BAB 32 | HADIAH
"BALAS dendam?" tanya Amira dengan riak wajah yang begitu terkejut. Wajah Sir Airel ditatap lama, sekadar mahu memastikan lelaki itu benar-benar serius atau sekadar bergurau.
"Yes."
"Ta... tapi kenapa? Apa yang isteri Sir Airel dah buat sampai Sir Airel nak balas dendam?" Amira mula mempersoalkan.
Setakat cemburu buta antara suami dan isteri, baginya boleh saja berbincang secara baik. Tegur mana yang salah. Perbetulkan mana yang silap. Tidak perlulah mengeruhkan lagi keadaan yang semakin tegang dan renggang.
"Bayangkan... kalau ibu you sendiri dibunuh oleh suami you... apa yang akan you rasa?" soal Sir Airel dengan pandangan mata yang tajam. Jelas rahang lelaki itu diketap kuat bagi menyembunyikan perasaan amarah dan geram yang semakin bergejolak hebat.
Amira terkelu. Tidak sangka tafsirannya salah dan dia langsung tidak pernah terfikir masalah seperti itu wujud di dunia ini. Bunuh ibu mentua sendiri? Sungguh tidak dapat diterima akal! Apa yang ada dalam fikiran wanita itu sebenarnya?
"Tapi... kenapa pula isteri Sir Airel bunuh..." Amira terus menghentikan kata-katanya.
Niatnya ingin bertanya lebih lanjut, namun dia sedar dia bukanlah sesiapa. Bukan keluarga mahupun kawan terdekat untuk mempertikaikan. Jadi, lebih baik dia sekadar berdiam diri dan tidak campur tangan dalam urusan lelaki itu.
Lelaki itu ketawa sinis. Gelas kaca kosong yang berada di atas meja dicapai lalu disuakan kepada Amira. Gadis itu kelihatan bingung. Sir Airel ketawa kecil.
"Tuangkan minuman untuk I," ujar Sir Airel sambil merenung lama anak mata Amira.
"Oh... o... okey," balas Amira sedikit gagap. Sebuah botol kaca besar yang berada di atas meja diambil lalu dibuka penutup. Tanpa banyak soal, dia terus menuang wain itu ke dalam gelas kaca milik Sir Airel.
"Sebab kenapa dia bunuh ibu I?"
Wain merah itu direnung lama sambil bibirnya mengukirkan senyuman sinis. Gerun Amira melihat perilaku lelaki itu.
"Sebab... ibu I memang tak sukakan dia. I dipaksa bercerai dan kahwin dengan perempuan pilihan dia..."
"Jadi... Sir Airel terima ke?" Amira terus bertanya dengan nada suara yang agak perlahan. Lelaki itu kekal tersenyum lalu anak matanya beralih memandang Amira pula.
"Semestinya I terima. Perempuan pilihan ibu I lebih cantik dan hot daripada isteri I..." balas Sir Airel sinis. Balasan lelaki itu membuatkan Amira terkedu. Tidak sangka Sir Airel akan memberi balasan sedemikian.
"Kenapa? You terkejut ke? Dah start bencikan I?" provok Sir Airel apabila melihat reaksi terkejut Amira.
Amira cuba memaniskan mukanya dengan mengukirkan senyuman nipis, berusaha untuk kekal tenang walaupun ingin saja dia membantah kata-kata Sir Airel. Pada masa yang sama, dia risau dan takut akan diapa-apakan oleh lelaki itu.
Senyuman sinis terukir di hujung bibir Sir Airel apabila anak matanya jatuh pada jari-jemari Amira yang sedang bermain antara satu sama lain. Mudah saja dia membaca corak pemikiran gadis itu dengan hanya berdasarkan perilaku.
Sir Airel mendekati Amira lalu jarak antara mereka dibunuh. Langsung tiada ruang. Amira hanya menundukkan kepala, tidak berani bertentangan mata dengan lelaki itu. Bagaikan terkena renjatan elektrik, dia terkejut apabila lelaki itu secara tiba-tiba mengusap pipinya.
"Nak tahu apa yang jadi dengan isteri I?"
Keadaan sunyi buat seketika. Amira langsung tidak berani mahu bersuara apatah lagi mahu membalas panahan anak mata milik Sir Airel.
"Dia tak boleh terima kenyataan... dan terus jadi gila..." sambung Sir Airel bersama ketawa kecil. Dengan keberanian yang masih tersisa, Amira mengangkat wajah lalu membalas tajam kata-kata lelaki itu.
"Kenapa? Sir Airel rasa bahagia ke mainkan perasaan hati dia?" Ketawa Sir Airel terus terhenti.
"I bahagia. Memang itulah balasan yang sepatutnya dia dapat." Amira melepaskan keluhan lalu dia menggeleng kecil.
"Baiklah." Perdebatan yang mulai panas itu segera dihentikan. Tidak ada gunanya dia berperang mulut dengan lelaki itu kerana segalanya sudah terlambat untuk dihentikan. Keadaan tidak akan kembali menjadi seperti kebiasaan.
"Jadi... apa kena mengena dengan saya? Kalau Sir Airel nak balas dendam, kenapa perlu heret saya sekali? Bukankah bekas isteri Sir Airel dah dapat balasan yang setimpal?" Amira cuba merungkaikan persoalan yang bermain di fikiran.
Sir Airel hanya mengukirkan senyuman dan menyandarkan belakang tubuhnya ke sofa. Gelas yang berisi wain itu dicicip sedikit lalu diletakkan semula di atas meja.
"Sebab I nak bagi hidup dia lebih merana. You nak join?" tanya Sir Airel sambil mengusap lembut wajah Amira. Jelas kelihatan gadis itu tidak selesa.
"Maaf. Tapi saya tak nak," putus Amira bersama senyuman nipis. Tangan Sir Airel yang masih berada di wajahnya ditepis perlahan. Namun, lelaki itu tetap degil dan keras kepala. Jari-jemari Amira pula yang menjadi sasarannya.
"I sentuh you sikit je. Lagipun I bayar you kan?" ujar Sir Airel sedikit bengang dengan tindakan gadis itu.
"So... sorry..." balas Amira sambil menundukkan kepala. Sekali lagi jari-jemarinya dimainkan antara satu sama lain. Resah.
"Tak apalah. Kita lupakan semuanya. By the way, I ada hadiah untuk you," ujar Sir Airel setelah menghela nafas.
Sebuah kotak bersaiz sederhana yang berada di sisinya dicapai lalu dihulurkan kepada gadis itu. Amira terus mengangkat kepala.
"Apa ni?" tanya Amira sedikit hairan.
"Bukalah," balas Sir Airel bersama senyuman. Amira segera membalas senyuman lelaki itu lalu dibuka kotak itu secara berhati-hati. Membulat matanya apabila melihat telefon pintar berjenama iPhone itu. Senyuman Amira semakin melebar.
"Ya Allah... thank you so much, Sir Airel! Saya suka sangat! Dah lama saya nak telefon pintar sendiri!" tutur Amira yang begitu teruja.
Secara tidak sedar, tubuh lelaki itu terus dipeluk erat. Akibat mata hatinya sudah dibutakan dengan wang dan harta, dia terus terlupa setiap kata-kata dendam lelaki itu tadi. Tidak dipedulikan langsung mana yang halal dan mana yang haram. Lama kelamaan, hatinya akan mula terbiasa dengan setiap titik hitam noda dan dosa.
"Memandangkan you dah dengar luahan I... teman I malam ni... I bagi you 2000 ringgit," ujar Sir Airel lalu menyerahkan sebahagian duit yang berada dalam dompetnya.
"Terima kasih Sir Airel! Terima kasih sangat-sangat!" balas Amira gembira kerana seumur hidupnya, dia tidak pernah lagi mendapat wang sebanyak ini.
"You're welcome, dear."
•¤•
LANGKAH dibawa perlahan memasuki kelasnya yang berada di tingkat tiga. Bibirnya melafazkan ucapan salam, namun tiada sesiapa yang membalas hatta mengerling sedikitpun ke arahnya. Entah kali ke berapa, sekali lagi kehadirannya seolah-olah dibuat tidak wujud. Rutin harian mereka tetap dijalankan seperti biasa.
Amira hanya mengukirkan senyuman nipis, sekadar menceriakan hatinya yang sudah lali dengan situasi tersebut, kosong tanpa ada perasaan sedih mahupun kecewa. Kehidupannya selama dua tahun lebih di sekolah itu langsung tidak terpahat apa-apa kenangan manis dalam fikiran. Cuma ada momori silam yang pahit bak hempedu.
Perlahan-lahan kakinya dibawa ke arah bahagian belakang kelas, tempat kebiasaan Adilia dan rakan-rakannya melepak dan berbual kosong sekiranya guru tidak berada di dalam kelas. Walaupun jantungnya berdetak laju, dia tetap beranikan diri tampil menghadap Adilia meskipun pada akhirnya nanti, dialah yang akan dipersalahkan.
"Adilia..." Amira terus menegur lembut. Perbualan gadis-gadis itu terus terhenti lalu figuranya yang hanya berdiri tegak itu direnung tajam. Macam nak telan!
"Well... well... lihatlah siapa yang berani menghadap kita ni..." balasan sinis Shasha terus memecah suasana sunyi antara mereka. Adilia yang ketika itu sedang duduk terus bangun berdiri lalu menyilangkan tangannya ke dada.
"Apahal kau? Nak cari gaduh? Tak puas hati? Dah mula depress dengan perangai kita orang? Nak report kat cikgu?" tuduh Adilia secara melulu. Amira pantas menggelengkan kepala.
"Tak! Tak! Niat saya bukan macam tu..." jawabnya perlahan.
"Habis tu? Tak kan kau nak makan penumbuk kami pula? Kenapa? Nak rasa ke?" tambah Mawar pula.
"Sebenarnya... saya nak serahkan duit kepada Adilia. Hari tu kan saya tak bayar duit PIBG lagi..." tutur Amira lalu menghulurkan sekeping sampul duit yang berisi sejumlah wang.
Adilia menjeling lalu dia terus merampas kasar sampul itu daripada pegangan Amira. Dibuka sampul lalu dikira duit-duit kertas itu satu persatu. Mereka yang tidak ada kena mengena pula yang menyibuk dan ikut serta.
"Mana kau dapat duit sebanyak ni? Dalam masa sehari?" tanya Adilia yang mula berasa sangsi. Amira pula tetap kekal tenang.
"Itu duit simpanan saya. Oh ya, terima kasih tau Adilia. Maaf sebab dah menyusahkan awak. Nanti serahkan kepada guru kelas tau," ujar Amira sebelum berlalu pergi, segera menamatkan perbualan antara mereka agar keadaan tidak menjadi semakin melarat dan parah. Kalau tidak, memang pecah rahsianya nanti.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro