapan bahawa Amirul sedang berada di asrama, bersungguh-sungguh mengecapi impian yang lelaki itu inginkan. Padahal... itu tidaklah seperti apa yang mereka sangka.
"Mungkin abang terlupa kut..." balas Puan Kamah ada betulnya. Pada usia-usia begini, tidak hairanlah jika suaminya itu tiba-tiba saja terlupa.
"Ada betulnya juga..." Akhirnya, Encik Umar mengalah. Beranggapan bahawa kata-kata isterinya itu benar.
Amira hanya diam dan tidak berniat langsung untuk menyampuk. Apatah lagi membocorkan rahsia yang hanya dia dan Amirul saja yang tahu. Sekiranya pintu rahsia mereka terbuka, semestinya ibu bapa mereka akan mempersoalkan bermacam-macam perkara. Maka, pilihan terbaik yang ada buat masa sekarang ialah berterusan membisukan diri.
•¤•
KETIKA sesi persekolahan, Amira tetap menjadi Amira. Masih berpakaian labuh dan besar meskipun hakikatnya pakaian itu tidak lagi tersarung pada tubuhnya saat dia berada di luar rumah atau sekolah. Perwatakannya bertukar menjadi seorang gadis bernama Andrea yang rupawan dan bergaya.
Sedang dia ralit membetulkan tudungnya di hadapan cermin di sebuah tandas, tidak semena-mena bahunya ditolak kasar oleh Adilia. Hampir-hampir saja dia tersungkur jatuh ke atas lantai. Perlahan-lahan dia berpaling melihat Adilia. Turut berada di belakang gadis itu ialah Aida, Hana, Suraya dan Linda.
"Korang nak apa lagi?" keluh Amira dalam nada kekesalan. Penat berhadapan dengan manusia yang asyik suka mencari kesalahannya.
"Kau tanya kami nak apa? Kami nak kejujuran kau!" bentak Hana garang. Alis Amira bertaut hairan, langsung tidak faham isi tersirat di balik kata-kata gadis itu.
"Kejujuran?"
"Kau tak payah nak buat muka innocent la! Aku muak la tengok muka kau yang bertopengkan malaikat tu!" bidas Linda pula. Tangan disilangkan ke dada.
"Cuba kau orang jujur juga! Aku tak faham!" bentak Amira berani. Tanpa sedar, menyerlahkan sifatnya yang kini suka membentak sedangkan dirinya dahulu seorang yamg penyabar dan tidak meningkah dalam apa jua situasi yang tidak memihaknya.
"Aku dah agak kau ni malaikat yang bertopengkan iblis! Depan kami kau tunjuk kau lah orang yang paling alim! Paling penyabar! Padahal kau ni perempuan murahan yang bekerja sebagai pelacur!" Kini, giliran Aida pula menghinanya.
Zap!
Bagaikan dipanah kilat dan petir yang saling bersahut-sahutan ketika awan mendung menjengah langit, Amira tersentak dengan kebenaran yang diperkatakan oleh Aida. Inilah masa yang paling dia takutkan. Rahsianya pecah!
Namun begitu, Amira tidak mahu mengalah. Debaran dalam dadanya ditenangkan dengan cetusan kata hati bahawa ini hanyalah tuduhan melulu dan fitnah semata-mata. Keberanian diraih sebanyak mungkin lalu mata hitam Aida ditatap lama.
"Apa bukti korang?"
"Ceh!" Tidak semena-mena Adilia berdecit. Gadis itu mulai muak dengan lakonan Amira yang berlagak seperti bidadari tidak bersayap yang suci dan bersih.
"Kau nak bukti? Sekejap ya..."
Telefon pintar yang dibawa secara haram itu dikeluarkan lalu ditunjukkan satu gambar ketika Amira sedang berpegangan tangan dengan seorang lelaki di pusat beli-belah. Gambar itu betul-betul terpampang di hadapan mata Amira. Gadis itu terbungkam. Lidahnya kelu tidak mampu bersuara.
"So, apa yang boleh kau pertahankan... Andrea..." tutur Adilia sinis. Satu persatu rahsia Amira dirungkaikan.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro