BAB 30 | BERHENTI
HEMBUSAN angin yang menyapa melalui celahan tingkap sangat memberikan kedamaian dan ketenangan dalam hatinya. Tudung yang beralun perlahan dibiarkan saja sambil jari-jemarinya menarikan pen di atas sebuah buku, menyiapkan karangan yang diberikan oleh Puan Diana sebentar tadi. Dia tidak mahu bertangguh.
Sesekali dia termenung memikirkan idea dan fakta yang ingin digunakan lalu dia pun sambung menulis. Secara tiba-tiba, mejanya terus ditendang dengan kuat. Habis tulisannya terlari dari kedudukan asal. Bibir dikemamkan, cuba untuk bersabar dengan sikap biadap orang di sekelilingnya.
"Hoi, perempuan! Pandanglah sini! Tak kan yang tu pun aku nak beritahu?" Gadis itu terus membentak kasar apabila dia melihat perilaku Amira hanya buat tidak endah saja. Panas juga hatinya!
Perlahan-lahan dia menolehkan kepala lalu memandang ketua kelasnya, Adilia yang sedang berdiri di sisi meja. Senyuman manis diberikan.
"Ya, kenapa?" Suara lembutnya menyapa, namun hati Adilia tetap keras seperti batu. Kertas yang berada pada pegangannya diletak kasar ke atas meja lalu tangan disilangkan ke dada. Raut wajah gadis itu kelihatan bengang.
"Kau tanya aku kenapa? Kau tahu tak kau tak bayar lagi yuran sekolah! Tak pasal-pasal aku pula yang kena panggil dengan cikgu! Buang masa aku je! Kau ni memang menyusahkan betullah!" herdik Adilia lagi.
Amira terdiam. Tangannya terus meletakkan pen di atas meja lalu dia mengambil kertas yang diberikan oleh Adilia. Angka yang tertera pada muka kertas itu menyebabkan matanya terus membesar. Terkejut.
"300 ringgit? Mahalnya," ujar Amira perlahan. Adilia tersenyum sinis.
"Huh! Ingat ya, kau kena bayar secepat mungkin! Kalau kau rasa yuran sekolah ni mahal, lebih baik kau berhenti je! Tak ada la mata aku semak tengok kau ada di sini!" balas gadis itu sebelum berlalu pergi.
Amira hanya membisukan diri, tidak mahu menyerang balas meskipun dia sakit hati dengan kata-kata Adilia. Fikirannya kini runsing memikirkan bayaran yuran yang perlu dilunaskannya itu. Terbayang wajah tua ibu bapanya yang sentiasa bersusah payah bekerja. Dia berasa simpati. Mereka ada ke wang sebanyak itu?
"Ya Allah... Macam mana ni..." luahnya perlahan. Dia berasa agak tertekan, namun kalau boleh, biarlah ibu bapanya tidak mengetahui hal ini. Dia tidak mahu menyusahkan sesiapa.
•¤•
PADA petang ini, sekali lagi Amira pergi ke rumah besar itu bersama abangnya. Dan sekali lagi dia terpaksa menipu kedua-dua ibu bapanya. Walaupun kata-kata Haffaz terngiang-ngiang dalam fikiran umpama kaset yang dimainkan, dia terpaksa juga kembali ke tempat itu. Abangnya yang sedang membuka topi keledar itu dipandang.
"Abang..." panggilnya perlahan. Lelaki itu terus menoleh.
"Kenapa?"
"Mungkin hari ni je kali terakhir Mira ada di sini. Esok mungkin Mira tak datang lagi dah," kata Amira senada.
Amirul kelihatan begitu terkejut apabila mendengar kata-kata yang dituturkan oleh Amira. Dia terus mendapatkan adiknya lalu kedua-dua belah bahu itu dipegang. Amira sedikit terkejut dengan tindakan abangnya yang secara tiba-tiba.
"Kenapa ni abang?" tanya Amira hairan. Amirul terus melepaskan bahu gadis itu lalu mukanya diraup kasar. Amira masih bingung.
"Kenapa Mira cakap cam tu? Kalau Mira nak tahu, selangkah Mira masuk rumah tu... sampai bila-bila Mira tak boleh keluar macam tu je. Lagipun kita dah janji nak bantu abah dan ibu sama-sama kan?" jawab Amirul dengan wajah simpati.
"Apa maksud abang dengan Mira tak boleh keluar macam tu je? Ada apa-apa yang Mira tak tahu ke?" Amira terus bertanya sarkastik. Pelik dengan perangai abangnya yang kelihatan takut dan resah itu.
"Okey, listen. Mira tak boleh keluar macam tu. Keadaan ni akan membahayakan Mira," jelas Amirul masih samar-samar.
"Abang, jelaskan lebih detail boleh tak? Mira tak faham dengan apa yang abang cakap!" bentak Amira dengan nada yang sudah naik seoktaf. Amirul melepaskan keluhan berat.
"Okey, balik nanti abang cerita. Kita tak boleh cerita kat sini. Mesti orang dekat dalam rumah tu pandang pelik," kata Amirul lembut, berharap adiknya itu mengalah. Amira hanya mengukirkan senyuman kelat.
"Hmm... okey."
"Okey, jom masuk," putus Amirul setelah melihat adiknya itu kelihatan sudah bertenang. Pergelangan tangan gadis itu dicapai lalu dia terus membawa Amira masuk ke dalam rumah. Luna yang baru saja turun dari tangga terus menyapa.
"Andrea!"
"Hi, Luna," balas Amira bersama senyuman manis. Tanpa kata apa-apa, Luna terus menarik pergelangan tangan gadis itu lalu dibawa masuk ke dalam bilik. Amira hanya mengikut dan tidak membantah.
"Andrea... kenapa you pakai baju ni lagi?" tanya Luna setelah melepaskan tangan Amira. Gadis itu hairan.
"Kenapa?"
"Kalau you datang ke sini, you kena pakai pakaian yang sepatutnya. You bukan orang baru lagi dan you wajib ikut peraturan," tegas Luna lagi. Amira tersenyum nipis.
"Tak apalah. Hari ini mungkin kali terakhir saya ada di sini." Jawapan Amira terus mengundang reaksi tidak senang pada raut wajah Luna. Entahlah, dia langsung tidak dapat meneka sama ada gadis itu kelihatan sedih atau marah.
"Kan I dah beritahu, selangkah you masuk ke sini, you tak boleh berundur lagi. Lagipun hari ni first day you bekerja. You tak boleh sewenang-wenangnya pergi macam tu je," kata Luna dengan nada yang tegas.
"Tapi..." Tidak sempat Amira menghabiskan kata-katanya, Luna terus meletakkan jari telunjuk di bibir gadis itu. Amira terdiam.
"Andrea... you tak nak ke berjumpa dengan Huxley lagi?" Tiba-tiba saja nama seseorang dikaitkan oleh Luna.
"Haa? Huxley? Siapa tu?" tanya Amira hairan. Dia cuba memerah otak, mencari secebis memori yang mengingatkan dia kepada lelaki bernama Huxley. Luna tersenyum nakal.
"Alaa... buat buat tak tahu pula. Lelaki yang you duduk bersama semalam tu la..." ujar Luna dengan nada yang meleret. Amira terkedu. Darah terus menyerbu ke seluruh muka. Sekarang, barulah dia faham maksud sebenar gadis itu. Lelaki itu ialah... Haffaz.
"Ooo... yang tu..." balas Amira yang sudah kehilangan kata-kata. Malu apabila Luna perasan perilakunya semalam.
"See? Awak dah jatuh cinta dengan dia kan? Yeah, saya tak nafikan dia memang kacak. Ramai perempuan nak kan dia." Lantaran mendengar kata-kata Luna itu, Amira pantas mengangkat wajahnya.
"Ramai ke perempuan nak dekat dia?" tanya Amira dalam nada yang sudah berbaur cemburu. Luna menganggukkan kepala bersama senyuman di hujung bibir sambil tangannya sibuk merapikan rambut.
"Ya. Betul la. Tak kan I nak tipu pula. Sebab itu, you tak boleh biarkan macam tu je. Kalau you betul-betul sukakan dia, goda dia. Sampai dia terpikat dengan you..." Luna menghasut perlahan.
"Tapi, saya malu la..." ujar Amira sambil menundukkan kepala. Dia menggigit bibir.
"You tak boleh la malu. Kalau you malu nak bertindak, nanti akan ada orang lain pula yang bertindak. Haa, menangis tak berlagu you nanti..." kata Luna lagi.
Amira terus terdiam memikirkan kata-kata Luna yang ada betulnya itu. Dia tidak boleh bayangkan bagaimana keadaannya nanti apabila Haffaz sudah menjadi hak milik orang lain. Dia pasti akan terlalu sedih dan kecewa.
"So, malam ni, you kena start kerja dah. Tak apa, nanti I ajar you macam mana nak pikat lelaki. You jangan risau. Sekarang ni, jom kita pergi shopping."
"Shopping? Buat apa?" Amira terus bertanya hairan.
"Beli baju you la. Nanti bila you datang sini, tak payah dah pakai baju-baju besar ni."
"Tapi saya tak ada duit..." Amira menjawab perlahan. Yuran sekolah pun dia tidak mampu bayar, inikan pula mahu membeli pakaian-pakaian baru.
"Tak apa. Guna duit I dulu. Kalau you berjaya buat kerja you dengan baik, you boleh dapat duit!" Luna terus menghasut lagi. Pasti ada saja caranya bagi memastikan gadis itu yakin.
"Hmm... okey." Akhirnya, Amira bersetuju.
•¤•
PUSAT beli-belah Pavillion yang sesak dengan kehadiran manusia itu diperhatikan oleh Amira dengan perasaan risau. Sehelai dress yang bergantungan di sebelahnya dicapai lalu tanda harga dicari.
"800 ringgit?" Matanya terus membesar apabila melihat harga bagi sehelai dress itu.
Kaki dibawa ke arah lain lalu dia terus mencari dress yang mungkin mempunyai harga yang agak murah. Hatinya semakin risau apabila dia langsung tidak dapat menemui harga dress yang dicari-cari. Semuanya memang mahal. Luna yang masih mencari pakaian itu terus didekati.
"Luna... kita pergi mall lainlah."
"Kenapa pula?" tanya Luna sambil matanya ralit membelek-belek dress singkat yang berada dalam pegangan.
"Err... baju di sini semua mahal-mahal. Saya tak kan mampu nak bayar balik..." Amira terus menzahirkan kerisaunnya dengan kata-kata.
"Alaa... relakslah. Gaji yang akan you dapat nanti pasti akan melebihi nilai wang semua baju-baju ni. Lagipun baju yang ada di sini semua berkualiti tinggi dan berjenama. Barulah you ada kelas," sambung Luna sambil tangannya cuba menyuai padankan dress itu dengan tubuh Amira.
"Cantikkan baju ni?" tanya Luna setelah sekian lama Amira berdiam diri. Gadis itu menganggukkan kepala, tidak dia nafikan baju berjenama mahal itu sememangnya sangat cantik. Hati perempuannya sedikit tertarik.
"Okey, kita beli lagi beberapa baju. Lepas tu nanti, kita pergi ke satu tempat ni. Tempat yang you akan bekerja..." beritahu Luna sebelum dia melangkah ke ruangan lain.
Baru sahaja Amira ingin membuka mulut, matanya dapat menangkap kelibat Adilia dan Aida yang sedang melalui di hadapan butik ini. Dia pantas menundukkan badan lalu figura dua orang gadis itu diperhati dalam diam, berharap yang mereka tidak akan menyedari kehadirannya di sini.
Setelah memastikan dua orang gadis itu berlalu pergi, Amira terus bangun berdiri dan menghela nafas lega. Nasib baik! Sekiranya dia tertangkap, keadaan di sekolah pasti akan menjadi huru-hara dan dia akan semakin dibenci ramai. Memikirkan hal itu, Amira hanya mampu melepaskan keluhan berat.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro